HANYA tinggal dua bar sahaja sebelum tangki minyak benar-benar kosong. Syed
Badiuzzaman tercari-cari juga papan tanda stesyen minyak di hadapan. Menyesal
pula dia tidak mengisi minyak penuh ketika singgah di Bukit Merah sebentar
tadi. Papan tanda hentian rehat masih juga belum kelihatan. 160km/j terlalu
laju untuk baki minyak yang ada lalu dia memperlahankan lagi kenderaannya,
sehingga mencecah angka 120km/j, sebuah Audi di belakang memancar lampu tinggi,
memaksa Syed Badiuzzaman beralah lalu memberi isyarat untuk masuk ke lorong
kiri.
“Setakat R8, apa kelas? Tunggu aku isi minyak penuh dulu. Kita tengok siapa
hebat.” Soalnya sendiri. Kemudian, dia membuang keluh apabila papan tanda
stesyen minyak masih belum kelihatan. Rasanya, semenjak dia terperasankan paras
minyak dalam tangki yang makin berkurangan, dua puluh kilometer telah diredah
dengan hati yang sebal.
Rembang senja mulai kelihatan. Syed Badiuzzaman kian bengang, kereta yang
dipandunya terpaksa diperlahankan lagi sehingga mencecah paras 90km/j. Hari ini
bagai hari melakar sejarah. Tidak pernah dalam sejarah hidupnya membawa kereta
seperlahan itu, sama seperti kelajuan yang dibawa oleh kenderaan-kenderaan
biasa lain di atas jalan. Namun, perasaan susah itu tidak lama. Dia kembali
ceria apabila dia melihat papan tanda Hentian Rehat Gunung Semanggol sejauh
lima kilometer di hadapan. Dia terus menambah pecutan sehingga menghampiri
lorong masuk ke Stesyen Minyak Gunung Semanggol.
KERETA mewah yang menghampiri pam kelima diperhatikan
dengan penuh minat. Kereta seperti itu tidak pernah dilihatnya seumur hidup,
lalu dia mendekati. Berhajat untuk membantu pelanggan mengisi minyak, sekaligus
mengintai jenama kereta itu.
“Saya tolong encik.” Ain menawarkan diri untuk membantu. Lelaki bercermin
mata hitam itu menoleh ke arahnya. Gadis yang menawar bantuan itu diperhatikan
atas hingga ke bawah. Comel! Body
mantap! Boleh buat stok awek kalau belajar tinggi, tapi kenapa kerja kat stesyen
minyak ni?Aiseh! Jatuh standard aku! Omel Syed Badiuzzaman sendiri.
“Ya, boleh! Tolong belikan aku air mineral, Wrigley’s chewing gum dan roti.” Pesan Syed Badiuzzaman lalu menghulur not
lima puluh kepada Ain. Ain terpinga-pinga, namun dia menyambut juga duit itu
apabila dihulur lebih dekat dengannya.
“Roti apa, encik?”
“Apa saja.” Ain mengangguk lalu beredar untuk masuk ke dalam kedai. Dia
mendapatkan Hairi yang bertugas di
bahagian kaunter.
“Customer tu nak roti, Wrigley’s chewing gum dan air mineral.”
“Ain, Ain!” Hairi menggeleng, dalam masa yang sama menyambut juga not lima
puluh yang dihulur Ainul Mardhiah. Badannya pantas bergerak, menyediakan tiga
barang yang diminta pelanggan mereka itu.
“Kenapa?”
“Ain ni baik hati sangatlah. Customer
tu saja nak kenakan kita. Mentang-mentanglah kita kerja di stesyen minyak dan
dia pakai kereta mewah, terus dikulinya kita.”
Terang Hairi sambil membungkus pesanan lelaki berkereta mewah itu. Ainul
Mardhiah senyum sahaja, selebihnya dia tidak mahu menjawab. Kata babah, tak
salah kita tolong orang. Asalkan kita tolong dengan ikhlas, kita akan dapat
pahala.
Ketika Ainul Mardhiah
keluar dari kedai itu, kereta mewah itu sudah menanti di hadapan pintu.
Cepat-cepat Ain mendekati kereta itu.
“Ini pesanan encik dan ini bakinya. Terima kasih kerana sudi berbelanja di
stesyen minyak kami.”
“Panjangnya ceramah kau. Balance
tu upah, ambillah!”
“Tak perlu-”
“Tak apa. Aku sedekah.” Lelaki itu menyambung tanpa menunggu Ainul Mardhiah
habis bicara. Cermin tingkap pantas dinaikkan secara automatik, membuatkan Ain
terus mengundur ke belakang. Duit yang berada di tangan Ain, dipandang silih
berganti dengan kereta mewah yang telah hilang itu.
“Tabung kedai ada?” Tanya Ain, kembali mendapatkan Hairi.
“Nak buat apa?”
“Ni...dia tak nak balance.”
Beritahu Ainul Mardhiah, jujur.
Hairi tertawa sambil menggeleng. Memang dasar orang kaya, memandang rendah
pada orang miskin yang menghulur bantuan. Tak mahu terhutang budi gamaknya!
“Lucu ya, Hairi?”
“Iya. Lucu jugak. Masuk dalam tabung wakaf ajelah Ain.” Tunjuk Hairi ke
arah tabung wakaf di depannya. Dia tidak mahu memanjangkan buah fikirannya.
Biarlah dia seorang yang punya prasangka itu. Kasihan Aiunul Mardhiah yang
nampak polos itu.
Ainul Mardhiah akur lalu memasukkan sekeping not dua
puluh dan beberapa keping not seringgit ke dalamnya. Kemudian, dia meminta diri
untuk kembali meneruskan kerja di bahagian pam.