AINUL Mardhiah hanya mampu melempar pandangan keluar tingkap. Deruman enjin
kereta tak mampu menghilang debaran di dada. Apa tidaknya, ketika menguruskan
hal berhenti kerja sebentar tadi, terjadi kekecohan sedikit antara Syed
Badiuzzaman dan Hairi. Masing-masing bagai menyimpan dendam. Itu yang
membuatkan Ainul Mardhiah tak senang duduk, tak senang hati dan asyik terasa
menelan pasir. Rasa bersalah pada keluarga baharu di stesyen minyak Hentian
Rehat Gunung Semanggol bagai mendera perasaannya. Dia bagai teringin hendak
marah kepada Syed Badiuzzaman tapi entah mengapa, tiada marah, yang ada hanya
debaran. Barangkali pertama kali berkongsi kenderaan dengan lelaki asing.
Syed Badiuzzaman tidak
banyak bicara. Hanya sesekali matanya melirik pada Ainul Mardhiah yang senyap
di tepi. Sakit hati pula melihat diri itu tanpa suara. Sesudah aku menjemputnya
di Gunung Semanggol dan menyelesaikan urusan berhenti kerja, malah memberi pula
kerja baru, tiada langsung ucapan terima kasih untuk aku?
“Kau tak reti ucap terima kasih, ya?”
“Terima kasih?”
“Ya, aku jemput kau, selesaikan kes berhenti kerja kau, dan beri kerja
baru, tak ada satu perkataan terima kasih pun untuk aku?” Luah Syed
Badiuzzaman, geram. Ainul Mardhiah senyum sahaja di sebelah.
“Ya...terima kasih pada Tuan Muda Syed Badi bersusah payah bergaduh dengan
kawan saya tu. Mesti mereka kenang saya sampai bila-bila.” Ainul Mardhiah juga
tidak dapat menahan hati. Padanya, Syed Badiuzzaman perlu diceritakan
kebenaran.
“Kau perli aku?”
“Tak adalah. Saya berterima kasih saja, terima kasih Tuan Muda Syed Badi.”
Ucap Ainul Mardhiah, sinis. Kemudian, dia kembali menyepi. Melontar pandangan
ke luar sehingga terdengar lagi suara lelaki itu.
“Kau berkerja terus dengan aku. Urusan kau dan aku adalah urusan personal, dan tak ada kena mengena
dengan Kumpulan Al Hadad.”
Ainul Mardhiah mengangguk. Tahu yang dirinya diupah secara peribadi oleh
Syed Badiuzzaman. Semuanya telah dinyatakan di dalam surat perlantikan yang
diterima semalam. Bukan hanya melalui surat itu sahaja, Encik Lukman juga telah
memaklumkan tentang jawatannya secara ringkas.
“Kau hanya terima arahan dari aku saja.”
“Ya.” Sepatah itu sahaja jawapannya, selebihnya dia membuang pandangan ke
tepi. Dibawa pergi tanpa persediaan mental, membuatkan Ainul Mardhiah berasa
semangatnya turut pergi. Kan bagus kalau dia sudah bersedia dengan mental,
bukannya secara tiba-tiba. Aduhai umi dan babah. Doakan kejayaan anakmu ini!
Syed Badiuzzaman tidak mendengar lagi suara selepas itu.
Dia senyap lagi? Apakah aku yang memandu ini perlu mengajaknya berbual? Bukankah
dia yang patut melayani aku, sebagai majikannya? Ain, Ain Ain! Sakit pula hati
aku ini!
Terus Syed Badiuzzaman menekan suis, lalu bumbung keretanya terbuka secara
automatik. Ainul Mardhiah terkejut, tudung yang melilit kepalanya bagai hendak
tertanggal, dibawa angin yang bertiup deras itu. Tak pasal-pasal, dia terpaksa
menahan tudung yang dipakainya dengan kedua-dua belah tangan. Angin yang datang
menampar muka tak dapat ditahan lagi.
Syed Badiuzzaman di sebelah sudah tersengih. Idea
nakalnya menjadi. Apa Ainul Mardhiah ingat dia boleh berdiam diri, dan
menyakitkan hati aku sahaja?
“Tuan Syed Muda Badi.” Panggilnya perlahan tetapi tidak kedengaran.
“Tuan Syed Muda Badiiiiiiiiiiiii!!!” Jerit Ainul Mardhiah akhirnya. Jeritan
itu membuatkan majikannya menoleh sebentar. Sedar yang wanita muda itu mahu
berbicara sesuatu, Syed Badiuzzaman memberi isyarat untuk masuk ke lorong kiri,
serta merta kelajuan kereta dikurangkan.
“Kau nak cakap apa?” Tanyanya
apabila dirasakan Ainul Mardhiah tidak lagi melayani dunia sendiri.
“Tuan Muda Syed Badi, saya nak mintak tolong.”
“Kau ni suka betul mintak tolong dengan aku. Kau nak apa?”
“Kalau saya boleh buat, saya tak minta tolong Tuan Muda Syed Badi. Saya cuma
nak mintak Tuan Muda Syed Badi naikkan balik bumbung tu. Kalau lama begini,
tudung saya boleh tertanggal.” Beritahu Ain, jujur.
“Oh, aku ingatkan apa tadi!” Balas Syed Badiuzzaman, tergelak. Kerana
kasihankan Ainul Mardhiah, dia menurut juga walaupun dirinya bukan penurut
perintah.