Kerana terlalu sibuk menguruskan segala dokumen berkenaan pemberhentian sekolah, sedar-sedar jam sudah pukul 12.30 tengah hari. Liyana telah pulang bersama pak su, mahu menghabiskan mengemas. Seperti dijanjikan, Dayana menunggu di pondok yang dikatakan oleh Sara. Dia melabuhkan duduk ke atas kerusi batu di situ.
Serta-merta ingatan terimbau semasa menguruskan segala dokumen di pejabat sekolah tadi. Ternampak rakan-rakannya sedang menikmati makanan di kantin. Sengaja tidak mahu menyertai mereka. Hanya sekadar memerhati dari jauh dengan linangan air mata. Alangkah bahagianya jika dia juga berada di dalam kelompok itu. Air mata bergenang, diseka dengan jari. Kembali mengelamun sambil menantikan kehadiran sahabat-sahabat lain.
“Hai...”
“Opocot ulat bulu!”
Terus meloncat daripada kerusi lalu dengan imbangan tidak stabil, dia terjatuh. Terduduk di atas rumput. Susuk penegur dipandang geram.
“Yana, Yana. Sejak bila melatah? Sampai macam tu sekali lompat?”
“Kau, kan Sara...” Dayana mengetap gigi. Bertambah geram apabila melihat Sara gelak mengekek-ngekek sambil menekan perut.
“Macam-macam benda baru kau belajar sekarang. Esok, entah apa pula kau belajar? Jangan belajar silat sudah. Nanti, tak pasal-pasal, masuk hospital pula makhluk yang kena silat dengan kau.” Sara kembali menyambung gelak tapi tidak lama. Menyedari Dayana sedang terkial-kial mahu berdiri, tergesa-gesa dia mendekati. Membantu.
Sebaik dapat berdiri dengan stabil, Dayana menoleh ke kanan. Mata membesar. Ahmad Fahim dan Irshad juga turut ada bersama? Malunya. Mana nak disorokkan muka?
‘Diorang nampak tak aksi lompatan aku tadi? Magik oh magik, ke mana menghilang? Patutnya aku yang hilang sekarang.’ Dayana memandang Sara.
“Aku, cukup pantang kena sergah!”
“Bila aku sergah? Tegur aje pun. Dulu, kau tak macam ni?” Sara sengih.
“Tu dulu. Ei, kenapalah aku ditakdirkan, jumpa dengan makhluk kureng macam kau? Dekat rumah aku pun, ada satu. Menyampah.”
“Marahlah pula. Lily Dayana, maafkan patik wahai tuan puteri. Ampunkan patik penunggu gua. Ampunkan patik penunggu gua.”
“Muka aku ni, macam muka penunggu gua? Agak-agaklah kau, Sara.”
“Eh, comel apa penunggu gua kalau muka macam kau?” Sara sengih lagi lebar.
“Aku kalau jadi penunggu gua, kau orang pertama jadi tahanan dalam gua tu, tau. Ni satu lagi, kenapa diorang berdua tu ada sama?” Dayana berbisik ke telinga Sara sambil menghalakan jari telunjuk ke arah dua pemuda itu.
“Tengok, seronok gelakkan kau, sampai lupa tujuan aku. Sebenarnya, bukan aku yang nak jumpa kau. Adalah orang tu. Beria-ia minta tolong kat aku.”
“Minta tolong. Apa kau merepek ni, Sara?”
“Adalah.”
Dayana mengecilkan mata memandang Sara.
“Adalah benda dia nak cakap kat kau.” Sara berlagak selamba.
“Siapa?” Kening Dayana bertaut.
“Tu, Fahim.” Bermuncung mulut Sara.
“Fahim? Eh, kau nak ke mana, Sara?” Tergamam, melihat Sara sudah membuka langkah.
“Aku tunggu kat sana. Tak naklah kacau daun.” Sara meninggalkan Dayana, berdua-duaan dengan Ahmad Fahim di pondok itu. Irshad juga turut melangkah bersamanya.
Dayana terpinga-pinga.
‘Malunya. Dahlah masa balik ni. Banyak pula mata yang tengok.’ Dayana menunduk. Apa direnung pada meja batu, tidak tahulah?
“Yana,”
Kaku. Suara pemanggil, membuat hati Dayana serta-merta cair. Toing. Jangan nak menggatal!
“Maaf kalau saya buat awak rasa tak selesa.”
Senyap.
“Ada benda, saya nak cakap pada awak, Yana. Dah lama terbuku.” Ahmad Fahim memandang si pujaan hari.
Senyap.
“Sebenarnya, saya sukakan... ”
Mata Dayana memandang ke arah alam sekeliling. Hakikatnya, satu taktik untuk mengelakkan diri daripada memandang Ahmad Fahim. Berdebar-debar.
‘Sekejap, Fahim sukakan apa?’ Mata Dayana meluas.
“Saya... dah lama sukakan awak, Yana.”
Terkedu.
“Kalau saya dah dewasa, ada kerja tetap, tentu saya dah...” mata Ahmad Fahim masih menatap muka licin Dayana. Resah sedikit dengan respon senyap Dayana. Suka atau...
‘Biar betul? Ni sorang lagi, macam Abang Iman.’ Dayana menunduk.
“Yana, awak...”
Dayana tersentak. Lambat-lambat mengangkat muka, memandang Ahmad Fahim. Itu pun hanya sekejap. Pantas, melarikan mata ke arah lain.
“Sebenarnya saya pun. Tapi...” Dayana terdiam.
“Tapi apa, Yana?”
“Awak pun tahu, saya akan pergi tak lama lagi. Mustahil untuk kita terus berkawan.”
Senyap.
“Awak anggap mustahil? Kenapa, Yana?”
“Macam tak sesuai, Fahim. Lagipun, kita masih muda. Belajar pun tak habis lagi.”
“Saya tahu. Tapi saya tak nampak pun kat mana yang mustahil?”
Dayana mengeluh dalam hati. Bagaimana mahu membuat Ahmad Fahim faham masalah sedang dihadapinya?
“Yana, saya sanggup tunggu awak walau lama mana pun.”
Tergamam.
“Yana, saya tak nak apa-apa daripada awak. Cukup sekadar, awak setuju terima saya.”
Dayana telan air liur kelat.
“Fahim, arah tuju hidup saya masih kabur. Saya tak tahu macam mana hidup saya lepas ni? Saya tak nak letak sebarang harapan. Saya tak nak, ada antara kita akan kecewa nanti.”
“Ambillah banyak mana masa yang awak nak, Yana. Saya akan tunggu.”
“Fahim, jangan rosakkan masa depan awak. Apa orang akan kata nanti, muda-muda dah pandai bercinta. Utamakan pelajaran. Masa depan kita, jauh lagi.”
“Saya tahu tu, Yana.”
“Bagus kalau awak tahu. Jadi, tak perlu saya terangkan lagi.”
“Awak... tolak saya sebab dah ada yang lain? Lelaki hari tu?”
Terbeliak mata Dayana. Ah sudah. Minta simpanglah. Bukanlah nak mengada-ngada. Mana mungkin dia menerima Shahiman menjadi kekasih hati. Lainlah kalau Ahmad Fahim tapi...
“Betulkan cakap saya, Yana?”
“Dia, sepupu saya. Tak ada apa-apa hubungan istimewa pun. Saya anggap dia, macam abang sendiri.”
“Habis, kenapa beria-ia menolak saya?”
Dayana menghela nafas.
“Saya tak sepadan dengan awak Fahim. Terlalu banyak kekurangan saya.”
“Saya tak nampak kekurangan awak.”
“Fahim. Saya, dah jadi yatim piatu. Mana mungkin saya fikirkan pasal cinta. Masa depan saya, itu yang utama sekarang.”
“Tak salah kalau kita jalin hubungan. Berilah saya peluang, kenal awak, Yana.”
“Fahim, maaf. Saya tak dapat tunaikan permintaan awak.”
“Tapi Yana, saya...”
“Fahim, hidup saya tak semudah orang lain. Seorang demi seorang, orang saya sayang, tinggalkan saya. Saya tak nak, awak pun sama.” Air mata terus merembes keluar dengan laju.
“Jangan fikir bukan-bukan, Yana.”
“Saya tak tahu nak cakap apa lagi, Fahim.” Beristighfar dalam hati. Kenapa perlu mempertikaikan takdir tercipta untuknya? Muka, ditekup dengan kedua tangan.
“Yana. Ingat pesanan saya. Derita, ada manisnya dan bahagia, kadangkala pahit. Percayalah, awak akan faham maksud saya ni suatu hari nanti. Saya, takkan paksa awak lagi. Saya akan terus berdoa, moga awak bahagia. Jaga diri baik-baik.”
Dipandang Ahmad Fahim sekilas. Dayana kembali menunduk.
“Selamat tinggal, Yana.” Ahnmad Fahim lantas bangun, memacu langkah. Sedikit pun tidak menoleh. Dia yakin, Dayana akan kembali kepadanya jika sudah ditakdirkan.
Dayana hanya mampu melihat Ahmad Fahim semakin menjauh dengan linangan air mata. Biarlah masa menentukan. Cinta di usia muda tidak pernah menjanjikan kebahagian berpanjangan. Jarang berkekalan cinta monyet. Biarlah semuanya berlalu begitu sahaja. Segala ketentuan di masa hadapan, bukan di tangannya.