Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 7

Dayana sedang bersila, menguli tepung untuk dibuat kulit karipap, berhenti seketika. Mata, memandang muka emak sedang berbaring di hadapan. Dia nampak, emak menyeka air mata dengan hujung jari. Tengah hari tadi, emak tiba-tiba mengadu tidak sedap badan. Badan emak,tiba-tiba membahang.

“Kenapa, mak? Sakit badan?”

“Tak ada apalah. Buat ajelah kerja Yana tu.”

Dayana tidak terkata apa-apa lantas meneruskan kerja. Bimbang lambat pula siap. Setelah hampir dua jam, kuih karipap pusing telah siap. Tugas menggoreng diserahkan kepada Liyana yang pakar. Lenguh terasa pinggang hingga memaksa dia menggeliatkan sedikit tubuh. Setelah semua peralatan telah dikemas dan dibersihkan, dia berlalu untuk membersihkan diri kerana sebentar lagi mahu menghantar kuih karipap ke surau.

Dia menyarungkan tudung ke kepala. Setelah membelek-belek diri di hadapan cermin dan berpuas hati, dia melangkah keluar dari bilik. Tangan kini mengangkat bakul berisi kuih karipap lalu melangkah menuju ke pintu. Baru sahaja dia mahu melangkah keluar, terasa belakang tudungnya ditarik lembut. Lantas berpaling.

Ish dia ni! Bila pula dia bangun? Siap pakai baju melayu lagi.’ Sebaik muka Shahiman dipandang, kedua kening diangkat beberapa kali.

Shahiman sedikit terleka memandang muka Dayana. ‘Ayunya dia bila pakai baju kurung.’

Ye, ada apa, Abang Iman?” Ada apa masalah hingga menghalang langkahnya?

“Nak ke mana, tu?”

“Suraulah. Hantar karipap ni.” Bakul berisi kuih itu diangkat sedikit.

“Dah, masuk. Mak ngah suruh abang hantar. Hari dah nak senja. Tak elok anak dara macam awak tu keluar.” Terus dia mengambil bakul daripada tangan Dayana. Jangan harap dia akan benarkan Dayana pergi. Kelam-kabut bersiap apabila mengetahui Dayana akan ke surau.

 “Terima kasih banyak, Abang Imanku sayang. Bawa elok-elok karipap tu. Jangan sampai hancur pula.” Sempat lagi memberi pesanan khidmat masyarakat kepada Shahiman. Bukan dia tidak perasan ditenung. Mujurlah dapat menutup gugup dengan baik.

Aduh, rasa macam mimpi pula bila kena panggil ‘sayang’. Ulang balik Yana?” Berbunga-bunga rasa dalam hati. Rasa seperti di awang-awangan pula.

“Ulang balik? Dah bang. Lebih baik pergi sekarang sebab Maghrib dah nak masuk ni. Maaf ya, tak ada siaran ulangan.” Bergegas dia masuk ke dalam rumah. Malas mahu bertentang mata dengan mamat senget.

Shahiman tanpa banyak songeh terus berlalu pergi dengan senyuman manis terhias di bibir. Hatinya, bagai dilanda musim bunga pula, mekar dan penuh dengan wangian yang segar-bugar. Ewah.

Dari celahan pintu, Dayana mengintai si sepupu sedang mengatur langkah.

“Yang pasti, lamalah duduk kat surau tu nanti. Silap-silap, pukul sepuluh baru balik. Fuh lega aku. Bolehlah buat apa aku suka sementara mamat tu tak ada. Meluat, menghadap muka dia lama-lama. Dahlah tu, dia pun tidur kat sini juga malam ni. Menyemak betul!” bebelnya sendiri.

Sebaik susuk tubuh Shahiman menghilang, pintu ditutup rapat. Tidak dinafikan, kekacakan Shahiman sangat terserlah. Masih belum cukup untuk menggetarkan hatinya kerana memang tiada apa-apa perasaan istimewa terhadap Shahiman. Hanya perasaan seorang adik kepada abang. Itu yang Dayana rasakan selama ini kerana mereka membesar bersama-sama. Malas mahu menyemakkan kepala, dia berlalu ke dalam.

Dia mendekati emak. Setelah memberi emak dua biji panadol untuk ditelan,dia kemudian menyambung kembali menonton televisyen setelah memastikan emak sudah tidur. Liyana dan atuk pula sedang rancak bersembang di atas. Setelah dua puluh minit berlalu, terasa berat pula mata mahu diangkat. Habis semua saluran televisyen ditukar namun tiada satu pun rancangan menarik yang boleh menghilangkan rasa mengantuk. Akhirnya, dia terlena.

 

 

Dayana terjaga di tengah malam kerana terkejut apabila terdengar satu suara sedang mengerang. Agak kuat bunyi itu. Dia bingkas duduk, memandang sekeliling dalam keadaan mamai. Rupa-rupanya, dia tertidur di ruang tamu. Sebaik menoleh, dia terkejut! Terbeliak mata saat melihat ada sekujur tubuh sedang lena. Boleh pula lena di atas sofa di hujung kepalanya. Dia merengus.

“Macam dah tak ada tempat lain nak tidur? Ada juga, aku lempar mamat ni tidur kat luar.” Dia bingkas berdiri lalu mengatur langkah menaiki tangga ke ruang tengah, tempat yang sepatutnya menjadi medan tidur. Terus menapak menuju ke tilam emak sambil mata sempat melirik ke satu sudut, di mana atuk dan Liyana sedang tidur bersebelahan.

“Mak.” Terkejut sebaik melihat emak sedang menggigil kesejukan. Demam ‘kura-kura’ emak kembali menyerang.

Sangat kasihan Dayana melihat emak sedang mengerekot. Entah berapa lama agaknya emak begini? Bergegas dia mencari selimut sebanyak mungkin untuk menyelimuti emak. Beberapa biji bantal juga diambil dan disusun di sekeliling emak. Perkara biasa akan dilakukan olehnya dan Liyana apabila setiap kali emak diserang demam itu. Dia kemudian menggosok tubuh emak yang sudah berbalut untuk menghasilkan haba.

Beberapa minit kemudian, gigilan emak kian berkurangan. Dia masih bersila,setia menunggu di sisi emak sambil tersengguk-sengguk kepala, menahan kantuk.

“Dah, pergilah tidur. Mak dah tak apa-apa ni. Dah okey sikit.”  

Tiada respon.

“Yana,”

Panggilan itu membuatkan Dayana tersentak. Terpinga-pinga seketika.

Ye, mak.” Macam mana boleh terlelap sambil bersila? Digaru kepala. Mata cuba dicelik. Terasa seperti dilekat gam kuat. Setelah mata berjaya dicelik luas, dia memandang muka pucat emak. Tidak sanggup mahu meninggalkan emak. Takut demam itu menyerang lagi.

“Biar Yana tunggu mak, kat sini. Kalau mak nak apa-apa, panggil aje.”

Sebiji bantal diambil kemudian tubuhnya direbahkan di sebelah emak. Sempat lagi dia mengerling ke arah Liyana dan atuk nun di hujung sudut bilik besar itu. Liyana sudah belayar entah ke mana? Kadang-kadang, dia tertanya-tanya sendiri, mengapa atuk tidak sayangkannya seperti Liyana? Banyak kekurangan kahdirinya? Apa lebihnya Liyana berbanding dirinya? Dia akui, Liyana lebih cantik.Lumrah manusia barangkali, lebih menyukai yang cantik sahaja.

 

 

Fajar telah lama menyinsing dan kini matahari mulai terpacak kedudukan di kaki langit. Menandakan, waktu sudah tengah hari. Selesai mengemas rumah atuk, Dayana duduk di beranda, melihat ke arah jalan raya yang sedikit lengang dengan pandangan kosong. Sebentar tadi, emak mengatakan teringin makan Buah Lai. Terus Liyana dan Shahiman ke pekan.

Sedang dia begitu, kelihatan kereta milik sepupunya memasuki halaman rumah atuk lalu di parkir di bangsal peninggalan tok aki. Shahiman menghulur seplastik besar buah lai sebaik berhenti di anak tangga terakhir. Dia terus menyambut lalu bingkas bangun menuju ke dapur tanpa sepatah kata. Mahu menyembang, dia tidak ada keinginan.

Tangan kini sedang menatang sepinggan buah lai yang telah siap dipotong. Tubuh lesu emak dirapati.

“Mak, nah. Buah ni, Yana dah potong nipis-nipis, senang mak nak kunyah,” kata Dayana sebaik melabuhkan duduk di sebelah emak.

Dayana meletakkan pinggan di sebelah kemudian cuba membantu emak bangun. Emak, berjaya duduk juga. Setelah imbangan emak dilihat stabil, pinggan disua lebih dekat lalu emak mengambil sepotong buah lai. Dia melihat emak mengunyah perlahan-lahan.

“Cukuplah sepotong ni.”

“Sikitnya mak makan?”

“Mak tak ada selera.”

Senyap.

“Yana, mak teringin nak makan nestumlah.”

Mata Dayana tidak berkedip. Buah Lai hanya dijamah sepotong sekarang emak minta nestum pula.

Yelah. Mak tunggu, Yana pegi beli.”

Setelah dua puluh minit berlalu,

Segelas nestum dibancuh agak cair telah disua. Nasib baik sempat sampai. Itu pun, Uncle Ah Chew sudah mula menyusun papan untuk menutup pintu depan kedai. Sekali lagi dia membantu emak duduk. Dayana meletakkan sebatang penyedut minuman di dalam gelas bagi memudahkan emak untuk minum. Hanya dua sedutan mampu ditelan oleh emak. Emak kemudian menolak gelas berisi nestum, ke tepi. 

“Mak dah kenyang.” Terasa tawar tekaknya sehari dua ini mahu menelan makanan. Dia merebahkan kembali tubuh ke tilam.

“Mak rehatlah. Nak apa-apa, panggil Yana.” Dia berlalu setelah membetulkan selimut emak. Tidak mahu memaksa emak makan lagi.

 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.