“Baiklah, hari ini saya tak nak mengajar. Apa kata, kita main satu permainan?”
Gamat dengan suara sorakkan.
“Sesiapa yang saya pilih, sila ke depan. Kena buat, apa saya suruh.” Mata Cikgu Arman melihat reaksi pelajar-pelajarnya, mempamerkan pelbagai ragam.
“Senang aje permainan ni. Kamu hanya perlu buat mimik muka, mengikut situasi saya beri nanti.”
Dayana tidak begitu menunjukkan minat. Seorang demi seorang dipanggil oleh gurunya manakala dia pula, buat tidak endah. Hanya menyilang kedua tangan, menyandarkan tubuh ke kerusi. Walaupun mata memandang ke depan, tumpuannya tidak.
“Sekarang, Liyana pula. Mari, ke depan.”
Laju langkah Liyana ke arah gurunya.
“Baiklah, sekarang cikgu nak kamu menangis.”
Apa lagi, menangislah Liyana. Disuruh pula buat mimik sedih, gembira. Dia hanya menurut sahaja.
“Okey. Pelajar terakhir saya nak panggil, Dayana.”
Terbeliak mata Dayana.
‘Kenapa cikgu pilih aku?’ Dengan langkah longlai, Dayana ke depan juga. Mengambil tempat, berdiri di sebelah Cikgu Arman sedang tersenyum memandangnya.
“Baiklah Dayana. Saya nak awak lakonkan satu watak.”
Dayana spontan menoleh.
“Awak kena berlakon watak di mana situasinya, seorang gadis sedang gembira apabila pemuda yang diminati dalam diam, meluahkan isi hati.”
Muka gurunya, dipandang dengan dahi sudah macam kuih lapis kerana berkerut.
‘Biar betul? Kenapa yang lain kena buat mimik muka? Aku pula, kena berlakon?’ Dayana mendecit perlahan.
“Boleh, Yana?”
Tidak seiring dengan jawapan di hati, Dayana pantas mengangguk sebagai balasan.
“Okey, boleh mulakan.”
“Tapi saya ada satu permintaan, cikgu.”
“Apa dia?”
“Saya nak seorang pembantu. Ada sesiapa yang berani dalam kelas ni, berlakon bersama saya?” Spontan mata Dayana memandang Syifa. Baru saja nak senyum dengan cepat menarik kembali.
“Baiklah Yana. Sila mulakan. Pembantu awak, dah ada.”
‘Cikgu Arman ni. Dahlah macam nak pitam. Buat macam biasa. Bertenang.’ Dayana menarik nafas dalam-dalam cuba bertenang. Bersepai pula ketenangan apabila satu lantunan suara muncul secara tidak disangka-sangka.
“Saya sukakan awak, Yana.”
Mata Dayana terus membesar.
‘Baru nak ambil feel, dia ni pula buat perangai. Mulakan dulu.’ Dayana merengus halus.
“Awak tahu tak, Yana,”
“Tak tahu.” Dayana beriak selamba.
Satu kelas sudah gelak.
Ammar Najjah berlagak tenang walaupun mahu ketawa. Boleh pula terkena. Ah, ada dia kisah. Tunggu sekejap ya, Dayana.
“Sejak kali pertama jumpa, saya dah jatuh hati kat awak. Dulu, saya tak percaya cinta pandang pertama tu, wujud. Saya suka awak sebab awak seorang yang misteri.”
“Apalah yang misterinya saya ni? Bukannya si pontianak kena paku kat leher. Jadi manusia.”
Suasana riuh dengan gelak tawa. Lucu dengan kenyataan selamba daripada Dayana.
Ammar Najjah spontan memalingkan muka. Boleh sampai ke situ pula pemikiran Dayana. Mahu gelak, ditahan. Tidak terkesankah Dayana, dengan lawak ciptaan sendiri? Boleh pula menayangkan muka kejung. Otaknya dengan ligat berfikir, ayat balasan.
“Pontianak? Kalau lawa macam ni, saya pun nak.”
Dayana mengetap gigi.
“Tak takut kalau saya makan awak?” Mata dijegil sebaik memandang Ammar Najjah.
“Awak berani?”
“Jangan cabar saya, Ammar.” Dayana memandang geram. Eh, ada juga kena cakar betul-betul nanti.
“Okey..okey, saya mengalah. Tapi saya tetap nak tekankan, saya sukakan awak, Yana.”
Dayana terdiam. Serta-merta teringatkan luahan hati Ahmad Fahim dulu.
‘Saya sukakan awak, Yana.’ Kata-kata Ahmad Fahim menusuk masuk ke benaknya.
“Saya sukakan awak, Yana.”
Terkejut. Memandang Ammar Najjah sekilas. Termengelamun pula Dayana.
“Terima kasih sebab cipta satu kenangan manis untuk saya kenang, Ammar. Kalau ini istilah cinta pandang pertama bagi awak, saya tak nak jadikan ia pandangan terakhir.” Walaupun ditebak rasa sebak, dia menyimpulkan senyuman manis.
“Awak ikhlas, terima saya? Amaran saya, sekali saya lafazkan maksud hati ni, saya takkan patah balik, Yana.”
Rakan-rakan lain bersorak lagi. Semakin gamat kelas.
“Hati awak, akan saya tawan.” Ammar Najjah senyum senget.
Bertepuk tangan pula rakan sekelas.
‘Hai, parah ni. Macam betul-betul pula mamat macho ni.’ Gigi diketap lagi. Tidak pernah lagi, Ammar Najjah seramah ini dengannya.
“Eh, chup chup! Cikgu, cukuplah. Makin lama, makin melalut dah ni.” Bulu roma Dayana mulai meremang. Datang sudah penyakit alahannya. Alah dengan cinta.
“Ala cikgu, kami nak lagi.” Mana cukup babak cinta seciput menjadi ‘hidangan’ mereka.
“Macam mana, cikgu?”
Dayana menjulingkan mata ke atas. Boleh pula Ammar Najjah bertanya begitu. Bukan mahu menyokong, untuk menghentikan lakonan yang entah apa-apa?
“Cukuplah untuk hari ni. Awak berdua, boleh balik tempat.”
“Alaaa.” Dengan serentak, semua mengeluh.
“Terima kasih pada semua yang mengambil bahagian.. Kita akan mula bercuti selama seminggu mulai minggu depan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pihak sekolah akan mengadakan jamuan hari raya dua minggu selepas dibuka. Jadi, para pelajar tingkatan 4 diminta untuk membuat persembahan sebuah sketsa drama. Kamu bincang dengan kelas sebelah. Para pelakon, pilihlah sendiri,” terang Cikgu Arman sebelum melangkah keluar dari kelas.
‘Oh, patutlah beria-ia suruh berlakon tadi. Rupa-rupanya, nak mencari bakat lakonan. Sabar ajelah,’ desis hati Dayana.