Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 38

“Kak Maria. Tolong panggilkan Lily!” 

Lantang suara sebaik butang interkom telefon di meja Puan Maria berkelip-kelip, ditekan. Dia pantas menekan nombor interkom tempat Lily Dayana.

“Ya, Kak Maria. Ada apa?” 

“Lily. Tuan kecik nak jumpa. Sekarang.”

“Okey kak.” 

Talian dimatikan.

“Encik Adli, kejap lagi Lily datang. Nak kopi?” 

“Tak apa, kak. Nanti suruh Lily buatkan.” 

Talian terputus.

Telah beberapa bulan Puan Maria bekerja di bawah Adli Zafri. Berlainan benar sifat antara ayah dan anak. Apabila difikirkan kembali, wajarlah. Tuan Haji Hamka banyak pengalaman. Anak pula, masih muda. Darah mudalah katakan. 

Dia kasihankan Lily Dayana. Ada sahaja arahan daripada tuan kecil perlu diterima. Kadang-kadang terfikir olehnya, siapa sebenarnya setiausaha Adli Zafri? Senyuman dilebarkan sebaik melihat susuk lampai sedang menghampiri mejanya.

“Ada apa, kak?”

“Nampaknya Lily, elok kita tukar tempat. Hari-hari akak tengok kau macam ni. Berlari sana, sini. Dah makin kurus akak tengok.” 

“Mana boleh macam ni? Akak aje yang sesuai duduk sini. Jangan merepeklah, kak. Lily tak kisah. Boleh juga Lily bersenam.”

“Bersenamlah sangat. Akak kesian kat kau. Patutnya, kerja akak.”

“Akak, tak ada orang lain boleh jadi pembantu tuan kecik tu selain akak.”

Puan Maria gelak kecil. Hanya Lily Dayana sahaja tahan dengan kerenah tuan baru.

“Tuan kecik nak apa?” Lily Dayana berbisik.

“Kopi,” Puan Maria juga berbisik. 

Serentak mereka tertawa. 

Lily Dayana bergegas meninggalkan meja Puan Maria. Bimbang jika lambat, akan kena pekik pula dengan encik tuan.

“Nah, ni untuk akak.” Secawan kopi berasap diletak di atas meja Puan Maria. Sebelah tangan pula memegang secawan kopi untuk encik tuan sedang menanti di dalam bilik.

“Wanginya bau kopi ni. Patutlah tuan haji gian dengan kopi kau bancuh, Lily. Kau letak aje atas meja akak, aroma dia... pergh menyengat hidung. Tu belum rasa lagi. Apa kata kalau kau pikat tuan kecik kita tu dengan kopi ni? Mesti dia jatuh hati dengan kau, Lily.” 

Lily Dayana gelak kecil. 

“Tak naklah. Bukan akak tak tahu perangai berangin boss kita tu. Memanjang datang angin kus-kus. Bukan kenal musim angin dia tu. Siapa sanggup menghadap singa lapar macam tu, kak? Hari-hari...” Lily Dayana terdiam sebaik melihat Puan Maria sedang memuncungkan mulut. 

“Kenapa dengan mulut akak?” 

“Aku, singa lapar!” 

Begitu lantang suara dari arah belakang dan tanpa menunggu lama Lily Dayana pantas berpaling.

“Oh singa lapar!” secawan kopi di tangan Lily Dayana terlepas lalu dengan elok mendarat di kaki penyergah. 

Lily Dayana tergamam. Memanggung kepala tidak lama kemudian. Dengan jelas melihat mata bundar encik tuan, perlahan-lahan membesar. Air liur kelat ditelan dengan payah. 

“Lily Dayana!” 

 ‘Habislah aku!’ semakin lantang suara encik tuan menyebut namanya. Bibir digigit kuat seiring mata, dipejam rapat. Riak menyinga encik tuan dapat dibayangkan. 

“Kau sehari tak cipta masalah, tak boleh? Sini kau!” terus tangan Lily Dayana ditarik menuju ke biliknya. 

Puan Maria menadah tangan. Berdoa untuk keselamatan Lily Dayana. 

Pintu dihempas. Kembang kempis hidung Adli Zafri. Muka pembawa masalah, dipandang geram. Bau kopi kian semerbak. Menerawang di dalam bilik. Dia menunduk. Memandang kaki seluar. 

Terbeliak mata Adli Zafri ketika melihat kasut. Gigi diketap kuat. Kasut berjenama Timberland baru dibeli minggu lepas telah dimandikan dengan air kopi. Sudahlah hampir mencecah empat angka harga kasutnya. Kembali memanggung kepala, memandang tepat muka Lily Dayana. 

“Mmm..maaf.” Air liur, ditelan dengan payah. Lily Dayana menunduk. Tiada kekuatan mahu memandang muka encik tuan lama-lama.

“Maaf? Kasut aku ni, siapa nak ganti!” Adli Zafri merengus.

“Sayalah.” 

Terbeliak mata Adli Zafri. Biar betul minah ni?

“Kau mampu?” 

“Ingat, saya tak ada duit?” Berapalah sangat harga kasut tu? Lily Dayana memberanikan diri, memanggung kepala. Memandang muka encik tuan tapi secara sekilas. Huh, seram tengok muka singa lapar.

“Kau ingat kasut aku ni, murah?”

Lily Dayana diam. Kening bertaut. Mahal sangatkah?

“Nak bayar sangat, baik. Bagi aku, seribu. Sekarang!” 

“Seribu?” terbeliak mata Lily Dayana. 

Kasut apa dipakai oleh encik tuan hingga mahal begini? Padahal hanya diletak di kaki saja pun. Dasar anak orang kaya. Seribu? Sayangnya mahu berikan duit sebanyak itu dengan begitu sahaja kepada encik tuan. Leceh betullah. Lily Dayana mendecit perlahan.

“Mampu tak?”

“Saya,” 

Senyap.

“Penyakit latah kau tu, boleh hilangkan tak? Selalu ada masalah kalau kau mula terkejut.”

“Tuan dah tahu saya macam ni, kenapa sergah?” Lily Dayana merengus halus. Muka encik tuan, terpaksa dipandang. Dirinya perlu dipertahankan. Perasaan takut... shuh dihambat pergi.

“Menjawab!”

“Dah tu?” Lily Dayana menunduk sebaik melihat encik tuan menjegil.

“Kau tahu tak, sekejap lagi aku ada mesyuarat? Cuba kau cakap, apa aku nak buat kalau dah macam ni?” 

Kaki seluar dan kasut yang kotor, ditunjuk. Betul juga dia bersalah. Apabila terdengar diri digelar singa lapar, mendidih juga darah. Takkanlah dia segarang itu? Adli Zafri menghela nafas.

“Apa susah? Buka ajelah seluar dengan kasut tuan tu. Biar saya bersihkan,”

Adli Zafri meluaskan biji mata.

“Lily Dayana. Cuba guna otak tu. Takkanlah nak buka seluar kat sini.”

“Tak boleh, ya?” Lily Dayana tayang mimik muka lurus bendul.

“Kau berdiri kat situ. Seinci pun jangan bergerak!” Adli Zafri gelak kecil sebaik berpaling. Idea kurang bernas Lily Dayana, adoilah. Dia berpaling semula dan kini duduk berserta mimik muka serius. Saham, kena jaga. 

“Kak Maria. Masuk bilik saya kejap!” 

Sebaik talian dimatikan, Adli Zafri kembali menoleh ke arah Lily Dayana sedang berdiri tegak di depan sambil menunduk.  

‘Apa ada kat lantai tu? Baik kau tengok muka aku yang hensem ni.’ Senyuman nakal, disembunyi dengan kemas oleh Adli Zafri. 

Lucu. Terasa seperti di zaman persekolahan pula. Adli Zafri, ibarat tuan pengetua manakala Lily Dayana, seorang pelajar dipanggil menghadap. Muka di depan, dipandang lama tanpa sedar. Sejemput senyuman terleret akhirnya.

Sebenarnya, dia selalu mencuri pandang muka Lily Dayana ketika isteri tidur. Hingga kini, isterinya masih tidur bertilamkan karpet. Katil, tetap mejadi hak mutlaknya. Ketukan di pintu menyentakannya.

“Masuk.” 

Tombol pintu dipulas dari luar. Kemudian terjengullah muka Puan Maria sebaik terkuak. Menapak masuk dan terus berjalan menuju ke meja bosnya. Sempat mengerling sekilas ke arah Lily Dayana, berdiri tidak jauh darinya. 

“Kau nak ke mana? Ada aku suruh keluar?” 

Lily Dayana berhenti melangkah. Merengus lembut dan berpaling lambat-lambat.

“Kau nak ke mana?” Adli Zafri bertanya lagi.

“Nak balik tempatlah,” Lily Dayana merengus halus lagi. Rimas sebenarnya begini lama-lama. Bukan dia tidak perasan, ditenung oleh encik tuan. 

“Jangan nak memandai-mandai. Kau tunggu kat situ. Jangan bergerak selagi aku tak suruh!” sengaja ditutur dengan tegas.

Peluang berdua-duaan begini di dalam suasana aman bukan mudah dicipta. Inilah waktu sesuai untuk Adli Zafri menikmati ketenangan. Dia senyum bangga. Kemenangan miliknya sebaik melihat Lily Dayana kembali berdiri di tempat tadi.

“Ada apa, Adli?” Puan Maria mengerutkan kening melihat ragam bos baru. Elok selepas memarahi Lily Dayana, sempat lagi senyum. 

“Kak Maria. Tolong beritahu pada staff terlibat dengan mesyuarat sekejap lagi, saya batalkan mesyuarat hari ini. Tunda hari esok, waktu dan tempat yang sama. Ada hal kecemasan perlu saya selesaikan hari ni.” 

“Yalah. Akak keluar dulu kalau tak ada apa-apa.” Puan Maria bangun sebaik melihat bos mengangguk. Mula mengatur langkah. Terhenti langkahnya berdekatan Lily Dayana. Dia berpaling.

“Eh, lupa pula. Lily macam mana?” 

“Pasal dia, akak jangan risau.” 

“Adli. Jaga Yana baik-baik,” pesan Puan Maria. Bimbang juga jika Lily Dayana diapa-apakan. Tapi Adli Zafri tidak zalim, kan?

“Jaga diri, Lily,” bisik Puan Maria. Bergegas dia melangkah keluar.

“Kau, sini!” 

Longlai langkah diatur Lily Dayana mendekati encik tuan.

“Apa Kak Maria bisik tadi?” 

“Tak ada apa.”

“Takkan tak ada apa-apa?” 

Lily Dayana memandang muka encik tuan.

“Dia cuma kata, jaga diri. Tu aje.” Menyibuk betullah encik tuan. Lily Dayana menghela nafas.

“Duduk.” 

Lily Dayana menurut. Muka beriak bersahaja, bercampur tenang gigih ditayang. Padahal dalam hati...

“Kau tak rimas dengan baju kurung 24 jam?”

Lily Dayana meluaskan biji mata. Pula. Apa tak kena dengan pakaiannya?

“Tak ada baju jenis lain dalam simpanan? Cubalah jaga imej syarikat. Kau tu, ibarat barisan hadapan dalam syarikat ni. Gaji kau dapat, merangkumi pakaian dengan hiasan diri. Ubahlah sikit gaya tu,” bebel Adli Zafri. Tidak ubah seperti perunding kecantikan.

“Maaf kalau apa saya cakap ni, menyentap hati tuan. Lebih baik saya pakai macam ni daripada saya dedahkan apa tak patut untuk tatapan umum. Kalau tuan rasa tak apa, saya boleh ubah imej saya. Imej macam mana tuan nak?” geram Lily Dayana. Senang-senang encik tuan mengutuk pakaiannya. 

“Aku tak suruh kau pakai sampai menjolok mata. Maksud aku, banyak lagi jenis baju selain baju kurung. Baju yang menutup aurat. Cuba fahamkan apa aku cakap,” salahnya juga. Memandai-mandai mengomen padahal manis sahaja matanya melihat Lily Dayana berpakaian begini. 

“Kau faham tak?” 

“Ya. Saya cuba.” Lily Dayana pening. Entah apalah encik tuan mahu? Lemas betul. Lama lagikah dia perlu berada dalam bilik ini? Aduhai.

“Ikut aku keluar.”

“Kan tengah kerja ni?” membulat mata Lily Dayana.

“Ikut ajelah.”

“Ke mana? Lepas waktu kerja, tak boleh?”

“Jangan banyak songeh. Ikut ajelah. Tu, denda sebab kotorkan kasut aku ni.” Adli Zafri lantas bangun. Isterinya masih lagi duduk. Seolah-olah melekat dengan kerusi.

“Tunggu apa lagi. Jom, ikut aku.” Diraih tangan Lily Dayana. 

“Tuan nak bawa saya ke mana?” Lily Dayana merentap tangan. 

“Tak ada maknanya aku nak culik kau. Ikut aje.” 

“Kejap. Beg tangan saya kat bawah.” 

“Pergi ambil. Aku tunggu kat lobi.” 






Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.