Merah telinganya mendengar bebelan demi bebelan mujurlah tidak bernanah. Nak buat macam mana, sendiri cari sakit. Mujurlah emak tahu mengurut sikit-sikit. Bukan seribu tetapi berjuta-juta kerutan di muka, menahan sakit ketika kaki diurut. Sakit woo.
“Sebab tu ada pesanan, hati-hati kat jalan raya. Ni tak, kau main redah aje. Tak habis-habis dengan perangai cuai. Kalaulah longkang tu besar, ish... tak boleh mak bayang apa jadi? Mahunya patah kaki ni!” Berjela-jela bebelan Puan Zakiah. Dalam hati, bersyukur dia kerana tiada kejadian lebih buruk menimpa Dayana.
“Yana tak sengaja. Sungguh, Yana tak perasan ada longkang kat depan masa jalan tadi, mak.” Cuba untuk sengih tetapi menyeringai pula akibat menahan sakit.
“Tulah. Kan mak pesan, lepas sekolah, balik. Ni, ke mana melencong?”
“Mana ada melencong? Yana ada kat sekolah...”
“Hah menjawab!”
“Taklah...” Dayana terdiam sebaik melihat emak menjegil.
“Itulah, berdosa dengan mak. Kan, dah dapat balasan. Yana..Yana.” Puan Zakiah menggeleng perlahan. Dayana, anak yang tidak pernah buat perangai, balik lewat dari sekolah. Hatinya lekas-lekas menyangkal tanggapan buruk kerana PuanZakiah percayakan anaknya. Dayana, anak yang baik begitu juga Liyana.
“Sakit mak,” semakin menyeringai muka Dayana kerana sempat lagi emak menghadiahkan satu cubitan berbisa ke paha.
“Alah perlahan aje pun.” Puan Zakiah mencebik kerana Dayana mengaduh teruk.
Senyap.
“Mak,”
“Hmm, kenapa?”
“Sebenarnya, lepas sekolah tadi, kami ada buat study group. Kalau tak percaya, tanya Sara. Tak pun Adibah. Yana dah pesan kat Lia, suruh beritahu mak. Dia buat tak?” Dayana menerangkan segala-galanya.
“Ada.”
Senyap.
“Lain kali jangan buat macam ni. Tak apalah, kalau Yana balik lambat lepas ni, mak faham. Tapi ingat, jangan merepek ke lain pula. Satu lagi, jangan ambil kesempatan pula buat benda merepek, meraban. Kalau mak tahu... siap!”
“Yana janji tak buat lagi.”
“Hmm.”
“Betul ni, mak tak marah lagi?”
“Hmm tapi kena denda,”
“Denda...” kuyu mata Dayana. Rasa lemah semangat.
“Kenalah denda. Tolong jahit tulang belut kat baju kawan mak.”
“Jahit pun, jahitlah.” Yang penting, Dayana lega marah emak sudah surut.
Alah Puan Zakiah, nampak saja garang tapi baik hati. Emak mana tidak sayangkan anak? Marah pun bersebab, tidak mahu anak daranya merayap tidak tentu hala. Dia cukup menjaga maruah keluarga. Tidak mahu orang keliling berkata bukan-bukan nanti.
Ahmad Fahim sedikit resah. Panjang leher mengintai ke arah kelompok pelajar perempuan di kanan bilik darjah. Telah dua hari, orang dicari-cari masih tidak kelihatan. Dia menghela nafas panjang. Sekali lagi, dia memandang ke arah kumpulan pelajar perempuan. Sudah beberapa kali menoleh ke sana, hampa. Dia mengeluh kecil.
‘Tak ada juga. Tak datang ke hari ni? Teruk ke kaki dia?’
“Cari siapa?”
Ahmad Fahim tersentak pantas menoleh. Terkejut sebaik melihat Sara sedang tercegat berdiri di belakang.
“Cari buah hati ke?” Sara sengih. Lucu melihat Ahmad Fahim termanggu-manggu.
“Mana ada?”
“Eleh, macamlah aku tak nampak. Terjenguk-jenguk arah kami dari tadi.”
“Sajalah, buat senaman leher hari ni.” Ahmad Fahim sengih tetapi kelihatan sangat sumbang. Bingkas dia bangun, bergerak ke meja lain.
‘Uish, loyar buruk mamat ni,’bisik Sara.
‘Patutlah Yana minat kat kau Fahim. Nasib baik aku dah ada si jantung hati kalau tak...’ Sara terleka seketika memerhatikan gelagat Ahmad Fahim.Terserlah ketampanan pemuda berkulit sawo matang, ketika meraup rambut ke belakang. Dia memandang sekilas ke arah Irshad. Seorang pemuda berkulit cerah,bermuka kacukan Cina-Melayu. Kedua-dua mereka sangat terkenal dikalangan pelajar perempuan di sekolah.
‘Untunglah kau, Yana. Diminati dua lelaki hot sekolah ni.’
Sara mendekati sebaik Ahmad Fahim terpisah daripada kumpulan.
“Yana tak datang hari ni. Kaki dia bengkak. Kalau rindu, pergilah jenguk kat rumah.”
“Ada-ada aje kau ni, Sara.” Pantas Ahmad Fahim bergerak meninggalkan Sara.
‘Fahim, Fahim. Kalau betul kau suka, luahkan ajelah." Sara kemudian mengatur langkah, menuju ke meja.