Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
232,328
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1
BAB 1

Mel mengerutkan dahi. Bajet dahlah ciput tapi permintaan mengalahkan Perdana Menteri. Aish makin menjadi-jadi pula cerewet bosnya ini.

“Mel! Saya tak nak karpet yang plain macam ni. Ketinggalan zaman, tahu tak? Apa kena dengan awak ni? Otak letak kat lutut ke apa?”

Pedih hingga ke hulu hati. Terbakar hati Mel. Harap muka aje hensem tapi perangai macam firaun! Rasa macam nak bagi tempeleng sedas kat muka tapi tak pasal-pasal dapat surat cuti buat selama-lamanya pula nanti. Sabar ajelah jawabnya. Amarah dalam dada di pekung padat-padat. Nada suara di lenturkan selembut mungkin.

“Tuan, memang tempohari saya dah mohon pada ibu pejabat untuk order karpet corak pavilion yang khusus untuk pejabat Tuan. Tapi ibu pejabat tolak mentah-mentah. Diorang kan nak selaraskan dengan jabatan-jabatan lain pula. Kalau nak buat juga, takde masalah tapi kita kena guna peruntukan bajet jabatan kita sendiri. Bajet jabatan kita mana cukup. Kalau bajet kita juta-juta, bukan setakat dalam pejabat, sampai dalam tandas pun saya salutkan dengan karpet jenis tu.”

Kelat melatari wajah Arish. “Awak sindir saya ke apa ni? Dah! Saya tak nak dengar alasan bodoh macam ni! Jangan nak salahkan bajet ciputlah, tak cukup koslah. Patutnya pandai-pandailah awak fikir macam mana nak optimakan hasil dengan bajet yang sikit macam tu. Barulah perbelanjaan berhemah. Takkan itu pun saya kena ajar? Kalau macam tu baik awak letak jawatan aje. Biar saya yang uruskan semua urusan pentadbiran ofis ni!”

Gulp! Naik darahlah pulak tuan inspektor seorang ni. “Err…saya…saya minta maaf, Tuan. Saya tak bermaksud macam tu.”

“Dah! Keluar sekarang! Tak payah nak berdrama sangat kat sini!”

Gugup Mel menjawab. “Err....Tuan...err...ni senarai yang tuan suruh saya sediakan tu.”

“Letak aje atas meja tu. Sekarang ni awak keluar. Pergi settlekan semua kerja awak tu. Kalau tak siap, jangan harap awak boleh cuti ya!”

Nah! Kan dah keluar bibit-bibit amaran manja. Kecut perut pula Mel. Masaklah kalau mamat cengcong ni cancel cuti dia. Ish, tak boleh jadi ni. Kena siapkan hari ni juga nampaknya. Terkocoh-kocoh Mel melangkah keluar. Geli hati pula Arish melihat wajah pucat lesi Mel. Tahu pun takut!

Fail-fail kes yang menimbun atas meja sekadar menjadi santapan mata. Berat rasa tangan nak mencapai. Tak habis-habis kes jenayah di sana-sini. Entah bilalah kes jenayah sifar nak di capai dia sendiri pun tak tahu. Takkanlah nak tunggu Superman, Batman, tak pun Ultraman muncul baru semua penjahat, perompak dan yang seangkatannya baru akan pupus kot? Jawabnya sampai kiamatlah takkan tercapai misi tu!

Sepasang mata galaknya tiba-tiba tersorot pada senarai yang di beri oleh Mel tadi. Pantas dia mencapai senarai tersebut. Satu-persatu ayat yang tertera terus sahaja menangkap ruangan matanya.

Calon akhir gadis idaman Tuan untuk sessi perkenalan dengan atuk dan nenda

Qisya VS Suzanne.

Kerja- Tauke Butik Pengantin Kerja- Model

Cantik – 5 Cantik – 5

Pintar – 4 Pintar – 2

Memasak-Kampung Memasak-Western

Fesyen-Klasik Fesyen-Moden

Catatan : Markah penuh 5/5. Tuan pilihlah sendiri pemenangnya, ya.

Pantas Arish mendail interkom Mel. “Masuk sini kejap, Mel.”

Tak sampai beberapa minit Mel sudah tercegat di muka pintu. “Ada apa, Tuan?”

Senarai itu di lemparkan tepat ke wajah Mel. “Takkan benda simple macam ni pun saya nak ajar kot? Berapa tahun awak dah kerja dengan saya, hah? Takkanlah awak tak tak faham-faham lagi taste saya macam mana? Dah tentulah saya nak yang sempurna, terbaik dan terhebat! Sekarang ni saya nak awak telefon Qisya dan tempah dia untuk saya malam minggu ni. Suruh dia siap pukul lapan malam. Nanti saya jemput dia. Hah, apa yang tercegat lagi tu? Keluarlah sekarang!”

Mel mengutip senarai yang sudah terjelepuk ke atas lantai. Geram mula menyelubungi diri. “Ingat Cik Qisya tu restoran ke apa? Nak tempah bagai konon. Bengong betullah bos aku ni!” seranah Mel dalam hati. Terus sahaja dia melangkah keluar dengan wajah kelat.

Mel melabuhkan punggungnya ke atas kerusi dengan kasar. Kertas di tangan terus di humban ke tepi. Hatinya sakit. Jiwanya geram tak terperi.

Rika yang sedang asyik menaip tersentak. Jemari terus terhenti dari mengetuk papan kekunci. Kelat yang menempel di wajah Mel kian mencambah perasaan ingin tahunya.

“Afsal dengan kau ni, Mel? Muncung aje sejak keluar dari bilik tuan inspektor tu. Dah macam muka bini Popeye aku tengok.”

“Banyaklah kau punya bini Popeye! Apa lagi, si mamat cengcong tulah. Cerewetnya Ya Rabbi...kalah nenek aku!”

Rika ketawa berdekah-dekah. “Apa kau cakap? Mamat cengcong? Apa kebenda tu wei?”

Mel mendengus. “Cengcong tu maksudnya cerewetlah. Takkan itu pun tak tahu. Kata ada Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan dalam kurungan Bahasa Melayu Komunikasi Professional. Takkan perkataan semudah tu pun tak tahu?” tempelak Mel.

Kan dah kena sebijik! Sengaja dia memulangkan paku buah keras pada Rika. Sudah acapkali Rika memperlekehkan tahap penguasaan bahasa melayunya yang ala-ala sendu. Maklumlah SPM pun dia lulus cukup-cukup makan sahaja. Lainlah si Rika, graduan dari Universiti Malaya, lulus dengan kepujian kelas pertama. Pangkatnya di Jabatan Siasatan Jenayah ini pun bukan calang-calang.

Namun kutukan yang acapkali terletus dari bibir Rika jarang sekali menyentap hati Mel. Dia sedar diri. Kalau tak kerana jasa pakciknya Sarjan Samdin yang bersusah-payah merekemen, jangan haraplah dia akan dapat kerja sebagai kerani di sini. Memang jauh di sudut hati, memang dia pernah bercita-cita nak jadi pegawai polis. Ala-ala Charlie’s Angel lah konon! Siri CSI Miami kat saluran Astro AXN pun dah lama di hadam skrip dan corak penyiasatannya. Watak Horatio Caine memang jadi idola hatinya. Tapi mengenangkan keputusan SPM nya yang ‘terlebih’ cemerlang maka hasratnya sekadar terpendam jauh-jauh di lubuk hati. Tak dapat jadi polis, jadi kerani polis pun bolehlah!

Jelingan tajam Rika tunak ke wajah Mel. “Amboi! Main kasar, nampak?”

“Janganlah marah, beb. Aku gurau aje. Peace yo,” pojok Mel sambil membuat isyarat ‘peace’ di jari. Bibirnya sudah menyengeh.

Tergeleng-geleng kepala Rika melihat aksi tak cukup umur Mel. “Kau pun satu, Mel. Kan kau dah tahu betapa cengcongnya mamat tu. Yang kau cari pasal dengan dia buat apa?”

Mel mengeluh. “Mana ada aku cari pasal dengan dia? Kau tahu, ada ke patut dia suruh aku buat senarai perbandingan antara Cik Qisya, anak Tuan Komisioner dengan Suzanne, model terkenal tu. Dia nak bawak salah satu dari perempuan berdua tu pergi rumah dia ler tu agaknya. Yelah hujung minggu ni kan ada kenduri doa selamat kat rumah dia sempena atuk dan nendanya nak berangkat ke tanah suci tak lama lagi. Pastu dia suruh aku tempahkan Cik Qisya tu malam minggu ni. Gila ke apa?”

Rika melopong. “Lor, biar betul? Sampai macam tu sekali? Memang sesuailah gelaran yang kau bagi kat dia tu. Apa dia, mamat cengcong? Eloklah sangatlah tu. Dah boleh buat novel tu, beb. Mel, PA si mamat cengcong!”

Segumpal kertas yang berkeronyok dalam genggaman segera di lontar ke arah Rika. “Banyaklah kau punya novel! Hah, aku nak ingatkan kau ni. Minggu depan aku dah start cuti. Kau layanlah mamat cengcong tu puas-puas, ya. Selamat berjaya!” Pantas Mel bangkit. Kakinya di tala ke arah mesin fotostat yang terletak bersebelahan dengan mejanya.

Rika terkedu. Masaklah dia kali ni! Hai, kenapalah cengcong sangat Tuan Inspektor Arish Aqlan bin Afzan ni? Ikutkan sedikit sebanyak ketampanan jejaka itu berjaya merobek-robek tangkai hatinya. Kalau tak kerana perangai cengcong Arish itu, dah lama agaknya jejaka itu bersemayam indah dalam hatinya!

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.