Home Novel Komedi/Romantik Komedi CINTA SANG PENYAMAR HATI
BAB 11 : Majlis Lelongan Amal

BAB 11 : MAJLIS LELONGAN AMAL

Hiruk-pikuk di lobi hospital itu langsung tidak menjejaskan fokusku. Telefon bimbit tidak lepas dari genggaman tanganku sejak dari tadi. Gambar-gambar aku dan Tengku Aidil semasa di Taman Tema Genting Highlands tempohari menjadi santapan mataku. Gambarku di dalam bas sewaktu Tengku Aidil melabuhkan tangannya ke bahuku paling mengusik hati kecil itu. Masih terasa kehangatan tangannya sehingga kini walaupun sudah dua hari aku tidak ketemu dengannya. Ku akui sesungguhnya terasa pintu bahagia mula menyapa di dalam jiwa di saat aku bersama-sama dengannya. Jauh di sudut hati aku mula merindui kelibat jejaka itu; caranya merenungku, usikannya dan juga tabiatnya yang suka mencuit hidungku. Lamunan panjangku di kejutkan dengan deringan telefon bimbitku yang menjerit secara tiba-tiba. Tertera nama‘Tengku Aidil’ di skrin telefon. Macam tahu-tahu sahaja hati ini sedang merindu! Dengan perasaan girang segera ku tekan punat telefon bimbitku.

“Assalamualaikum Tengku. Ada apa hal-hal yang mustahak ke?”

“Waalaikumsalam. Tak ada apa-apa yg penting, cuma nak bagitahu yang I rindukan you. You pun rindukan I, kan?” Dush!! Macam tahu-tahu sahaja mamat ni.

“Eh, tolong sikit. Mana ada? Saya ni kan perempuan gangster, rindu-merindu ni tak ada tertulis dalam kamus hidup saya.”

“Oh..Gangsterlah sangat? Tak pandai merindulah kononnya? Habis tu kenapa dari tadi I tengok you asyik belek gambar-gambar kita masa kat Genting tempohari?” Hah?! Terkejut bukan kepalang bila aku mendengar kata-kata Tengku Aidil itu. Bingkas aku bangun dari kerusi. Rupa-rupanya Tengku Aidil sudah terpacul di sisiku! Bila masa pula dia sampai ke sini? Yang pasti dia tetap kelihatan kacak lagi tampan walaupun sekadar mengenakan kemeja dan berseluar jeans sahaja. Naluri kewanitaanku mula menjentik rasa. Wahai sang hati, tolonglah jangan menzalimi tuanmu sendiri!

Tengku Aidil menggamitku.“Dah, jom ikut I.”

“Ke mana?” soalku sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Good question. I dah bagi you cuti dua hari sebab you dah menjalankan tugas dengan cemerlang tempohari. Cuti sudah tamat. Hari ini jadi ada tugasan baru yang menanti you. Kita akan ke majlis lelongan amal bagi mengutip dana untuk mangsa-mangsa banjir. I yakin mesti you boleh menyesuaikan diri di sana nanti.” Gulp! Dia nak ajak aku ke Majlis lelongan amal? Biar betul? Oh, hampir terlupa pula, bagaimana aku hendak pergi ke majlis lelongan amal itu dengan hanya berpakaian kasual sebegini? Aku hanya mengenakan blouse fishtail labuh yang menutupi punggung digandingkan dengan seluar jeans.

“Tapi baju saya…”

Tengku Aidil segera mencelah.“Jangan risau Ira, I pun pakai kasual juga, lagipun ini bukannya majlis formal. Ini cuma majlis sosial biasa. You jangan risau, kali ini I akan pastikan Netty takkan kenakan you macam tempohari.” Risau? Rasanya Netty yang perlu rasa risau, bukannya aku!

Aku mengenyitkan mata.“Tengku jangan bimbang. Saya tak takut pun malah seronok dan tertunggu-tunggu apa pula rancangan terkini tunang Tengku nanti.”

Tengku Aidil mendengus.“Excuse me, Netty tu belum rasmi lagi jadi tunang I . Dah, jom kita pergi sekarang. Nanti terlepas pula acara lelong tu.” Tanpa banyak bicara aku pun terus mengikuti langkah Tengku Aidil. Perjalanan untuk misi seterusnya diteruskan…

Sebaik sahaja kami menjejakkan kaki di perkarangan hotel itu mata kami disajikan dengan pemandangan indah ruang legar lobi hotel yang sudah terhias rapi. Aroma wangian bunga-bungaan segar yang digunakan sebagai tema hiasan oleh pihak hotel memenuhi segenap ruangan hotel hinggakan aku terasa bagaikan berada di dalam taman larangan. Mataku pejamkan. Aku mendepangkan tangan sambil berpusing-pusing di bawah lampu chandelier. Oh, terasa bagai diriku ini seorang tuan puteri yang sedang bermain-main di dalam taman larangan.

“Ira! Apa yang you buat ni? Semua orang tengoklah.” Mataku segera terbuka. Rupa-rupanya gelagat aku sebentar tadi di perhatikan oleh staf-staf hotel dan juga para tetamu yang ada di lobi hotel itu. Malunya aku bukan kepalang!

“Berangan lagilah tu! Dah, masa untuk berangan dah tamat. Sekarang ni jom ikut I,” getus Tengku Aidil sambil melangkah dengan pantas menuju ke bahagian belakang hotel. Dengan segera aku membontoti langkah Tengku Aidil. Akhirnya kami tiba di sebuah taman kecil yang di hiasi indah dengan rona bunga-bungaan segar yang harum mewangi. Terdapat sebuah pentas kecil yang di penuhi dengan pelbagai barangan antik dan ku andaikan inilah agaknya barang-barang yang akan di lelong sebentar sahaja lagi. Tengku Aidil terus menuju ke meja bernombor 13 yg berada di tengah-tengah dan di situ kelihatan Netty, Tengku Ainun dan Tengku Maria sudah sedia menanti. Mereka bertiga terutamanya Netty kelihatan anggun dengan pakaian, beg tangan dan kasut yang sedondon. Tengku Aidil bersalaman dengan bondanya, kemudian dia memberi isyarat kepadaku supaya bersalaman dengan mereka. Mereka bertiga memandangku dengan sinis sambil tersenyum sumbing. Mesti mereka bertiga akan cuba untuk mengenakan aku sekali lagi jadi mulai sekarang aku harus berhati-hati! Tangan yang ku hulurkan sekadar di pandang sepi oleh mereka bertiga. Geramnya hati ini tidak terperi apabila diperlakukan sedemikian rupa namun aku tetap memaniskan muka. Ada ubi ada batas, ada kesempatan nanti boleh aku balas! Acara lelongan bermula dengan bidaan di buka untuk sebuah tembikar cina seramik yang nampak mahal dan eksklusif. Aku tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada acara yg sedang berlangsung. Apa tidaknya, betapa sakitnya hati dan peritnya mata tatkala memandang adegan Netty yang tergedik-gedik menggoda Tengku Aidil. Entah mengapa perasaan cemburu mula bersarang di dalam hati ini walaupun aku sedar perasaan sebegini tidak patut wujud dalam diriku. Telefon bimbit Tengku Aidil berdering tepat sekali pada waktunya! Kesempatan ini di ambil oleh Tengku Aidil untuk beredar dari situ. Secara tak langsung dia berjaya melepaskan diri dari cengkaman Netty namun aku pula yang terpinga-pinga keseorangan di sini. Sampai hati Tengku Aidil meninggalkan aku terkontang-kanting disini! Tengku Ainun, Tengku Maria dan Netty pula bertindak memulaukan aku. Jangankan sepatah kata-kata, memandang ke arahku pun mereka bertiga tidak betah! Aku mula gelisah, ku pusing ke kiri dan ke kanan namun Tengku Aidil tidak kelihatan di mana-mana. Mana pula mamat ni pergi? Akhirnya aku ternampak kelibat Tengku Aidil di belakang pentas sambil berbual-bual dengan ayahandanya. Ini merupakan peluang yang baik bagiku! Tanpa berlengah lagi aku terus berdiri dan melambai-lambai tanganku kepadanya.

“YA ITU DIA PENDERMA BARANGAN KITA YANG SETERUSNYA... DIPERSILAKAN CIK ADIK MANIS YANG BERADA DI MEJA NO 13 UNTUK TAMPIL KE PENTAS.DI PERSILAKAN!”

Tepukan gemuruh bergema di setiap ruang penjuru taman itu. Aku pula hanya terpaku di meja sehinggalah pengacara majlis memanggilku buat kali kedua. Kali ini ku gagahkan kaki melangkah ke atas pentas. Pengacara majlis itu mula membuka bicara.

“Siapa nama cik adik manis ni?”

Dengan sedikit gugup, aku menjawab,“Saya..hmm..nama saya Safira.”

“Baiklah Cik Safira, apakah barangan yang Cik Safira nak lelong pada hari ini?”

“Saya..sebenarnya saya…”

“Sebenarnya Cik Safira ni datang bersama saya dan hari ini dia akan menolong saya melelong seekor patung kuda yang di perbuat daripada batu jade yg bermutu tinggi.” Fuhh! Mujurlah Tengku Aidil muncul selaku hero penyelamat buatku.

“Patung kuda? Apa saya nak cakap ni Tengku?” bisikku ke telinga Tengku Aidil.

“Don’t worry. You buat macam selalu jurujual kat shopping complex tu promosikan barangan mereka sampai ia terjual. Mudah je, anggaplah ini suatu ujian untuk you.” Tengku Aidil menghulurkan mikrofon kepadaku. Ku capai mikrofon itu dengan hati yang gementar, ku hela nafas yang panjang, kemudian aku mula berbicara.

“Assalamualaikum dan selamat petang saya ucapkan kepada semua para hadirin yg dihormati sekalian. Sebenarnya saya tak tahu nak cakap apa dengan kalian semua.” Para tetamu mula berpandangan dan berbisik-bisik di antara mereka. Di meja no 13, jelas kelihatan Tengku Ainun, Tengku Maria dan Netty sedang galak mentertawakan aku. Tidak! Aku tidak akan membiarkan mereka mentertawakan aku lagi! Serta-merta semangatku yang mula luntur menjelma semula.

“Saya cuma ada satu benda sahaja yg nak saya katakan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. Tentu tuan-tuan dan puan-puan biasa melihat hiasan patung kuda yang diperbuat dari kayu, bukan? Kali ini saya bawakan patung kuda yang unik lagi eksklusif. Inilah dia patung kuda yg diperbuat dari jade. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, ini bukan sebarangan jade. Patung ini diperbuat dari jade yang bermutu tinggi dan di import khas dari negara China.”

Tengku Aidil membisikkan sesuatu ke telingaku.“Jangan lebih-lebih pula you ni, sikit-sikit dah lah.” Aku hanya tersengih mendengar kata-kata Tengku Aidil itu.

“Jadi sekarang saya nak minta tuan pengerusi majlis untuk mulakan bidaan. Mengikut calendar Cina tahun ini merupakan tahun kuda jadi amatlah berbaloi untuk memiliki patung kuda jade ini. Ada siapa yg berminat? Siapa cepat dia dapat, rugilah tuan-tuan dan puan-puan kalau tak dapat memiliki barang yg unik lagi eksklusif ini.”. Tidak ku duga, patung kuda jade itu mendapat sambutan yang begitu hangat. Berpusu-pusu orang membida harganya hinggalah akhirnya ia jatuh ke tangan Tan Sri Lim Ah Weng, seorang tokoh konglomerat yang terkenal dan disanjungi ramai.

Desiran lembut yang bergema di corong telinga ini membuatkan aku terawang-rawangan sebentar.“Tahniah, Ira. Sekali lagi you lulus untuk ujian ini.” Jelingan tajam Tengku Ainun, Tengku Maria dan Netty langsung tidak berbekas di hati ini. Yang paling penting sekali adalah untuk pusingan ini aku menang lagi!

Semua hadirin dijemput untuk menjamu selera di ruangan makan yang sudah disediakan. Makanan yang terhidang nampak menarik lagi mengiurkan. Serta-merta perutku berkeroncong rancak. Hajat di hati ingin sekali mengajak Tengku Aidil menjamu selera bersama-sama namun apakan daya dia pula sedang sibuk berbual-bual dengan ayahandanya. Nampaknya kelaparanlah aku dibuatnya jikalau aku terus-menerus berharap kepadanya. Aku menebalkan muka. Dengan selamba aku menuju ke meja buffet. Tanpa ku sedari, ada sepasang mata asyik merenungku sejak dari tadi.

“Dari manalah agaknya Tengku Aidil berjumpa dengan bidadari dunia macam you ni? Dahlah cantik, serba boleh pula tu. Menyanyi boleh, mengacara pun boleh, sampai I tertanya-tanya pula, apa agaknya perkara yang you tak boleh buat?” Tengku Amir rupanya!! Dia sengaja merapatkan dirinya denganku. Dengan lirikan mata yang menggoda, tidak sukar bagiku untuk menebak bahawa dia sedang cuba untuk mencairkan naluri kewanitaanku. Nampaknya kau dah salah orang, Tengku Amir. Aku bukannya perempuan murahan yang bisa di goda oleh sebarangan lelaki!

“Safira…or boleh tak I panggil you Ira je? Janganlah takut dengan I. I janji takkan mengapa-apakan you. Sebenarnya sejak pertama kali kita bertentangan mata, I memang kagum dengan gadis macam you ni. Berani, berdikari, tabah namun dalam masa yang sama masih kekal cantik menawan. Terus-terang I katakan, inilah pertama kali I berjumpa dengan gadis macam you. Memang lain daripada yg lain.” Pujian Tengku Amir itu bagaikan angin bayu yang bertiup lalu sahaja bagiku. Aku langsung tidak termakan dengan kata-kata pujian yang di lemparkan terhadapku. Entah mengapa kuat firasatku mengatakan yang kata-kata Tengku Amir itu hanya sekadar ingin memancing perhatianku sahaja dan bukanlah ikhlas datang dari dalam sanubarinya. Tengku Aidil terkesan seketika apabila dia terpandang ke arahku dan sepupunya. Riak kurang senang jelas sekali terpancar di wajahnya.

“Tapi jangan ingat I tak tahu siapa diri you yang sebenarnya. I bukannya bodoh!” Tersentak aku seketika. Nah, belang sebenar Tengku Amir sudah mula terserlah. Aku mula berasa gusar. Dadaku mula berdegup kencang. Adakah rancangan kami sudah mula di hidu olehnya?

“You ni mesti student kan, terdesak, tak cukup duit untuk membayar yuran pengajian jadi bila Tengku Aidil muncul dalam hidup you, tentu sekali you tak akan lepaskan peluang ini untuk mengikis duit dia kan?” Aku berasa lega. Nyata sekali Tengku Amir tidak tahu-menahu tentang rancangan di antara aku dan Tengku Aidil. Tidak kisahlah jika dia nak melabel aku sebagai perempuan pisau cukur atau apa sekalipun, janji rancangan aku dan Tengku Aidil masih tersimpan utuh.

“Sekarang ni you bagitahu I, berapa banyak duit Tengku Aidil yang dah di laburkan untuk you? Untuk gadis secantik you, I boleh beri lebih lagi dari apa yang you dah dapat dari Tengku Aidil.” Amboi! Lancangnya mulut! Apa dia ingat aku ini barang dagangan yang bisa di jual beli dengan wang ringgit semata-mata? Memang dasar anak orang kaya yang tak sedar diri! Sengaja ku renung dalam-dalam matanya yang bundar kecoklatan itu sehingga tidak tentu hala dia dibuatnya.

“Untuk pengetahuan Tengku Amir yang saya hormati, saya sedia menerima tawaran itu tapi dengan satu syarat. Saya nak amaun yang sama seperti yang saya dapat selama ini dari Tengku Aidil tapi nilainya mestilah sepuluh kali ganda dari yang saya perolehi sekarang, boleh tak? Setakat ini saya dah dapat sebiji kereta BWW 3 series, wang tunai sebanyak RM 500,000 dan sebuah servis apartment bernilai RM 1.2. Sanggupkah Tengku Amir beri saya nilai sepuluh kali ganda dari kesemua harta benda yang saya dah miliki setakat ini?” Terbeliak biji mata Tengku Amir. Tanpa berkata apa-apa aku terus berjalan meninggalkan dia keseorangan dalam keadaan terpinga-pinga. Pasti dia menyangkakan yang aku ini memang perempuan simpanan Tengku Aidil! Padan muka! Puas hati aku bila dapat mengenakan jejaka kaya yang berlagak seperti Tengku Amir itu. Tanpa ku duga Tengku Aidil datang menghampiriku dari belakang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.