Home Novel Komedi/Romantik Komedi CIK BRUTAL ENCIK SENTAP
CIK BRUTAL ENCIK SENTAP
Julia Basri hassan basri
23/12/2016 09:08:10
56,266
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab BAB 17
BAB 17

“Dalam banyak-banyak pasar malam kat Malaysia ni, takde tempat lain ke kau boleh pergi hah, Encik Sentap? Menyemak ajelah kat sini!” selar Lili, selamba.

Berasap telinga Qaliff mendengarnya. “Encik Sentap kau panggil aku? Hei! Suka hati akulah nak pergi mana pun. Dah, sekarang ni jangan banyak cakap. Bayar balik gantirugi kereta aku yang kau dah jahanamkan tu,” herdiknya.

Lili sekadar pamer wajah selamba. “Eleh, setakat calar-balar tu, biasalah! Kira aku tambah aksesori barulah kat kereta kau tu. Ok apa.”

Qaliff ketap bibir kuat-kuat. Cik Brutal ni sengaja mencabar kesabaran nampaknya! “Banyaklah kau punya aksesori! Aku nak kau bayar ganti rugi sekarang jugak! Paling kurang, aku nak lima ratus ringgit Malaysia!” tegasnya.

Lili buat tak reti. Kata-kata Qaliff sekadar larut di corong telinga. Tangannya sudah mula membuka kain pelapik meja. Dilipatnya kemas-kemas dan dimasukkannya ke dalam kotak plastik yang diangkutnya tadi.

Bertambah panas hati Qaliff melihatnya. “Afsal kau buat bodoh aje, hah? Aku tengah cakap dengan kau ni. Bayarlah cepat gantirugi aku. Lagi cepat kau bayar, lagi cepat aku belah dari sini. Ke kau nak aku panggil polis?” ugutnya lagi.

Errkk?! Trauma sekejap Lili. Laju dia membalas. “Isyy kau ni. Sikit-sikit polis. Takkanlah hal kecil macam ni pun kau nak menyusahkan pihak polis kot? Macam nilah. Aku takde duit lagi sekarang. Kau bagi aku masa sikit. Nanti aku dah ada duit, aku bayarlah ganti rugi kau. Amacam?”

Qaliff mengurut-ngurut dagu licinnya. “Hmm…memandangkan aku ni bukanlah manusia jenis kejam, aku boleh bagi masa kat kau. Tapi kau kena bagi satu barang kau yang paling berharga kat aku sebagai cagaran. Amacam? Ada bran?” sinis dia membalas.

Buntang kejap mata Lili. Barang dia yang paling berharga? Biar betul Encik Sentap ni! “Hei! Cakap tu elok-elok sikit, ya. Lelaki jenis apa kau ni, hah? Suka-suki aje minta kehormatan wanita lain. Mintak terang-terang pula tu. Sangap ke apa kau ni?”

Tanpa diduga, Qaliff ketawa terbahak-bahak. Cukup kuat sehinggakan berpasang-pasang mula mencuri tumpuan pada mereka.

Lili mendengus kasar. “Kau ni dah kenapa? Aku cakap serius, kau boleh gelak pulak. Kau ingat aku main-main ke apa?” selarnya.

“Tak...tak...aku cuma geli hati. Boleh tahan berkarat juga otak kau rupa-rupanya, kan? Hei, kau ingat aku hadap sangat ke perempuan macam kau ni? Eh, kejap. Kau ni perempuan ke? Oh, lupa lak. Kau ni perempuan yang tak berapa nak perempuan. Kiranya kau ni macam spesis jantan jadianlah,” kutuk Qaliff lagi bertubi-tubi sambil menahan tawa.

Lili ketap. Geram, bengang semuanya dah berselirat. Tapi hati yang membuak-buak sedaya-upaya dipekup rapat-rapat dalam dada.

“Sekurang-kurangnya aku ni bukan spesis perempuan plastik. Propa. Bermuka-muka. Perempuan yang terhegeh-hegeh menagih kasih kaum lelaki,” gerutunya dengan nada tertahan-tahan.

“Hah, yang tu aku setuju. Kau memang perempuan paling brutal yang pernah aku jumpa. Tak tergedik-gedik. Selamba badak. Eh, dahlah. Dengan aku, aku sekali melalut. Sekarang ni kau dengar sini baik-baik. Aku nak kau serahkan barang kau yang paling berharga. Handphone kau ke, barang kemas ke, tulah maksud aku. Biar aku pegang dulu. Kira macam cagaranlah. Bila kau dah bayar gantirugi kereta aku nanti, baru aku pulangkan balik. Amacam, boleh tak?”

Terkedu sekejap Lili. Takkanlah dia nak bagi handphone dia pulak kat Encik Sentap ni? Dahlah itu satu-satunya harta yang dia ada. Barang kemas? Jangan cakaplah. Sebentuk cincin pun tak ada. Apatah lagi gelang ataupun rantai emas. Tiba-tiba Lili teringat pada i-Pod nano milik Ron yang sudah hampir lunyai dalam poket seluar. Ya…dia sudah tahu apa yang patut diberikan pada Encik Sentap ni!

Laju tangannya menyeluk poket. Selamba disuakan i-Pod nano itu pada Qalif. “Err…terus-terang cakaplah, ya. Barang kemas seurat pun aku takde. Handphone pulak aku nak guna. Jadi nilah satu-satunya aset yang aku ada.”

Qaliff telan liur. Aduh…gajet buruk ni aje ke yang Cik Brutal ni ada? Sabar ajelah! Dia takde pilihan. Nak tak nak dia terpaksalah terima seadanya.

i-Pod nano itu terus diregut kasar. “Setakat i-Pod nano kau ni, taraf campak ke sungai aje, tau tak? Lain kali kalau dah takde duit, buatlah cara takde duit. Jangan sesuka hati nak jahanamkan harta benda orang,” bebel Qaliff bertubi-tubi.

Bernanah kejap telinga Lili. Namun dia tak mampu nak nafikan. Memang betul kata-kata Encik Sentap tu. Salah dia sendiri. Sudahnya dia hanya mampu menyeringai.

“Yalah...yalah…kau tak payahlah buat tazkirah percuma kat sini. Aku tahu aku salah. Tapi terima kasihlah ya sebab kau sanggup bagi tempoh kat aku. Baik juga hati kau ni, kan?” sempat lagi Lili titipkan kata-kata pujian buat Qaliff. Untung-untung lembut hati Encik Sentap ni. Tak payahlah dia nak bayar gantirugi kereta yang dah tercalar-balar tu.

Sekali lagi Qaliff lempar aset dia yang paling mahal. Senyuman semanis madu dia. Aduh…hati Lili dah mula senget-benget. Kenapalah manis sangat senyuman tu? Larut sekejap Lili dalam renungan yang tidak berpenghujung.

“Tak payah nak renung lama-lama sangat. Tembus pula kulit muka aku nanti. Tahulah muka aku hensem. Tapi tak payahlah galak sangat.”

Dush! Sebijik lagi kena atas muka Lili. Kali ni senyuman Qaliff dah tukar ke sengihan sinis.

Merah padam muka Lili. “Eh, perasan pulak dia ni! Bila masa pula kita tengok dia,” laju dia selindung kesilapan sendiri.

Qaliff sekadar mencemik. “Kalau kau renung aku sampai tembus sekalipun, pendirian aku tetap sama. Apa-apapun kau tetap kena bayar gantirugi kat aku, ada faham?” sempat lagi dia mengugut.

Lili mengeluh. “Cekik darah betullah Encik Sentap ni. Tak boleh tolak ansur langsung,” rungutnya perlahan. Namun sempat lagi tertangkap ke pendengaran Qaliff.

“Apa kau cakap?” tebak Qaliff.

Pantas Lili membalas. “Err…takde papelah. So sekarang ni perjanjian kita on, ya? Bila aku dah ada duit nanti, aku bayar balik kat kau. Eh, kau jaga elok-elok harta aku tu. Tulah satu-satunya harta dunia yang aku paling sayang,” titipnya, sungguh-sungguh. Dalam hati dah terbayang wajah ketat Ron. Kalaulah Ron tahu dia dah cagarkan i-Pod Nano tu pada Qaliff, mahu naik angin putting beliung Ron nanti.

Tergeleng-geleng kepala Qaliff. “Ish, taulah aku. Tak payah nak pesan bagai pulak. Susah-susah sangat, aku jual aje kat tempat besi buruk. Tapi, sepuluh sen pun belum tentu laku rasanya,” omelnya, sinis. Sengaja dia mahu menyakiti hati Lili. Geramnya pada gadis ini belum luput sepenuhnya.

Senyap. Hanya jemari Lili yang masih rancak mengemas. Kali ini dia malas nak berbalas kata. Angka yang sudah menginjak hampir ke pukul sepuluh malam ditambah pula keadaan yang makin lengang di sekitar pasar malam tersebut tidak memungkinkan Lili untuk terus berlama-lama di situ. Selesai saja mengemas terus sahaja dia mengangkut barangannya ke kereta.

Qaliff ditinggalkannya terpinga-pinga.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.