Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi GADIS JOLOBU
GADIS JOLOBU
Julia Basri hassan basri
3/3/2014 10:50:35
4,896
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Ughang luar salah tafsir koba gadih kito bahayo,

Lopeh coghai semuo ghoto jadi milik dio,

Jangan salah anggap,napo lobihkan pompuan,

Sobab laki boleh hidup kalau campak dalam hutan,

Zaman dah boghubah, adat ditolan zaman,

Dah takdo mewaghisi coghito bertauladan,

Apotah laie, mengaku ughang nogori,

Bilo tanyo suku mano nak jawab pun tak ghoti”

Jazmee tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Lirik lagu ‘Gadis Jolobu’ dendangan Dato’ Hattan dan Waris yang datang dari corong radio menerpa ke gegendang telinganya. Walaupun sebahagian besar dari lirik itu tidak terjangkau dek akalnya namun melodinya yang rancak cepat sekali menangkap hatinya. Serta-merta ugutan keras ibunya segera berlegar-legar di ruangan mindanya.

“Ikut, ikut juga tapi jangan sampai tersangkut pula.”

Jazmee menyerigai. “Tersangkut apa pula ni mak? Saya tak fahamlah.”

Ibunya mendengus kasar. “Kau jangan nak buat tak tahu pula! Maksud mak, kau ikut abang Ujang tu buat kerja, betul-betul buat kerja, tahu? Jangan hati kau nak melarat-larat pula. Aku tak sanggup nak bermenantukan perempuan Negeri Sembilan. Nanti kalau korang bercerai-berai, habis harta kita semua di sapunya.”

Jazmee membentak. “ Mak ni kelakar betullah! Bila masa pula saya nak kahwin ni? Sekarang ni fokus saya adalah nak cari duit sendiri. Saya tak mahu harapkan duit ayah. Saya nak buktikan yang saya boleh berdikari.”

Ibu Jazmee mengeluh. “Jazmee..Jazmee..Sama saja degilnya kau ni dengan ayah kau tu. Apa salahnya kalau kau bekerja sahaja di syarikat ayah? Sekurang-kurangnya dapat juga kau kumpul duit untuk kenduri kahwin kau nanti.”

Jazmee mengerling nakal. “Hai, mak nak sangat saya kahwin cepat ke? Kebetulan pula minggu depan saya dan abang Ujang ada projek kat Jelebu. Kalau macam tu saya suruh abang Ujang rekemenkan gadis Jolobu yang lawa-lawa untuk saya.”

“Kau jangan nak naikkan darah mak, Jazmee! Aku sepuk budak ni karang baru tahu!!”

Bunyi hon yang bertalu-talu segera mematikan lamunan Jazmee. Rupa-rupanya lampu isyarat sudah bertukar ke warna hijau.

“Apo yang ekau tersongih-songih tu? Borangan ko? Copek bawak van ni ha, dah lamo Pak Jali menunggu kito kek umah tu.” Dengan segera Jazmee segera menekan pedal minyak. Dengan tersengguk-sengguk van buruk yang kian dimamah usang itu pun bergerak. Tidak sabar rasanya Jazmee ingin menyudahkan kerja-kerja pembinaan pagar batu di rumah Pak Jali. Lebih cepat kerja selesai maka lebih cepatlah duit Pak Jali akan mengalir masuk ke dalam poket abang Ujang. Jazmee sudah berkira-kira upah yang akan diterimanya hasil dari projek ini. Sudah pasti RM 300 ke RM 400 sudah berada di dalam tangan! Girangnya hati Jazmee tidak terkira. Tidak lama selepas itu mereka berdua tiba di perkarangan rumah Pak Jali.

“Jomput, jomput masuk. Kobotolan kami tongah minum pagi. Milah, bawak cawan lagi duo ke mari.” Dengan malu-malu Jazmee dan abang Ujang melangkah masuk ke dalam rumah Pak Jali. Tidak sampai hati pula mereka berdua menolak ajakan Pak Jali. Lagipun kebetulan mereka berdua belum menjamah apa-apa lagi pagi ini. Bagaikan orang mengantuk di sorongkan bantal!

“Abah, ni cawannyo. Jomputlah minum abang-abang semuo.” Degupan jantung Jazmee terhenti seketika. Seumur hidupnya tidak pernah lagi dia ketemu dengan gadis secantik ini. Rambut hitam panjang mengurai, alis mata indah terpalit, kulit putih kuning dan tambah berseri lagi sepasang lesung pipit yang menghiasi pipi mulusnya. Bagaikan sang puteri kayangan turun mencemar duli ke bumi!

“Apo kono tongango-ngango mulut masing-masing tu? Ekau boduo ni tak ponah tengok pompuan ko?” Mereka berdua meneguk air liur. Setebal-tebal kulit buaya tebal lagi rasanya muka mereka berdua!

Abang Ujang berbasa-basi. “Maafkan kami boduo, Pak Jali. Sayo ni bukannyo apo, tokojut jo tengok tibo-tibo ado porompuan dalam rumah ni hah.”

Pak Jali tersenyum lebar. “Yolah, lopeh Mak Jenab kau moninggal dunio, memanglah aku duduk sini sorang jo pasal anak aku si Milah tu duduk kek asrama. Sokarang ni peperiksaan SPM kan dah habis, jadi Milah ni jadi ponoman aku somontaro menunggu keputusan SPM tu nanti.” Ya! Ini satu peluang yang baik buat Jazmee. Hari-hari yang mendatang dirasakan bakal memberi sinar baru di dalam hidupnya.

“Yang ini siapo pulo? Tak ponah den nampak mukonyo di sini. Adik ekau ko, Ujang?” Kata-kata itu sudah tidak berupaya menembusi gegendang telinga Jazmee. Matanya asyik merenung ke arah pintu dapur dengan asyik sekali. Dari celahan birai langsir cepat sekali Jazmee menangkap sekujur tubuh langsing yang sedang bersembunyi di belakangnya. Ikutkan hati mahu sahaja dia menerkam namun cepat-cepat hatinya yang semakin bergelora itu di cempungnya.

“Bukan adik den. Dio ni jiran den. Abahnyo orang Kualo Pilah, omaknyo orang Perak tapi dio sekeluargo dah lamo duduk kek Soromban. Dio ni baru habis mengaji kek universiti, jadi sambil tunggu panggilan kojo, sajo jo den bawak dio. Dapek jugo dio cari duit lobih.” Terpancar riak kagum di wajah Pak Jali.

“Bagus! Jarang nak jumpo budak mudo macam ekau ni yang rajin bokojo walaupun sotakat kojo kampong jo. Solalunyo budak-budak lopasan universiti ni momilih kojo. Pakcik banggo dongan anak mudo macam ekau ni.” Jazmee menyerigai. Di hatinya terbetik rasa girang. Nampaknya peluang Jazmee semakin cerah untuk mendekati Milah.

Abang Ujang mendengus. “Ekau tak payah suko sangat. Jangan bomimpilah nak jadi monantu Pak Jali. Sokarang ni jom kito buek kojo dulu.” Bisikan di telinga Jazmee itu segera mengundangnya ke alam nyata semula. Saki-baki kopi di dalam cawan segera di habiskan. Sebelum melangkah turun sempat lagi Jazmee mengerling ke arah dapur. Berderau darah jantannya apabila melihat Milah melemparkan sekuntum senyuman yang paling manis. Lesung pipit yang terserlah di sebalik senyuman itu terus mengikat hati Jazmee. Kali ini dia nekad, walau apa pun yang terjadi, Milah tetap akan dimilikinya! Hasrat itu dilemparkan dengan beraninya malam itu semasa mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam dengan penuh berselera.

“Mak, kalau saya nak tanya sesuatu, mak marah tak?”

Ibunya mengerling tajam. “Ada-ada sajalah kau ni, Jazmee. Terbantut selera mak jadinya.”

Jazmee tersengih-sengih. Hatinya membuak-buak namun mulutnya terasa seperti ada ketulan-ketulan emas. Akhirnya dia memberanikan diri. “Mak, kenapa mak tak berkenan sungguh dengan perempuan Negeri Sembilan ni ya? Ayah kan berasal dari Negeri Sembilan. Apa salahnya kalau mak dapat menantu orang Negeri Sembilan?”

Terbeliak biji mata ibunya. “Kau ni dah kenapa, Jazmee? Mengigau ke apa? Kan dah banyak kali mak cakap, bahaya perempuan Negeri Sembilan ni. Kalau kau kahwin dengan mereka, tiba-tiba bercerai nanti, semua harta benda kau akan jatuh ke tangan dia.”

Jazmee mencelah. “Itu kalau bercerailah kan. Kalau tak bercerai, tak adalah jadi apa-apa, kan?”

Ibunya menyinga. “Kau ni sengaja nak sakitkan hati mak, kan? Kau dengar sini baik-baik Jazmee! Kalau kau berani bawa balik perempuan Negeri Sembilan ke rumah ni, mak takkan terima dia sampai bila-bila, faham tak?” Terkedu seketika Jazmee. Kata-kata ibunya itu merentap jiwanya. Dia sendiri tidak tahu bagaimanakah dia bisa menjinakkan amarah ibunya itu. Nampaknya peluang untuk memiliki Milah semakin tipis...

^^^^^^^^^^

“Kenapa abang diam je dari tadi? Abang tak suka ke Milah temankan abang kat sini?” Jazmee hanya membisu. Fikirannya benar-benar buntu. Angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dari celahan pokok mangga yang merimbun itu tidak berjaya meredakan keresahan hatinya.

“Milah, terus-terang abang katakan, Milahlah gadis pertama yang berjaya menambat hati abang. Tapi maafkan abang, Milah. Abang tak berdaya. Mak abang melarang keras perhubungan kita ini. Abang tak mampu lakukan apa-apa.” Bola mata Milah berkaca-kaca. Tidak disangkanya Jazmee pengecut sebegitu. Walaupun baru beberapa hari dia mengenali Jazmee namun rasa kasih dan sayangnya terhadap pemuda itu sudah mula melaut. Belum sempat lagi cinta ini berputik tiba-tiba Jazmee ingin mencantasnya.

Milah merintih sedih. “Sampai hati abang Jazmee buat Milah macam ni. Milah sanggup menerima segala baik dan buruk abang tapi abang pula langsung tidak sanggup untuk mempertahankan cinta kita. Milah kecewa, bang! Milah kecewa!” Milah segera berlari masuk ke dalam rumah dengan linangan air mata. Jazmee hanya merenung jejak kaki Milah dengan perasaan yang sayu. Abang Ujang yang sedang bertungkus-lumus membancuh simen tidak jauh dari situ terganggu seketika dengan siaran cerekerama yang sedang bersiaran secara langsung di hadapan matanya.

“Konapo dongan si Milah tu, Jazmee. Apo yang ekau dah buek dongan dio?”

Jazmee mengeluh. “Entahlah, abang Ujang. Mungkin saya yang bersalah di dalam hal ini. Sebenarnya saya memang sukakan Milah tu tapi abang Ujang faham-faham jelah dengan mak saya. Tak mungkin dia akan merestui perhubungan kami berdua.”

Berkerut seketika dahi abang Ujang. “Ekau pun satu. Yang ekau bagi harapan kek Milah tu buek apo? Tak baik ekau hancurkan hati dio. Rugilah ekau. Si Milah tu dahlah cantik, pandai pulo tu. Kalau ekau tolak dio, tak mustahil esok luso berpuloh-puloh lolaki yang sanggup datang borator untuk dapekkan dio.” Jazmee terkesima seketika. Ada benarnya kata-kata abang Ujang itu. Namun di saat ini apakah yang mampu di lakukan olehnya?

“Saya benar-benar cintakan Milah, bang. Cuma buat waktu ni saya tak boleh nak beri sebarang harapan padanya. Saya akan cuba cari jalan supaya mak saya dapat menerima kehadiran Milah. Semua ini memerlukan masa. Harap-harap Milah setia menunggu saya.”

Abang Ujang mencebik. “Takdo maknonyo. Takkanlah si Milah tu menunggu ekau sampai dio dah tuo kerepot? Abang raso ekau lupokan jolah si Milah tu. Omak ekau takdonyo nak boralah dalam hal ni.”

Jazmee terduduk. Lemah segala sendinya apabila mendengarkan kata-kata berbisa yang keluar dari mulut abang Ujang itu. Namun dia harus akui yang kata-kata itu memang benar belaka. Jazmee buntu seketika. Siapakah yang harus diutamakannya? Ibunya atau Milah?

^^^^^^^^^^^

Sudah tiga minggu berlalu sejak pertemuan terakhir di antara Jazmee dan Milah. Rencah hidup Jazmee seakan-akan hilang serinya. Tiada lagi gelak tawa rianya. Hatinya terasa kosong dan sepi. Jiwanya pula seakan-akan mati. Barulah Jazmee faham betapa sakitnya si pungguk yang merindukan sang purnama yang jauh di atas awan. Hatinya sudah tidak tahan lagi.

“Milah!! Aku tak boleh hidup tanpamu! Lautan api dan onak duri sanggup ku hadapi hanya keranamu, Milah!”

“Apa yang kau terjerit-jerit tengahari buta ni, Jazmee? Buang tabiat ke?” Jazmee tersentak. Bayangan Milah segera hancur berderai. Bayangan ibunya yang sudah cantik berhias menerpa di ruangan matanya. Jazmee kehairanan. Ke mana pula ibunya mahu pergi dengan berpakaian cantik sebegini?

“Mak ni berpakaian lawa macam ni kenapa pula? Entah-entah mak yang buang tabiat tak?”

Menyinga seketika ibu Jazmee. “Bertuah punya anak! Kita pula dikatakannya buang tabiat. Hantarkan mak ke rumah makcik Esah sekarang!”

Jazmee terpinga-pinga. “Rumah makcik Esah? Ada apa kat rumah makcik Esah tu? Ada kenduri ke?”

Ibu Jazmee menggeleng-gelengkan kepalanya. “Jazmee..Jazmee…hari ini kan majlis pertunangan Ujang akan berlangsung. Dah, jangan banyak cakap! Hantar mak sekarang!” Aik?! Jazmee bingung seketika. Setahunya abang Ujang memang tidak pernah mempunyai teman wanita. Jadi dengan siapa pula abang Ujang akan ditunangkan?

Ibu Jazmee bertempik. “Cepatlah Jazmee! Takkan majlis dah habis baru kita nak sampai sana?” Jazmee bingkas bangun. Kunci kereta yang tergantung terus di sambarnya. Sejurus selepas itu myvi berwarna merah hati itu mula bergerak menuju ke rumah makcik Esah. Sepanjang perjalanan fikiran Jazmee melayang-layang. Sungguh dia tidak menduga akhirnya jodoh abang Ujang tiba juga. Sejak putus tunang dengan Jenab lapan tahun yang lalu, pintu hati abang Ujang bagaikan terkatup rapat. Puas ibunya cuba mengenenkannya dengan anak-anak dara dari serata ceruk kampung namun semuanya ditolak mentah-mentah oleh abang Ujang. Dia lebih rela membujang kerana hatinya masih melekap kuat buat Jenab. Kelukaan akibat dipinggirkan oleh Jenab langsung tidak menjadi kudis buat abang Ujang. Jenab tetap di puja dan didambakan sentiasa. Sehinggalah detik Jenab di satukan dengan Malik, anak Datuk Luak Undang Jelebu barulah abang Ujang dapat menerima hakikat yang sesungguhnya tiada jodoh di antaranya dengan Jenab. Sejak dari saat itu pintu hati abang Ujang tertutup rapat buat gadis-gadis lain. Entah mengapa hati Jazmee berdetak-detuk secara tiba-tiba. Dia seakan-akan tidak sabar untuk melihat wajah si gadis bertuah yang berjaya meranapkan tembok hati abang Ujang. Pedal minyak semakin padat dihenyak. Kelajuan kereta comel itu serta-merta bertambah.

Ibu Jazmee memekik. “Jazmee! Dah kenapa dengan kau ni? Kita nak pergi kenduri pertunangan, jangan sampai orang lain pula terpaksa menghadiri kenduri arwah kita nanti!” Jazmee hanya menyerigai. Lucu pula dia apabila melihat wajah pucat ibunya. Jikalau ditoreh dengan pisau pasti setitis darah pun tidak akan merembes keluar. Akhirnya pintu pagar rumah mak Esah mula kelihatan dari kejauhan. Hati Jazmee bagaikan di garu-garu. Entah mengapa tiba-tiba hatinya sayu. Wajah Milah segera menerpa di fikiran. Kalaulah ibunya sanggup menerima Milah seadanya sudah pasti di saat ini mereka berdua juga dapat menikmati keindahan gerbang pertunangan sepertimana abang Ujang dan pasangannya. Kali ini Jazmee tidak mahu berbolak-balik lagi. Selesai sahaja majlis pertunangan ini dia akan memujuk ibunya agar bertamu ke rumah Milah secepat mungkin. Jazmee sudah tidak peduli. Hatinya dah kemaruk nak berbini!

“Jomput masuk Timah. Eh, ekau dan Jazmee berduo je? Johari mana?”

Ibu Jazmee menarik muncung sedepa. “Tak payahlah kau tanya si Johari tu, Tijah. Macam kau tak tahu laki aku tu mana boleh tinggalkan pejabatnya walau satu hari. Aku dengan Jazmee pun dah cukup untuk menyerikan majlis ni. Mana anak kau Ujang?”

Tijah menjuihkan bibirnya. “Dio ado kek bawah tadi. Kojap lagi sampailah rombongan pihak porompuan. Bakal tunang si Ujang tu anak yatim. Kosian den tengok. Omaknyo dah moninggal. Cadangnya buek kek sini jo majlis tunang tu, sonang sikit.” Ibu Jazmee mengangguk-anggukkan kepalanya. Terjawab segala persoalan. Bingung juga dia memikirkan tadi kerana kebiasaannya majlis pertunangan akan dilangsungkan di rumah perempuan. Jazmee menjulur-julur lehernya. Dia cuba mencari kelibat abang Ujang namun tidak kelihatan di mana-mana. Tiba-tiba terasa bahunya dicuit dari belakang.

“Jazmee! Abang..abang...” Abang Ujang merenung Jazmee dengan wajah serba-salah. Hatinya walang apabila melihatkan kelibat Jazmee di majlis pertunangannya.

Jazmee terus merangkul tubuh abang Ujang. “Tahniah, abang Ujang. Akhirnya abang Ujang berjaya juga bertemu dengan gadis yang berjaya membuka pintu hati abang.”

Ada getaran pada tubuh itu. Rangkulan erat segera terungkai. Jazmee terpana seketika apabila bebola mata abang Ujang bergenangan dengan air mata.

Jazmee panik. “Kenapa ni, abang Ujang? Kata-kata saya melukakan hati abang Ujang ke?”

Abang Ujang terkelu. Otaknya mendesak namun bibirnya berat sekali mengungkapkan. “Jazmee, abang..abang nak minto maaf dengan ekau. Abang harap ekau tak kocil hati dongan abang. Anggap jolah somuo ni dah tortulis dalam suratan jodoh abang.” Perbualan mereka terputus tiba-tiba apabila terdengar teriakan yang kuat dari bawah.

“Pihak perempuan dah sampai!” Hati Jazmee berkobar-kobar. Tidak sabar rasanya dia nak menatap wajah gadis yang berjaya menawan hati abang Ujang. Dengan pantas dia berlari menuju ke muka pintu. Sepasang kurung moden chiffon berwarna putih yang membaluti tubuh langsing seorang gadis jelita membuatkan degupan jantungnya terhenti tiba-tiba.

“TAK MUNGKIN!!! MILAH!!!” Itulah kata-kata terakhir yang terpacul keluar dari bibir Jazmee sebelum tubuhnya rebah menyembah bumi. Gadis Jolobu idamannya sudah di kebas orang!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.