Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
232,544
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 10
BAB 10
“Kau ni Lili, tak baik cakap macam tu dengan TJ. Betul lah tu dia terdengar diorang bersembang tempohari. Hai, apalah nasib aku ni. Apa salah dan silap aku sampai Rizal buat aku macam ni?” rintih Mel sayu.

“Mel, teman sekeluarga nak minta maaf banyak-banyak dengan mike. Teman tahu kalau teman hulurkan seribu kemaafan sekalipun belum tentu dapat menutup luka dalam hati mike tu. Teman sendiri tak sangka anak teman akan buat lagu ni. Teman benar-benar kesal.”

Mel terkedu. Santun dan sopannya kata-kata Mak Cik Senah menjerut kemarahannya yang membuak-buak tadi. Tak sampai pula hatinya menyumpah seranah bakal mak mertua tak jadinya ini walaupun sejak dari rumah tadi dah berangkap-rangkap ayat tersusun padat dalam mindanya. Hanya menunggu masa nak di hamburkannya sahaja.

Sudahnya Mel mundur ke belakang. Tanpa sekelumit pun kata kakinya sudah di tala laju meninggalkan halaman rumah Mak Cik Senah. Terkedek-kedek TJ dan Lili membontotinya dari belakang.

“Mel! Tunggulah, Mel. Kau nak pergi mana ni?” soal Lili sedikit termengah-mengah. Namun tiada sebarang petanda yang Mel akan memperlahankan kelajuan langkahnya. Lili mempercepatkan langkahnya. Kali ini dua kali ganda lajunya dari Mel sehinggalah dia berjaya memintas teman baiknya itu. Sengaja Lili mendepangkan kedua-dua belah tangannya lebar-lebar.

“Kau ni dah kenapa? Nak halang-halang aku pulak. Ingat kita tengah main galah panjang ke apa ni?” dengus Mel. Langkahnya terbantut. Sakit hatinya dengan tindakan kebudak-budakan Lili.

“Habis tu dah aku panggil-panggil, kau buat bodoh aje. Kau nak pergi mana sebenarnya ni? Jomlah kita balik. Mesti mak kau dah risau punya. Takkanlah kau tak segan merayau-rayau dengan baju pengantin macam ni?” tukas Lili serius. Hatinya di ulit resah. Bukannya baru sehari dua mereka bersahabat. Karang tak pasal-pasal teman baiknya buat kerja gila pula. Memang nayalah jawabnya. Minta-minta di jauhkan. Nauzubillahminzalik!

“Aku nak pergi Johor Bharu. Aku nak cari Rizal sampai jumpa!” tekad Mel dengan nada tegas. Andaikata Putera Kayangan turun dari langit ketujuh sekalipun Mel sama sekali tidak akan menukar pendiriannya. Titik.

“Kau jangan buat gila, Mel. Tak pernah di buat orang lagi macam ni,” ujar TJ dengan wajah kaget.

“Patutnya sebagai kawan sejati aku, korang berdua patut bagi sokongan moral kat aku. Bukannya condemn aku lagi. Sekarang inilah masa korang buktikan bahawa persahabatan kita ini memang utuh dan kuat. Ikut aku pergi Johor Bharu, ya?”

TJ dan Lili melongo.

Sinaran terik sang mentari yang memancar tepat ke atas kepala botak licin Pak Suib kelihatan berkilau-kilauan. Terus terpampang di minda Arish cermin di bilik airnya yang berbentuk bujur. Dah macam kembar siam rupanya dengan kepala gondol Pak Suib. Sebijik!

“Apa yang kamu tersengih-sengih, hah? Berbuih mulut aku kat sini, dia boleh buat bodoh aje! Hei, Arish! Aku tak peduli. Kalau kamu tak bayar RM 3,000 tunai sekarang, jangan harap aku kasi kau masuk dalam rumah aku ni!”

Senyum di bibir terus mati. Waduh! Arish mengetap bibir. Memang masalah besar kali ni. Mana dia nak cekau duit banyak tu tengah-tengah bulan macam ni? Takkanlah dia nak minta dengan Walid dan Mami? Tak mungkin! Kalau dia dah tinggal sehelai sepinggang sekalipun, untuk meminta-minta dari mereka memang langsung tidak termasuk dalam kamus perancangannya. Nanti balik-balik walid akan memujuknya untuk meneruskan legasi perniagaan turun-temurun keluarga mereka. Sudah berkali-kali ajakan walid itu di tolak dengan baik kerana cintanya terhadap kerjaya sebagai seorang anggota polis. Selama ini kerjaya itu tidak pernah sekalipun mendapat restu dari Walid dan Mami. Arish sendiri pun bingung. Bukankah kerjaya sebagai seorang anggota polis suatu kerjaya yang mulia? Sah! Walid dan Mami masih tidak dapat melupai peristiwa itu. Peristiwa hitam yang telah melanda dua puluh tahun yang lepas…

“Alhamdullilah! Sedap sungguh masakan umi malam ni,” puji Inpektor Afzan dengan senyuman yang tidak putus-putus di bibir.

“Dah rezeki kamulah tu, Afzan. Pagi tadi ada pula ayam pencen kat pasar tu. Selalunya payah nak cari stok ayam pencen ni. Kat kampung memanglah banyak, kat bandar ni susah sikit. Nah, tambahlah lagi,” balas Mami Zai sambil menyuakan mangkuk berisi rendang ayam pencen pada Inspektor Afzan.

“Memang nak tambah pun ni. Lepas ni tak tahulah bila lagi nak merasa masakan umi,” sahut Inspektor Afzan bersahaja. Tangannya lincah menceduk beberapa ketul ayam ke dalam pinggannya. Dengan berselera rendang ayam pencen tersebut di ratah begitu sahaja. Perasaan pelik sedikit menggayuti hati tua Mami Zai. Sebelum ini anaknya itu langsung tidak menggemari rendang ayam pencen. Tekak Inspektor Afza memang tidak masuk langsung dengan ayam pencen yang liat dan keras itu. Entah kenapa malam ni beria-ria pula anaknya meratah rendang ayam pencen itu. Petanda apakah ini? Pantas Mami Zai menidakkan perasaan kurang enak yang mula hinggap di jiwa.

“Ish kamu ni, Afzan. Kenapa pula cakap macam tu? Bila-bila kamu teringin nak makan, datang je kat sini. Umi boleh masakkan untuk kamu.”

”Aha kan, betul juga. Umi, nak minta tolong sikit, boleh? Malam ni boleh tak Arish tidur kat rumah umi dan walid? Bukan apa, Afzan nak kena pergi pejabat semula ni. Ada mesyuarat tergempar pasal kes penyeludupan minyak tu.”

Mami Zai bangkit. Dia segera mendekati Arish yang sedang enak mengunyah keropok lekor. Rambut Arish di usapnya lembut.

“Boleh sangat, Afzan. Umi pun dah lama tak bermanja-manja dengan cucu nenek seorang ni. Zulaika pun tidur sini juga ke?” soal Mami Zai sambil mengerling ke arah menantunya.

“Taklah, umi. Ika nak ikut abang. Kami ni kan macam belangkas, mana boleh nak di pisahkan. Till death do us part,” lembut kata-kata Zulaika namun menggigit terus ke tangkai hati Mami Zai. Dia dan Walid Aziz saling berpandangan.

“Oklah umi, walid. Afzan dan Ika nak geraklah ni. Terima kasih banyak umi dan walid sebab selama ni jaga dan sayangkan Afzan. Satu aje harapan Afzan. Moga-moga umi dan walid juga akan sayangkan Arish sama macam umi dan walid sayangkan Afzan, ya.”

Kali ini keresahan turut sama mengekori hati Walid Aziz. Kata-kata Afzan menyentak jiwanya.

“Kamu janganlah risau. Sebanyak mana kasih sayang walid dan umi pada kamu, sebanyak itu jugalah kasih sayang kami buat cucu kami, Arish. Dahlah, kamu jangan fikir yang bukan-bukan. Pergilah cepat, nanti bos kamu tertunggu-tunggu pula.”

“Baiklah, walid.” Pantas Afzan bangun. Kakinya di tala ke singki dapur. Selesai mencuci tangan, terus sahaja dia melangkah keluar ke keretanya yang terparkir di halaman rumah. Zulaikha, Walid Aziz, Mami Zai dan Arish membontoti dari belakang. Suatu sinaran infra-merah yang berkelip-kelip dari papan pemuka kereta Afzan terus sahaja memberkas di ruangan mata Walid Aziz.

“Afzan! Nanti dulu! Cahaya apa yang berkelip-kelip kat dashboard kereta kamu tu?”

“Takde apa-apalah, walid. Tu kan lampu alarm kereta,” acuh tak acuh Afzan menjawab. Kakinya terus sahaja di tala laju ke arah keretanya.

Itulah detik-detik terakhir Arish menatap wajah ibu dan ayahnya sebelum sebuah letupan kuat membunuh kedua-dua permata hatinya yang paling berharga dalam dunia. Air matanya mengalir ke pipi tanpa di sedari. Betapa dia rindukan mereka berdua, betapa terseksanya jiwanya menanggung keperitan bertahun-tahun. Sesiapa sahaja di dalam dunia ini pasti trauma tatkala melihat ajal menjemput insan yang tersayang di hadapan mata sendiri.

Sejak kejadian itulah dia berubah menjadi insan yang sangat cerewet dalam segala serba-serbi. Masih berbekas dalam hatinya, betapa sikap acuh tak acuh arwah ayahnya telah meragut nyawa ibu dan ayahnya sendiri. Tidak! Kesilapan itu tidak akan berulang semula. Arish tekad menjadi manusia yang peka, teliti malah terlalu pentingkan kesempurnaan. Walaupun dia sedar ramai yang tidak menyenangi sikapnya namun Arish tidak peduli. Persetankan semua itu! Yang penting hatinya puas.

“Kalau kamu menangis air mata darah sekalipun, jangan beranganlah aku akan lupakan segala hutang-piutang kamu tu. Nak masuk rumah balik, boleh. Tapi bayar dulu sewa rumah yang dah tertunggak tiga bulan tu,” pekik Pak Suib tepat ke telinga Arish.

Lamunan Arish terhenti. Telinga yang perit di gosok-gosoknya berulang kali. Jeritan nyaring Pak Suib tak ubah macam tarzan yang tengah terpekik terlolong memanggil haiwan-haiwan jagaannya!

“Kot iya pun tak payahlah nak terjerit-jerit, Pak Suib ooi! Bukannya saya tak nak bayar, tapi duit tu saya dah serahkan pada Husni tempohari. Dia cakap dia dah bayar kat Pak Suib. Jangan-jangan Pak Suib ni dah nyanyuk, tak?”

Merah padam wajah Pak Suib mendengarnya. “Nyanyuk kepala hotak kamu! Akal aku ni lagi waras dari kamu, tau? Kalau betul si Husni tu ada bayar kat aku, mesti aku dah keluarkan resit atas nama korang bertiga. Ni masalahnya resit terakhir yang ada dalam buku aku menunjukkan kali terakhir korang buat bayaran tiga bulan lepas. Aku ke kamu yang dah nyanyuk ni?”

Rahman mencuit bahu Arish dengan wajah bingung. “Arish, si Husni tak angkat-angkat telefonlah! Manalah dia dah pergi agaknya. Entah-entah dia dah larikan duit sewa rumah kita tu, tak? Eh, kalau tak silap, dia pinjam kereta kau jugak, kan? Habislah! Aku rasa dia dah bawak lari kereta kau sekali.”

Arish mengepal-ngepal penumbuknya. “Bertuah betul si Husni ni! Jagalah dia. Kalau aku jumpa dia memang pecah muka dia aku kerjakan!”

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.