Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi ABANG ROTI CANAI KU SAYANG...
ABANG ROTI CANAI KU SAYANG...
Julia Basri hassan basri
5/2/2014 11:27:43
5,832
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“ROTI CANAI DUA!”

“OK SIAP!”

Suasana hiruk-pikuk di dalam restoran itu langsung tidak menjejaskan kenikmatan dari hirupan teh o panas yang menyegarkan. Disulami pula dengan kerapuhan dan kelembutan roti canai hasil dari tebaran tangan Abang Am yang memang telah gah namanya di sekitar Cheras, Kajang dan kawasan-kawasan berdekatan yang sewaktu dengannya. Sejak pertama kali Yani merasai kelazatan roti canai yang tiada tandingannya itu, dia bagaikan sudah ketagih dan saban pagi dia tidak pernah terlepas dari menjamah roti canai itu sekurang-kurangnya dua keping sehari! Tiba-tiba imbasan peristiwa enam bulan lepas terus terpancar di ruangan mindanya. Majlis konvokesyen yang berlangsung sejak dari pagi dan memakan masa sehinggakan ke tengahari ternyata cukup memenatkan dan sekaligus membuatkan perut Yani berkeroncong dan menjerit-jerit minta diisi. Lantas usai sahaja majlis tamat, keretanya terus memecut laju dan dalam masa yang sama matanya liar berkeliaran mencari restoran yang berdekatan. Mak Chunya yang duduk di sebelah pula sudah tenggelam di alam mimpi. Terlalu penat barangkali setelah seharian menemani anak saudaranya itu menguruskan pelbagai perkara-perkara yang berkaitan dengan majlis konvokesyen itu. Sementalah sejak kedua-dua ibu bapa Yani meninggal dunia akibat dari kemalangan jalan raya sepuluh tahun yang lepas, Mak Chu adalah satu-satunya insan yang bertanggungjawab menjaga dan membesarkan Yani dengan sepenuh kasih sayang.

BANGG!!!

Suatu dentuman yang kuat serta-merta mengejutkan mereka berdua. Tanpa berlengah lagi Yani terus memberhentikan keretanya dan mereka berdua terus melangkah turun dari kereta itu. Rupa-rupanya sebuah van Nissan Vanette yang agak buruk sudah ‘mencium’ bahagian bontot kereta comel Yani tanpa keizinan si empunya kereta! Seorang pemuda kacak turun dari van buruk itu dengan wajah yang selamba tanpa sebarang perasaan bersalah. Yani merenung wajah pemuda itu dengan perasaan geram yang menebal.

“Ada juga yang makan penumbuk karang tengahari rembang ni,” getus Yani di dalam hati.

“Cik adik sayang, lain kali kalau bawa kereta tu kena fokus. Ini tangan kat stereng tapi mata meliar ke kiri, ke kanan. Hah sekarang ni kan dah kene langgar. Nasib baik cik adik berdua tak mengalami sebarang kecederaan, kalau tidak siapa yang susah? Abang juga yang susah nanti,” tutur pemuda tersebut sambil tersengih-sengih.

“Hello, suka hati sayalah nak bawa kereta macam mana gaya sekalipun. Sekarang ini yang melanggar adalah awak jadi sila bayar ganti rugi, tak payah nak berdolak-dalih lagi. Tak pun kita pergi balai polis sahaja, habis cerita,” gertak Yani pula sambil bercekak pinggang. Tersentak seketika pemuda itu melihat keberanian Yani. Tidak disangkanya di sebalik wajah yang lembut dan polos itu terselit unsur-unsur keberanian yang menebal dari dalam gadis itu.

“Macam inilah Cik..”

“Panggil saya Yani sahaja,” tukas Yani sebelum sempat pemuda itu menghabiskan kata-katanya.

“Sedap nama tu, secomel orangnya juga,” balas pemuda tersebut sambil mengenyitkan matanya namun Yani hanya menjeling pemuda itu dengan tajam.

“Encik, boleh tak jangan buang masa. Sekarang ni nak bayar ke nak buat laporan polis? Saya tak ada masa nak melayan karenah loyar buruk encik itu,” selar Yani dengan wajah yang masam mencuka.

“Maafkan saya, Cik Yani. Saya rasa macam inilah. Mesti cik berdua ini sudah lapar, kan? Apa kata kita duduk berbincang dahulu di restoran yang terletak di seberang jalan itu? Kebetulan saya bekerja di restoran itu jadi bolehlah saya belanja cik berdua makan roti canai istimewa hasil air tangan saya sendiri. Selepas itu barulah kita bincang mengenai berapakah kos yang perlu saya bayar kepada Cik Yani. Setuju?”

Umpama orang mengantuk yang disorongkan bantal, pelawaan itu disambut dengan penuh kegembiraan oleh mereka berdua. Dari situlah bermulanya saat ketagihan Yani terhadap roti canai buatan Abang Am itu yang berterusan sehinggalah ke saat ini. Ketagihan yang terlampau itu juga adalah hasil dari janji Abang Am terhadap Yani dimana Yani dijanjikan hidangan roti canai secara percuma di restoran itu untuk seumur hidupnya! Kesempatan ini di ambil sepenuhnya oleh Yani untuk turun ke restoran itu setiap pagi demi menjamah roti canai kegemarannya.

“Hai comel, sedap tak rasa roti canai hari ini?” Sergah Abang Am dari belakang hingga terkejut Yani dibuatnya. Dengan pantas Yani segera bertindak balas dengan menampar lengan Abang Am sekuat hatinya.

“Adoi!! Sakitnya tapi tak puaslah. Pukullah lagi! Cuba pukul kuat-kuat sedikit kali ini,” usik Abang Am sambil menyuakan tangannya. Pak Dahalan, tuan punya restoran itu hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka berdua dari jauh. Sememangnya semenjak gadis comel itu menjadi pelanggan tetap restoran itu, saban hari Abang Am memang tidak pernah gagal untuk mengusik gadis itu. Ada masanya usikan itu sampaikan mengundang air mata gadis comel itu dan biasanya bila terjadi situasi sedemikian, Pak Dahalan akan campur tangan untuk menjernihkan keadaan.

“Menyampahlah tengok muka awak ni! Kalau sehari awak tak kacau saya, tak boleh ke?” Herdik Yani dengan agak kuat sehinggakan boleh di dengari oleh pelanggan-pelanggan lain yang berada di dalam restoran itu namun Abang Am langsung tidak terjejas dengan perbuatan Yani itu. Dikutuk, diherdik dan ditengking seolah-olah telah menjadi makanan ruji Abang Am dan ia langsung tidak menjadi kudis buat dirinya dek kerana perasaan kasih yang menebal terhadap gadis pujaan hatinya itu.

“Alah, kalau saya tak kacau awak, siapa lagi yang sudi kacau awak?” Usik Abang Am lagi.

“Hello cik abang, jangan nak perasan pula ya. Kat belakang tu ada cermin besar tak? Kalau boleh tolonglah cerminkan diri tu sikit, ya. Setakat penebar roti canai macam awak ni, sekali saya petik, sepuluh yang datang, tahu? Lainlah kalau tauke restoran ke, tauke kilang ke, barulah layak bergandingan dengan saya ni,” balas Yani sambil mencebik bibirnya.

“Yelah Cik Yani, saya sedar siapa diri saya ini. Saya memang tak layak untuk menumpang kasih gadis yang cantik dan berpendidikan tinggi macam awak ni. Janganlah risau Cik Yani, mulai esok saya tak akan menganggu hidup awak lagi. Saya akan nyah dari hidup awak buat selama-lamanya,” dengan sayu Abang Am meluahkan isi hatinya sambil terus berlalu pergi meninggalkan Yani terkapai-kapai seorang diri. Entah mengapa hari ini Abang Am begitu emosi sedangkan selama ini segala herdikan dan kejian Yani akan di telannya dengan hati yang terbuka. Perasaan bersalah mula menjelma di dalam hati Yani. Tidak sepatutnya dia memalukan Abang Am sebegitu kerana sebagai seorang insan, dia juga punyai hati dan perasaan malah dia juga berhak untuk mencintai dan dicintai. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah hati Yani dihujani dengan perasaan bersalah yang tidak berpenghujung. Tidak pernah terniat walau sebesar hama sekalipun niat di hati Yani untuk memalukan Abang Am. Mendung di wajah Yani ternyata tidak dapat di sorokkan lagi apabila malam itu Mak Chu segera dapat mengesan kerungsingan yang sedang melanda anak saudaranya itu tatkala mereka berdua sedang makan malam bersama-sama.

“Kenapa ni Yani? Sejak dari tadi monyok je? Ada apa-apa perkara yang Yani nak kongsi dengan Mak Chu ke?”

Yani hanya menundukkan wajahnya. Tak sanggup rasanya dia bertentangan mata dengan Mak Chu. Dia sendiri ragu-ragu bagaimanakah caranya untuk membuka bicara mengenai perkara ini. Namun jikalau perkara ini tidak diluahkan, hatinya pula yang bertambah terseksa.

“Mak Chu, kalau kita dah menyakiti hati seseorang…tapi secara tak sengajalah…mak chu ada idea tak macam mana nak minta maaf?” Mak Chu merenung Yani sambil tersenyum lebar.

“Oh, pasal inilah yang membuatkan anak saudara kesayangan Mak Chu ni asyik monyok sahaja sejak dari petang tadi? Biar Mak Chu teka, kamu dah sakitkan hati abang roti canai kesayangan ye?” Usikan Mak Chu itu serta-merta menerbitkan warna-warna kemerahan di pipi mulus Yani.

“Ala Mak Chu ni, janganlah cakap macam tu. Sejak bila pula dia tu jadi abang kesayangan saya? Saya anggap dia tu macam kawan biasa jelah,” ujar Yani sambil tersipu-sipu malu.

“Yelah tu, kawan biasa konon. Yang kamu tu tak pernah terlepas walau seharipun berkunjung ke restoran itu demi mengadap abang sayang kamu tu apa ceritanya? Jaga-jaga Yani, jangan sampai kamu terjatuh cinta pula dengan dia, parah dibuatnya nanti.”

“Jatuh cinta?? Mungkinkah aku sudah jatuh cinta padanya. Tak mungkin!” getus Yani di dalam hatinya.

“Sudahlah Yani, esok kamu pergi jelah ke restoran tu dan minta maaf pada abang roti canai kamu tu. Walaupun dia seorang lelaki namun dia masih punya hati, perasaan dan harga diri,” nasihat Mak Chu sambil menepuk-nepuk bahu Yani dengan lembut. Kata-kata Mak Chunya itu memang ada benarnya. Semangat Yani membuak-buak, ingin sahaja dia bersemuka dengan Abang Am di saat ini namun dia tahu perkara itu mustahil untuk di realisasikan.

Keesokan paginya dengan semangat yang berkobar-kobar Yani melangkahkan kaki menuju ke restoran itu. Tujuannya hanya satu, ingin segera bertentang mata dengan Abang Am! Namun sebaik dia tiba, kelibat Abang Am langsung tidak kelihatan. Tidak mungkin dia masuk lewat kerana sepanjang enam bulan Yani berkunjung ke restoran itu, tidak pernah walau seharipun Abang Am lewat tiba. Kebiasaannya apabila Yani tiba di situ Abang Am pasti sedang sibuk menebar roti canai keramatnya. Kegelisahan Yani itu nyata dapat dihidu oleh Pak Dahalan yang sedari tadi hanya memerhatikan tingkah laku Yani dengan penuh minat. Akhirnya Pak Dahalan datang menghampiri Yani.

“Nak, cari siapa tu? Kalau nak makan roti canai, duduklah dahulu. Nanti pakcik suruh Ali bawakan ya,” ujar Pak Dahalan dengan lembut.

“Err..pakcik..bukan roti canai tu selalu Abang Am ke yang sediakan? Kenapa hari ini Ali pula yang sediakan?” Soal Yani dengan wajah sedikit kebingungan. Pak Dahalan hanya tersenyum mendengar soalan Yani yang sememangnya sudah dijangkakan.

“Yani, Abang Am dah berhenti kerja. Semalam merupakan hari terakhir dia bekerja di sini. Dengar cerita dia nak sambung belajar lagi. Apa dia tak ada beritahu kamu ke?”

Tersentak seketika Yani apabila mendengar kata-kata Pak Dahalan itu. Sungguh tidak di duga yang Abang Am akan berlalu pergi meninggalkannya dengan begitu sahaja. Yani berasa sungguh berdosa. Kenapalah semalam mulutnya begitu celupar sekali mempersendakan Abang Am?

“Yeke pakcik. Saya tak tahu sebab Abang Am tak ada pun beritahu apa-apa pada saya. Pakcik tahu tak macam mana nak hubungi Abang Am?” Pinta Yani dengan seribu pengharapan yang terserlah lewat dari matanya.

“Minta maaflah nak, pakcik tak ada nombor telefon dia. Pakcik pun tak tahu macam mana nak menghubungi dia,” balas Pak Dahalan. Terserlah wajah kekecewaan yang teramat sangat di wajah Yani. Kemudian tanpa sebarang kata Yani terus berlalu pergi dari situ. Pak Dahalan hanya tersenyum lebar melihatkan reaksi Yani yang sebegitu.

“Ganjaran yang amat besar sedang menantimu, Yani. Sedikit masa lagi kamu akan faham segala-galanya,” bisik Pak Dahalan dalam hati.

Petang itu sebaik sahaja Mak Chu pulang dari kerja, alangkah terperanjatnya dia apabila melihat Yani sedang mengemop rumah dengan gigihnya. Dia sudah masak benar dengan perangai anak saudaranya yang pasti akan membuat sesuatu di luar jangkaan apabila fikirannya terganggu.

“Apalah agaknya yang merungsingkan fikiran Yani kali ini,” getus Mak Chu di dalam hati. Dia mendekati Yani seraya mencuit pinggangnya namun cuitan itu langsung tidak berbekas di hati anak saudaranya itu.

“Kenapa ni, sayang? Tak pernah-pernah pun mengemop rumah selama ni, kenapa pula hari ni beria-ria mengemop ni?” Soal Mak Chu dengan lembut, bimbang pula dihati kalau-kalau Yani terasa hati dengan kata-katanya.

“Tak ada apa-apalah Mak Chu, lantai rumah ni berdebu sangat, rimas dah mata saya ni memandangnya,” dengan acuh tak acuh Yani menjawab. Mak Chu hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat anak saudaranya itu.

Bermula dari hari itu, Yani tidak lagi melakukan rutin hariannya sejak enam bulan yang lepas. Restoran roti canai kegemarannya tidak lagi dijejakinya. Saban hari dia hanya termenung dan bermuram durja. Barulah Yani sedar yang cintanya terhadap Abang Am telah berputik di dalam dirinya. Namun segala-galanya telah terlambat kerana Abang Am telah pergi meninggalkannya tanpa sempat dia melafazkan perasaannya. Keadaan Yani yang tidak terurus itu amat membimbangkan Mak Chu. Bila di tanya, Yani hanya mendiamkan diri semata-mata. Akhirnya Mak Chu mengambil keputusan untuk bersemuka sendiri dengan Abang Am. Keesokan harinya seawal jam 8.00 pagi Mak Chu sudah tercegat di restoran roti canai kegemaran anak saudaranya itu namun tiada tanda-tanda kelibat Abang Am di situ. Apabila terpandang sahaja Pak Dahalan yang sedang duduk di kaunter, Mak Chu memberanikan diri dan menghampiri Pak Dahalan. Dengan perasaan yang berdebar-debar dia terus menegur Pak Dahalan.

“Assalamualaikum, encik. Boleh tak saya nak berjumpa dengan pekerja encik yang bernama Am?”

Pak Dahalan menanggalkan kacamatanya sambil merenung Mak Chu dari atas ke bawah dengan wajah yang kehairanan.

“Boleh saya tahu, kenapa kamu mencari Am ya? Apa kaitan di antara kamu dengan dia?”

“Hmm…sebenarnya..anak saudara saya, namanya Yani. Encik kenal dia tak? Dia selalu datang ke sini untuk menikmati roti canai sedap hasil air tangan Am tu. Tapi sejak dua, tiga hari ni, anak saudara saya dah tak mahu datang ke sini lagi. Di rumah pula dia asyik termenung sahaja. Risau pula saya melihat keadaannya. Itu yang saya datang ke sini untuk berjumpa dengan Am, mungkin juga Am tahu mengapa anak saudara saya berkelakuan sedimikian rupa,” jelas Mak Chu dengan panjang lebar. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang begitulah reaksi Pak Dahalan apabila mendengar kata-kata Mak Chu itu.

“Bagus pun kamu datang ke sini. Kebetulan saya ada hal mustahak yang nak disampaikan pada kamu,” ujar Pak Dahalan lagi dengan nada yang teruja. Kemudian Pak Dahalan mengajak Mak Chu untuk duduk di meja sambil menerangkan segala-galanya. Sesekali perbualan di antara mereka disulami dengan deraian tawa yang berpanjangan. Kini barulah Mak Chu faham situasi sebenar yang berlaku di antara Yani dan Am. Mak Chu pulang ke rumah dengan hati yang senang. Dia perlu mencari peluang dan ruang yang sesuai untuk memaklumkan perkara ini kepada Yani. Akhirnya peluang keemasan itu tiba jua sewaktu mereka berdua sedang enak menjamah makanan malam itu. Mak Chu menelan air liurnya sambil merangka-rangka ayat yang bakal di ajukan kepada Yani.

“Yani, kalau Mak Chu nak tanya sikit, kamu jangan marah, ya?” Berkerut dahi Yani apabila mendengar kata-kata Mak Chu itu.

“Nak tanya apa pula ni Mak Chu? Tanya jelah. Mak Chu ni buat saspens saya je,” gumam Yani sambil menyuap nasi ke mulutnya.

“Kamu dah ada boyfriend ke?” Terkesima seketika Yani apabila mendengar pertanyaan yang langsung tidak dijangkanya itu.

“Apalah Mak Chu, ke situ pula perginya. Mestilah tak ada boyfriend lagi. Kenapa Mak Chu nak tolong carikan satu untuk saya ke?” Tersenyum lebar Mak Chu apabila mendengar kata-kata Yani itu.

“Ya betul, pandai anak saudara Mak Chu ni. Memang Mak Chu dah carikan pun tapi bukan setakat boyfriend malah Mak Chu dah jumpa bakal suami untuk kamu.” Serta-merta wajah Yani yang putih kuning itu bertukar menjadi pucat.

“Mak Chu main-main je, kan? Mak Chu jangan buat lawak antarabangsa pula, perkara nikah kahwin ni benda yang serius, mana boleh dibuat main-main!”

“Kamu ada nampak Mak Chu sedang bergurau senda ke? Tak ada, kan? Mak Chu rasa tak ada salahnya kalau kamu menerima peminangan ini lagipun kamu sendiri pun dah mengaku tadi yang kamu tak ada boyfriend lagi. Minggu hadapan rombongan pihak lelaki akan datang untuk merisik kamu,” ujar Mak Chu lagi sambil terus bangun dan membawa pinggan yang sudah kosong ke singki untuk di basuh.

“Yani tak nak kahwin dengan orang yang Yani tak kenal! Mak Chu tak berhak nak paksa Yani kahwin dengan orang yang Yani tidak suka sama sekali sebab Mak Chu bukannya ibu bapa Yani!”

Kata-kata terakhir Yani itu ternyata mengguris perasaan Mak Chu. Tanpa berkata apa-apa Mak Chu terus berlari ke biliknya dan mengunci diri di situ.

“Nah! Sekali lagi akibat dari keceluparan mulut engkau, hati orang yang selama ini telah banyak berjasa dalam mendidik dan membesarkan engkau telah di lukai,” isi hati Yani tak berhenti-henti mengungkapkan ayat-ayat itu. Sudahlah kekasaran tempohari terhadap Abang Am tidak sempat ditebus semula dengan kata-kata kemaafan, sekarang ini hati Mak Chu pula telah terguris dengan kata-katanya.

“Mak Chu, bukalah pintu ni. Yani minta maaf, Yani tak ada niat nak mengguris hati Mak Chu. Tolonglah buka pintu ini, Mak Chu,” rayu Yani berulang kali di hadapan muka pintu bilik itu. Akhirnya Mak Chu mengalah dan dia membuka pintu biliknya. Yani terus merangkul Mak Chunya dengan perasaan yang sebak.

“Maafkan Yani, Mak Chu. Yani bukannya nak menidakkan pemgorbanan Mak Chu selama ini cuma Yani agak teremosi tadi. Maafkan Yani ya, Mak Chu,” pinta Yani dengan bersungguh-sungguh.

“Tak apalah Yani, Mak Chu tak marahkan Yani pun cuma Mak Chu nak Yani faham, apa yang Mak Chu buat untuk Yani ini adalah demi kebahagian Yani di kemudian hari. Mak Chu percaya lelaki itu mampu menggembirakan Yani hingga ke hujung nyawa,” ujar Mak Chu sambil mengusap-usap kepala Yani. Sesungguhnya ini adalah pilihan yang amat sukar buat diri Yani ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Jikalau dia menerima peminangan lelaki itu bermakna selepas ini dia terpaksa hidup dengan lelaki yang tidak diketahui tingkah laku dan perangainya namun jika dia menolak hati Mak Chu pula akan terluka. Akhirnya Yani pasrah. Dia bersetuju untuk menerima lelaki pilihan Mak Chu kerana dia sedar Abang Am telah pergi jauh dari hidupnya. Mungkin inilah jodoh sebenar yang telah ditentukan oleh Allah untuknya.

Hari yang dinanti sudah tiba. Dengan solekan yang sederhana di tambah pula dengan kebaya lace yang membaluti tubuh langsing Yani ternyata berjaya memukau mata setiap tetamu yang hadir di majlis pertunangan tersebut. Setelah selesai adat berbalas-balas pantun, ibu kepada bakal mempelai lelaki masuk ke dalam bilik untuk menyarungkan cincin. Yani hanya tertunduk malu apabila berhadapan dengan bakal ibu mertuanya. Dia segera mencium tangan bakal ibu mertuanya namun dengan tidak semena-mena bakal ibu mertuanya menghulurkan sebuah bekas makanan.

“Ini permintaan dari tunang kamu sendiri. Kalau boleh dia nak kamu makan makanan ini sekarang juga,” ungkap bakal ibu mertuanya sambil tersenyum simpul. Permintaan yang sangat pelik! Belum pernah terjadi lagi di hari pertunangan sang mempelai lelaki meyuruh sang mempelai perempuan untuk menjamah makanan di hadapan semua orang. Yani agak terkejut namun demi tidak menghampakan tunangnya, dia pun membuka bekas makanan itu dan alangkah terperanjatnya dia apabila melihat menu yang terhidang di dalam bekas itu - roti canai! Di cubitnya sedikit, kemudian dijamahnya roti canai itu. Sah! Memang tak lain tak bukan, ini roti canai hasil air tangan kekasih hatinya. Tiba-tiba telefon bimbitnya yang terletak di atas meja solek itu menjerit dengan nyaringnya. Bila di angkat, suara yang sudah sekian lama dirinduinya berada di hujung talian!

“Assalamualaikum tunang abang yang tersayang.”

“Abang Am! Apa semua ini?”

“Yani ku sayang, sebenarnya sejak pertama kali kita bertentangan mata abang sudah jatuh hati pada Yani. Di sebabkan ingin berjumpa dengan Yani hari-hari maka abang telah berpura-pura menjadi pekerja di restoran ayah abang sendiri.”

“Oh, selama ini abang tipu Yani lah, ya? Bukan abanglah yang buat roti canai yang sedap tu,” gerutu Yani sambil mencebikkan bibirnya.

“Eh, tolong sikit ya. Roti canai tu memang abang yang buat sendiri. Abang belajar dari Ali, tau? Jadi sekarang macam mana? Sudikah Yani menjadi suri di dalam hidup abang buat selama-lamanya?”

Kata-kata Abang Am itu hanya mampu di sambut dengan linangan air mata sahaja oleh Yani. Geramnya dia kerana Abang Am telah berjaya mempermainkannya hasil dari rancangan Pak Dahalan dan Mak Chunya. Namun jauh di sudut hati dia amat bersyukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaan kasih sayang yang tidak pernah di duga akan hadir dalam cara sebegini. Aku cintakan kamu, wahai si penebar roti canai ku sayang!!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.