Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
234,327
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 19
BAB 19

‘ROBO SI PENJEJAK HARTA KARUN MUDAH MEMBOLOSKAN DIRI DARI POLIS TERKEMUKA, INSPEKTOR ARISH.’

Whattapp yang di terima dari Borhan benar-benar menggetirkan perasaan. Tiap baris ayat yang tertera di petikan mukasurat hadapan suratkhabar itu di tatap penuh resah. Hatinya di garu celaru. Walid Aziz mengeluh. Tingkah Arish memang kerap kali memeningkan kepala. Namun perkhabaran terbaru yang di terimanya ini paling menggusarkannya.

“Kan memang ni yang abang inginkan? Kenapa pula abang nak pening kepala ni?” soal Mami Zai. Lembut dan tenang. Namun angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup dari celah pepohonan tamar yang meliang-liuk tidak mampu meredakan resah di jiwanya.

“Memang betul. Tapi bukan dengan cara ni. Memalukan keluarga aje,” dengus Walid Aziz.

“Entahlah, bang. Zai pun tak tahu nak cakap apa. Zai cuba telefon dia tapi langsung tak berjawab. Zai telefon si Rahman, kawan serumahnya tu. Katanya Arish dan dia dah kena halau dari rumah sewa pasal si Husni dah kapur duit diorang. Tu yang sekarang ni cucu abang tu dalam perjalanan ke Johor Bharu. Nak cari Husni di kampung lah tu agaknya.” Ringkas dan padat. Sebiji macam laporan berita Astro Awani.

“Tak habis-habis cari masalah cucu kesayangan awak ni! Aish, geram betul saya!”

“Tak payahlah marah-marah, bang. Apa-apa pun dia tu tetap cucu kita. Satu-satunya peninggalan Afzan untuk kita. Kalau awak marahkan Arish, samalah macam awak marahkan Afzan juga.”

Sentap. Tapi berkesan. Tiap kali nama arwah anak mereka berlagu di bibir Mami Zai, hati batu Walid Aziz secara automatik mencair.

Nada suara Walid Aziz mula mengendur. “Awak ni Zai, manjakan sangat cucu awak tu. Inilah puncanya sampai dia jadi macam ni.”

“Bukan salah dia pun penjahat tu terlepas, bang. Dah takdir Allah macam tu. Sekarang ni dia perlukan sokongan daripada kita. Cuba abang cakap. Siapa lagi yang dia boleh harapkan kalau tidak kita selaku darah dagingnya sendiri?”

“Sebab dia darah daging kitalah saya cakap macam ni. Kalau ada silap dia di mana-mana, kita tak boleh biarkan macam tu aje. Kita kena tegur demi kebaikan dia. Bukannya kita menggalakkan pula,” bidas Walid Aziz.

Mami Zai mencebik. “Yeke tegur? Yang saya nampak sekarang ni, abang sedang condemn dia, hina dia. Kalau beginilah cara abang, jiwa yang kental pun akan goyah. Semangat yang goyah akan terus jatuh merudum. Kalau cucu saya patah hati, abanglah yang bertanggungjawab untuk itu!”

Kalah lagi! Walid Aziz terdiam. Tak guna berbalah kata. Kalaupun hujahnya sepedas sambal hitam Pahang dan setajam pedang Rasullullah sekalipun di penghujungnya pasti Mami Zai akan menang juga. Almaklumlah bekas pendebat terbaik zaman universiti dahulu. Redha ajelah jawabnya!

“Yelah isteriku yang tercinta. Abang mengaku abang yang salah. Sudikah buah hati pengarang jantung abang memaafkan kekhilafan suamimu ini?”

Jemari Mami Zai di genggam dan di ramas lembut. Romantik. Satu sifat yang tidak pernah memudar dalam diri Walid Aziz. Sejak dari mula berkenalan sehinggalah usia sudah menginjak senja sebegini, tidak pernah sehari pun Walid Aziz gagal mengungkapkan kata-kata puitis buat Mami Zai. Sedikit sebanyak tersentuh hati Mami Zai sampai ke lubuk sanubari yang paling dalam. Tapi keegoan mengatasi sejuta perasaan yang sudah mula berbunga riang. Pegangan Walid Aziz segera di lepaskan.

“Yelah tu, bang. Mulalah dengan ayat-ayat jiwang abang tu. Dah tak termakanlah. Dah tepu hati ni. Daripada abang mengarut tak tentu pasal macam tu, baiklah kita doa yang terbaik untuk cucu kita tu. Lagi afdal.”

Setepek kena tepat ke muka! Walid Aziz senyum kambing. Namun lega bertandang di jiwa. Dia tahu isterinya tidak marah kerana sempat lagi dia melihat segaris senyuman terlukis di bibir mungil Mami Zai sebelum isterinya berlalu ke dalam Masjid Nabawi tadi.

Nanar jiwa Mel. Sudahlah tadi habis bertebaran segala jenis debu dan hama dari kerusi kesan kibasan kuat sepasang tangan sasa itu. Kini pemegang kerusi pula menjadi mangsa tenyehannya. Sudah berhelai-helai tisu terbazir akibat dari kecerewetan tidak berhemah mamat cengcong tersebut.

“Lepas ni apa kata tuan mop lantai bas ni sekali? Rasanya macam dah bertahun lantai ni tak bermop. Biar berkilat sikit macam iklan Ajax Fabuloso kat tv tu!” sindir Mel geram.

Selamba Arish membalas. “Aha, bagus juga idea tu. Nanti kalau kita singgah kat mana-mana hentian, awak tolong pinjam mop lantai dari makcik cleaner kat situ kejap, ya.”

Eei!!! Geram pula Mel. Rasa macam nak gigit orang pun ada. “Nanti bukan setakat mop, dengan makcik cleaner tu sekali saya import datang sini, ya,” sinis Mel menempelak.

Arish sekadar pamer wajah selamba. Walhal hatinya di geletek lucu. “Semoga mampu bertahan, ya. Lagi tujuh, lapan jam awak kena mengadap muka saya ni.”

Mel tarik muncung. Mulut terkunci rapat. Malas dia nak melayan karenah Arish yang semakin menjadi-jadi. Kepalanya di panggung ke luar jendela.

Heningnya malam bagaikan mendasari rintihan kalbunya. Sedih di hati tatkala cinta di khianati. Tanpa sebarang pesan sang suami berlalu pergi meninggalkan diri. Tanpa di sedari air mata yang merembes keluar ke pipi tertangkap terus dek pandangan Arish.

“Tak payah nak sedih sangatlah. Tak berbaloi langsung awak menangis kerana lelaki tak guna tu.”

Mel kerling tajam. Dahlah cengcong, mulut pula spesis tak bayar insuran gamaknya.

“Tolong jangan panggil suami saya macam tu. Dia ada nama. Rizal namanya.”

“Saya tak kisah atau peduli apa nama dia. Apa ada pada nama, kan? Tapi perangai dia tu memalukan kaum lelaki seluruh dunia. Sebagai lelaki sejati yang paling berdiplomasi dalam alam maya ni, saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan lelaki durjana tu.”

Mel kerut dahi. Alamak! Mamat cengcong ni dah tahu ke? “Kejap! Kejap! Rasanya suami saya langsung tak cari pasal dengan tuan, kan? Yang tuan nak berapi sangat dengan dia tu kenapa? Apa yang dia dah buat?”

Arish tertawa kecil. Poketnya di seluk. Samsung S3 miliknya di godek. Bait-bait kata yang tertera di ruangan ‘inbox’ segera menerjah mata. Terus di suakan pada Mel.

- Mel tak jadi kahwin, tuan. Pengantin lelaki cabut lari.

+ Biar betul awak ni? Tak baik fitnah, dosa.

- Betul. Tadi saya ada kat rumah dia masa kejadian tu berlaku.

Mel terpempan. Tak guna punya Rika! Kepochi betul minah tu. Sempat lagi dia update mamat cengcong ni. Pucat yang menampal di wajah gagal di sembunyi. Jantungnya berdegup kencang. Habislah! Rahsia kini sudah terbongkar. Ternyata Mel silap percaturan. Bangkai gajah masakan boleh di tutup dengan nyiru!

Gugup Mel menyangkal. “Err…bukan macam tu. Sebenarnya…Tuan dah salah faham ni. Suami saya tak tahu menahu. Ini semua salah saya. Salah saya!”

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.