Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
232,536
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 17
BAB 17

Hembusan bayu yang bertiup tidak mampu merawat hati TJ yang sedang rawan. Jiwanya kacau. Mindanya serabut. Dia sendiri tidak tahu apa gelaran yang sesuai di berikan buat dirinya. Pengkhianat cinta atau perosak persahabatan, mungkin? TJ mengeluh. Bukankah ini yang di mahukannya sejak dari dulu? Namun mengapa pula kini dadanya senak menanggung derita?

“Termenung jauh nampak? Ingatkan saya ke?”

TJ berpaling. Seorang jejaka segak sudah tercegat di sisi dengan sekuntum senyuman. “Eh, awak kat sini? Ingatkan...”

Pantas Rizal mencelah. “Kat Johor Bharu, kan? Ya, memang pada mulanya saya rasa nak pergi sana tapi saya terfikir, sampai bila saya nak larikan diri? Saya kena beranikan diri. Kita berdua kena tekadkan hati. Sampai bila kita sorokkan benda ni lagi, kan? Saya dah tak sanggup.”

“Tapi....saya...takutlah. Dia kawan baik saya. Takkanlah saya nak buat dia macam tu?”

Rizal menggeleng-gelengkan kepala. “TJ...TJ...apa yang nak di takutkan? Orang yang bercinta tak perlu takut. Kita kena tegakkan kebenaran cinta kita. Lagipun saya memang tak boleh nak kahwin dengan dia. Saya tak nak senasib dengan bakal-bakal suami dia yang semuanya di rundung malang tu.”

TJ menunduk. “Saya tahu, Rizal. Tapi saya takut. Apa orang kampung akan cakap nanti? Saya tak tahu macam mana nak berhadapan dengan diorang semua.”

“Jangan risau. Saya kan ada. Kita hadapi sama-sama. Lagipun semua orang kampung dah tahu pasal kisah hidup dia yang sadis tu, kan? Dahlah! Tak payah cakap lagi pasal dia. Rimaslah. Sekarang ni masa untuk kita bincang hal kita pula. Dah bagitahu hal kita kat mak awak ke?”

TJ tertunduk malu. “Dah.”

“Habis tu macam mana? Mak awak setuju tak dengan rancangan kita?” tebak Rizal kurang sabar. Wajah TJ sudah merah padam. Kepalanya di angguk perlahan-lahan.

Rizal meraup-raup wajahnya berulangkali. Sinar bahagia jelas terpancar di wajahnya. “Alhamdullilah! Akhirnya impian kita berdua akan jadi kenyataan juga. Jadi bila boleh kami datang ke rumah?”

TJ senyum simpul. “Mak cakap, lagi cepat lagi baik. Benda yang elok tak payahlah nak tangguh-tangguh lagi. Kita buat yang wajib dululah.”

Rizal tersenyum lebar. Laluan cinta yang tersulam antara dia dan TJ tampak kian cerah. Namun halangan yang kian mendekat langsung tidak terjangkau dek mereka. Derap kaki seseorang yang kian mendekat langsung tidak di sedari.

“Rizal! Kau ada kat sini? Bukan kau ke Johor Bharu ke?” jerkah Lili dengan wajah berang.

Gugup Rizal menjawab. “Err...sebenarnya...sebenarnya...aku...aku...”

Amarah Lili kian menggila. “Apa semua ni, TJ? Apa kau buat dengan mamat ni kat sini? Hei Rizal! Kau tau tak si Mel tu sanggup pergi cari kau nun jauh kat Johor Bharu tu. Tup tup kau boleh berfoya-foya kat sini. Kau pun satu, TJ. Kalau kau dah tahu Rizal ada kat sini, kenapa tempohari kau tak cakap dengan Mel? Kenapa kau biarkan dia pergi macam tu aje? Kau memang kawan tak gunalah, TJ. Sanggup kau khianati kawan baik kau sendiri!”

“Jangan cakap macam tu, Lili. Percayalah, aku langsung takde niat nak khianati Mel. Benda ni semua berlaku di luar kawalan aku. Tolong jangan marah aku, Lili. Aku perlukan sokongan kau sekarang ni,” rayu TJ.

“Banyaklah kau punya sokongan! Kau ingat, aku ni tak berhati perut macam kau juga ke? Hei TJ! Aku takkan sokong apa yang kau dah buat ni, tau? Sanggup kau hancurkan hubungan kawan baik kita sendiri. Kenapa kau buat macam ni, TJ? Kenapa?” bentak Lili kecewa.

Rizal mencelah tanpa sekelumit pun perasaan bersalah. “TJ tak salah, Lili. Ini semua takdir Allah. Memang dah tertulis yang jodoh aku bukan dengan Mel. Lagipun aku dah tawar hati dengan dia. Takkan aku nak paksa diri aku untuk terima perempuan pembawa malang macam Mel tu? Tak mungkin, Lili. Tak mungkin! Aku takkan sia-siakan hidup aku semata-mata untuk perempuan macam dia tu.”

Panas hati Lili mendengarnya. “Apa kau cakap? Memang dasar jantan tak guna! Kau dengar sendiri, TJ. Kau dah boleh nilai dia ni jenis lelaki macam mana. Takkanlah kau nak terima lelaki tak tetap pendirian macam ni dalam hidup kau?”

TJ menunduk. Berat bibirnya untuk mengungkapkan kata-kata. Cintanya pada Rizal sungguh kukuh bagaikan Tembok Besar China. Tiada sesiapa yang bisa meroboh atau menghancurkannya. Memang sejak dari dulu, Rizal sudah bertakhta di hati. Namun ketika itu hanya nama Mel yang tersulam di hati Rizal. Memang TJ rasa kecewa pada mulanya apabila Rizal dan Mel bakal di ijabkabulkan.

Dan apabila perkahwinan mereka putus sebelum sempat dilangsungkan, TJ sudah mula memasang impian. Cinta Rizal akan di takluki. Dan ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan. Rizal juga punyai perasaan yang sama. Perasaan bersalah pada Mel memang bertapak di jiwa. Namun perasaan cinta pada Rizal terus sahaja menangkis kekesalan di hati.

“Aku bukan kejam, Lili. Aku cuma nak tegakkan keadilan untuk diri aku sendiri. Cukuplah selama ni aku asyik jaga hati dan perasaan orang. Perasaan aku ni takde siapa yang peduli.”

Lili bungkam. Sungguh tak di sangkanya kata-kata tersebut akan lahir dari bibir TJ. Riak selamba di wajah TJ kian mengocak jiwa Lili. Hati mula berdetak. Benarkah gadis kecil molek di hadapannya ini sahabat sehati sejiwanya? Di rasuk jin barangkali, kalau tidak mana mungkin tingkahnya berubah 360 darjah dalam masa sehari!

“TJ, kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Aku kenal kau bukannya baru sehari dua. Perangai kau bukan macam ni. Kau takkan tikam kawan baik kau dari belakang. Aku tak percaya. Ni mesti kerja si Rizal. Dia yang hasut kau, kan?”

“Cukup, Lili. Cukup! Aku tak sanggup dengar. Kalau kau nak hina aku, kutuk aku, di persilakan. Tapi jangan sesekali kau hina dan keji bakal suami aku.”

Bagai nak pecah dada Lili mendengarnya.

Robo mendengus kasar. Mana hilangnya magis dan azimat bertuahnya? Selama ini langkahnya sentiasa tepat, nasib selalu menyebelahinya. Namun kecundang pula bertandang sesampainya dia di sini. Sudah hampir seminggu bumi bertuah ini di jejaki namun tiada sebarang petanda positif lagi setakat ini. Hanya malang yang tidak henti-henti merudungnya. Peristiwa dia di cekup Inspektor Arish masih terbayang-bayang di ruangan mata. Yang paling menyakitkan hati manuskrip berharga di Perpustakaan Negara tidak sempat di rembatnya. Argh!! Kali ini Robo tidak peduli. Walau sesukar mana sekalipun, misi ini harus di selesaikan.

“Kau jangan main-main dengan aku, Togo. Kau ingat aku datang sini nak makan angin ke apa? Aritu beria-ria benar kau nak bantu aku. Konon ada maklumat dari sumber sahihlah, ada orang dalamlah. Sekarang ni apa cerita? Habuk pun tarak!” rungut Robo. Hatinya panas. Jiwanya menggelegak. Gara-gara e-mail Togo tempohari bergegas dia terbang 19,032 kilometer dari Bogota ke sini. Selaku penjejak harta karun terunggul abad ini, walau sampai ke hujung dunia sekalipun harta karun itu bersembunyi pasti akan di jejaki dan diturutinya. Tambahan tawaran lumayan yang di berikan oleh Togo tidak mampu di tolak olehnya.

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.