Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 16

MEMBUNTANG terus mata Maira demi melihat jarum jam yang sudah berganjak ke pukul 6.55 pagi. “Haa… kenapa laju sangat kau bergerak, wahai jam? Tulah kau, Maira! Berjam-jam duduk dalam bilik air tu, suka sangat main air kan? Tengok, kan dah pukul 6.55! Matilah kau lepas ni, Maira!” Dia mula keresahan.

Nasib baik dia sudah siap menukar pakaian di dalam bilik air tadi. Sekarang, tinggal hendak kemaskan penampilan diri sahaja. Dia berjalan ke meja solek. Bedak compactdi atas meja segera dicapai. Penutup itu dibuka secara kasar. Lalu, dia menepek bedak ke mukanya. Sesudah itu, dia meletakkan semula bedak itu ke atas meja. Lipgloss berwarna merah jambu dicapai lalu dicalit sedikit ke bibir. Usai itu, dia meletakkan semula lipgloss itu ke atas meja.

Dia memerhati penampilan dirinya di cermin. “Hmm… miss perfect 10!” pujinya sambil tersengih-sengih bak kerang busuk. Perasan aje kau ni, Maira! He he he…

Dia mengerling jam di atas meja. “Haa… dah pukul 7.05 pagi?” Mulutnya ternganga besar.

Tuk! Tuk! Tuk! Daun pintu bilik diketuk dari luar. Membuat Maira tersentak kecil. Dia keresahan. “Aduh, cepatlah pulak dia ni bersiap!” desis Maira mula kelam-kabut.

Dia melihat penampilan diri di cermin. Setelah memastikan penampilan dirinya kemas, serta-merta dia mencapai beg tangannya yang berwarna merah jambu di tepi katil lalu disisipkan ke bahu kanannya. Terkocoh-kocoh dia melangkah ke muka pintu.

Baru sahaja hendak memulas tombol pintu, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering nyaring. Dia berdecit geram. “Aduh, siapalah yang gatal tangan telefon aku pagi-pagi buta ni?” Dia membebel sendirian.

Serentak itu, dia menyeluk poket seluarnya lalu menarik keluar telefon bimbitnya. Skrin telefon ditenung. Muncul nama Iqram di situ. Dia ternganga. “Alamak, Mr. singa dah telefonlah! Mesti dia nak berkhutbah panjang lebar dekat telinga aku ni. Aduh!”

Punat berwarna hijau ditekan. Seraya itu, dia meletakkan telefon bimbit itu ke telinga kanannya. “Ya, bos?” Terketar-ketar nada suaranya. Sedar akan kesalahan dirinya itu.

Iqram mendengus. “Kenapa awak tak keluar lagi hah? Awak tahu tak, kita dah lambat ni! Dah pukul 7.10 pagi tau! Awak lambat selama 5 minit!” Iqram mula membebel-bebel.

“Err… saya minta maaf, bos! Saya terbangun lambat pagi tadi.” Maira memberi alasan. Bangun lambat konon? Padahal, seronok main air dalam bilik air. He he he…

Iqram mencebik. “Tak payah nak cipta alasan yang tak munasabah tu! Saya tak nak dengar apa-apapun! Baik awak keluar sekarang atau saya tinggalkan awak!” ugut Iqram dengan suara keras.

Maira menghentak kaki. “Yalah… yalah… saya keluar sekarang!”

Cepat-cepat dia memulas tombol pintu bilik. Sebaik sahaja daun pintu tersengkang luas, tersembul figura Iqram di muka pintu.

Gulp! Maira meneguk liur. Alahai… ketatnya muka dia! “Err… sorry, I’m late.” Dia menayangm muka serba salah.

Iqram pamer senyum sinis. “No excuse!”

Dengan selamba, Iqram berjalan pergi meninggalkan Maira sendirian di belakang. Padan muka kau! Puas hati aku!

Maira tercengang. “Erk, selamba badak aje dia tinggalkan aku? Cis!” Usai mengunci pintu bilik, cepat-cepat dia menghayun langkah laju membuntuti langkah Iqram dari belakang.

“ERR… BOS?”

Iqram yang baru sahaja hendak masuk ke dalam dewan seminar, spontan menghentikan langkahnya. Dia menoleh ke arah Maira. “Hmm… apa dia?” tanyanya.

“Bos tak nak makan sarapan pagi dulu ke?” tanya Maira.

Iqram mengerling jam di pergelangan tangan kirinya. Jam digital itu tertulis angka 7.25. Dia menoleh semula ke arah Maira. “Tak naklah! Seminar dah nak mula ni. Kenapa?” balasnya dengan muka serius. Langsung tidak tercalit sebarang senyuman di bibir.

“Err…” Maira agak serba salah hendak menyuarakan kemahuannya.

Iqram menjungkit sebelah keningnya. “Kenapa?”

Maira pamer senyum manis. “Boleh tak kalau…” Ayatnya mati di situ. Takut kalau-kalau mengundang kemarahan Iqram sekiranya dia berterus-terang.

“Boleh apa?” potong Iqram apabila tiada tanda-tanda untuk Maira meneruskan bicara.

Maira menarik nafas panjang. “Boleh tak kalau saya nak pergi sarapan dulu? Kalau saya tak makan sarapan pagi, takut perut saya lapar aje. Lagipun, sarapan kan penting untuk kesihatan kita. Ia memberi tenaga untuk kita melakukan tugasan harian,” balasnya beria-ia. Ceh, tak pasal-pasal aku jadi doktor pulak. Siap bagi ceramah kesihatan lagi. Hebatlah kau, Maira! Perfect!

Iqram berdecit. “Kalau tak payah makan sarapan pagi, tak boleh ke? Seminar kan dah nak mula ni.” Dia cuba menegah Maira.

“Tak boleh, bos!” balas Maira dengan suara tegas.

Iqram menjeling geram. “Yalah… yalah… pergilah! Saya tunggu kat dalam aje. Ingat, jangan lama-lama!” Sempat lagi dia memberi peringatan keras buat stafnya itu.

Maira terus tersenyum lebar. “Beres, bos!” Dia terus berjalan menuju ke arah meja yang menyediakan pelbagai juadah makanan untuk sarapan pagi.

Iqram hanya menggeleng demi melihat telatah Maira. “Penting makan lagi dari kerja. Maira… Maira…” bebelnya, lalu mengorak langkah masuk ke dalam dewan seminar.

SUDAH acap kali Maira menggosok matanya. Rasa kantuk semakin membuak-buak. Uwaa!!! Sekali lagi dia menguap panjang. Aduh, mengantuknya! Tangannya segera ditongkatkan ke dagu. Beberapa kali dia terlentok kerana terlelap.

Iqram mengerling figura Maira. Dia menggeleng demi melihat telatah gadis comel itu. Menguap aje kerjanya. Dah macam Blue Hippo aje tau! Teruk bebenor anak dara ni. Isyh! Isyh! “Maira?” tegurnya, sambil menyiku lengan gadis itu.

Maira tersentak kecil apabila lengannya terasa disiku. Spontan, dia menoleh ke arah Iqram. “Hmm… apa dia, bos?” Dia sudah tersengguk-sengguk menahan rasa kantuknya. Kalau dapat tidur nilah… alangkah bahagianya hidup!

“Awak nikan… buat saya rasa malu aje tau! Tersengguk-sengguk… tergeleng-geleng… macam tengah nyanyi lagu Angguk-angguk Geleng-geleng aje tau! Kalau awak rasa mengantuk sekalipun, kontrollah sikit! Ramai mata yang memandang gelagat awak tu tau!” tegur Iqram tegas, berbisik ke telinga Maira.

Maira menjeling geram. “Hisy, bos ni bising aje tau! Macam lalat aje! Saya mengantuk tau! Bos apa tahu? Bab-bab dengar ceramah ni, memang saya cukup anti! Awal-awal lagi saya dah pangkah macam dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok tu,” herdiknya panjang lebar. Erk, apa kena-mengena pulak dengan drama Ali Baba Bujang Lapok? Ah, lantaklah!

“Eh, saya ni cakap benda yang betul! Nasib baik kita kat Kedah tau. Kalau tak, memang saya dah denda awak. Bila saya bising, awak cakap saya ni macam lalat!” bebel Iqram dengan suara geram.

“Diamlah!” bentak Maira.

Iqram mendengus geram. “Fine!”

Uwaa!!! Sekali lagi Maira menguap panjang. “Mengantuknya!”

Iqram menjungkit kening. Dia tersenyum penuh makna. Terselit idea nakal di kotak fikirannya. “Awak mengantuk ya? Ala-ala… kesiannya! Apa kata kalau awak baring aje atas karpet merah ni. Lepas tu, awak boleh tidur sepuas hati. Siap boleh meleleh air liur lagi,” ejeknya selamba.

Maira membuntang mata. Dia mendengus geram. “Kalau bos nak saya tidur atas karpet merah ni, okey! Dengan rasa rendah diri, saya nak landing atas karpet merah ni sekarang,” bidasnya keras. Tidak mahu mengaku kalah dengan Iqram.

Iqram senyum sinis. Oh, siap kau! “Kalau macam tu, baiklah. Dipersilakan untuk tuan puteri landing atas karpet ni sekarang,” perlinya lagi.

Maira terus terdiam kaku. Kelu lidahnya hendak membalas sindiran Iqram. Argh, dia pulak yang terkena! Tak pasal-pasal lidah kau terbelit, Maira. Tulah, lain kali fikir dulu sebelum bercakap. Hatinya membentak geram.

Aik, kau diam pulak? Lidah kau dah jadi kelu ke, Maira?” ejek hati Iqram lalu tergelak jahat.

“OKEY! Ceramah kita berhenti setakat ni. Kalau ada apa-apa soalan, tuan-tuan dan puan-puan boleh bertanya pada saya. Sebelum kita tamatkan ceramah tengah hari ni, pihak menganjur ada sediakan makan tengah hari di luar. Tuan-tuan dan puan-puan boleh menjamu selera di sana. Saya sudahi ceramah saya pagi ni dengan ucapan Assalamualaikum,” ucap penceramah di slot pagi itu.

Demi mendengar perkataan ‘makan tengah hari’, mata Maira terus menjadi segar-bugar. Dia mengukir senyuman lebar. Kriukk! Perutnya sudah berbunyi lagu lapar. He he he… masa untuk melantak!

Seisi dewan seminar itu sudah bangun lalu berjalan ke luar. Tinggal Iqram dan Maira sendirian di dalam.

Maira menoleh ke arah Iqram. “Err… bos?” tegurnya.

Iqram yang sedang ralit mencatit sesuatu di buku notanya, serentak menoleh. “Hmm?” Dia membalas acuh tak acuh.

“Jom kita pergi makan tengah hari, bos! Perut saya dah berkeroncong minta diisi ni!” kata Maira beria-ia.

Iqram menggeleng. “Tak naklah! Kalau awak nak makan, awak pergilah. Saya nak duduk kat dalam ni aje,” balasnya. Dia kembali mencatit buku notanya semula.

Maira berdecit. “Hisy, bos ni mengada-ngadalah! Jomlah kita pergi makan! Dahlah pagi tadi, bos tak sarapan. Nanti sakit pulak,” balasnya beria-ia.

Iqram mendengus geram. Dia merenung figura Maira setajam-tajamnya. “Kan saya dah cakap, saya tak nak! Awak tak reti nak faham bahasa ke hah?” bentaknya.

Maira terkesima. Dia menarik muncung. Eh, dia menjerit kat aku? Tak guna punya manusia! “Hisy, bos ni dah kenapa hah? Apa masalah bos ni? Saya tanya secara baik-baik kan. Yang bos jawab secara kasar tu, apahal?” herdiknya mula hilang sabar.

Iqram mengeluh keras. “Okey, saya minta maaf!”

Maira berpeluk tubuh. Dia tayang muka toya, tanda protes.

“Awak pergilah makan tengah hari dulu, Maira. Saya tunggu kat sini aje,” balas Iqram. Mula berlembut dengan gadis itu.

Maira menoleh ke arah Iqram. Hatinya mula terpujuk demi mendengar suara lembut itu. “Betul?”

Iqram tersenyum lalu mengangguk.

“Err… bos nak tak kalau saya tolong ambilkan makanan untuk bos?” tanya Maira beria-ia.

“Tak apa, Maira. Kalau saya lapar, nanti saya keluar ya,” tolak Iqram.

“Okey,” Maira terus bangun. “Saya pergi makan dulu ya?”

Iqram hanya mengangguk.

Serentak itu, Maira berjalan pergi meninggalkan Iqram sendirian di situ.

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.