Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 27

“YANG kau gelabah macam kucing hilang anak tu, kenapa? Habis basah lencun baju kau dengan peluh. Kau ni dah kenapa, Am? Cubalah bawak bertenang,” kata Muiiz sambil menggeleng melihat telatah Iqram.

Iqram mengeluh. “Aku risaulah bila fikirkan penerimaan Maira. Agak-agak kaulah, dia terima lamaran aku ni ke tak?” luahnya dengan suara lemah.

Muiiz pamer senyum sinis. “Kau sendiri yang cari penyakitkan? Sendiri buat, sendiri tanggunglah!” sindirnya.

Iqram menjeling. “Kau ni, nak perli-perli aku pulak!” bentaknya.

“Eh, tak betul ke apa yang aku cakap ni? Kau yang gatal-gatal hantar rombongan meminang kan? Kalau dia naik angin, haa… tanggunglah sendiri!” Sekali lagi Muiiz menyindir Iqram.

Iqram terkedu. Dia semakin resah. “Kalau Maira naik angin, apa yang aku harus lakukan?” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Bukannya dia tidak kenal siapa Maira. Terlebih kenal! Gadis itu memang pantang disentuh! Aduh, dia jadi gerun memikirkan nasib yang bakal diterimanya kelak.

Muiiz ketawa sinis. “Hmm… nak buat apa? Tak payah buat apa-apa, Am. Kau duduk diam aje.” Dia membalas dengan muka selamba.

Iqram menjeling. Tidak puas hati dengan sindiran itu. “Kau ni, bukannya nak tolong aku! Lagi disindir adalah!” Dia membentak.

“Ala… tak payah fikir yang bukan-bukanlah, Am! Relax ok, be cool! Insya-ALLAH, aku yakin tak akan ada apa-apa yang berlaku nanti. Percayalah!” Dengan penuh yakin, Muiiz membalas.

“Kalau berlaku juga, macam mana?” balas Iqram semakin resah.

Muiiz pamer senyum sinis. “Ala… paling kuat pun, kau dapat hadiah buku lima dari Maira, Am!” balasnya, lalu ketawa besar. Sengaja hendak mengusik kawan baiknya itu.

Membuntang terus biji mata Iqram demi mendengar kata-kata itu. “Izz!” protesnya.

Muiiz tayang sengihan. “Cuba serapkan aura positif dalam diri kau tu, Am. Tak payah fikir yang bukan-bukan. Percayalah cakap aku, tak akan ada apa-apa yang berlaku.”

Iqram tersenyum. “Harap-harap macam tulah, Izz.”

“Insya-ALLAH!”

“KAMI datang membawa hajat besar. Diharap pihak tuan dan puan sudi menerima hajat kami dengan tangan terbuka,” ucap Muiiz sambil tersenyum manis.

Berkerut dahi Encik Azmil. “Hajat apa?”

Puan Fadillah dan Mak Uda Harlina melihat segerombolan figura yang sedang duduk di tengah ruang tamu dengan muka terpinga-pinga.

“Ehem-ehem!” Tiba-tiba kedengaran Hajah Sakinah berdehem. “Kami datang membawa hajat besar. Kami ingin menyunting Maira Qaisarah untuk anak teruna kami.” Dia bersuara dengan nada lembut.

Mak Uda Harlina tercengang. “Pinang Maira?” Dia ternganga. “Untuk siapa?”

Maira yang kebetulan baru sahaja pulang dari berjongging, terus terkejut sebaik sahaja melihat figura majikannya di tengah rumah. Matanya menangkap satu yang sangat dikenali. Figura yang dimaksudkan ialah Hajah Sakinah. Ah, dia semakin resah. Takkanlah… oh, tidak! Dia tidak rela!

“Tok?” Gulp, dia meneguk liur. “Tok buat apa kat rumah Maira ni?” tanyanya dengan suara terketar-ketar.

Hajah Sakinah tersenyum lebar. “Hang masih ingat lagi ka lamaran tok dulu?” tanyanya beria-ia.

Maira tergamam. “Iii… ingat!”

Senyuman di bibir semakin lebar. “Haa… tulah tujuan tok datang rumah hang ni, Maira,” balas Hajah Sakinah beria-ia.

Maira terkedu.

“Atas permintaan Iqram, kami datang untuk meminang kamu, Maira.” Datuk Hakim mencelah.

Figura Datin Marina dan Erika segera mengangguk.

Maira ternganga. “Apa?” Ah, rasa macam nak jatuh tersembam menyembah ke bumi aje sekarang ni. Iqram pinang aku? Ah, aku bermimpi ke? Oh, tidak! “Encik Iqram hantar rombongan ni untuk meminang saya?” Sukar dia hendak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku. Gila!

“Ya, Maira.” Datin Marina mencelah.

Maira mendengus marah. Dia genggam buku lima. Bawah bibirnya digigit sekuat hati. “Boleh tolong panggilkan Encik Iqram masuk ke dalam?” pintanya dengan suara menggigil-gigil menahan amarah. Walaupun dirinya sedang dikuasai amarah, namun mereka bukan pesalah sebenar. Pesalah sebenar ialah Iqram a.k.a Mr. singa! Dialah punca segala-galanya! Argh!

BERULANG kali Iqram memanjatkan doa ke Yang Maha Esa agar dikurniakan kekuatan untuk berhadapan dengan kemarahan Maira. Setapak demi setapak, dia berjalan masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Sebaik sahaja kakinya mencecah ke kawasan tengah rumah, matanya segera menangkap satu figura gadis yang sedang berdiri umpama tiang elektrik sambil berpeluk tubuh. Gulp, dia segera menelan liur. Terketar-ketar seluruh tubuhnya menahan rasa gerun.

Maira merenung tajam figura Iqram. Nafasnya semakin tidak sekata. Sekejap laju, sekejap perlahan. Hisy, nak aje aku tumbuk muka kau tau! herdik hatinya lantang.

Iqram memberanikan dirinya berjalan ke arah Maira. Dia berdiri tegak di hadapan gadis itu. “Err… awak panggil saya ke?” tanyanya dengan suara takut-takut. Melihat ekspresi wajah Maira mengudang ketakutan di benaknya. Ah, bila-bila masa sahaja gadis itu akan menerkamnya.

Maira pamer senyum sinis. “Ya, saya panggil bos!”

Gulp! Sekali lagi Iqram meneguk liur. “Kenapa?”

Rona wajah Maira bertukar serius. “Bos ke yang hantar mereka semua ke rumah saya?” tanyanya dengan suara keras.

Iqram hanya mampu mengangguk.

Maira semakin bengang. “Bos hantar rombongan ni untuk meminang saya?” herdiknya garang.

Sekali lagi Iqram mengangguk.

Maira mendengus geram. Jari-jemarinya dipatah-patahkan sehingga menghasilkan bunyi prak! Api kemarahannya semakin bercambah. Senyuman sinis di bibirnya semakin melebar. Kau nak rasa sangat penumbuk aku ni kan? Haa… ambik ni!

Tidak semena-mena satu tumbukan padu hinggap ke pipi kanan Iqram. Tubuh Iqram terundur sedikit ke belakang. Pipi yang lebam akibat ditumbuk itu segera diusap Ouch, dia merintih sakit.

“Apa ni, Maira? Kenapa awak tumbuk saya? Sakit, tau tak? Apa, awak ingat pipi saya ni punch bag ke hah?” Iqram mengherdik dengan suara geram.

Maira ketawa sinis. “Oh, tahu pun sakit? Haa… padanlah dengan muka bos yang kacak tu! Bos dah lupa ke? Kita ni tak pernah bercinta tau! Jadi, kenapa tiba-tiba aje bos hantar rombongan meminang untuk saya? Bos dah gila ke apa?” Bagaikan suara halilintar, dia menengking nyaring.

Seisi ruang tengah rumah terkejut besar demi mendengar suara tengkingan itu. Masing-masing diam tidak terkata. Terkedu.

Iqram terus tergamam demi mendengar herdikan Maira.

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.