MEMBUNTANG
terus mata Maira demi melihat jarum jam yang sudah berganjak ke pukul 6.55
pagi. “Haa… kenapa laju sangat kau bergerak, wahai jam? Tulah kau, Maira!
Berjam-jam duduk dalam bilik air tu, suka sangat main air kan? Tengok, kan dah
pukul 6.55! Matilah kau lepas ni, Maira!” Dia mula keresahan.
Nasib
baik dia sudah siap menukar pakaian di dalam bilik air tadi. Sekarang, tinggal
hendak kemaskan penampilan diri sahaja. Dia berjalan ke meja solek. Bedak compactdi atas meja segera dicapai.
Penutup itu dibuka secara kasar. Lalu, dia menepek bedak ke mukanya. Sesudah
itu, dia meletakkan semula bedak itu ke atas meja. Lipgloss berwarna merah jambu dicapai lalu dicalit sedikit ke
bibir. Usai itu, dia meletakkan semula lipgloss
itu ke atas meja.
Dia
memerhati penampilan dirinya di cermin. “Hmm… miss perfect 10!” pujinya sambil tersengih-sengih bak kerang
busuk. Perasan aje kau ni, Maira! He he he…
Dia
mengerling jam di atas meja. “Haa… dah pukul 7.05 pagi?” Mulutnya ternganga
besar.
Tuk!
Tuk! Tuk! Daun pintu bilik diketuk dari luar. Membuat Maira tersentak kecil.
Dia keresahan. “Aduh, cepatlah pulak dia ni bersiap!” desis Maira mula
kelam-kabut.
Dia
melihat penampilan diri di cermin. Setelah memastikan penampilan dirinya kemas,
serta-merta dia mencapai beg tangannya yang berwarna merah jambu di tepi katil
lalu disisipkan ke bahu kanannya. Terkocoh-kocoh dia melangkah ke muka pintu.
Baru
sahaja hendak memulas tombol pintu, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering
nyaring. Dia berdecit geram. “Aduh, siapalah yang gatal tangan telefon aku
pagi-pagi buta ni?” Dia membebel sendirian.
Serentak
itu, dia menyeluk poket seluarnya lalu menarik keluar telefon bimbitnya. Skrin
telefon ditenung. Muncul nama Iqram di situ. Dia ternganga. “Alamak, Mr. singa
dah telefonlah! Mesti dia nak berkhutbah panjang lebar dekat telinga aku ni.
Aduh!”
Punat
berwarna hijau ditekan. Seraya itu, dia meletakkan telefon bimbit itu ke
telinga kanannya. “Ya, bos?” Terketar-ketar nada suaranya. Sedar akan kesalahan
dirinya itu.
Iqram
mendengus. “Kenapa awak tak keluar lagi hah? Awak tahu tak, kita dah lambat ni!
Dah pukul 7.10 pagi tau! Awak lambat selama 5 minit!” Iqram mula
membebel-bebel.
“Err…
saya minta maaf, bos! Saya terbangun lambat pagi tadi.” Maira memberi alasan.
Bangun lambat konon? Padahal, seronok main air dalam bilik air. He he he…
Iqram
mencebik. “Tak payah nak cipta alasan yang tak munasabah tu! Saya tak nak
dengar apa-apapun! Baik awak keluar sekarang atau saya tinggalkan awak!” ugut
Iqram dengan suara keras.
Maira
menghentak kaki. “Yalah… yalah… saya keluar sekarang!”
Cepat-cepat
dia memulas tombol pintu bilik. Sebaik sahaja daun pintu tersengkang luas,
tersembul figura Iqram di muka pintu.
Gulp!
Maira meneguk liur. Alahai… ketatnya muka dia! “Err… sorry, I’m late.” Dia menayangm muka serba salah.
Iqram
pamer senyum sinis. “No excuse!”
Dengan
selamba, Iqram berjalan pergi meninggalkan Maira sendirian di belakang. Padan
muka kau! Puas hati aku!
Maira
tercengang. “Erk, selamba badak aje dia tinggalkan aku? Cis!” Usai mengunci
pintu bilik, cepat-cepat dia menghayun langkah laju membuntuti langkah Iqram
dari belakang.
“ERR… BOS?”
Iqram
yang baru sahaja hendak masuk ke dalam dewan seminar, spontan menghentikan
langkahnya. Dia menoleh ke arah Maira. “Hmm… apa dia?” tanyanya.
“Bos
tak nak makan sarapan pagi dulu ke?” tanya Maira.
Iqram
mengerling jam di pergelangan tangan kirinya. Jam digital itu tertulis angka
7.25. Dia menoleh semula ke arah Maira. “Tak naklah! Seminar dah nak mula ni.
Kenapa?” balasnya dengan muka serius. Langsung tidak tercalit sebarang senyuman
di bibir.
“Err…”
Maira agak serba salah hendak menyuarakan kemahuannya.
Iqram
menjungkit sebelah keningnya. “Kenapa?”
Maira
pamer senyum manis. “Boleh tak kalau…” Ayatnya mati di situ. Takut kalau-kalau
mengundang kemarahan Iqram sekiranya dia berterus-terang.
“Boleh
apa?” potong Iqram apabila tiada tanda-tanda untuk Maira meneruskan bicara.
Maira
menarik nafas panjang. “Boleh tak kalau saya nak pergi sarapan dulu? Kalau saya
tak makan sarapan pagi, takut perut saya lapar aje. Lagipun, sarapan kan
penting untuk kesihatan kita. Ia memberi tenaga untuk kita melakukan tugasan
harian,” balasnya beria-ia. Ceh, tak pasal-pasal aku jadi doktor pulak. Siap
bagi ceramah kesihatan lagi. Hebatlah kau, Maira! Perfect!
Iqram
berdecit. “Kalau tak payah makan sarapan pagi, tak boleh ke? Seminar kan dah
nak mula ni.” Dia cuba menegah Maira.
“Tak
boleh, bos!” balas Maira dengan suara tegas.
Iqram
menjeling geram. “Yalah… yalah… pergilah! Saya tunggu kat dalam aje. Ingat,
jangan lama-lama!” Sempat lagi dia memberi peringatan keras buat stafnya itu.
Maira
terus tersenyum lebar. “Beres, bos!” Dia terus berjalan menuju ke arah meja yang
menyediakan pelbagai juadah makanan untuk sarapan pagi.
Iqram
hanya menggeleng demi melihat telatah Maira. “Penting makan lagi dari kerja.
Maira… Maira…” bebelnya, lalu mengorak langkah masuk ke dalam dewan seminar.
SUDAH acap kali Maira menggosok matanya.
Rasa kantuk semakin membuak-buak. Uwaa!!! Sekali lagi dia menguap panjang.
Aduh, mengantuknya! Tangannya segera ditongkatkan ke dagu. Beberapa kali dia
terlentok kerana terlelap.
Iqram
mengerling figura Maira. Dia menggeleng demi melihat telatah gadis comel itu.
Menguap aje kerjanya. Dah macam Blue Hippo aje tau! Teruk bebenor anak dara ni.
Isyh! Isyh! “Maira?” tegurnya, sambil menyiku lengan gadis itu.
Maira
tersentak kecil apabila lengannya terasa disiku. Spontan, dia menoleh ke arah
Iqram. “Hmm… apa dia, bos?” Dia sudah tersengguk-sengguk menahan rasa
kantuknya. Kalau dapat tidur nilah… alangkah bahagianya hidup!
“Awak
nikan… buat saya rasa malu aje tau! Tersengguk-sengguk… tergeleng-geleng… macam
tengah nyanyi lagu Angguk-angguk Geleng-geleng aje tau! Kalau awak rasa
mengantuk sekalipun, kontrollah sikit! Ramai mata yang memandang gelagat awak
tu tau!” tegur Iqram tegas, berbisik ke telinga Maira.
Maira
menjeling geram. “Hisy, bos ni bising aje tau! Macam lalat aje! Saya mengantuk
tau! Bos apa tahu? Bab-bab dengar ceramah ni, memang saya cukup anti! Awal-awal
lagi saya dah pangkah macam dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok tu,” herdiknya
panjang lebar. Erk, apa kena-mengena pulak dengan drama Ali Baba Bujang Lapok?
Ah, lantaklah!
“Eh,
saya ni cakap benda yang betul! Nasib baik kita kat Kedah tau. Kalau tak,
memang saya dah denda awak. Bila saya bising, awak cakap saya ni macam lalat!”
bebel Iqram dengan suara geram.
“Diamlah!”
bentak Maira.
Iqram
mendengus geram. “Fine!”
Uwaa!!!
Sekali lagi Maira menguap panjang. “Mengantuknya!”
Iqram
menjungkit kening. Dia tersenyum penuh makna. Terselit idea nakal di kotak
fikirannya. “Awak mengantuk ya? Ala-ala… kesiannya! Apa kata kalau awak baring
aje atas karpet merah ni. Lepas tu, awak boleh tidur sepuas hati. Siap boleh
meleleh air liur lagi,” ejeknya selamba.
Maira
membuntang mata. Dia mendengus geram. “Kalau bos nak saya tidur atas karpet
merah ni, okey! Dengan rasa rendah diri, saya nak landing atas karpet merah ni sekarang,” bidasnya keras. Tidak mahu
mengaku kalah dengan Iqram.
Iqram
senyum sinis. Oh, siap kau! “Kalau macam tu, baiklah. Dipersilakan untuk tuan
puteri landing atas karpet ni
sekarang,” perlinya lagi.
Maira
terus terdiam kaku. Kelu lidahnya hendak membalas sindiran Iqram. Argh, dia pulak
yang terkena! Tak pasal-pasal lidah kau terbelit, Maira. Tulah, lain kali fikir
dulu sebelum bercakap. Hatinya membentak geram.
Aik,
kau diam pulak? Lidah kau dah jadi kelu ke, Maira?” ejek hati Iqram lalu
tergelak jahat.
“OKEY! Ceramah kita berhenti setakat ni.
Kalau ada apa-apa soalan, tuan-tuan dan puan-puan boleh bertanya pada saya.
Sebelum kita tamatkan ceramah tengah hari ni, pihak menganjur ada sediakan
makan tengah hari di luar. Tuan-tuan dan puan-puan boleh menjamu selera di sana.
Saya sudahi ceramah saya pagi ni dengan ucapan Assalamualaikum,” ucap
penceramah di slot pagi itu.
Demi
mendengar perkataan ‘makan tengah hari’, mata Maira terus menjadi segar-bugar.
Dia mengukir senyuman lebar. Kriukk! Perutnya sudah berbunyi lagu lapar. He he
he… masa untuk melantak!
Seisi
dewan seminar itu sudah bangun lalu berjalan ke luar. Tinggal Iqram dan Maira
sendirian di dalam.
Maira
menoleh ke arah Iqram. “Err… bos?” tegurnya.
Iqram
yang sedang ralit mencatit sesuatu di buku notanya, serentak menoleh. “Hmm?”
Dia membalas acuh tak acuh.
“Jom
kita pergi makan tengah hari, bos! Perut saya dah berkeroncong minta diisi ni!”
kata Maira beria-ia.
Iqram
menggeleng. “Tak naklah! Kalau awak nak makan, awak pergilah. Saya nak duduk
kat dalam ni aje,” balasnya. Dia kembali mencatit buku notanya semula.
Maira
berdecit. “Hisy, bos ni mengada-ngadalah! Jomlah kita pergi makan! Dahlah pagi
tadi, bos tak sarapan. Nanti sakit pulak,” balasnya beria-ia.
Iqram
mendengus geram. Dia merenung figura Maira setajam-tajamnya. “Kan saya dah
cakap, saya tak nak! Awak tak reti nak faham bahasa ke hah?” bentaknya.
Maira
terkesima. Dia menarik muncung. Eh, dia menjerit kat aku? Tak guna punya
manusia! “Hisy, bos ni dah kenapa hah? Apa masalah bos ni? Saya tanya secara
baik-baik kan. Yang bos jawab secara kasar tu, apahal?” herdiknya mula hilang
sabar.
Iqram
mengeluh keras. “Okey, saya minta maaf!”
Maira
berpeluk tubuh. Dia tayang muka toya, tanda protes.
“Awak
pergilah makan tengah hari dulu, Maira. Saya tunggu kat sini aje,” balas Iqram.
Mula berlembut dengan gadis itu.
Maira
menoleh ke arah Iqram. Hatinya mula terpujuk demi mendengar suara lembut itu.
“Betul?”
Iqram
tersenyum lalu mengangguk.
“Err…
bos nak tak kalau saya tolong ambilkan makanan untuk bos?” tanya Maira beria-ia.
“Tak
apa, Maira. Kalau saya lapar, nanti saya keluar ya,” tolak Iqram.
“Okey,”
Maira terus bangun. “Saya pergi makan dulu ya?”
Iqram
hanya mengangguk.
Serentak
itu, Maira berjalan pergi meninggalkan Iqram sendirian di situ.