Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 23

SEBAIK tiba di meja Sonia, langkah Iqram terus mati. “Sonia, masuk bilik saya sekarang!” tegurnya dengan suara serius. Langsung tidak tercalit seulas senyuman di bibir. Wajah itu kelihatan sungguh serius.

Sonia tersentak. “Err… baik, bos!” jawabnya dengan suara terketar-ketar.

Serentak itu, Iqram berjalan masuk ke dalam biliknya. Meninggalkan Sonia sendirian di mejanya.

Gulp! Sonia meneguk liur. Dia keresahan. Seraya itu, dia bangun lalu berjalan masuk ke bilik Iqram.

“Err… Encik Iqram?” tegur Sonia takut-takut.

Iqram yang sedang membelek whatsapp di telefon bimbitnya, seraya mendongak memandang figura Sonia. “Hmm… masuk!” arahnya dengan suara tegas.

Sonia terus berjalan ke meja Iqram, lalu melabuhkan duduk di kerusi.

Figura Sonia ditenung tajam. “Awak tahu, apa sebabnya saya panggil awak masuk bilik saya?” tanya Iqram serius.

Sonia menggeleng.

Iqram pamer senyum sinis. “Kenapa awak sebarkan fitnah tentang saya dan Maira kat satu pejabat? Awak sedar tak, perbuatan awak tu salah tau! Saya boleh kenakan tindakan tatatertib ke atas awak, Sonia!” tegas Iqram dengan suara menengking. Sungguh, dia geram dengan perbuatan setiausahanya itu.

Sonia jadi serba tak kena. “Saya minta maaf, Encik Iqram. Saya… saya…”

“Atas alasan apa, awak bertindak macam tu, Sonia? Bagi saya sebab yang musabab, saya nak tahu!” celah Iqram sebelum sempat Sonia menghabiskan bicara.

“Err…” Sonia jadi gugup. Otaknya ligat diproses bagi mencari alasan. Namun, dia gagal. “Saya… saya…”

“Awak apa, Sonia?” tengking Iqram.

Tengkingan itu serta-merta membuat Sonia terdiam membisu.

Iqram mendengus geram. “Awak betul-betul dah melampau, Sonia! Awak sanggup menjaja cerita yang bukan-bukan pasal kami, sedangkan awak tahu ia sama sekali tak benar. Saya kecewa dengan perbuatan awak. Saya tak sangka, awak sanggup tikam saya daripada belakang,” bidasnya dengan suara keras.

Sonia menggigit bawah bibirnya. “Saya minta maaf, Encik Iqram.” Hanya ucapan itu sahaja yang mampu diluahkan dari bibirnya.

Iqram merenung tajam figura Sonia. “Saya bagi amaran, Sonia,” Jari telunjuknya tertuding tepat ke muka setiausahanya. “Jangan pernah buat benda bodoh tu lagi. Saya tak akan teragak-agak untuk kenakan tindakan disiplin ke atas awak. Kali ni, saya lepaskan awak. Tapi kalau awak buat juga, saya tak akan lepaskan awak lagi,” ugutnya dengan suara tegas.

Sonia mengangkat tangannya, bak sedang berikrar. “Saya janji, Encik Iqram!” janjinya beria-ia.

Iqram pamer senyum sinis. “Awak boleh keluar sekarang!” arahnya.

Sonia terus bangun, lalu berjalan ke muka pintu. Namun langkahnya mati apabila terdengar suara Iqram menegurnya.

“Saya tak nak pisang berbuah dua kali, Sonia. Sebab saya tak akan teragak-agak untuk pecat awak. Faham?” herdik Iqram.

Sonia terpana. “Baik, Encik Iqram!” jawabnya.

“Bagus! Awak boleh keluar sekarang.”

Cepat-cepat Sonia membolos keluar dari bilik itu.

Iqram bersandar ke belakang. “Kau fikir, aku akan biarkan kau buat sesuka hati ke? Kau silap besarlah, Sonia!” herdiknya geram.

Tiba-tiba, wajah Maira muncul di mata. Sekali gus, dia tersenyum lebar. Rasa rindu mengetuk sanubari. “Hmm…” Terbit satu idea di benak fikiran. Serta-merta dia bangun lalu berjalan keluar dari biliknya.

“MAIRA?” jerkah Iqram sedikit kuat.

Maira yang sedang menghirup minuman panasnya, terus tersembur. Apa lagi, dia pun terus melatah. “Oii, nenek!” latahnya tanpa sedar.

Nasib baik Iqram sempat mengelak. Kalau tak, percuma sahaja kena tepung tawar. Dia berdecit, lalu menjeling. “Awak ni, sabar aje tau! Nasib baik saya tak kena tepung tawar!” bebelnya geram.

Maira menyengih. “Padan muka bos! Siapa suruh buat saya terkejut? Kalau tegur saya baik-baik, tak boleh ke?” bebelnya.

Iqram mencebik. “Eleh… Sikit-sikit nak terkejut. Awak ni lemah semangat tau!” sindirnya dengan muka selamba.

Membuntang terus mata Maira demi mendengar sindiran itu. “Hisy, bos ni!” bentaknya.

Iqram tidak membalas, dia hanya tersengih. “Err… Maira, jom kita keluar makan tengah hari?” ajaknya beria-ia.

Maira tercengang. “Haa… bos ajak saya keluar makan tengah hari?” Erk, betul ke apa yang aku dengar ni? Telinga aku belum pekak kan? Biar betik?

Iqram mengangguk laju. “Ya, saya ajak awak keluar makan tengah hari.” Beria-ia dia membalas.

Maira terdiam. “Err…”

“Awak ikut saya ya? Kita makan tengah hari sama-sama,” celah Iqram.

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi, Maira! Ini satu arahan!” Iqram segera memotong sebelum sempat Maira menghabiskan bicara.

Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia agak keberatan hendak memenuhi permintaan itu. “Saya bukan tak nak ikut bos pergi makan tengah hari. Tapi, saya tak berapa selesalah. Lagipun, bos kan tahu apa yang dah berlaku kat pejabat. Kalau saya keluar dengan bos, nanti apa pulak orang lain cakap?” Dia cuba menolak dengan cara lembut.

Iqram berdecit geram. “Ala… biar ajelah orang nak cakap apapun pasal kita. Lagipun, kita bukannya buat perkara sumbang mahram pun. Kita cuma keluar makan tengah hari sama-sama aje. Tu pun di khalayak ramai,” balasnya beria-ia.

“Tapi…”

“Awak takut staf-staf saya mengata pasal kita ke?” celah Iqram.

Maira mengangguk.

Iqram tersenyum. “Mulut orang ni bukannya kita boleh tutup, Maira. Makin kita cuba tutup, makin laju dia bersuara. Nak tak nak, kita kena biarkan aje. Esok lusa bila mereka dah penat, tahulah mereka diam,” balasnya dengan suara tegas.

Maira mengeluh. “Yalah… saya setuju dengan kata-kata bos tu. Tapi buat masa ni, kita tak payah keluarlah! Saya tak nak orang terus mengata pasal kita, bos!” balasnya, beria-ia cuba menolak.

Iqram mendengus. “Dah, saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi! Pokoknya, awak kena ikut saya keluar makan tengah hari. Faham?” tegasnya.

Maira terkedu. “Tapi…” Dia cuba membantah, namun Iqram segera mencelah.

“Tak ada tapi-tapi lagi!” Seraya itu, Iqram terus bangun lalu berjalan pergi meninggalkan Maira sendirian di meja.

Maira menarik muka cemberut. Hisy, suka paksa orang tau! Bencilah! bentak hatinya geram.

JAM digital di sudut tengah meja dikerling. Angka di jam itu sudah berubah ke 12.30 tengah hari. Maira tersenyum lebar. “Hmm… masa untuk makan tengah hari,” desisnya sendirian.

Serentak itu, dia mengemas mejanya. Fail-fail yang menimbun di tengah meja, disusun supaya kelihatan lebih cantik. Sesudah puas hati dengan susunan fail di atas meja, dia bingkas mencapai beg tangannya lalu menyisipnya ke bahu. Dia terus bangun lalu bersedia untuk melangkah pergi.

Baru sahaja hendak memulakan langkah, tiba-tiba kedengaran satu suara menegurnya. “Awak dah siap ke, Maira?” tegur suara itu.

Maira tersentak kecil. Serta-merta dia menoleh ke tepi. Dia tersenyum kelat apabila melihat figura Iqram. Dia kan ajak aku keluar makan tengah hari. Erk, macam mana aku boleh terlupa ni? desisnya sendirian. “Err… kita nak pergi mana, bos?” tanyanya sedikit gugup.

Berkerut dahi Iqram demi mendengar soalan itu. “Aik, takkanlah awak dah lupa kot? Kita kan nak keluar makan tengah hari sama-sama,” Dia mengecilkan bola matanya. “Awak ni sengaja buat-buat tak ingat, kan?”

Terasa panas wajah Maira demi mendengar sindiran itu. Dia menyengih. “Err…” Tergagap-gagap dia hendak menjawab soalan cepumas itu.

“Dah, tak payah nak banyak bunyi lagi! Jom kita pergi makan tengah hari!” celah Iqram sebelum sempat Maira meneruskan bicara.

“Eh,” Cepat-cepat Maira bersuara. “Kalau kita tak payah keluar makan tengah hari sama-sama, tak boleh ke?” katanya beria-ia.

Bulat biji mata Iqram. “No! Awak tetap kena keluar makan tengah hari dengan saya, Maira Qaisarah!” tegasnya dengan suara serius.

Maira berdecit. “Tapi…” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Iqram mendengus. “Tak ada tapi-tapi lagi!” potong Iqram. “Jom!” Dia segera menarik tangan Maira, lalu berjalan menuju ke lobi.

Maira tergamam. Eh, dia pegang tangan aku? Aduh, dia ni memang sengaja bikin panas tau! Kalaulah mata-mata staf di jabatan ni pandang, tak ke haru jadinya? desis hatinya keresahan.

LANGKAH Maira dan Iqram mati di depan pintu lif. Masing-masing diam membatu. Langsung tidak terlintas di fikiran untuk memulakan kata. Tiba-tiba, daun pintu lif terkuak. Muncul figura Erika di dalam.

Demi melihat figura Maira dan Iqram, mata Erika terus membuntang. Segaris senyum penuh makna terukir di bibir. “Eh, Am dan Maira nak pergi mana ni?” tanyanya dengan muka ingin tahu.

“Err… kami nak…” Belum sempat Maira menghabiskan ayatnya, cepat-cepat Iqram memintas.

“Kami nak pergi dating,kak.” Iqram membalas dengan muka selamba.

Maira terkedu. Terasa panas di wajahnya apabila mendengar jawapan itu. Serta-merta dia menoleh ke arah Iqram. Dia mahu bertanya apa sebabnya lelaki itu mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa, namun lidahnya seakan-akan terbelit untuk melontarkan kata. Dia mendengus geram kerana tidak berupaya untuk membetulkan keadaan sebenar. Argh!

Garis senyum penuh makna semakin lebar di bibir Erika. “Oh, nak pergi berdating ya? Wah, seronoknya!” usiknya.

Iqram tergelak. “Akak ni… ada-ada aje tau!” Dia jadi malu-malu meow apabila mendengar usikan itu.

Maira mencebik. Erk, dia ni memang pelakon hebat kan? Dahlah aku digosipkan dengan dia kat pejabat. Lepas tu, tak pasal-pasal aku pergi serang Sonia si setiausaha gedik tu. Dan dengan selamba badaknya, Mr. singa ni cakap nak keluar dating dengan aku? Mengaku depan Cik Erika pulak tu! Aduh, choi betullah! bentak hatinya geram.

“Ehem-ehem!” Erika berdehem.

Sekali gus, mematikan lamunan Erika dan Iqram.

“Okeylah, akak nak masuk bilik dulu. Ada kerja yang perlu diselesaikan,” kata Erika. “So, selamat berdating ya,” usiknya lalu ketawa besar.

Merah padam muka Maira demi mendengar usikan itu. Membuntang terus biji matanya. Haa… selamat berdating? Oh, aku tak tersalah dengar kan? Sukar dia hendak percaya dengan apa yang baru terkeluar dari bibir Erika. Berdating dengan Mr. singa? Ah, gila ke apa? Sorry, tak hingin aku!

Iqram tergelak. “Okey kak, terima kasih ya,” balasnya dengan muka selamba.

“Sama-sama, dik.” Serentak itu, Erika berjalan pergi meninggalkan figura Maira dan Iqram sendirian di depan lif.

Iqram menekan punat lif untuk ke tingkat bawah. Dalam masa beberapa saat, lif itu kembali terbuka semula. “Jom!” ajaknya seraya terus menarik tangan Maira untuk masuk ke dalam perut lif.

Maira yang terpinga-pinga dengan tindakan ketuanya itu, hanya menurut tanpa banyak bicara.

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.