SELIMUT
ditarik sehingga ke paras dada. Seluruh tubuhnya menggigil bak disirami ais.
Kesejukan semakin berakar ke segenap sanubarinya. “Ya ALLAH… sejuknya!” desis
Maira dengan suara lemah.
Tiba-tiba
kedengaran bunyi ketukan pintu dari luar. “Maira? Oh… Maira? Awak dah bangun ke
belum? Dah pagi ni, sayang! Awak tak nak pergi kerja ke?” Kedengaran suara
laungan Iqram dari luar, memanggil isterinya.
Maira
merengek-rengek bak anak kecil. “Iqram…” Suaranya antara keluar atau tidak.
Tekaknya terasa begitu pedih sekali.
Tombol
pintu dipulas dari luar, lalu daun pintu terkuak. Muncul figura Iqram di muka
pintu. Lelaki itu berjalan ke katil, lalu melabuhkan duduk di sebelah
isterinya. Berkerut-kerut dahinya demi melihat keadaan isterinya. “Kenapa ni,
sayang?” soal Iqram dengan suara lembut. Mempamer sikap tanggungjawab pada
isterinya itu.
“Saya
sakit…” rengek Maira. Manja suaranya, seakan-akan hendak mengambil perhatian
suaminya itu.
Iqram
semakin hairan. Sakit? Eh, semalam elok aje… Terdetik sesuatu di fikirannya.
Serta-merta dia menyentuh permukaan dahi Maira. Membuntang terus biji matanya.
Mak aii, panasnya! “Awak demam ni, Maira. Jom, saya bawak awak pergi klinik!”
ajaknya beria-ia.
Demi
mendengar perkataan ‘klinik’ terpacul keluar dari mulutnya, serta-merta Maira menggeleng
laju. “Tak nak!” bentaknya.
Iqram
berdecit. Erk, dia ni takut pergi klinik ke? “Laa… kenapa pulak? Kalau
dibiarkan berterusan macam ni, nanti demam awak bertambah melarat. Jomlah,
sayang!” Dia bersuara dengan nada tegas.
“Tak
nak!” bentak Maira lagi. “Saya takut nak jumpa doktor. Saya tak nak kena injection, sakit!” rengeknya.
Hampir
terburai tawa Iqram demi mendengar jawapan itu. He he he… dah besar panjang
macam ni pun, takut kena suntikan ke? Dasyat! “Janganlah mengada-ngada, Maira.
Kita pergi jumpa doktor demi kesihatan awak jugak,” pujuknya.
“Tak
nak!”
Iqram
menyentuh tangan Maira. Demi melihat bintik-bintik merah pada permukaan kulit
tangan isterinya, matanya terus membuntang besar. “Pusing sini!” arahnya,
seraya memusing lembut tubuh isterinya itu menghadapnya.
Maira
berdecit. “Kenapa? Saya sakitlah!” Dia membentak.
Rengekan
Maira langsung tidak dipedulikan. Wajah comel isterinya itu ditelek. “Eh, awak
kena demam campak ni, Maira!” Iqram mula jadi kelam-kabut. Serta-merta dia
berdiri. “Jom kita pergi klinik sekarang!” Sekali lagi dia mendesak.
Maira
menjeling. “Hisy, saya tak naklah! Awak tak reti nak faham bahasa ke hah?”
Hilang sabar jadinya dengan sikap lelaki itu yang suka mendesaknya.
Iqram
mendengus geram. “Awak tu sakit tau? Takkanlah saya nak biarkan sakit awak tu
terus melarat? Nanti orang cakap saya ni tak ambil berat kesihatan isteri
sendiri,” desaknya dengan suara tegas.
“Hisy!”
Maira menarik muncung panjang. “Lantak dia oranglah! Mulut orang ni bukannya
boleh tutup pun. Kalau susah sangat, stapler aje terus. Habis cerita!”
bebelnya.
Aduh,
dia ni keras kepala tau! “Jangan sampai saya cempung awak, Maira!” ugut Iqram.
Maira
menjeling. “Buatlah!” Dia mencabar.
Iqram
pamer senyum sinis. “Awak jangan cabar saya, Maira. Saya buat betul-betul
nanti!” Dia mengugut lagi.
“Buatlah!”
Sekali lagi Maira mencabar.
“Awak
memang sengaja cabar saya kan? Fine,
siaplah awak!” Iqram membongkokkan sedikit tubuhnya. Dia segera mencempung
tubuh Maira.
Maira
terkesima. Terkejut dengan tindakan Iqram. “Eh, apa ni?”
“Awak
yang cabar saya kan? Saya cuma buat apa yang awak nak aje. Jadi, tolong diam
dan jangan nak banyak bunyi!” sindir Iqram.
“Hisy,
awak ni…”
Langkah
Iqram mati seketika. Dia merenung nakal wajah Maira. “Kalau awak terus nak pot
pet pot pet tanpa henti, saya tak teragak-agak untuk cium mulut awak tu. Bukan
setakat cium aje tau, saya… hmm awak faham-faham sendiri ajelah ya?” ugutnya
dengan riak nakal.
Demi
mendengar ugutan itu, serta-merta Maira menekup mulutnya dengan kedua-dua belah
telapak tangannya. Serta-merta dia menggeleng. “Okey, saya diam!” katanya
beria-ia.
Iqram
tersenyum lebar. “Hmm… good!” Haa…
tau takut? Aku baru gertak sikit aje, tapi dia dah kecut perut. Maira… Maira…
Hatinya tergelak lucu.
ALADDIN mengetuk dagunya berulang kali.
Bibirnya terjuih ke depan. Sebelah keningnya berulang kali terjungkit naik ke
atas. “Maira memang bercinta dengan Encik Iqram ke?” Dia menyoal.
Sebuah
keluhan berat terhembus keluar dari bibirnya. “Kalau betul Maira ada hubungan
dengan Encik Iqram, macam mana ya?” Dia jadi resah. “Aduh, tak boleh jadi ni!
Aku yang gigit jari nanti!” Dia bangun lalu jalan bermundar-mandir di tepi
mejanya.
Terdetik
sesuatu di benaknya. “Bila Maira cuti… Encik Iqram pun cuti…” Dia terdiam
sejenak. “Macam hari ni… Maira cuti sakit, Encik Iqram pula ambil cuti
kecemasan…” Sekali lagi ayatnya mati.
Argh!
hatinya menjerit nyaring. “Apa sebenarnya hubungan dia orang ya?”
Tiba-tiba,
kelihatan figura Hidayah melintas di hadapannya. Di tangan gadis itu tersisip
sebuah fail berwarna biru cair. Dia tersenyum. Cepat-cepat dia berjalan ke arah
gadis itu.
“Dayah!”
jerkah Aladdin.
Tersentap
hati Hidayah demi mendengar jerkahan itu. Langkahnya serta-merta mati. Demi
melihat figura Aladdin, dia berdecit geram. “Hisy, kau nilah…” Dia menjeling
tajam. “Buat aku terkejut aje tau! Tak boleh ke kalau kau tegur aku elok-elok?”
bebelnya, menayang muka tidak puas hati.
“Aku
ada benda nak cakap dengan kau ni!” kata Aladdin. Tidak pedulikan bebelan
Hidayah.
Berkerut
dahi Hidayah. “Apa bendanya?” tanyanya ingin tahu.
“Maira
tu memang ada apa-apa hubungan dengan Encik Iqram ke?” tanya Aladdin, tidak
sabar hendak mendengar jawapan Hidayah.
Hidayah
terlongo. “Hubungan? Hubungan yang macam mana tu?” soalnya dengan muka
terpinga-pinga.
Hisy,
dia ni lambat fahamlah! bentak hati Aladdin. “Maksud aku, dia orang tu bercinta
ke?” terangnya satu per satu.
Oh…
Hidayah tersenyum. Keningnya terjungkit sebelah. “Kenapa, kau cemburu ke?”
balasnya selamba.
Aladdin
menjeling. “Kau tak payah nak buat iklan kat sinilah! Just straight to the point, ok! Maira tu memang bercinta dengan
Encik Iqram ke?” Sekali lagi dia mengulangi soalan yang semakin menikam benak
fikirannya itu. Hatinya meronta-ronta mahukan jawapan yang tepat.
“Hisy,
manalah aku tahu! Kau fikir aku ni wartawan Majalah Hiburan ke?” sindir Hidayah
sinis. Sengal punya soalan! “Aku ni bab-bab nak menjaga tepi kain orang ni, sorrylah derr… Tu bukan style aku tau! Nak jaga tepi kain
sendiri pun susah, inikan pulak tepi kain orang,” tambahnya lagi.
Aladdin
merengus. “Maira tu kan kawan baik kau, Dayah. Takkanlah kau tak tahu apa-apa
kot? Mesti dia ada cerita apa-apa kat kau kan?” Dia terus-terusan mendesak.
Hidayah
mendengus keras. “Kau faham bahasa Melayu tak? Dah aku kata tak tahu tu,
maknanya tak tahulah! Takkanlah nak kena cakap dalam bahasa Jerman, baru kau
nak faham?” Dia membentak. Hilang sabar dengan telatah Aladdin.
Bola
mata Aladdin mengecil. “Kau betul-betul tak tahu?” Sukar dia mahu percaya
jawapan itu.
“Hisy,
betullah! Untuk apa aku nak tipu kau, Din? Kalau dapat duit, tak apalah jugak!”
Sempat lagi Hidayah menyindir Aladdin.
Aladdin
terus terdiam.
“Dahlah,”
Tiba-tiba Hidayah bersuara, memecah keheningan sunyi antara mereka. “Malas aku
nak layan kau!” Serentak itu, dia berjalan pergi meninggalkan Aladdin sendirian
di situ.
Aladdin
termanggu sendirian. Dia meraup wajahnya. “Apa sebenarnya hubungan mereka ya?
Mereka bercinta ke tak?” Hatinya semakin dikuasai rasa ingin tahu yang semakin
meluap-luap.