IQRAM
memandu kereta BMW 3 Seriesnya memasuki ke perkarangan sebuah rumah kampung
separuh batu. Sesudah itu, dia membebaskan gear lalu menarik brek tangan. Dia
menoleh ke arah Maira. “Maira?”
tegurnya.
“Haa?”
Bola mata Maira meliar ke sana sini. Melihat keadaan sekeliling. Seraya itu,
dia mengalihkan pandangan ke arah Iqram. “Kita kat mana ni, bos?”
Terpinga-pinga dia memandang wajah kacak itu.
Iqram
tersenyum. “Kita dah sampai.”
“Haa?”
Benak fikirannya semakin ditikam rasa hairan. “Dah sampai? Kita kat mana ni,
bos?” Sekali lagi Maira mengulang soalannya.
“Kita
kat rumah tok saya, Maira,” balas Iqram dengan muka selamba.
Maira
tercengang. Mulutnya ternganga, matanya pula sudah membuntang luas. “Haa… kita
buat apa kat sini?” Dia menayang memek muka hairan.
“Alang-alang
kita nak pergi Kedah, kita singgahlah rumah tok saya dulu. Lagipun, saya dah
lama tak balik kampung. Saya rindu sangat-sangat pada tok saya tau.” Iqram
beria-ia membalas.
Maira
berdecit. “Tapi, saya…”
“Kenapa?”
Dahi Iqram berkerut. Hairan dengan gelagat Maira.
Maira
menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Err… saya bukan tak nak masuk, bos.
Saya.. saya rasa tak selesalah. Lagipun, saya bukannya kenal dengan keluarga
bos. Saya kenal Datuk Hakim dan Cik Erika aje.” Agak keberatan dia hendak menerima
ajakan Iqram.
Iqram
tergelak. “Awak jangan risaulah, Maira. Tok saya tu baik orangnya tau. Dia tu
bukannya monster yang telan manusia
hidup-hidup. Tok saya tu makan nasi aje,” balasnya beria-ia.
Maira
mencebik. “Takkan tok bos tu monster
kot? Bos ni ada sangkut-paut dengan Sang Gelembai ke?” sindirnya. Garis senyum
sinis meniti di bibir. “Tapi saya tengok bos ni tak ada rupa keturunan Sang
Gelembai pun, macam singa jantan adalah.” Puas hatinya kerana berjaya
mengenakan ketuanya itu.
Iqram
menggeleng. Tercuit hatinya demi mendengar kata-kata itu. “Awak nikan, merepek
aje tau. Tulah… suka sangat tengok cerita kartun, sampaikan terjebak dalam
dunia kartun awak tu.” Dia mengutuk dengan muka selamba.
Membuntang
mata Maira. “Bos!” Hisy, selamba katak aje kau kutuk aku ya? Aku hempuk sekali,
naya aje!
Iqram
tersenyum. “Dah, tak payah nak banyak bunyi lagi. Jom kita masuk dalam,” ajak
Iqram beria-ia. Malas dia hendak melayan telatah kebudakan-budakan gadis itu.
Agak-agaknya, terlebih minum air ribena kot.
Maira
berdecit. “Ala, saya…”
Belum
sempat Maira menghabiskan kata, tidak semena-mena cermin tingkap kereta mewah
itu diketuk dari luar. Serentak itu, dua pasang mata itu teralih ke luar.
Senyuman
lebar meniti di bibir Iqram demi melihat figura seorang lelaki remaja berumur
16 tahun yang sedang berdiri di sebelah keretanya. Cepat-cepat dia menurunkan
cermin tingkap kereta. “Eh, Abshar!”
“Pasaipa
tercegat dalam kereta ni? Jomlah kita masuk dalam!” ajak Abshar beria-ia. Suka
benar dia melihat figura abang sepupu kesayangannya itu.
Iqram
spontan mengangguk. “Okey!”
Dia menoleh ke arah
Maira. “Jom kita masuk dalam, Maira!” ajaknya beria-ia.
Maira
berdecit. “Tapi…”
“Siapa
tu, bang? Marka abang ka?” celah Abshar sambil menjeling figura Maira di seat
sebelah. Garis senyum nakal terbit di bibir.
Maira
tersentak. Erk, aku marka Mr. singa ni? Hisy, memang taklah! Namun belum sempat
dia hendak membalas, Iqram terlebih dahulu bertindak.
“Ha’ah,”
Sambil tersenyum nakal, Iqram menoleh ke arah Maira. “Dia marka abang.”
Terpalit riak nakal di wajah kacak itu.
Maira
tercengang. Haa? Dagunya hampir terjatuh ke bawah tatkala mendengar pengakuan
itu. Erk, aku marka dia? Ha ha ha… kelakarnya!
Abshar
tertawa. “Oh, marka abang rupanya. Jomlah kita masuk dalam. Haa… kak boleh
kenal-kenal dengan tok.” Beria-ia dia menambah.
“Err…”
“Dia
tak nak masuk dalam, Abshar.” Sekali lagi Iqram mencelah sebelum sempat Maira
bersuara.
Berkerut
dahi Abshar. “Laa… pasaipa pulak?”
Iqram
pamer senyum nakal. “Dia malu.”
Maira
ternganga luas. Haa… aku malu? Erk, sejak bila pulak ni?
“Laa…
pasaipa nak malu pulak, kak? Tok sah nak malu-malu aih. Kalau kak nak tau, tok
kami la tok paling awesomedalam
dunia ni tau,” beritahu Abshar beria-ia.
Maira
berdecit. “Err…”
Iqram
merenung wajah Maira bersama segaris senyum nakal di bibir. “Jomlah kita masuk
dalam, sayang. Kesian tok saya tu tau. Dah lama dia tunggu kita. Dia mesti dah
tak sabar nak jumpa ‘bakal cucu menantu’ dia yang selamba ni.” Dia membalas
dengan muka selamba. Sengaja hendak mengenakan gadis itu.
Maira
menjeling geram. “Yalah… yalah…”
DENGAN langkah gementar, Maira berjalan
masuk ke dalam rumah sederhana besar separuh batu separuh kayu itu. Dug dag!
Dug dag! Hatinya semakin dipalu gendang. Hisy, masa-masa macam nilah cik hati
nak buat perangai kan? Relax Maira,
janganlah gelabah tak tentu hala!
Iqram
memandang figura Maira. Garis senyum penuh makna meniti di bibir. Seraya itu,
dia berjalan ke arah gadis itu. “Maira?” Dia berbisik ke telinga gadis itu.
Nada suaranya kedengaran begitu romantik sekali.
Maira
tergamam. Meremang bulu romanya demi mendengar suara itu. Terasa seluruh saraf
sendirinya menggigil-gigil. Aduh, kau ni dah kenapa, wahai cik hati? “Err… apa
ni, bos? Ja… janganlah buat macam tu. Saya tak selesalah.” Tergagap-gagap
suaranya.
Iqram
pamer senyum menggoda. Dia merenung manja wajah Maira. “Kenapa awak tiba-tiba
aje jadi gagap ni?” Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. Membuat aliran
nafas mereka menjadi sekata. “Awak takut ke bila tiba-tiba aje saya jadi
romantik?”
Terasa
membahang wajah Maira. Umpama baru lepas keluar dari oven. Tubuhnya mula terasa seram sejuk. Lebih sejuk dari kartun
Frozen. “Err…” Ala… kenapa dengan kau ni, Maira? Hisy, tiba-tiba aje lidah ni
jadi pendek bila Mr. singa jadi romantik.
Tawa
Iqram hampir terburai, namun segera ditahan. Sungguh, dia berasa geli hati demi
melihat eskpresi wajah Maira.
“Ehem-ehem!”
Tiba-tiba kedengaran suara deheman dari belakang.
Maira
dan Iqram segera berpusing ke belakang.
Maira
menghela nafas lega. Akhirnya, muncul sang penyelamat yang telah menyelamatkan
dirinya daripada Iqram. Lelaki itu benar-benar sudah gila! Tiba-tiba aje
berubah sikap. Ah, menakutkan!
“Tok!”
Iqram segera meluru masuk ke dalam pelukan nenek kesayangannya itu.
Hajah
Sakinah segera membalas pelukan cucunya itu. “Hang tau ndak, tok rindu kat
hang. Awak lama tak balik Ipoh, Am?”
Iqram
meleraikan pelukan mereka. Wajah Hajah Sakinah ditenung dengan penuh rindu. “Am
minta maaf, tok. Bukan Am tak nak balik, tapi Am sibuk dengan kerja. Bukan
setakat tok aje yang rindukan Am tau. Am ni haa… rindu sangat-sangat kat tok
tau.” Beria-ia dia membalas.
Hajah
Sakinah mencebik. “Hang tu memang, sibuk aje memanjang!” bebelnya.
Iqram
hanya tergelak.
Hajah Sakinah menoleh
ke arah figura Maira yang tegak berdiri di belakang Iqram. “Siapa ni, Am?”
tanyanya ingin tahu.
Iqram
berpusing ke belakang. Dia tersenyum nakal. “Sebenarnya, dia…”
“Dia
tu marka abang Am, tok!” celah Abshar sebelum sempat Iqram menghabiskan
ayatnya.
Merah
padam kedua-dua belah pipi Maira. Aduh, tak pasal-pasal aku dicop mohor sebagai
teman wanita Mr. singa ni tau. Oh, tidak! Aku tak rela!
Hajah
Sakinah mengalihkan wajahnya ke arah Iqram. Dia pamer senyum lebar. “Betui ka,
Am?” Dia mengerling pandang figura Maira. Hatinya berbunga-bunga demi melihat
gadis comel itu. Cantiknya, memang sesuai dengan cucu aku, puji hatinya
Iqram
ketawa. “Sebenarnya, Abshar dah salah faham ni…” balasnya dengan muka selamba.
Abshar
tercengang. “Haa?”
“Hmm…
salah faham. Actually, dia ni bukan
teman wanita Am. Dia staf Am di Hakim Holdings. Nama dia Maira,” terang Iqram
satu per satu.
Membuntang
terus biji mata Abshar. Dia menarik muka cemberut. “Hisy, abang ni jahat tau!
Tak pasal-pasal Am kena tipu bulat-bulat dengan abang!” bebelnya dengan suara
geram. Puihh, hantu betul!
Tawa
Iqram terus meledak kuat. Hatinya puas kerana berjaya mengenakan adik sepupunya
itu. Rasa!
Maira
berjalan ke hadapan Hajah Sakinah. Dia menyalami dan mencium tangan wanita tua
itu tanda hormat. Garis senyum manis terukir di bibir. “Apa khabar, tok? Saya
Maira Qaisarah. Tok boleh panggil saya Maira aje.” Dia memperkenalkan dirinya.
Hajah
Sakinah tersenyum. Ringan tangannya mengusap kedua-dua belah pipi Maira.
Sungguh, hati tuanya sudah mula terpaut dengan kecomelan gadis itu. “Kalau
betui pun Maira ni teman wanita hang, apa salahnya? Memang sesuai benar dengan
hang, Am.”
Iqram
dan Maira terus terkedu.
MAIRA menghirup sedikit air sirap
bandungnya. Sesudah minum, gelas kaca itu bingkas diletakkan ke atas meja. Puas
dia cuba untuk menenangkan hatinya yang sedang berdetak maha hebat kala ini,
namun tiada guna. Jantungnya terasa bagai hendak melantun keluar tatkala
bait-bait kata Hajah Sakinah terngiang-ngiang di cuping telinganya.
Iqram
mengerling sekilas figura Maira. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. Pasti
gadis itu teringatkan peristiwa sebentar tadi. Dia tersengih lebar. Mesti lutut
kau terketar-ketar, jantung kau bagai nak melantun keluar dan hati kau berdegup
kencang sekarang nikan? He he he…
Hajah
Sakinah menjeling figura Maira dan Iqram silih berganti. Dia hanya tersenyum
lebar. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang bermain di benak fikirannya kala
ini.
“Ehem-ehem!”
Tiba-tiba Abshar berdehem.
Tiga
pasang mata itu serentak menoleh ke arah Abshar.
Abshar
merenung figura Maira. Dia tersenyum penuh makna. “Kak ni cantik la. Memang
sesuai dengan Abang Am tau. Sama cantik, sama padan,” katanya beria-ia.
Maira
terkedu. Terasa membahang wajahnya demi mendengar kata-kata itu. “Hisy Abshar
ni, ada-ada ajelah! Akak dengan Encik Iqram ni mana ada apa-apa hubungan. Akak
ni staf dia aje.” Beria-ia dia menafikan kebenaran. Apa punya statement daa? Buat malu aku aje tau!
Iqram
segera mengangguk laju. “Betul cakap Maira tu, Abshar. Maira ni cuma staf abang
di pejabat aje. Hubungan kami tak lebih antara seorang majikan dengan pekerja
aje,” celahnya bersungguh-sungguh.
Hajah
Sakinah senyum penuh makna. “Kalau betui pun hampa berdua ni ada apa-apa, apa salahnya kan? Tok lagi suka tau!”
Dia mencelah.
Maira
tergamam. “Tok ni, ke situ pulak. Maira dengan Encik Iqram ni memang tak ada
apa-apa hubungan pun,” Dia menoleh ke arah Iqram. “Kan, bos?”
“Betui
tu, tok!” sokong Iqram bersungguh-sungguh.
“Memanglah
hampa berdua tak ada apa-apa hubungan
la ni. Tapi manalah tau, kot-kot hampa
berdua ni berjodoh nanti. Tup… tup… dah jadi laki bini,” balas Hajah Sakinah
beria-ia.
“Betul!
Betul! Betul!” celah Abshar.
Sebuah
jelingan tajam dihadiahkan buat Abshar. “Abshar ni sibuk aje tau!” marah Iqram.
“Laa…
tok sahlah hang nak marah budak Abshar ni, Am. Dia cakap benda yang betui.”
Hajah Sakinah membela cucunya itu.
Abshar
tersengih. Dia menjelirkan lidahnya pada Iqram. “Haa… tengok, tok pun bela
Abshar tau!” Dia memerli dengan muka selamba.
Iqram
menarik muka cemberut. Dia menayang penumbuk ke muka Abshar. “Diamlah!”
herdiknya geram.
Hajah
Sakinah tergelak. Lucu melihat gelagat dua sepupu itu. “Hampa ni… ada-ada aja!”
Tiba-tiba,
wanita tua itu bangun lalu bersedia untuk mengorak langkah.
Berkerut
dahi Iqram demi melihat tingkah laku toknya. “Eh, tok nak pi mana tu?”
“Tok
nak pi masaklah. Takkan nak pi sembelih ayam pulak?” Hajah Sakinah berloyar
buruk.
Tawa
Abshar terburai. Iqram pula sudah menarik muka masam.
Demi
mendengar jawapan Hajah Sakinah, Maira bingkas bangun. “Err… Maira tolong tok,
ya?” katanya beria-ia.
Hajah
Sakinah tersenyum lebar. “Hmm… molek sungguhlah tu! Kita ni orang perempuan
kena rajin-rajin turun ke dapur. Barulah laki tak cari lain.” Sempat lagi dia
berceramah pada Maira. Wanita tua it uterus berjalan menuju ke dapur.
Merah
padam muka Maira mendengar ceramah itu. Cis, tak pasal-pasal aku pulak yang
terkena! Argh! bentak hatinya geram. Namun dia tidak banyak bunyi, dia terus
membuntuti langkah Hajah Kamariah ke dapur.
Iqram
hanya memerhati figura Maira melalui ekor matanya. Dia tersenyum penuh makna.
Tanpa disedari, tingkah lakukanya diperhatikan oleh Abshar dengan penuh
minat.