Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 37

“APASAL kau resah gelisah semacam aje ni, Mai?” soal Hidayah bersama kerutan di dahi.

Maira tersenyum hambar. “Resah gelisah?” Sedaya upaya dia cuba berlagak selamba. Tidak mahu Hidayah mengesan gelora di hatinya. “Mana ada! Kau ni merepek ajelah!” Beria-ia dia menafikan kebenaran.

Kening terjungkit ke atas. “Ya ke ni?” tebak Hidayah.

Beria-ia Maira mengangguk. “Yalah!”

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Bola mata Hidayah semakin mengecil, merenung tajam figura Maira. “Kau tak payah nak tipu akulah, Mai! Dari muka kau pun, aku dapat mengesan keresahan di hati kau tau! Baik kau berterus-terang, Mai!” Dia terus-terusan mendesak.

Maira berdecit geram. “Tak ada apa-apalah!” bentaknya dengan suara keras.

Hidayah terus terdiam. Mukanya mula cemberut. Tidak puas hati dengan jawapan itu.

Maira memerhati skrin di atas punat lif. Demi melihat nombor 7 yang terpamer di situ, dia berdecit. Aduh, kenapa lif ni bergerak lambat pulak sekarang ni? Dahlah minah ni bertanya macam-macam kat aku. Kalaulah terkantoi nanti, naya aje tau! desis hatinya semakin resah.

Tingg! Akhirnya mereka tiba di tingkat 9. Sebaik sahaja daun pintu lif terbuka, terkocoh-kocoh Maira melangkah keluar dari perut lif. Fuh, aku selamat! Lega! Cepat-cepat dia berjalan ke mejanya, meninggalkan Hidayah sendirian di dalam perut lif itu.

Ternganga mulut Hidayah demi melihat gelagat Maira. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Minah ni dah kenapa? Serentak itu, dia berjalan keluar dari perut lif. Dek rasa ingin tahu yang semakin menjalar di hati, dia bergegas ke meja kawan baiknya itu.

“Ehem!” Dia berdehem keras.

Lamunan Maira segera mati. Dia menoleh ke arah si empunya suara itu. Demi melihat figura Hidayah, hatinya kembali diulit resah. “Hmm… kau nak apa?” Sedaya upaya dia cuba mengawal rasa gugup agar tidak nampak ketara di mata kawan baiknya itu.

Hidayah terus duduk di sebelah Maira. “Yang kau resah gelisah macam kucing hilang anak tu, kenapa?” Sekali lagi dia cuba menduga.

“Mana adalah!” Sekali lagi Maira menafi keras.

Hidayah mencebik. “Tak payah nak tipu akulah, Mai! Kita kawan dah lama tau! Aku dah terlebih kenal kau tau!” sindirnya. “Haa… berterus-terang aje dengan aku! Tak payah nak sorok apa-apa dari aku!” Dia terus mendesak.

“Hisy, kau tak faham bahasa ke hah? Dah aku kata tak ada apa-apa tu, maknanya tak ada apa-apalah!” Tiba-tiba Maira membentak. Suaranya mula meninggi, menandakan kemarahan mula menguasai diri. Sungguh, dia jadi geram dengan telatah Hidayah. Nak paksa-paksa orang pulak! Argh!

Hidayah terus terdiam. Tiba-tiba, inai yang terhias di kedua-dua belah tangan Maira menjadi jamahan bola matanya. Dia tercengang. “Sejak bila pulak kau pandai pakai inai ni, Mai? Setahu akulah, kau mana pandai pakai benda-benda alah tu. Nak pakai cincin pun, kau geli-gelaman. Apatah lagi nak pakai inai.” Dia merenung tajam figura Maira.

Maira terkedu. “Err…”

“Err apa?” celah Hidayah.

Maira berdecit. Erk, nak bagi alasan apa ni ya? “Err… tiba-tiba aje aku teringin nak pakai inai, Mai!” Beria-ia dia membalas. Mereka alasan supaya rahsianya itu tidak pecah.

Hidayah terlongo. “Haa… kau ni biar betul?” Dia antara percaya atau tidak.

Beria-ia Maira mengangguk. “Kenapa, kau tak percaya ke?”

“Yalah!” balas Hidayah bersungguh-sungguh. “Serius, aku susah nak percaya cakap kau ni. Kau kan memang jenis perempuan yang tak sukakan alat perhiasan diri, melainkan…” Mulutnya ternganga. Terdetik sesuatu di benak fikirannya.

“Melainkan apa?” Maira semakin berdebar-debar.

“Kau pakai inai, dan…” Hidayah terdiam sejenak. “Tadi aku terserempak dengan Encik Iqram. Jari dia pun berinai.” Sekali lagi dia terdiam. “Kau orang kahwin senyap-senyap ya?” Dia mula membuat spekulasi.

Membuntang terus biji mata Maira. Alamak! “Mana ada!” nafinya dengan suara keras.

Wajah Hidayah berubah serius. “Baik kau cakap betul-betul, Mai!”

“Betullah! Buat apa aku nak tipu kau hah?” nafi Maira lagi. Aduh… kalau dia berterus-terusan menyoal, alamatnya terkantoilah aku! Dahlah, janganlah tanya lagi! bentak hatinya.

“Betul?” Hidayah menduga.

“Betullah!” Bersungguh-sungguh Maira membalas.

Hidayah terus terdiam.

Tiba-tiba Maira berdiri. “Err… aku nak keluar, nak sarapan pagi. Kau nak ikut aku tak?” Suaranya tiba-tiba. Sedaya upaya cuba melenyapkan ingatan Hidayah mengenai inai yang terhias di tangannya dan Iqram itu.

Senyum lebar serta-merta terlukis di wajah Hidayah demi mendengar ajakan itu. “Jom!” Beria-ia dia membalas.

Maira tersenyum. “Jom!” balasnya sambil menarik nafas lega. Hisy, janganlah dia tanya soalan cepumas tu lagi. Terkial-kial aku nak menjawabnya nanti, desis hatinya.

Seraya itu, dua sahabat itu berjalan seiringan menuju ke lif.

“HAI, Maira!” Demi melihat figura Maira dan Hidayah di depan lif, Aladdin cepat-cepat menegur. Garis senyum lebar serta-merta terhias di bibirnya. Serta-merta rasa bahagia menyelinap masuk ke sanubarinya. Alangkah bahagianya hati dapat melihat wajah gadis yang dicintainya itu.

Demi mendengar teguran itu, Maira dan Hidayah tersentak. Serta-merta menoleh ke arah si empunya suara yang menegur itu.

Maira tersenyum hambar. “Hmm… hai!” Acuh dan tak acuh sahaja dia menyapa. Malas hendak melayan telatah lelaki itu.

Hidayah di sisinya itu hanya berdiam diri sahaja.

“Kau nak pergi mana ni, Maira?” soal Aladdin dengan suara lembut.

Pergi terjun bangunan, hati Maira menjawab sinis. “Pergi sarapan!” Lain pula yang terucap di bibirnya.

Aladdin mengangguk. “Oh!” Terangguk-angguk kepalanya demi mendengar jawapan itu. “Err… kalau aku join sekali, boleh?” balasnya beria-ia.

Membuntang biji mata Maira demi mendengar permintaan itu. “Kau nak ikut sekali?” Dia mempamer riak wajah terkejut badak.

“Ya!”

“Err…” Aduh, mamat alien ni menyibuk ajelah! Cepat-cepat otaknya bekerja keras untuk mencari alasan. Figura Hidayah di sebelahnya itu dikerling sejenak. Dia tersenyum lebar. “Aku tak kisah kalau kau nak ikut sekali, Din. Tapi…”

“Tapi apa?” Belum sempat Maira menghabiskan ayatnya, Aladdin sudah memintas.

Maira berdecit geram. Hisy, bagilah aku habis cakap dulu! bentak hatinya. “Kau kena tanya Hidayah dulu,” sambungnya.

Hidayah tercengang. “Eh, apa kena mengena dengan aku pulak?” Terpinga-pinga mukanya.

Maira menyiku siku Hidayah. “Hisy, jawab ajelah tak boleh! Takkanlah kau tak faham bahasa kot?” Dia berbisik di telinga kawan baiknya itu.

Hidayah tersenyum, mula memahami tingkah laku Maira. “Sorry Din, tak bolehlah!” katanya beria-ia.

Maira menarik nafas lega. Nasib baik minah ni tolong aku. Lega, desis hatinya.

Aladdin menarik muka cemberut. “Ala… apa salahnya kalau aku ikut kau orang? Lagipun, aku dah lama tak jumpa Maira. Aku rindu sangat-sangat kat dia tau!” Beria-ia dia merayu.

Uwerk! Bagai hendak termuntah hijau Maira mendengar rayuan itu. Rindu kat aku? Hisy, geli-geleman aku bila mendengarnya! Iyuu… kutuknya dalam hati. “Kau tak payah nak jadi gediklah, Aladdin Aimar! Geli aku dengar tau!” Dia mencelah dengan suara kasar.

Hidayah mencebik. Hisy, mamat alien ni betul-betul dah parah! Hatinya mengutuk.

“Aku tak tipu kau, Maira! Aku betul-betul rindukan kau tau!” Beria-ia Aladdin membalas.

Maira mencebik. Belum sempat dia hendak membalas kata-kata Aladdin, tiba-tiba kedengara satu suara menyapa mereka dari belakang. Serentak itu, tiga pasang mata itu berpaling melihat si empunya suara yang menegur.

Demi melihat figura Iqram, serta-merta Maira mula menjadi resah. Aduh, satu lagi bala datang!

Hidayah pamer senyum manis. “Eh, bos? Err… bos nak pergi mana ni?” Dia bertanya dengan nada sopan. Tanda hormatnya pada majikannya itu.

Aladdin di sisi Maira hanya berdiam diri.

Iqram tersenyum. “I nak keluar sekejap,” jawabnya. Figura isterinya itu dikerling sejenak. Nasib baiklah ada orang kat sini tau. Kalau tak, memang dah kena usik dengan aku, hatinya tergelak nakal. “Err… you all nak pergi mana ni?” Dia bertanya dengan riak ingin tahu.

“Pergi sarapan, bos,” jawab Hidayah ringkas.

“Oh!” Iqram mengangguk tanda memahami. Terbit satu idea di kotak mindanya, spontan dia tersenyum penuh makna. “Err… boleh tak kalau I nak pinjam Maira sekejap?” Tiba-tiba dia bersuara. Segaris senyum nakal dilemparkan buat isterinya itu.

Demi mendengar permintaan itu, Maira serta-merta menoleh ke arah figura suaminya. Haa? Gulp, dia meneguk liur. Ah, kalut! Dia nak buat kerja gila pulak! Matilah aku! “Err… bos nak bawak saya pergi mana?” Dia menyoal.

“Adalah,” jawab Iqram nakal.

Hidayah tercengang, begitu juga dengan Aladdin. Sungguh, mereka berasa hairan demi melihat tingkah laku Iqram.

Maira menggigit bibir. Hisy, dia nilah… “Nak pergi mana?” bentaknya.

Iqram mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. “Adalah.”

Maira menarik muka cemberut. “Hisy!” protesnya.

Iqram tersenyum. “Dah, jom ikut saya!” Dengan selamba badaknya, dia menarik tangan Maira masuk ke dalam perut lif. Maira yang terkedu dengan tindakan Iqram hanya mengikut sahaja. Eh?

Aladdin dan Hidayah semakin tercengang. Hairan dengan tingkah laku dua figura itu.

“YANG awak pergi tarik tangan saya tu, kenapa? Mesti Dayah dan Aladdin fikir yang bukan-bukan pasal kita tau!” bentak Maira dengan suara geram.

Iqram tayang muka toya. Dia terus menghirup sup cendawan. “Hmm… sedapnya!” katanya. Dia memandang wajah isterinya. “Cuba awak rasa sup cendawan tu, sayang. Sedap tau!” tambahnya.

Maira mencebik. “Hisy, awak ni dah kenapa hah? Saya tengah bercakap dengan awak tau!” Sekali lagi dia memprotes.

Iqram tersenyum. “Awak marah saya ke, sayang?” balasnya, siap menayang muka toya lagi.

Membulat mata Maira demi mendengar soalan itu. Dia menjeling tajam. “Awak boleh tanya soalan macam tu kat saya? Mestilah saya marah! Sesuka hati awak aje tarik tangan saya depan Dayah dan Aladdin. Perbuatan awak tu boleh buat dia orang fikir yang bukan-bukan tau!” herdiknya.

Iqram tergelak.

“Awak boleh ketawa?” Sekali lagi Maira membentak apabila mendengar suara tawa Iqram.

“Awak janganlah jadi gelabah, Maira. Relax sudah! Kalau dia orang tanya apa-apa, awak buat-buat tak tahu aje.” Iqram membalas dengan muka selamba.

Membuntang biji mata Maira demi mendengar kata-kata itu. Dia terus mendengus geram. “Awak cakap senanglah, Iqram! Yang nak kena jawab nanti adalah saya, bukannya awak!” bidasnya dengan suara keras.

Iqram tidak membalas. Dia tayang muka orang tak ada perasaan. Langsung tidak terkesan di benaknya akan kata-kata isterinya itu.

Maira menarik muka cemberut. Dia nilah, hisy!

“MAIRA!” laung satu suara dari belakang.

Maira yang baru sahaja hendak memulakan langkah tersentak kecil demi mendengar satu suara dari belakang. Serta-merta dia menoleh ke belakang. Dia berdecit demi melihat figura Aladdin yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Aduh, bala dah datang! desis hatinya.

“Aku ada sesuatu nak cakap dengan kau ni, Maira,” kata Aladdin beria-ia.

“Apa dia?” balas Maira, padahal dia sudah tahu apa sebenarnya yang ingin diperkatakan oleh Aladdin.

Raut wajah comel Maira ditenung tajam. Seakan-akan hendak menilik wajah itu. “Kau dengan Encik Iqram tu ada apa-apa ke?” Sekali lagi dia menyoal soalan yang pernah terucap di bibirnya suatu masa dahulu.

Maira tergamam. “Err…” Terkelu lidahnya hendak membalas soalan itu.

“Betul ke tekaan aku ni, Maira? Kau memang ada hubungan dengan Encik Iqram kan?” Aladdin menebak.

Maira menjeling tajam. “Aku tak ada apa-apa hubungan dengan dialah!” Dia menafi dengan suara keras.

Aladdin senyum sinis. “Ya ke ni kau tak ada apa-apa hubungan dengan dia? Habis tu, kenapa dia tarik tangan kau tadi? Layanan dia pada kau pun nampak semacam aje.” Sekali lagi dia menebak Maira.

“Kenapa kau susah sangat nak faham bahasa hah?” Api kemarahan mula menyerbu sanubari Maira. “Dah aku kata aku tak ada apa-apa hubungan dengan Encik Iqram, kan? Berapa kali aku nak kena ulang hah?” tengkingnya dengan suara garang.

Aladdin pamer senyum sinis. “Kau jangan tipu aku, Maira! Cara dia pandang kau tak sama tau macam cara dia pandang semua stafnya!” Dia mengherdik dengan suara geram.

Maira mendengus geram. “Suka hati kaulah nak fikir apapun, Din! Malas aku nak layan manusia yang tak reti nak faham bahasa macam kau ni tau!” Hilang sabar jadinya dengan sikap Aladdin. Sungguh menjengkelkan hati!

“Maira!” Tidak semena-mena Aladdin mencengkam kuat lengan Maira.

Maira tersentak. Figura Aladdin ditenung tajam. “Eh, kau ni apahal? Lepaslah!” tengkingnya.

“Aku tak akan lepaskan tangan kau ni selagi kau belum berterus-terang pada aku, Maira!” Suaranya tegas.

Maira senyum sinis. Walaupun kau berkeras nak aku berterus-terang, tapi jangan harap aku akan mengaku hakikat sebenar yang aku ni adalah isteri Iqram! Biar pecah di perut, jangan pecah di perut! “Aku ulang sekali lagi, Din! Aku tak pernah ada sebarang hubungan dengan Encik Iqram!” tegasnya.

“Tipu!” herdik Aladdin.

“Lantak kaulah sama ada nak percaya ataupun tidak, Din.” Maira semakin berang. “Lebih baik kau lepaskan tangan aku, Din. Kalau tak, aku menjerit! Biar satu pejabat ni tahu sikap sebenar kau!” ugutnya.

“Jeritlah, Maira! Aku tak peduli!” Aladdin mencabar.

Maira mendengus geram. “Kau jangan cabar aku, Din! Aku buat betul-betul nanti. Kau juga yang terima padahnya!” Sekali lagi dia mengugut.

Demi melihat raut wajah serius Maira, Aladdin terus melepaskan cengkamannya. Dia tahu, gadis itu tidak bergurau. Setiap kata-kata yang terucap di bibirnya pasti akan dilaksanakan. Jangan cari penyakit, Aladdin Aimar! “Okey, kali ni aku lepaskan kau! Tapi, aku tetap akan siasat status sebenar hubungan kau dengan Encik Iqram!” tegasnya.

Maira senyum sinis. “Suka hati kaulah, Din!” Sejurus itu, dia terus berjalan pergi meninggalkan figura Aladdin sendirian di situ. Hatinya memprotes geram dengan tindakan Aladdin. Ah, gila punya manusia!

Previous: BAB 36
Next: BAB 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.