DEMI
melihat
beribu mata staf di Jabatan Operasi yang memandangnya tidak kira sama ada
wanita ataupun lelaki, membuat Maira terus tercengang. Dahinya berkerut seribu.
Eh, kenapa semua orang tengok aku ni? Ada apa-apa yang tak kena kat muka aku
ke? Ke, ada anak toyol ikut aku dari belakang? desis Maira dengan muka hairan.
Dengan
muka terpinga-pinga, Maira berjalan menuju ke mejanya. Sebaik sahaja tiba di
meja, matanya terus membuntang luas demi melihat segerombolan fail di atas
meja. Dia mengeluh berat. “Aduh, banyaknya kerja aku! Hmm… alamatnya, aku balik
lambatlah hari ni. Hisy, suwei
betullah!” Dia membebel geram.
“Ni
semua kau punya pasallah, Mr. singa! Kalau kau tak gatal-gatal nak bawak aku
pergi Kedah, tak adalah berduyun-duyun kerja aku.” Sekali lagi dia membebel
dengan suara geram. Sebuah fail berwarna biru diambil lalu dibuka. Baru sahaja
dia hendak memulakan kerja, tiba-tiba bahunya ditepuk kasar dari belakang.
“Maira!”
jerkah satu suara dari belakang.
Maira
terkejut. Serta-merta, dia memusingkan kerusinya ke belakang. Demi melihat
figura Hidayah, dia terus mencebik. “Hmm… kau nak apa?” Dia bertanya dengan
acuh tidak acuh.
Hidayah
terus duduk di sebelah Maira. “Aku nak bergosip dengan kau, Maira!” Beria-ia
dia membalas.
“Aku
malaslah nak bergosip sekarang ni, Dayah! Aku banyak kerja tau! Daripada aku
bergosip tak ingat dunia dengan kau, baik aku settlekan kerja aku dulu. Lagi bagus!” tolak Maira.
Hidayah
berdecit geram. “Ah, aku tak peduli! Aku tetap nak bergosip dengan kau jugak!”
bentaknya.
Maira
mengeluh geram. Dia menoleh ke arah Hidayah. “Hisy, kau nak apa sebenarnya ni
hah? Kau tak nampak ke, aku tengah buat kerja
ni tau!” Dia membebel. Mula hilang sabar dengan tingkah laku Hidayah.
“Betul
ke kau dengan Encik Iqram ada hubungan cinta, Maira?”
Maira
terkujat. Fail yang sedang dibeleknya itu segera ditolak ke tepi meja. Dia
memusingkan kerusinya ke arah Hidayah. “Apa yang kau merepek ni, Dayah?” soal
Maira dengan muka tercengang. “Bila masa pulak kita orang ni bercinta?”
tambahnya lagi.
Hidayah
terlongo. “Habis tu, gosip…”
“Gosip
apa?” potong Maira sebelum sempat Hidayah menghabiskan bicara.
“Kalau
kau nak tahu, satu pejabat dah kecoh pasal kau dan Encik Iqram tau.”
“Apasal
pulak?” Sekali lagi Maira mencelah.
Hidayah
berdecit. “Hisy, bagilah aku habis cakap dulu! Tak payahlah nak mencelah!”
bentaknya.
“Okey…
okey… cakap!” balas Maira. “Cepatlah, aku dah tak sabar nak tahu ni!” desaknya
lagi.
“Sonia…”
“Kenapa
dengan Sonia?” Maira mencelah lagi.
Hidayah
mendengus geram. “Hisy, kau nak tahu ke tak?” protesnya, geram dengan telatah
Maira.
“Sorry, sorry!Haa… cakap cepat!” desak
Maira.
Hidayah
membetulkan duduknya. “Sonia sebarkan gosip antara kau dengan Encik Iqram tau.
Dia cakap, kau dengan Encik Iqram tu sebenarnya pasangan kekasih. Sebab tulah
Mr. singa tu bawa kau pergi Kedah.” Dia bercerita panjang berjeda.
Membuntang
terus mata Maira demi mendengar cerita Hidayah. Sungguh, dia terkejut dengan
cerita yang tidak masuk akal itu. “Apa, aku ada hubungan cinta dengan Encik
Iqram? Semua tu fitnah semata-mata, Dayah! Kami pergi Kedah atas urusan kerja
tau. Aku ikut dia pun atas arahan Datuk Hakim!” tegasnya.
Hidayah
tercengang. “Ya ke?”
“Yalah!”
balas Maira.
Hidayah
terus terdiam. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Erk, mana satu nak
percaya ni?
Maira
menyinsing lengan bajunya sehingga ke paras siku. Api kemarahan mula mencanak
naik. Kau memang dah melampau, Sonia! Berani kau sebarkan fitnah pasal aku dengan
Encik Iqram? Siap kau! Lebam biji mata kau, aku kerjakan!
Seraya
itu, dia bingkas bangun. Namun baru sahaja dia hendak melangkah pergi,
lengannya disentuh Hidayah. Dia menoleh ke arah kawan baiknya itu. “Kau nak apa
lagi?” herdiknya dengan suara kasar.
Gulp!
Hidayah meneguk liur. Dia jadi takut apabila melihat raut wajah Maira. “Kau nak
pergi mana tu?”
Maira
pamer senyum sinis. “Aku nak pergi cili mulut orang yang pandai-pandai sebarkan
fitnah pasal aku dengan Encik Iqram!” Serentak itu, dia terus berjalan pergi
meninggalkan Hidayah yang termanggu sendirian di situ.
Hidayah
terkedu. Dia menepuk dahi. Habislah, perang besar bakal tercetus tak lama lagi.
Oh, tidak!!!
IQRAM menghirup sedikit air milo
panasnya. Sesudah itu, mug berisi minuman panas itu segera diletakkan ke atas
meja. Kuih koci kegemarannya di piring nipis dicapai satu. Bungkusan itu
dibuka. Lalu, dia terus menyuap kuih kegemarannya itu ke dalam mulut. “Hmm…
sedapnya!” pujinya.
Datin
Marina yang kebetulan baru sahaja keluar dari dapur, berkerut dahi demi melihat
figura Iqram. Dia terus melangkah menuju ke arah figura anak terunanya itu.
“Am?” tegurnya dengan suara lembut.
Iqram
segera menoleh demi mendengar suara mama. Dia tersenyum. “Eh, mama? Selamat
pagi! Jom kita sarapan bersama-sama,” ajaknya beria-ia.
Datin
Marina terus melabuhkan duduk di hadapan Iqram. “Kamu tak pergi kerja ke hari
ni, Am?” tanyanya sambil mencedok mi goreng basah ke dalam pinggan.
“Tak,
mama. Am ambil cuti hari ni. Penatlah driving
dari Kedah ke KL,” balas Iqram ringkas.
“Oh!”
Datin Marina mengangguk. “Kesian anak mama. Hmm… memang patutlah kamu berehat,
Am.” Dia membalas dengan suara lembut. Sifat ibunya jelas terserlah melalui
sinar matanya dan tingkah laku yang ditonjolkan kepada Iqram.
Iqram
hanya tersenyum. Dia mengambil kuih koci di piring nipis, seraya membuka
bungkusan itu.
“Am?”
tegur Datin Marina.
“Ya,
mama?” jawab Iqram sambil tangannnya lincah membuka bungkusan kuih koci.
“Boleh
mama tanya sesuatu?” tanya Datin Marina.
“Apa
dia?” balas Iqram. Kuih koci yang sudah pun dibuka itu, terus disuap ke dalam
mulut.
“Am
ada apa-apa hubungan dengan staf Am yang bernama Maira tu ke?” balas Datin
Marina ingin tahu.
Demi
mendengar soalan itu, Iqram terus tersedak. Tekaknya yang terasa pedih diusap
perlahan. Cepat-cepat dia mencapai cawan minumannya.
“Eh
Am, panas tu!” tegur Datin Marina.
Iqram
tidak mempedulikan teguran itu, dia terus menghirup air milo panas itu.
Pruhh!!! Lidahnya terasa pijar. Dia mengipas-ngipas mulutnya. Ternganga-nganga
mulutnya. “Panas… panas…”
Datin
Katrina cepat-cepat menyua gelas berisi air kosong ke arah Iqram. “Nah.”
Iqram
terus menyambar gelas itu, lalu meneguk air kosong itu sehingga habis. Sesudah
itu, dia menarik nafas lega,
“Dah
okey?” tegur Datin Marina.
Iqram
mengangguk. Apabila teringatkan soalan mama sebentar tadi, Iqram bingkas
menyoal, “Kenapa mama tanya soalan macam tu pada Am?”
Datin
Marina tersenyum. “Semalam mama ada berbual dengan Erika kat dapur. Masa tu,
kebetulan tunang Erika baru aje pulang. Dia adalah cerita pasal Am di pejabat.
Yang buat mama terkejut, dia cakap kamu digosipkan dengan Maira.” Dia memulakan
ceritanya.
Dahi
Iqram berkerut. “Gosip yang mengatakan Am bercinta dengan Maira?” Dia mahukan
kepastian.
Datin
Marina mengangguk. “Betul ke ni, Am?”
Iqram
terus bersandar ke belakang. Sukar hendak percaya dengan cerita itu. “Siapa
yang pandai-pandai menjaja cerita tu, mama?”
“Ikut
kata Erika, Sonia,” balas Datin Marina.
Membuntang
mata Iqram. “Sonia?”
“Hmm…
setiausaha kamu tu.”
Iqram
terus terdiam. Api kemarahan mula menyerbu keluar dari atas kepala. Bagaikan
gunung berapi yang baru sahaja memuntahkan lavanya. Rasa geram membuak-buak di
dada. Argh, Sonia betul-betul dah melampau!
“Am?”
Iqram
tersentak kecil. “Hmm?”
“Betul
ke apa yang Erika cakapkan tu?” Datin Marina menginginkan penjelasan.
Iqram
membuang keluhan. “Mama percaya ke dengan fitnah tu? Mama tak percayakan Am?”
balasnya dengan suara lemah.
Datin
Marina terkesima. “Apa maksud Am? Jadi, fitnah tu…”
“Sama
sekali tidak benar, mama,” potong Iqram bersama segaris senyuman hambar di
bibir.
Datin
Marina terdiam. Dia terkedu demi mendengar jawapan itu.
“Am
tak sangka, Sonia boleh bertindak sejauh tu, mama. Dia betul-betul dah
melampau!” gumam Iqram dengan nada marah. Kau memang sengaja mencari penyakit
dengan aku, Sonia! Siaplah kau lepas ni! Dia mula menyimpan dendam di hati.
“Apa
masalah setiausaha kamu tu, Am? Berani dia sebarkan fitnah tu ya?” balas Datin
Marina, juga merasa geram dengan perbuatan Sonia.
“Sonia
dengan Maira memang tak pernah sebulu, mama. Pantang aje bersua muka, mulalah
nak bertekak macam anjing dengan kucing. Si Sonia tu suka cari pasal dengan
Maira. Maira pun apa lagi? Pantang orang perli-perli dia, mulalah nak jadi
baran,” cerita Iqram. “Tapi, Am tak sangka pulak si Sonia tu sanggup sebarkan
fitnah palsu tentang kami berdua, mama.” Dia menambah dengan suara kcewa.
Datin
Marina tersenyum. “Manusia, Am. Memang tak pernah lari dari sifat hasad dengki
pada orang lain,” balasnya. “Jadi, kamu nak buat apa dekat Sonia? Kamu tak
boleh biarkan aje, Am. Kamu kena ambil tindakan.”
Iqram
pamer senyum penuh makna. “Mama jangan risau. Tahulah Am nak mengajar si Sonia
tu. Dia fikir, Am nak berdiam diri macam tu aje? Dia belum kenal siapa Iqram
Fattah, mama,” katanya dengan penuh tekad.
“Hmm…
molek sungguhlah tu! Orang macam tu memang patut diberikan pengajaran, Am,”
sokong Datin Marina seratus-peratus.
ALADDIN termenung jauh, bak sedang
meramal masa depan. Raut wajahnya kelihatan masam mencuka, bak baru tertelan
sebakul limau masam. Apabila teringatkan gosip antara Maira dan Iqram, spontan
dia mengeluh. “Betul ke Maira bercinta dengan Encik Iqram?” Dia bermonolog
sendirian.
Sementara
di sudut hujung, kelihatan figura Maira sedang berjalan menuju ke satu tempat.
Langkahnya begitu laju sekali, seolah-olah dikejar hantu. Gaya gadis itu pula
seperti seorang samseng yang menanti masa untuk menyerang si mangsa. Raut wajah
gadis itu kelihatan kelat.
Demi
melihat figura Maira, cepat-cepat Aladdin menerpa ke hadapan gadis itu.
Tangannya didepakan ke kiri dan kanan, menghadang jalan gadis itu. “Maira?” Dia
tersenyum manis.
Langkah
Maira serta-merta mati. Dia mendengus keras demi melihat figura Aladdin. Hati
aku ni dahlah tengah menggelegak bak air panas sekarang ni. Bila tengok muka
mamat tak faham bahasa ni, lagi panas hati aku! Kau ni memang menyibuklah!
Masa-masa macam nilah kau nak muncul kan? bentak hatinya. “Hmm… kau nak apa?”
Suaranya keras.
“Aku
ada sesuatu nak tanya kat kau, Maira,” balas Aladdin beria-ia.
“Apa
dia?” tengking Maira dengan suara keras.
Aladdin
merenung wajah Maira. Seakan sedang menilik sesuatu di wajah itu. “Betul ke kau
bercinta dengan Encik Iqram, Maira?” tanyanya, tidak sabar hendak mendengar
jawapan gadis itu.
Membuntang
terus biji mata Maira demi mendengar soalan cepumas itu. Dia berdecit geram.
Kau ni, tanya soalan tak kena time
la. Memang nak kena sembur ni! “Yang kau sibuk-sibuk nak tahu tu, kenapa? Hal
ni tak ada kena-mengena dengan kau tau! Tak payah sibuk nak jaga tepi kain
orang!” herdiknya dengan suara garang.
Demi
melihat telatah Maira, serta-merta membuat Aladdin menjadi gerun. Hisy,
garangnya! “Err… aku bukan nak masuk campur urusan kau, Maira. Aku cuma nak
dapatkan kebenaran aje,” balasnya bersungguh-sungguh.
Maira
mendengus. “Kebenaran apa, hah? Tolonglah jangan semakkan kepala otak aku ni
lagi, boleh tak?” herdiknya.
“Salah
ke kalau aku nak tahu perkara sebenar? Kau memang bercinta dengan Encik Iqram
ke?” Sekali lagi Aladdin menyoal.
Berdebar rasanya hati
hendak mengetahui jawapan Maira. Seandainya jawapan ‘ya’ yang terucap di bibir
Maira, pasti dia akan berasa kecewa. Bunga-bunga cinta yang sekian lama disemai
dan dibaja dengan baja kasih dan sayang akan musnah begitu sahaja. Oh
janganlah, dia tidak sanggup!
Maira
pamer senyum sinis. “Kalau betul pun aku bercinta dengan Encik Iqram, kenapa?
Apa kena-mengena dengan kau? Hati kau tu naik kudis buta ke?” Dia mengherdik
dengan suara geram.
Aladdin
mengeluh. Kenapa kau tak pernah sedar cinta aku yang begitu mendalam buat diri
kau, Maira? “Aku… aku…” Ah, sukar rasanya dia hendak meluahkan apa yang terbuku
di hati.
“Kau
apa?” tengking Maira.
“Baik
kau berterus-terang, Maira. Kau memang ada hubungan cinta dengan Encik Iqram
ke?” Aladdin segera mengubah topik perbualan. Tidak betah rasanya hendak
berterus-terang perihal sebenar pada Maira.
Maira
menjeling. “Tak ada kena-mengena dengan kau!”
Dia
hendak mengorak langkah, namun cepat-cepat dihalang oleh Aladdin. “Kau belum
jawab soalan aku lagi, Maira,” katanya beria-ia.
Maira
berdesis geram. “Aku dengan Encik Iqram tak ada apa-apa hubungan! Faham?”
herdiknya keras. Dia terus menepis kasar tangan Aladdin lalu berjalan pergi
meninggalkan lelaki itu.
Aladdin
hanya memerhati lenggok Maira melalui ekor matanya sehingga hilang di sebalik
dinding. Dia menarik nafas lega. “Syukurlah… Maira tak ada apa-apa hubungan
dengan Encik Iqram.”