Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 6
SEPANJANG dalam perjalanan ke rumah Maira, Iqram dan gadis itu hanya diam membisu seribu bahasa. Tiada sebarang tanda-tanda untuk mereka bersuara. Entah apa sebab yang membuat mereka sukar untuk memulakan bicara? Umpama sudah tertelan bertan-tan jongkong emas.

Iqram mengerling figura Maira di seat sebelah. Dahinya berkerut. Erk, kenapa Miss selamba ni diam aje? Bukan ke dia suka pot pet pot pet 24 jam mengalahkan mulut itik?

Kroh! Kroh! Iqram berpura-pura terbatuk. Sengaja hendak menarik perhatian Maira.

Maira menjeling pandang figura Iqram. Keningnya terjungkit sebelah. Terbatuk-batuk macam tertelan skru tu, apahal? Kalau nak tegur tu, tegur ajelah. Bukannya luak mana pun.

Iqram jadi geram dengan telatah Maira. Aduh, dia jadi patung cendanalah pulak! Hisy! “Maira?” tegurnya akhirnya.

“Hmm?” Maira membalas acuh tak acuh.

“Pasal kereta awak tu, awak jangan risau ya. Nanti saya minta tolong kawan saya yang kerja mekanik tu baiki kereta awak,” balas Iqram bersungguh-sungguh.

Maira terpempan. “Eh, tak payahlah! Saya tak perlukan pertolongan bos. Lagipun, saya tak suka menyusahkan orang lain. Saya akan berusaha untuk selesaikan masalah sendiri,” balasnya beria-ia.

Iqram berdecit geram. “Awak ni dah kenapa hah? Saya ni berniat baik nak tolong awak tau. Tapi, awak boleh pulak menolak pertolongan saya ni? Susah sangat ke nak terima bantuan orang lain?” bidasnya.

Aku berniat ikhlas nak tolong dia. Tapi, boleh pulak dia tayang perangai gedik dia tu? Huhh, hatinya menggumam geram.

Maira memandang Iqram. “Tapi…” Dia sedaya upaya membantah, namun Iqram segera memintas.

“Tak ada tapi-tapi, Maira Qaisarah! Bila saya cakap nak tolong, maknanya saya tetap akan tolong. Sama ada awak suka ataupun tak, saya tetap akan berkeras untuk tolong awak juga. Jadi, tolong jangan nak banyak bunyi. Terima aje pertolongan saya ni!” potong Iqram dengan suara tegas dan muka serius.

Maira agak keberatan hendak menerima bantuan Iqram. “Tapi…”

“Syhh…” Iqram meletakkan jari telunjuknya ke bibir. “Diam, saya tak nak dengar sepatah kata pun dari mulut awak!” potongnya.

“Tapi…” Maira cuba menghalang, tapi Iqram sekali lagi memotong.

“Shut up, Maira Qaisarah!” potong Iqram lagi.

Maira menarik muka cemberut. Bibirnya digigit tanda geram. Sungguh, dia jadi sakit hati dengan gelagat Iqram. Lelaki itu suka memaksa dia untuk menuruti setiap kemahuannya. Argh! Dia ingat dia tu siapa? Anak raja ke? Hah, sesuka hati aje nak guna kuasa veto dia tu. Sekarang bukan dalam pejabat tau! Hatinya membebel geram.

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

Akhirnya, destinasi yang dituju sudah pun berkunjung tiba. Kelihatan BMW 3 Series milik Iqram berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat.

Iqram menoleh ke arah Maira. “Kita dah sampai.”

Maira tersenyum. “Terima kasih sebab hantar saya balik, bos.”

“Sama-sama.” Iqram membalas ringkas.

Baru sahaja Maira hendak membuka pintu kereta, tiba-tiba Iqram menegurnya. Spontan, dia berpusing memandang figura Iqram. “Ya, bos?”

“Esok, saya akan datang ambil awak kat rumah. Kita akan sama-sama ke pejabat. Tepat pukul 7.30 pagi, saya nak awak tercegat kat luar. Ingat, saya tak nak awak lambat!” Iqram berkata dengan muka serius.

Maira tersentak. “Haa… bos nak datang ambil saya? Eh, tak apalah! Bos jangan risau, ya. Saya boleh pergi kerja sendiri.” Dia ni buang tabiat ke apa? Tiba-tiba aje nak tolong aku ni… Betul ke dia ni Iqram Fattah? Ke dia ni klon bos aku?

“Awak jangan nak mengada-ngada, Maira! Awak suka ke… awak tak suka ke… saya tetap akan ambil awak kat rumah esok. Saya tak nak awak ambil MC atas alasan kereta rosak. Faham?” balas Iqram dengan suara tegas.

“Tapi…”

“No more excuse! Pokoknya, kita akan sama-sama ke office esok. Tepat pukul 7.30 pagi, saya akan datang untuk ambil awak kat rumah.” Iqram segera memotong sebelum sempat Maira meneruskan ayatnya.

“Alaa…”

“Shut up! Saya tak nak dengar apa-apa alasan dari awak, Maira!” tegas Iqram lagi.

Maira mendengus. “Okey!” Dengan hati yang sudah menggelegak umpama air panas, dia terus membolos keluar dari perut kereta BMW 3 Series.

Sesudah Maira keluar dari perut kereta, kereta mewah itu terus menderum pergi membelah keheningan malam.

Maira menarik muka cemberut. Dia memuncung panjang. “Dia ni memang jahat tau! Dahlah garang mengalahkan singa jantan, suka memaksa macam Adolf Hitler pulak tu. Kejam! Haa… memang padanlah nama kau tu Mr. Singa tau!” Dia membentak geram.

IQRAM memandu tenang kereta BMW 3 Seriesnya di lorong tengah melalui Lebuh raya Silk. Pandangannya tertumpu ke arah jalan raya, memberi sepenuh perhatian pada pemanduannya.

Tiba-tiba, bayangan wajah Maira menikam benak fikirannya. Dia tersentak. Berkerut-kerut dahinya tanda hairan. “Kenapa wajah Miss selamba tu boleh tersesat dalam kepala otak aku pulak ni?”

Kata-kata yang terluncur dari bibir mengetuk kotak fikirannya. “No more excuse! Pokoknya, kita akan sama-sama ke office esok. Tepat pukul 7.30 pagi, saya akan datang untuk ambil awak kat rumah.”

“Hmm… macam mana aku boleh terfikir nak tolong Miss selamba tu ya? Dia dahlah sakitkan hati aku,” desis Iqram sendirian.

Mengenangkan peristiwa sebentar tadi, Iqram hanya menggeleng. “Kau ni Am… baiknya hati kau ni tau. Siap offer nak ambil dia lagi.”

Iqram mengeluh. “Nak ke… tak nak ke… kau tetap kena ambil dia esok, Am. Kau yang pandai-pandai menabur janji kan?”

Serentak itu, dia memberi signal kanan lalu menukar ke lorong laju.

MAIRA berdiri di depan muka pintu. Terbayang wajah ibu, abah dan Mak Uda Halina, membuat gadis itu meneguk liur. “Ni kalau mak uda tengok muka aku, gerenti telinga aku ni berdesing bila dengar ceramah dia tau.” Dia keresahan.

Dia menarik nafas panjang, lalu mengusap dadanya yang sedikit berombak kencang itu. “Tenang, Maira. Jangan gelabah tau. Kau tak buat salah apa-apapun. Kereta kau yang buat salah,” katanya lagi.

Dengan hati berdebar-debar, dia mengetuk daun pintu. “Assalamualaikum!”

Seminit dua, akhirnya daun pintu terkuak dari dalam. Tersembul figura ibu dan abah di muka pintu. Di belakang mereka pula, kelihatan figura Mak Uda Harlina berdiri sambil bercekak pinggang.

Gulp! Maira meneguk liur. Alamak! Muka mak uda dah macam kena tonyoh dengan cili merah la. Aduh, gerun pulak aku bila tengok muka mak uda ni.

Puan Fadilah merenung wajah anak perempuannya. “Kenapa kamu lambat balik, Mai? Kamu risaukan kamu tau. Mana kamu pergi?”

“Haa… hang pi dating dengan siapa, Mai? Malam dah menjengah, baru nak tunjuk muka hang tu?” celah Mak Uda Harlina berupa sindiran pedas.

Maira menggigit bibir tanda geram. Dia menjeling tajam ke arah Mak Uda Harlina. “Apa yang mak uda merepek ni? Bila masa pulak Mai pi dating? Mai ni manalah ada boyfriend!” Argh! Sesuka hati aje nak tuduh aku tau!

“Dah tu, hang pi mana?” terjah Mak Uda Harlina lagi.

“Ehem-ehem!” Encik Azmil berdehem. “Hang ni pasaipa, Lina? Bagilah Maira peluang untuk terangkan apa yang dah berlaku. Tok sahlah nak jadi hakim berat sebelah.”

Mak Uda Harlina terus terdiam mendengar amaran itu.

Encik Azmil menoleh ke arah Maira. “Haa… Mai, apa sebenarnya yang dah berlaku? Mana kereta hang?” tanyanya ingin tahu.

Maira mengeluh. “Kereta Mai rosak. Mai memang nak balik. Tapi, tiba-tiba aje kereta Mai tu tak boleh nak start,” ceritanya.

“Laa… pulak dah? Pasaipa hang tak call kamu? Mana kereta hang?” celah Puan Fadillah dengan muka risau.

“Macam mana Mai nak call? Bateri handphone Mai dah habis. Kereta Mai? Hmm… tersadai kat pejabat,” balas Maira dengan suara lemah.

“Maira?” Tiba-tiba Mak Uda Harlina menegur bersama riak serba salah di wajahnya.

Maira menoleh ke arah Mak Uda Harlina. “Hmm?”

Mak Uda Harlina berjalan ke depan Maira. Tangan gadis itu dicapai, lalu diramas lembut. “Mak uda minta maaf na. Mak uda tak patut tuduh hang tanpa usul periksa,” katanya bersungguh-sungguh.

“Tulah, suka sangat tuduh orang tanpa usul periksa,” sindir Encik Azmil bersama cebikan di bibir.

Mak Uda Harlina diam membisu, sedar akan kesilapan dirinya itu.

“Taka pa, mak uda. Mai faham. Mai tahu, mak uda risaukan keselamatan Mai.” Maira membalas sambil tersenyum.

Mak Uda Harlina menarik nafas lega.

“Haa Mai, siapa yang hantar hang balik rumah?” celah Puan Fadilah setelah agak lama berdiam diri.

“Err…” Agak gugup Maira hendak menjawab soalan cepumas itu. Erk, nak bercakap jujur ke atau berbohong?

“Mai?” tegur Mak Uda Harlina apabila tiada tanda-tanda Maira akan bersuara.

“Yang hantar Mai balik tadi tu, err… bos Mai. Encik Iqram Fattah namanya,” balas Maira teragak-agak.

Membuntang mata Mak Uda Harlina mendengar jawapan itu. “Bos hang?” Dia senyum penuh makna. “Bos hang tu handsome tak, Mai? Ada rupa macam pelakon Adi Putra tak?” Dia mula jadi miang-miang keladi.

Maira mencebik. “Mak uda ni memang gatal kan? Kalau mak uda nak tahu, bos Mai tu memang kacak orangnya. Muka dia sebijik macam pelakon Syarul Ridzwan tu tau. Tapi satu aje yang kurang pasal dia, mak uda. Dia tu garang mengalahkan singa jantan. Mak uda pun kalah tau!”

Mak Uda Harlina tertawa mendengar cerita Maira. “Laa… ada juga manusia yang spesies macam mak uda ni ya? Tak sangka pulak! Hisy, teringin pula nak berkenalan dengan bos hang tu, Mai.”

“Ha ha ha… tak ada maknanya!” bidas Maira. “Dahlah, Mai nak naik atas. Mai nak mandi. Dah melekik badan Mai ni.” Dia segera menapak masuk ke dalam, lalu berjalan ke arah tangga.

Puan Fadilah menepuk dahi. “Ha’ahlah… kenapa kita berbual-bual kat muka pintu ni? Dah macam ahli mesyuarat pintu pulak.” Dia tergelak lucu.

Encik Azmil dan Mak Uda Harlina ikut sama tertawa. Geli hati dengan telatah masing-masing.

BARU sahaja Iqram hendak mendaki tangga untuk ke biliknya, tiba-tiba kedengaran satu suara menegurnya. Spontan, dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Garis senyum manis meniti di bibir demi melihat figura Erika yang sudah lengkap berpakaian tidur. Di tangan gadis itu, terdapat satu mug berisi minuman panas.

“Eh, akak belum tidur lagi ke?” soal Iqram.

“Belum, dik. Baru aje nak terlelap, tiba-tiba tekak akak ni teringin nak minum horlick panas,” balas Erika.

“Oh…” Iqram hanya mengangguk.

“Haa… lambat Am balik hari ni. Banyak kerja ke kat pejabat tu?” soal Erika ingin tahu.

Iqram tersenyum. Lehernya yang terasa sedikit tegang itu, diurut perlahan. “Biasalah, kak. Dah nama pun kerja kan? Masa nak balik tu, Am pergi…” Ayat Iqram tiba-tiba mati. Wajah Maira menjengah ke ruang matanya. Erk, kenapa tiba-tiba aje muka kau boleh muncul kat kepala aku pulak ni?

Berkerut dahi Erika. “Am pergi mana?” celahnya.

“Err…” Iqram menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Am hantar staf Am balik tadi. Kereta dia kebetulan aje rosak kat tempat parkir.”

“Oh…” Senyum penuh makna menghiasi bibir Erika. “Staf Am tu lelaki ke perempuan?” duganya.

Iqram terkedu. Erk? “Kenapa akak nak tahu?” Dengan tergagap-gagap, dia menyoal.

Erika masih senyum penuh makna. “Saja,” balasnya bersahaja.

Iqram terdiam.

“Haa… cepat cakap! Staf Am tu lelaki ke perempuan?” desak Erika tidak sabar.

“Err… perempuan,” jawab Iqram teragak-agak.

Senyum penuh makna semakin melebar di bibir Erika. “Okey, akak dah faham sekarang!” Serentak itu, dia berjalan pergi meninggalkan Iqram yang sudah termanggu sendirian.

Iqram tercengang. “Haa…” Dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Apa yang kakak aku cakap ni? Apa yang dia faham?” Dia jadi hairan dengan gelagat Erika.

“Ah, lantak dialah! Tak ada kena-mengena dengan aku pun!” Dia terus mendaki anak tangga untuk ke tingkat atas.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.