MULUT
Maira
memuncung ke depan. Mukanya cemberut. Dia berpeluk tubuh tanda protes. Dahlah
paksa orang pergi makan tengah hari. Lepas tu, boleh mengaku nak pergi berdating. Hantu betul! bentak hatinya
geram.
Iqram
yang sedang memandu, mengerling sekilas figura Maira di sebelah. Dia tersenyum,
lalu berdehem kecil. “Maira?” tegurnya dengan suara lembut.
“Hmm…”
Maira membalas acuh tak acuh.
“Kenapa
muka awak macam ayam berak kapur, Maira? Cuba senyum sikit. Muka awak tu dah
tak comel bila masam macam tu tau,” kata Iqram beria-ia.
Maira
mencebik. “Eh, suka hati sayalah! Saya nak senyum ke… saya nak menangis ke…
saya nak tergolek ke… apa ke… kenapa bos nak sibuk? It is none of your business!” perli Maira dengan nada geram.
Iqram
tergelak. “Oh, none of my business?”
Dia pamer senyum penuh makna. “Mulai hari ni, segala perihal diri awak adalah
urusan saya,” balasnya. “Jadi, awak nak senyum ke… nak menangis ke… nak tergolek
ke… apa ke… semua saya nak tahu!” Sempat lagi dia mengajuk percakapan Maira.
Membuntang
terus mata Maira demi mendengar sindiran itu. Dia menoleh ke arah Iqram, lalu
mencerlung marah. “Eh, kenapa pula bos sibuk-sibuk nak ambil tahu pasal saya?
Kita ni bukannya ada apa-apa hubungan pun! Bos tu cuma majikan saya aje tau!”
herdiknya, berupa amaran.
“Siapa
kata kita tak ada apa-apa hubungan?” Iqram membalas dengan muka selamba.
Maira
tercengang. “Haa… apa yang bos merepek ni?”
Iqram
tersenyum penuh makna. “Bukan ke dah kecoh satu pejabat yang kita ni memang
bercinta? Awak dah lupa ke? Jadi secara tak langsung, awak tu teman wanita
saya. Dan saya berhak untuk ambil tahu semua perkara melibatkan diri awak,”
balasnya romantik.
Maira
terkedu. Erk? “Haa?” Mulutnya ternganga. “Bos, tu semua cuma gosip aje tau!
Benda tu bukannya betul pun!” balas Maira beria-ia. Sedaya upaya cuba
membetulkan keadaan.
Kening
Iqram terjungkit sebelah. “Ah, saya tak peduli! Walau apapun, awak tetap teman
wanita saya,” balasnya selamba.
Maira
tercengang. “Bos!” bentaknya.
Iqram
tidak membalas. Dia tayang muka toya.
Hisy,
Maira mendengus geram. Dia menoleh ke depan. Sekali lagi dia berpeluk tubuh.
Sesuka hati dia aje nak mengaku yang aku ni teman wanita dia. Hampeh!
Iqram
memberi signal kiri, lalu kereta BMW 3 Series itu berhenti di tepi sebuah bank.
Iqram
menoleh ke arah Maira. “Awak tunggu kat sini tau. Saya nak pergi keluarkan duit
dari mesin ATM kejap,” arahnya.
Maira
hanya mengangguk.
Serentak
itu, Iqram membolos keluar dari perut kereta. Lalu, dia berjalan masuk ke
bangunan CIMB Bank. Seminit dua kemudian, dia keluar dari bangunan itu. Namun
belum sempat dia berjalan ke arah kereta, tiba-tiba dia diterkam satu figura
lelaki bertopeng hitam. Tangan kanannya dilipat ke belakang, manakala pisau
tajam tertusuk ke lehernya.
“Diam,
jangan banyak bunyi! Kalau kau menjerit, aku tikam leher kau!” ugut pencuri
itu.
Iqram
hanya mengangguk.
“Sekarang,
aku nak kau keluarkan seberapa banyak duit yang kau ada!” arah pencuri itu.
Terkial-kial
Iqram mengeluarkan dompetnya, lalu menyerahkannya kepada pencuri itu. “Ni aje
yang aku ada,” katanya dengan suara takut-takut.
“Lagi?”
jerkah pencuri itu lagi.
Maira
yang terlihat peristiwa itu, terus terkejut besar. Cepat-cepat dia membolos
keluar dari perut kereta. “Woi!” jeritnya dengan suara lantang. Dia serta-merta
menerpa ke arah dua figura itu.
Iqram
dan pencuri itu serta-merta mengalihkan pandangan ke arah si empunya suara itu.
Gulp! Iqram meneguk
liur. “Maira, jangan bertindak gila! Saya tak nak apa-apa yang buruk menimpa
diri awak!” arahnya dengan suara keras. Dia tidak mahu buah hatinya itu
tercedera. Tidak sanggup rasanya hendak melihat gadis itu berada di dalam
kesakitan.
“Baik
kau lepaskan lelaki tu sekarang!” tengking Maira dengan suara garang.
Pencuri
itu menyuakan pisau tajam itu ke arah Maira. “Jangan berani dekat. Aku tikam
kau dengan pisau ni nanti!” ugut pencuri itu.
“Tikamlah!”
cabar Maira.
Gulp!
Iqram meneguk liur. Dia jadi gerun demi melihat telatah Maira. Hisy, janganlah
Miss selamba ni buat kerja gila! Dia ni bukannya boleh diduga. Suka sangat
bertindak yang bukan-bukan, desis hatinya.
“Kau
jangan cabar aku, perempuan! Tak pasal-pasal hujung mata pisau ni terbenam kat
perut kau tu!” Sekali lagi pencuri itu mengugut.
Maira
terdiam sejenak. Otaknya ligat diproses bagi mencari idea. Pokoknya, dia harus
mencari jalan untuk membantu Iqram melepaskan diri. Terdetik satu idea di
kepala otaknya. Spontan dia tersenyum penuh makna.
“Polis!
Polis!” jerit Maira nyaring.
Pencuri
itu terus jadi kaget. “Mana? Mana?” Dia menjerit kuat. Wajahnya diselubungi
ketakutan.
Maira
pamer senyum lebar. Demi melihat pencuri itu ralit, cepat-cepat dia berlari ke
belakang tubuh pencuri itu. Seraya itu, sebuah tumbukan padu hinggap ke belakang
tubuh pencuri itu. Membuat pencuri itu menjerit kesakitan. Dek kesakitan akibat
tumbukan itu, pegangan di tangan Iqram terus terlepas.
Tanpa menunggu lama,
Maira segera mencekak lengan Iqram lalu melipatnya ke belakang sehingga
menghasilkan bunyi prakk.
“Auw!!!” jerit pencuri
itu.
“Bos,
telefon polis cepat!” arah Maira dengan suara nyaring.
Iqram
yang terkejut dengan tindakan Maira, berdiri kaku. Mukanya tercengang.
Demi
melihat gelagat Iqram, Maira mendengus geram. “Bos!!!” jeritnya nyaring.
Iqram
tersentak kecil. Terpinga-pinga dia memandang figura Maira. “Haa… apa dia?”
Maira
berdecit geram. Aduh, dia ni… masa-masa macam ni pulak nak mengelamun? Argh!
“Cepatlah telefon polis!” ulangnya lagi.
“Oh,”
Seakan baru tersedar dari mimpi, terkocoh-kocoh Iqram mengeluarkan telefon
bimbitnya dari kocek seluar. Nombor 999 didail. Sementara menunggu panggilannya
terjawab, dia sempat bermonolog di dalam hati.
Pergh!
Power Puff Girl aku ni memang hebat! Terbaik, puji hatinya.
SUDU dan garfu di pegangan segera
diletakkan ke tepi pinggan. Iqram memandang figura Maira yang begitu berselera
menikmati makan tengah harinya. Dia tersenyum. “Maira?” tegurnya dengan suara
lembut.
“Hmm…”
balas Maira, langsung tidak mengerling pandang figura Iqram. Sebaliknya, dia
masih lagi ralit menyuap nasi berlaukkan ayam kari ke dalam mulut.
Demi
melihat gelagat Maira, Iqram merengus. “Maira?” tegur Iqram keras. “Berhentilah
makan! Makanan awak tu tak lari ke mana pun. Ada aje dalam pinggan awak tu.
Pandanglah saya! Saya tengah bercakap dengan awak ni!” bentaknya dengan muka
tidak puas hati. Sungguh, dia jadi geram dengan tingkah laku Maira. Hisy,
bab-bab makan ni memang nombor satu!
Suapan
Maira terus terhenti. Dia mendongak kepala memandang figura Iqram. “Ya Encik Iqram
Fattah, ada apa?” perlinya geram. Hisy, dia ni kacau daunlah! Aku tengah makan
dengan penuh perasaan, tapi dia sibuk nak bercakap. Kacaulah!
Iqram
tersenyum. “Saya tak sangka, Maira. Awak ni pandai berlawan rupanya. Awak
pernah belajar ilmu seni pertahanan diri ke?” tanyanya ingin tahu. Sebetulnya,
dia berasa kagum pada kepakaran gadis itu. Dia sendiri pun tidak pernah
terfikir untuk belajar ilmu seni pertahanan diri. Nasib baiklah gadis itu ada
tadi. Kalau tidak, entah apa yang akan berlaku pada dirinya?
“Bos,
ilmu seni pertahanan diri nikan penting untuk keselamatan kita. Saya belajar
ilmu ni pun atas kemahuan abah saya. Abah saya tu seorang pegawai polis. Jadi,
dia masukkan saya dalam kelas Karate-do. Yalah… kerja macam abah saya tukan ada
banyak musuh. Sebab tulah dia terapkan ilmu karate dalam diri saya,” cerita
Maira panjang lebar.
“Oh…”
Iqram mengangguk tanda memahami. “Keluarga awak tu memang hebat ya?” pujinya
beria-ia.
Kembang-kempis
hidung Maira demi mendengar pujian itu. Dia mula tersenyum lebar. “He he he…
bos baru tahu ke?” balasnya, begitu berbangga kerana mendapat pujian.
Iqram
tergelak. Lucu dengan gelagat Maira. “Tapikan, saya betul-betul kgum dengan
awak tau. Awak belasah pencuri tadi tu dengan sekuat hati. Saya tengok awak ni,
dah macam dalam cerita kartun Power Puff Girls pulak.” Beria-ia dia memuji
Maira.
Maira
tertawa. “Eh, bos pun tengok cerita kartun jugak ke?” perlinya.
Iqram
tersentak. Erk? Alamak, aku terkantoi sudah! Merah padam mukanya apabila
mendengar sindiran itu. “Eh, saya tak minatlah cerita kartun ni!” nafinya
tegas.
Maira
tayang sengihan. “Eleh… ya ke ni bos tak minat? Habis tu, macam mana perkataan
‘Power Puff Girls’ boleh terluncur keluar dari mulut bos?” Berbakul-bakul ayat
sindiran sekali lagi terucap di bibirnya bersama seraut wajah selamba biawak.
Iqram
terkedu. “Err…”
Bertubi-tubi
keningnya terjungkit ke atas. Seakan mengejek Iqram. “Apa err-err?” Dia pamer
senyum sumbing. “Haa… bos minat cerita kartun Power Puff Girls ya?” usiknya,
sambil satu jarinya digoyang-goyangkan ke muka Iqram.
Bulat
mata Iqram. Merah padam mukanya. “Maira!”
Tawa
Maira terburai.
Iqram
menjeling geram. Puiih, sedap mulut kau aje mengutuk aku kan?
IQRAM berbaring di atas katil, sambil
tersenyum penuh makna. Kedua-dua belah tangannya diletakkan ke atas permukaan
perut, lalu dia mengetuk-ngetuk perutnya. Bayangan wajah Maira
mula mengisi kotak fikirannya.
“Maira…”
serunya.
Peristiwa
sewaktu tengah hari tadi masih lagi terbayang di kotak mindanya. Masakan dia
boleh melupakan peristiwa manis itu.
Mengenangkan
tindakan Maira yang menolongnya ketika hampir-hampir dirompak sebentar tadi,
membuat rasa sayangnya buat gadis itu semakin membuak-buak. “Awak memang baik,
Maira. Awak sanggup tolong saya walaupun nyawa kita berada dalam keadaan bahaya
masa tu. Saya kagum dengan awak, Maira.” Dia memuji dengan hati yang ikhlas.
Dia
tersenyum. “Awak memang hebat, Maira!” Sekali lagi dia memuji gadis itu. “Saya
rasa macam nak belajar ilmu karate-do dari awak aje tau,” tambahnya, lalu tergelak
kecil.
Iqram
menarik nafas panjang. “Maira Qaisarah, awak dah buat saya semakin cintakan
awak. Saya tekad, saya akan jadikan awak sebagai isteri saya. Saya tak akan
lepaskan awak, Maira. Awak gadis yan tepat untuk saya. Saya cintakan awak,”
ucapnya dengan penuh tekad.
Terdetik
sesuatu di benak fikirannya. “Tapi…” Dia mengeluh. “Dia terima ke kalau aku
melamar dia jadi isteri aku? Buatnya kalau dia menolak, aku jugak yang merana.
Hisy, tak sanggup rasanya kalau frust
menonggeng ni. Silap hari bulan, setahun pun belum tentu sembuh rasa kecewa aku
ni.” Sekali lagi dia bermonolong seorang diri.
Dia
terdiam sejenak, sambil memikirkan idea yang bernas untuk mengikat Maira
menjadi isterinya. “Nak buat macam mana ya?”
Tiba-tiba
dia mendapat satu idea. Dan idea itu adalah satu idea yang gila. Spontan,
segaris senyum lebar tersungging di bibirnya. “Tak salahkan kalau aku cuba cara
gila ni? Ah, tak kisahlah! Nak jadi apapun, jadilah! Asalkan, dia jadi milik
aku! Tu yang penting!” tekadnya.
Lantas,
dia mengambil telefon bimbitnya di atas meja. Sebaris nombor ditaip ke skrin.
Punat dial ditekan. Seminit dua, kedengaran nada bersambut. “Sonia, esok saya
cuti! Saya nak balik kampung!” katanya.