Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 12

Selesai makan, dan Kiku mengemas apa yang patut, dia kembali ke bilik Ryouji.

 

“Ada apa lagi Kiku?”

 

“Ryouji, jika engkau tidak keberatan...”

 

“Keberatan apa?”

 

“Aku...aku mahu berbaring di sisimu sehingga engkau terlena.”

 

“Ha?”

 

“Hisamiko memberitahuku! Hisamiko... ada memberitahuku yang engkau sukar tidur malam. Aku fikir aku mampu merawatnya.”

 

“Bagaimana dengan ibumu?”

 

“Aku telah menguruskannya sebelum ke sini.”

 

“Terpulanglah.” Ryouji sebenarnya keberatan untuk menolak. Dalam hati, jantung berdegup kencang bak gempa bumi yang maha dahsyat. Pelbagai imaginasi nakal bermain di fikiran. Seorang lelaki dan seorang perempuan berusia dua puluhan berdua di dalam sebuah bilik. Apa lagi kemungkinan yang engkau boleh bayangkan?

 

Ah, lupakan. Bukankah aku pernah bermalam bersebelahan Chisato? Pasti tiada apa-apa yang akan berlaku bukan? Bukan?

 

Ryouji berbaring di atas futon. Kiku mengambil futon lebih dan membentangkannya di sebelah Ryouji.

 

Kiku...kehadiranmu di sini lebih membuatkan aku tidak boleh tidur!

 

Pelita dimalapkan.

 

Pelita di bilik Hisamiko juga sudah dimalapkan. Nampaknya dia sudahpun lena. Atau mungkin, berpura-pura lena?

 

“Kiku, apakah engkau telah memberitahu mereka engkau akan bermalam di sini?”

 

“Aku tidak akan bermalam di sini. Aku akan pulang sebaik engkau terlena.”

 

Sou ka.”

 

“Ryouji...”

 

“Hmm?”

 

“Apakah engkau masih gusar akan kejadian siang tadi?”

 

Jeda seketika. Ryouji mencari-cari kata yang sesuai.

 

“Sedikit. Aku bimbang jika Tatsuya mengapa-apakan engkau dan keluargamu. Aku langsung tidak terfikir mereka akan mengekori kami sehingga ke sini.”

 

“Apakah engkau menyalahkan dirimu atas penculikanku?”

 

Ryouji diam.

 

“Ryouji, aku tidak menyalahkan engkau sedikitpun.”

 

Ryouji mengiring memandang Kiku di sebelahnya, yang sedang baring terlentang merenung siling. Pandangannya terkadang terdorong ke arah ‘bukit’ pada dada Kiku namun pantas dialih, bimbang pandangan itu melarat ke arah yang tidak sepatutnya pula.

 

“Aku akan tetap bersamamu, Ryouji. Engkau sebahagian dari keluargaku.”

 

“Apa maksudmu?”

 

“Ryouji, aku cintakan engkau.” Terpacul pengakuan yang cuba dipendamkan selama ini. Dia fikir dia tidak harus bertangguh. Ini ialah saat dan tempat yang paling sesuai. Tiada Hisamiko, tiada ibu dan adiknya di sini. Hanya mereka berdua ditemani cahaya pelita malap.

 

Kiku berkata, “Aku tidak tahu apa kisah lalumu. Jika pun aku tahu, mungkin hanya cebis-cebis. Namun aku amat berharap engkau dapat meneruskan hidupmu di sini. Yang lepas biarkanlah lepas.”

 

Ryouji terkejut mendengarkan pengakuan tiba-tiba Kiku.

 

“Aku akan berusaha membawamu keluar dari belenggu masa lalu. Aku akan bahagiakanmu Ryouji. Aku tidak kisah siapapun, bahaya manapun musuh-musuhmu. Aku tetap akan bersamamu Ryouji.” Kiku menoleh ke sisi, dan sedikit terkejut mendapati Ryouji sedari tadi merenungnya. Tangannya mencari, dan menggenggam tangan Ryouji tanpa segan silu.

 

Jantung Ryouji berdegup kencang seolah-olah hampir pecah, tidak tertanggung oleh kejutan yang dibawa Kiku.

 

“Aku sanggup menunggu, walau selama mana sekalipun. Engkau ambillah masamu dahulu, Ryouji, usah tergesa-gesa. Ne?” Senyuman manis tergaris pada wajah Kiku yang mulus itu, disinar cahaya malap pelita.

 

Ryouji tidak berkutik apa-apa. Kata-kata Kiku bagaikan mimpi. Bayangan Chisato masih menguasai benak. Mana mungkin dia mampu melepaskannya begitu mudah demi memilih Kiku?

 

Kiku menyambung bicara. Aneh, getus Ryouji. Kiku langsung tidak gementar dan malu-malu. Seolah-olah aku ini terlalu biasa padanya. Terlalu selesa padanya. Mungkin wanita mudah jatuh cinta dengan lelaki yang dirasakan selamat bagi mereka? Yang punya ciri-ciri seorang pelindung? Kadangkala aku terfikirkan sesuatu, yang benar sama sifatnya. Kucing, ya kucing! Untuk menjinakkan kucing liar, engkau mempelawa ia makan dan engkau pastikan dirimu selamat, demi menanam kepercayaan kucing itu. Kemudian, kucing itu mula mempercayaimu dan tidak lagi gentar denganmu dan akan mencintaimu. Kiku seperti kucing-kucing itukah?

 

Bicara Kiku berlangsung beberapa ketika. Dia berkisah tentang bapanya yang jarang berada di rumah atas urusan perdagangan. Dia berkisah bagaimana moyangnya sejak dahulu merupakan pedagang dan pembuat kain sutera. Dia juga bercerita bagaimana ibunya sakit-sakit sejak melahirkan Takeru.

 

“Melihatkan bapamu membawa barangan berharga, bagaimana dia melindunginya?”

 

“Mengapa engkau bertanya?”

 

“Hanya terdetik. Aku pernah dihantar Kogen menunaikan misi dan kami perlu melalui Nakasendo. Para pedagang berjalan kaki membawa begitu banyak kargo berharga.”

 

Menarik, getus Kiku. Mungkin aku boleh menjadikan ini benih untuk membongkar lanjut kisah lalunya di masa mendatang. Tidak kuduga dia sudi membukanya sedikit malam ini. Tidak rugi aku membuka perbualan dahulu.

 

“Kami punya pengawal.”

 

“Maksudku, bukan setakat perompak, bayangkan barangan kalian terbakar. Apakah bapamu ada membeli perlindungan?”

 

“Contohnya?”

 

“Gantirugi, atau pampasan, seperti insurans. Aku fikir tak semua pedagang ada simpanan cukup untuk perlindungan. Bahkan ada yang berhutang sarat demi membuka perniagaan mereka.”

 

“Insurans?”

 

“Ah, engkau tidak pernah mendengarnya, Kiku?”

 

“Tidak, ia asing buatku. Sudi kauterangkan lanjut?”

 

Ryouji menerangkan serba-serbi berkenaan insurans. Kiku mendengar dan benar-benar faham. Penerangan Ryouji mudah difahami.

 

“Oh, jika begitu aku bilang aku ada mendengarnya. Ia mirip perkara yang kaukatakan ‘insurans’ itu. Bapa ada membayar secara bulanan kepada satu syarikat yang menjanjikan perlindungan begitu sekiranya kargonya ditimpa musibah kehilangan, kecurian dan kerosakan. Seingatku nama syarikat itu Furuya.”

 

“Furuya? Apakah syarikat yang sama yang disertai keluarga daimyo Hamada?”

 

“Ya. Dari mana engkau tahu tentang Furuya dan Hamada?”

 

Ryouji menjelaskan hubungkait dirinya dengan keluarga Hamada dan Furuya. Dia turut menerangkan bahawa Furuya terbabit dalam urusniaga gelap seperti pemerdagangan karayuki dan penjualan candu. Dari urusniaga itu Furuya mendapatkan keuntungan yang dipusingbalik sebagai modal operasi dan juga sebagai tabung sekiranya ahli atau pencarumnya ditimpa musibah.

 

Melopong Kiku tatkala mendengar penjelasan Ryouji.

 

“Ini bermakna, bapa ‘menyokong’ aktiviti gelap Furuya secara tidak langsung dengan mencarum kepadanya? Sedangkan bapa hanya mengharapkan perlindungan...”

 

“Secara tidak langsung, ya. Semua pencarum boleh dikatakan bersubahat. Satu-satunya cara yang tinggal ialah dengan berhenti mencarum dengan memboikot Furuya dan memilih syarikat insurans lain.”

 

Mereka kemudian berbual perkara lain. Yang lebih banyak bercerita ialah Kiku. Ryouji hanya mendengar sehingga terlena.

 

Kiku mengemas kembali futon, bersiap-siap untuk beredar, tatkala dia perasan Hisamiko berdiri di anjung. Hisamiko masih belum lena rupanya.

 

“Bagaimana, nee-chan?”

 

“Shh... abangmu sudah lena.” Kiku meletakkan jari ke mulut, tatkala mendengar suara Hisamiko yang agak kuat bersama derapan kakinya.

 

Nee-chan, sungguh engkau mahu mengahwini abangku?”

 

Sou kimeta (begitulah putusku). Aku telah mengakui perasaanku. Sekarang aku hanya menunggu jawapannya. Mengapa?” Kiku merenung dalam-dalam mata Hisamiko yang membulat.

 

“Oh, tidak ada apa-apa.”

 

Pantas Hisamiko berjalan ke biliknya. Kiku sedikit bingung melihatkan tindakan Hisamiko. Namun dia faham kemudiannya. Pastinya Hisamiko cemburu. Ryouji satu-satu ahli keluarganya yang tinggal. Meskipun Hisamiko berketerampilan seorang pendekar wanita melihatkan fizikalnya, namun hanya Ryouji sahajalah tempat dia bermanja dan berperlakuan seperti anak-anak.

 

Masa berlalu. Musim sejuk tiba dengan kedinginan yang mencengkam. Warna putih murni salju menghampar bumi seperti kain sutera putih. Alam dan masa seolah-olah terhenti dek sejuk angin yang berhembus. Begitu juga memori-memori lama. Memori lama terpenjara dan mengitar dalam kantung fikir, dimain-main dan diulang-ulang. Memori lama bermain di benak tatkala jasad dipaksa memerap menghindar dari dingin alam. Tatkala jasad terpaku, akal ligat beraksi. Memori demi memori yang dicedok dari cepu fikir umpama racun yang ampuh dan berbisa. Lagi dimainkan, lagi perit jiwa yang merumahkannya. Membayangkan kekasih lama yang mungkin sudah berpunya, lebih menambah perit di jiwa. Dingin salju lebih mencengkam, lebih menusuk.

 

Dalam waktu-waktu yang dingin begini, Tokizawa Kiku hadir dalam hidupku. Kehadiranmu membantu aku melupakannya. Suaramu kini lebih jelas. Suara Chisato kini lebih sayup dan makin menjauh. Chisato semakin jauh, tenggelam dalam ribut salju yang melanda. Dalam memori hutan buluh yang tebal itu aku benamkan wajah demi wajah Chisato yang bersilih ganti. Dalam kering angin musim sejuk yang berhembus aku biarkan air mataku hilang tersejat ke angkasa. Sedikit demi sedikit, Kiku menguasai jiwa dan jasadku seperti demam. Aku tidak lagi mampu menafikan. Seluruh jiwaku telah demam. Namun bukan dek sejuk yang melanda. Tetapi dek hangatnya cinta yang membakar.

 

Suatu malam Kiku berbicara tentang Chisato. Dia berbaring di sebelahku. Aku sudah lali dengan kehadirannya saban malam, sehingga gementarku hilang seperti angin lalu. Aku semakin lama semakin mudah lena di waktu malam. Pemikiran yang mengganggu kantukku hampir lenyap sehingga aku lupa yang aku pernah sukar tidur malam.

 

Namun belum pernah sekalipun dalam malam-malam Kiku hadir di sisiku itu aku menyentuhnya, meski pada saat ini aku telah pun memberikan jawapanku yang aku sudi menerimanya dalam hidupku.

 

“Bagaimana rupa Chisato?” Soal Kiku bersahaja, dia menelentang merenung siling.

 

“Chisato?” Soalku, sedikit terkejut bagaimana dia mengetahuinya.

 

“Kekasih lamamu. Aku terdengar dari Hisamiko.”

 

Hisamiko. Ah, mungkin dalam tutur bicara rindunya terhadap Chisato itu dia meluahkannya kepada Kiku.

 

“Dia cantik. Amat menyayangi adik-adiknya. Matanya mengingatkannya dengan ibuku.”

 

“Apakah dia lebih cantik dariku?” Soal Kiku.

 

“Engkau lebih cantik.”

 

Merah muka Kiku mendengarnya. Namun dia tidak segera mempercayai. Dia meraguinya, “Hontou?”

 

Hontou da.”

 

Dalam hati Ryouji berbisik, engkau sungguh cantik Kiku. Namun apa yang membuatkanmu lebih cantik adalah sikapmu, kelembutanmu. Engkau tampak lebih perempuan. Chisato memang lembut, namun agak kasar orangnya jika dibandingkan denganmu bahkan tahu bertarung dan berkuda pula. Aku lebih terdorong melindungimu berbanding Chisato, kerana Chisato nampak kuat. Dia sungguh seorang wanita yang kuat dan tahu berdikari.

 

Kiku beralih kepada soalan lain. Dia tidak mahu memaksa Ryouji. Dia tahu jika dipaksa-paksa, jawapan itu bukanlah jawapan ikhlas namun dibuat-buat.

 

“Apakah engkau masih punya perasaan terhadapnya?”

 

“Hanya sedikit.”

 

Kiku tiba-tiba memelukku. Aku kaget. Dalam malam-malam dia datang ke bilikku, inilah kali pertama kami berpelukan. Harum tubuh dan pakaiannya meresap ke minda. Hangat tubuhnya menyingkir dingin yang semakin mencengkam.

 

“Aku sudi melakukannya denganmu.”

 

“Namun kita belum berkahwin!” Jawabku.

 

Kiku melepaskan pelukan dan kembali ke futon-nya. Dia ketawa kecil sambil menutup mulut.

 

“Mengapa engkau ketawa?”

 

“Kejap benar peganganmu pada adat.”

 

“Aku tidak akan melakukannya selagi aku belum berkahwin denganmu.”

 

“Benarkah?” Kiku membuka yukatanya sedikit sehingga menampakkan lurah dadanya.

 

Ryouji memaling muka. Kiku hanya senyum, dia sengaja mengusik dan tidak berniat menggoda Ryouji sehingga terlebih-lebih pula nanti. Dia tahu batas adat dan dia menghormatinya.

 

Kiku menutup kembali dada yukata seraya berkata, “Ryouji, yakusoku.” Kiku menghulurkan jari kelingking isyarat mahu mengikat janji.

 

“Hmm.” Ryouji mengiyakan, menyambut jari kelingking itu dengan jari kelingkingnya, mengikat sebuah janji. Sebuah cinta telah terpatri malam itu.

 

Mereka diam janggal, Ryouji menoleh ke arah lain dan memejam mata sebaik jari dilepaskan. Hati masih berdebar-debar. Kiku mengomel berbagai perkara, kadangkala luahan perasaan sekali dimuatkannya, sehingga menenggelamkan Ryouji dalam ombak kantuk, lantas dia terlena.

 

Dan pada awal musim bunga 1875 iaitu tahun berikutnya, mereka berkahwin. Pantas dan mudah benar urusannya. Ryouji hanya mengenali Kiku setahun lebih dan kini mereka sudah pun menjadi pasangan suami isteri. Memori bersama Chisato terbakar bersama salju yang kehangatan disinar mentari. Haruman dan seri warna sakura yang memutik pada awal musim bunga 1875 ini seolah-olah sama meraikan cinta baru, kehidupan baru bersama Kiku.

 

Semoga dengan tahun baru ini, aku dapat meneruskan hidup baruku bersama Kiku. Dan aku doakan langit di atas cerah sentiasa. Aku sedar, sebahagian dari keputusanku mengahwini Kiku adalah kerana aku fikir aku tidak harus bertangguh. Aku tidak tahu bila aku akan ditewaskan oleh musuh-musuhku termasuk Tatsuya. Aku masih merancang untuk memberkas Tatsuya demi Mariko-san. Tatsuya mungkin sudah menambahbaik, dan aku mungkin akan ditewaskannya. Aku harus sentiasa bersedia. Darah Okuhida-ku bukanlah jaminan aku akan memenangi semua pertarungan. Ia hanya nilai tambah, keputusan akhir terletak pada sejauh mana usahaku juga dan ajal mautku.

 

Aku fikir, aku juga berhak untuk bahagia. Terima kasih Kiku, terima kasih kerana hadir dalam hidupku. Sebagaimana ikrarmu untuk membahagiakanku, aku juga akan cuba membahagiakanmu.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov