Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 56

Hutan-hutan konifer seperti sugi dan matsu membarisi hujung barat lebuh Nakasendo ini. Nun jauh ke dalam hutan itu, di tepi sebatang sungai, rombongan Ayame bersembunyi. Pasukan Maharaja yang mengejar mereka sudah berpecahan cuba menjejak mereka, dan itu sejam yang lalu. Tiada tanda-tanda mereka akan menemui pasukan Ayame lagi. Mungkin mereka sudah berpatah balik ke Yokuma. Atau mungkin, sedang menyusun strategi di dalam hutan dan akan menyambung perang.

 

“Berapa orang yang masih hidup?” Soal Ayame kepada Hotaru.

 

“Semua ahli Skuad Sakura masih hidup.”

 

“Tokui...di mana Tokui?”

 

“Aku di sini.”

 

“Bagaimana dengan rekrut yang dua ratus orang itu?”

 

“Hanya tinggal seratus lima puluh masih hidup.”

 

Kuso! Meski Yoshinobu membantu kita, masih begitu ramai yang terkorban!” Ayame mendengus. Dia memandang Chiho dan Chisato, dan menahan diri dari mengherdik mereka. Dia tahu, meski Chiho dan Chinami melakukan jurus kedua tanpa kebenarannya, tindakan mereka telah menyelamatkan ramai tenteranya, dan mengurangkan kematian. Bahkan Chinami turut terkorban ketika melakukannya. Ayame berasa sedikit malu dibantu begitu, namun dipendamkan rasa itu demi egonya.

 

Hotaru diam, cuba memendam rasa tidak puas hatinya. Tangannya pertama kali digunakan untuk menumpahkan darah demi perintah Ayame, bukan lagi kod Kogen, bukan lagi untuk membela mereka yang teraniaya, anak-anak rumah perlindungan mereka yang teraniaya. Ia semata-mata demi cita-cita Ayame. Andai dia cuba-cuba meluahkan rasa itu, Ayame pasti akan memangkasnya awal-awal, dan menenggelamkan dirinya dalam rasukannya.

 

Dia melihat Nariko. Nariko duduk bersandar pada sebatang pokok sugi, dan merenung tangannya yang ada kesan darah kering. Nariko ditimpa kejutan yang bersilih ganti, dia melakukan pembunuhan besar-besaran berturut-turut. Nariko berdiri tiba-tiba.

 

Hotaru mula berasa tidak sedap hati lantas bergegas ke arah Nariko.

 

“Nariko doushite, omae suware!” Hotaru mengarah Nariko agar duduk.

 

Nariko kaku seperti tugu. Hotaru merenung matanya yang menghitam dan beku kejang. Nariko merenung kosong ke dalam belantara pokok-pokok konifer, entah apa yang difikirkannya.

 

“Aku tidak mahu hidup begini Hotaru.” Nariko gumam. “Aku tidak mahu lagi membunuh.”

 

“Bukan kau yang melakukannya.”

 

“Ayame, bukan? Engkau telah memberitahuku sebelum ini. Namun pelakunya aku, AKU! Tanganku, tanganku yang melibas pedang!”

 

Nariko memandang Hotaru yang berdiri di sisinya, air matanya berjujuhan.

 

Hotaru memeluk Nariko. Nariko mencapai sebilah tantou pada sisip pinggang Hotaru dan menolak Hotaru sehingga dia terjatuh. Nariko mengundur ke belakang dan menghiris lehernya pantas, dia lantas rebah dan pisau tantou itu terlepaskan.

 

“NARIKO!” Laung Hotaru lantas mendekati Nariko. Nariko sudah terlentang, badannya tersentak-sentak, darah menyeruak dari kesan hirisan melimpah membanjiri sekitar tubuhnya. Namun sentakan demi sentakan itu kian perlahan dan melemah, sedang kolam darah makin membesar. Mata Nariko memutih. Hotaru memegang tangan rakannya itu yang sudah menyejuk, dia teresak-esak, sebelah tangannya menutup mata Nariko yang terbuka dan memutih, tubuhnya seluruh kaku.

 

Hotaru hanya mampu menangis. Kerumunan dari kalangan Skuad Sakura kian memenuhi sekelilingnya.

 

**

 

“Jadi Ayame-san, Nariko sudah pun mati. Puas hatimu?” Soal Hotaru sinis, sambil menjeling Ayame yang berdiri di sebelahnya.

 

“Apa maksudmu, Hotaru?” Ayame menyoal cuba mencungkil di balik sinis soalan orang kanannya itu.

 

“Nariko mati kerana engkau. Kerana engkau dan cita-cita gila engkau!” Bentak Hotaru tiba-tiba.

 

“Nariko adalah orang yang aku bawa masuk. Aku berhak menggunakannya.”

 

“Apakah kami ini semua barang bagimu? Buah catur engkau?”

 

Ayame hanya diam.

 

“Ayame, aku mahu meninggalkan perang sia-sia ini.” Hotaru meluahkan hasratnya dengan nada perlahan namun nekadnya dapat dibaca. Dia enggan memandang Ayame kerana diselubung rasa janggal yang terlalu mendalam. Dia sudah terlalu lama berkhidmat untuk Ayame, namun pabila semua perubahan ini disumbat ke tenggoroknya sekali harung, timbul kejanggalan yang dilapisi kemanusiaan yang masih berbaki. Hotaru tahu dia sudah menumpahkan darah, namun dia kerap berbisik mujur sahaja ia berlaku di kala dia dalam rasukan Berahi Kuasa Ayame. Namun ketika dia lekang dari rasukan itu dan menyedari tangannya memegang pedang, darah memercik pada tubuhnya, keadaan mayat yang disembelihnya, dia jadi tidak keruan. Meski dilakukan tanpa rela, dilakukan tanpa disedari, masih, tangan dan sendinya yang melakukannya, dan ia terbukti nyata. Lututnya melemah, dan apa yang hanya difikirkannya hanyalah melarikan diri dari Ayame. Meski janggal sekalipun, dia harus melafazkan perpisahan. Tiada cara lain lagi. Meskipun selepas ini dia akan dihukum Maharaja dan mungkin dihukum mati. Dia tidak mahu dimakan derita itu sepertimana yang berlaku kepada Nariko.

 

“Tidak Hotaru. Engkau wajib ada bersamaku, selama mana perang ini berlangsung.”

 

“Pergi mampus dengan cita-cita engkau. Aku mahu kembali ke Kogen.”

 

“Kogen yang aku bawa ini adalah Kogen sebenar. Yang di Shirasaka-no-Kogen itu hanyalah boneka Maharaja.” Dan aku akan merampas Shirasaka-no-Kogen itu sebagai ganti kegagalan menjadikan Yokuma pusat kuasaku!

 

“Tidak, semua di sini adalah boneka engkau! Jika engkau tiada Berahi Kuasa, usah haraplah kami semua akan bersamamu!”

 

“Hotaru, engkau tidak akan ke mana-mana selagi perang ini belum berakhir.” Ayame memberikan kata dua. Ayame merenung Hotaru, tubuh Hotaru kaku, matanya memaku pada Ayame. Berahi Kuasa masih ampuh pada Hotaru.

 

Jya, begitulah Hotaruku. Sekarang, Hotaru. Pelanku ialah kita akan bunuh mana-mana pengangkut makanan dan senjata yang melalui pintu-pintu sekeliling Shirasaka-no-Kogen. Kita mulakan dengan Pintu Timur di hadapan kita ini.”

 

Ayame melukis peta Kogen di atas tanah dan menerangkan pada Hotaru yang separa sedar itu. Hotaru mendengar namun kaku tubuhnya dengan mata terbuka, seperti boneka yang dibiarkan bersidai menanti digerakkan tok dalangnya.

 

Chisato yang turut ada dalam kalangan mereka, menyampuk tiba-tiba.

 

“Aku tidak akan menyerang Kogen!” Tengking Chisato.

 

Lagi seorang... getus Ayame.

 

Ayame merenung Chisato dalam-dalam. Mata Chisato mengekor muka Ayame dan gesit terkunci padanya.

 

“Chisato-chan... jika kau aku tak selamatkan dahulu, barangkali kau akan turut disuntik bersama rakanmu itu...” Ayame mengungkit bantuannya dulu.

 

Chisato masih belum sepenuhnya dirasuk. Dia membidas Ayame, “Engkau tak perlu guna taktik kotor itu lagi Ayame-san. Aku tidak akan termakan dengan sihirmu lagi.” Suara Chisato ditekan, menunjukkan dia mengerah segala kudratnya demi melawan kuasa rasukan Ayame dan mempertahankan kemanusiaan yang masih berbaki dalam diri.

 

Sou? Bagaimana kautahu? Apakah kau punya kuasa membendung kuasaku?”

 

“Dengan kuasa celakamu itu Ayame-san, kami diserap masuk ke dalam perangmu. Kerana terlibatnya kami dengan perang bodohmu ini, Chinami mati dibunuh. Chinami... Chinami adikku mati dibunuh tanganmu, itu yang sebenarnya berlaku. Chinami dibunuh engkau, Ayame-san!” Chisato menengking.

 

Chisato cuba meluru ke arah Ayame dan mahu memukulnya, namun dihalang pengikut Ayame yang sedang dikuasai Berahi Kuasa. Ayame menyentap rambut panjang Chisato dan menariknya ke atas, mendongakkan wajahnya mengadap wajahnya sedang kedua belah lengannya dipasung pengikutnya yang dalam Berahi Kuasa itu, dan tubuhnya membongkok ditekan mereka.

 

“Chi. Sa. To.” Ayame merenung rapat, matanya dekat sungguh dengan mata Chisato, Chisato tidak akan mampu lagi mengelak renungannya dalam posisi itu. Namun kesakitan Chisato dan kepiluan yang berdarah dari kematian Chinami begitu mengguris, air matanya mengalir, anak matanya yang hitam langsung tidak membesar, iaitu pembesarannya adalah petanda seseorang telah ditelan Berahi Kuasa Ayame. Kebenciannya terhadap Ayame mengatasi segala-galanya, termasuk kuasanya.

 

“Engkau... mengapa tidak... mengapa tidak kuasaku berkesan ke atasmu, ha?” Ayame tergamam dan keliru, mulutnya terketar-ketar, dia menjauhi Chisato sedikit namun renungannya masih tertancap pada matanya.

 

Chisato membalas renungan Ayame dan tegar mempertahankannya, dan kini, Ayame pula yang mengalah dengan ketegaran Chisato lantas melepaskan rambut hitam yang panjang itu, tertunduk wajah Chisato menentang bumi. Ayame berbisik pada diri, sia-sia sahaja. Kuasaku nampaknya tidak berkesan terhadap mereka yang sudah terlalu membenciku dan kehilangan orang yang disayangi disebabkanku.

 

“Bawa dia jauh-jauh. Jangan biarkan dia keluar melarikan diri. Ikat, jika perlu diikat.”

 

“Baik Ayame-san.” Balas salah seorang yang sedang memasung lengan Chisato, seraya menarik gadis itu menjauhi Ayame. Chisato yang diseret tiba-tiba menjerit-jerit dan terpekik-pekik bagai orang dirasuk jin, melaung-laung ‘pembunuh, pembunuh, pembunuh!’ sehingga bergema suaranya ke segenap penjuru hutan konifer itu.

 

Namun Ayame bagaikan orang pekak, reaksi pada wajahnya melahu, tidak berubah, seolah dia sudah tebal muka dan telinganya dan kalis makian pula.

 

Chisato masih kekal agresif sehingga dia terpaksa ditambat pada sebatang pokok. Ketika diikat, dia masih begitu, sehinggalah keletihan dan tertidur. Chiho hanya mampu memandang dengan kesayuan, hendak dibelanya kakak itu tidak berani dia.

 

Semua ini salahku, getus Chiho. Semua ini salahku terlalu yakin dengan jurus kedua bersama Chinami. Aku yang juga beriya-iya mahu menyertai Ayame. Sekarang kami sudah kehilangan Chinami. Semua ini salahku, salahku! Aku sepatutnya mengikut nasihat kakak. Namun semuanya sudah terlambat. Chinami sudah mati. Kakak sudah hilang kewarasan, tanda-tanda awalnya sudah mula muncul.

 

Pabila Chisato tidur dan kedua orang yang mengikatnya pada pokok itu beredar, Chiho mendekati kakaknya.

 

Nee-chan, nee-chan.” Chiho mengejutkan kakaknya. Chisato terbangun

 

“Chi-ho...” Chisato menyahut dalam mamai, matanya separa terbuka.

 

Nee-chan okite (ayuh bangun). Kita akan melarikan diri dari sini.”

 

“Chi-ho. Chinami di mana Chiho?”

 

Chiho berasa aneh. Bukankah tadi kakaknya tahu benar yang Chinami sudah pun mati. Sekarang ditanya lagi pula.

 

“Chinami sudah pergi, kak.” Jawab Chiho tanpa mempedulikan fikirannya.

 

“Mati? Mengapa? Di mana dia mati?” Chisato menyoal kebodoh-bodohan.

 

Apa telah berlaku pada nee-chan, soal Chiho dalam hati.

 

Nee-chan tak ingat? Kita bertempur tempoh hari, dengan tentera Maharaja di Nakasendo.”

 

“Aku tak tahu. Aku tak ingat. Bertempur, apa maksudmu? Mengapa kita di sini?”

 

Chiho memendam rasa anehnya. Dia kelu. Bagaimana harus dia terangkan serba-serbi kisah mereka dari Kogen sehingga ke sini?

 

Ne, Chiho. Di mana Chinami? Jawabku betul-betul!” Chisato merenung Chiho dalam-dalam. Chiho kebingungan dan gentar. Wajah kakaknya mula menyinga.

 

“Sumpah aku tak tipu. Chinami sudah mati!”

 

“Bagaimana dia mati?!”

 

“Kita bertempur di Nakasendo! Sou itteitandeshou (aku sudah katakannya tadi?”)

 

“Bertempur di Nakasendo? Tak masuk akal!”

 

Nee-chan tak ingat apa-apa. Nee-chan sudah hilang ingatan!”

 

Chisato dapat melihat kelibat Ayame dan Hotaru menghampiri mereka mendengarkan mereka bising-bising. Hutan sudah bergelap, api sudah dinyalakan, khemah sudah didirikan para pengikut Ayame di situ.

 

“Ada apa kalian bising-bising?” Soal Ayame. Tokui turut serta di belakangnya seperti patung boneka yang boleh diseret ke mana-mana.

 

Chiho hanya mendiamkan diri, tunduk ketakutan. Chisato memandang Ayame tepat, tangannya masih terikat pada pokok.

 

“Ayame-san, di mana Chinami? Mengapa kita di sini? Mengapa aku diikat di sini?”

 

“Kau tak ingat?”

 

“Aku tak ingat. Aku tak tahu apa-apa langsung.”

 

“Baguslah.” Ayame menjawab ringkas, seraya berlalu.

 

Chotto!” Pekik Chisato. “Di mana adikku?”

 

“Chiho tak beritahu kau apa-apa?” Soal Hotaru pula.

 

“Jadi... benarkah Chinami...”

 

Hotaru hanya mengangguk perlahan, dengan wajah sugul.

 

“Chinami...” Chisato menyeru nama adiknya dalam sendu.

 

“Lepaskan aku, lepaskan aku!” Pekik Chisato disertai rontaan dan jeritan memaki-hamun entah siapa, seolah baru tersedar yang dia sedang diikat.

 

Chiho tidak berani membantu kakaknya yang terlalu agresif seperti beruang betina, dan juga bimbang dia akan dihukum Ayame dan orang kanannya.

 

Anehnya Chiho masih dibiarkan di situ di sisi Chisato tanpa diikat.

 

“Mengapa kaubiarkan Chiho di situ?” Soal Hotaru kepada Ayame sebaik mereka berdua menjauhi Chisato yang masih meronta-ronta dan bising di latar.

 

“Biarkan mereka melarikan diri.”

 

“Mengapa?”

 

“Biarkan mereka melarikan diri sendiri. Aku tidak mahu melepaskan mereka di hadapan pengikut kita.”

 

“Kau mengharapkan Chiho akan melakukannya?”

 

“Ya.”

 

Ayame membawa pasukannya berkhemah jauh sedikit dari Chisato dan Chiho, agar Chiho diberi peluang melepaskan kakaknya tanpa mereka menyaksikannya. Ayame memberi alasan akan mengapa mereka harus berkhemah di tapak baru kerana tapak baru itu lebih dekat dengan pintu masuk Kogen yang akan mereka serang.

 

“Mengapa kaubuat begini Ayame...”

 

“Aku tidak mahu membunuh mereka.”

 

“Mengapa? Kaurasa bersalah menyebabkan kematian Chinami?”

 

Ayame tidak menjawab. Dia mengeluarkan surat dari sakunya.

 

“Berikan pada Chiho.”

 

“Surat apakah ini?”

 

“Perkara yang sekian lama aku siasat. Ada sebuah pulau di selatan Honshu, bernama Ogasawara. Ia milik puak mereka. Serahkan surat ini pada mereka, dan minta mereka tunjukkan surat ini kepada ketua puak Ogasawara di pulau itu untuk pengesahan darah mereka.”

 

Hotaru mengambil surat itu.

 

“Pastikan mereka ke sana dan tidak kembali lagi ke sini. Di sana ada tanah yang mereka boleh bangunkan, cucuktanamkan dan hidup dengannya. Pinta Wakasa sangkut ini pada ekor kuda Chiho, tanpa pengetahuan mereka.” Ayame menyerahkan seuntai hablur berwarna oren kepada Hotaru.

 

Dalam hati Hotaru keliru. Mengapa Ayame berlembut hati dengan mereka? Hotaru tanpa sedar memancutkan soalan itu.

 

“Engkau tidak tahu? Aku tidak akan membunuh kalian kecuali jika kalian membelotku, dengan menyertai pasukan lawan. Jika kalian mahu melarikan diri, aku persilakan.”

 

“Lantas kenapa kau tak benarkan aku melarikan diri?”

 

“Engkau salah seorang yang dikecualikan dari peraturan itu.”

 

“Siapa lagi selainku? Nariko?”

 

“Ya. Hanya kalian berdua. Namun Nariko membunuh dirinya. Aku benci sesiapa yang membunuh diri, yang mewarisi adat samurai bajingan itu.”

 

“Nariko menderita kerana engkau Ayame, kerana engkau mempergunakan tangannya!”

 

“Hakku mempergunakan dia, dan engkau, dan semua di sini. Aku telah berbakti kepada kalian. Kalian aku berhak pergunakan untuk apa sekalipun!” Tegas Ayame, matanya merah memandang Hotaru. Hotaru merencatkan ketegangan itu, kerana dirasakan sia-sia sahaja bertegang leher dengan Ayame lagi.

 

“Aku akan serahkan surat ini kepada Chiho, seperti arahanmu.” Ujar Hotaru perlahan, seraya beredar dan bertemu Chiho.

Previous: Bab 55
Next: Bab 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov