Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 61

Mereka naik jurus demi jurus sehingga jasad mereka tidak dapat dilihat oleh sesiapapun lagi. Pabila mereka merempuh pokok sugi, pokok-pokok itu terbelah dek pedang masing-masing. Ayame naik ke jurus kesepuluh, iaitu jurus khas yang hanya dicapai calon Kaisenjyo, dan mendaratkan tetakan yang paling padu ke atas bilah Ryouji, sehingga dia tersungkur ke bumi bersama bilah yang pecah dalam pegangannya.

 

“Engkau tahu apa akibatnya jika engkau membunuhku? Adikmu bakal menjadi Kaisenjyo! Engkau mahukan ia berlaku?”

 

“A...Koichi masih mampu menurunkan zuriat baru selainmu.”

 

“Itupun jika orang tua itu masih subur.” Getus Ayame perlahan.

 

Ayame menghunus pedangnya pada leher Ryouji yang masih terlentang.

 

“Sekarang apa yang kaumahukan?”

 

“Mengapa tidak kau bunuh saja aku?” Soal Ryouji.

 

“Aku beri engkau pilihan. Kita manusia, sentiasa diberi peluang membuat pilihan.” Ayame mengulang dan memulangkan kembali pesan Ryouji. “Andai kaupilih mati, aku akan gantungkan mayatmu di Kogen sebagai pengajaran. Andai kaupilih hidup, aku akan lepaskan engkau, namun engkau mesti keluar dari bumi Jepun atau Maharaja dan Koichi akan menghukummu di atas kegagalan misi menangkapku.”

 

“Engkau sungguh baik hati meski sudah menumpahkan banyak darah.” Perli Ryouji.

 

“Aku masih ada hati pada bekas pengikutku.” Balas Ayame.

 

“Aku pilih kematian.” Pinta Ryouji ringkas. Baginya tiada guna hidup lagi. Maharaja pasti akan menghukumnya di atas kegagalan ini. Jika dia tidak dihukum sekalipun, dia akan menanggung malu akibat kegagalan ini seumur hidup.

 

“Baiklah, jika itu yang kaumahukan.”

 

Ayame mengangkat pedangnya, bersedia untuk melibas ke leher Ryouji. Namun kala diangkatnya pedang, dia terhenti. Jeritan dari kejauhan menyebut-nyebut ‘onii-san’ berulang-kali, dengan detakan kaki kuda, kedengaran.

 

**

 

“Hisamiko! Bagaimana kau boleh tahu tentang tempat ini?” Soal Ryouji keterperanjatan.

 

“Tentera Maharaja ada bersembunyi dalam belukar dan memberitahu kaedahnya. Namun mereka tak boleh masuk.”

 

Shinji pasti menyebut setiap dari nama-nama kami pada tama-no-iwanya, getus Ryouji sambil memandang tiang batu putih itu. Disebabkan itu Hisamiko turut sama dapat memasuki lembah ini.

 

Hisamiko memandang abangnya yang masih duduk, dengan pedangnya yang sudah pecah. Dia tahu kini hanya dialah sahaja yang mampu menumpaskan Ayame.

 

“Biar aku yang tundukkan Ayame-san.” Hisamiko memberitahu, seraya meluncur cuba menetak Ayame. Ayame menahannya.

 

“Hisamiko, matte (tunggu)!” Teriak Ryouji. Namun tiada gunanya lagi, kerana Hisamiko sudah pun dalam pertarungan dengan Ayame. Ryouji menurunkan tangan yang diangkat demi menegah Hisamiko, menyerah kepada nasibnya, dan kepada apa yang akan berlaku ke atas Hisamiko jika adiknya itu tersilap percaturan.

 

Aku terpaksa mengharapkan Hisamiko kini dan berserah kepada nasibnya, getus Ryouji. Bodohnya aku terlalu yakin boleh menewaskan Ayame seorang diri. Bodoh. Mujur Hisamiko datang pada masa yang tepat.

 

“Bagaimana, budak? Sudahkah Chiho dan Chisato berlayar?” Soal Ayame sedang masih menahan pedang Hisamiko.

 

“Maka jelaslah engkau yang menyangkut batu oren itu pada ekor kuda Chiho.”

 

“Tajam engkau. Pasti Azuchi yang mendedahkannya.” Ayame sinis, sedang menekan pedangnya pada pedang Hisamiko yang menahan. Mereka beradu kekuatan lengan. Hisamiko tidak terdaya lantas mengundur sehingga menyeret tanah berumput yang lembut, mengotori umanori-nya. Mereka masing-masing turun ke jurus rendah, masing-masing tercungap. Kala itu Ryouji kembali dapat melihat mereka.

 

“Jauh sudah engkau menambahbaik. Tidak diragui lagi, kerana kalianlah yang menghapuskan Hamada.”

 

“Aku juga berlatih setiap hari.”

 

“Latihan saja tidak mencukupi, kalian perlukan nasib yang baik juga. Seperti enam persepuluh kuasa hayabusa yang kumiliki.” Ayame menyeringai seraya meluncur laju mendadak ke jurus tinggi demi menebas Hisamiko. Hisamiko turut sama meningkat.

 

Pertarungan mereka kembali lesap dari pandangan Ryouji. Apa yang dapat dilihatnya hanyalah kemusnahan demi kemusnahan; tanah yang tercarik bersama akar rumput, dan pokok konifer yang terpotong dan terhiris sana sini. Dentingan pedang kedengaran mengisi suasana bening lembah Amaguri ini. Hanya satu yang masih tidak terkesan dek hentakan dan hirisan pedang mereka; iaitu akar pokok gergasi yang mengandungi lubang itu, meskipun ia berada berhampiran mereka.

 

Hisamiko menyedari ketika mereka masing-masing di jurus sembilan, matanya turun dan naik mendadak dan berulang-ulang. Dia pernah dinasihati abangnya agar turun ke jurus rendah jika mengalaminya. Ayame mengambil kesempatan naik ke jurus kesepuluh dan menghentak pedang Hisamiko sehingga dia tersungkur. Pedang Hisamiko tercampak dari tangannya. Pedang buatan Shinji yang ditambahbaik ramuannya itu ternyata masih utuh meski dihentak pada jurus paling tinggi yang boleh dicapai calon Kaisenjyo.

 

Hisamiko terbaring menelentang di atas tanah. Ayame turun dengan berpusaran di udara sehingga pusarannya merendah dan memperlahan dan dia mendarat di atas tanah, berdiri mengadap Hisamiko.

 

“Miko!” Jerit Ryouji, cuba mengejutkan adiknya. Hisamiko tidak pengsan. Dia hanya terbaring keletihan. Pedangnya tercampak jauh. Jika dia cuba mengambilnya, Ayame dengan mudah sahaja akan menggunakan kesempatan itu menyerangnya.

 

“Bukan sudah kukatakan, nasib juga memainkan peranan? Engkau harus sedar tempatmu sebagai pemegang empat persepuluh kuasa hayabusa. Itupun kerana ihsan Tsuneki kalian berjaya mendapatkan dua persepuluh.”

 

Ayame bersedia meluru ke arah Hisamiko, sebelum tiba-tiba sahaja satu bom mendarat di tapak kakinya dan meletup. Namun meski dia sempat mengundur pantas, kakinya terputus sebelah. Hisamiko bernasib baik kerana berada jauh dari tempat letupan itu, namun tergamam melihat Ayame. Dia menoleh ke arah dari mana bom dilontar dan menganga.

 

“Natsuki-san?”

 

**

 

“Oi, oi Natsuki, bangun, bangun!”

 

Natsuki berasa badannya digoncang-goncang, dia membuka mata perlahan-lahan. Sinar mentari begitu menyilaukan dari celah-celah puncak konifer. Kala silau mula bubar dari pandangan, terpampang di depan matanya dua orang pemuda yang dia agak kenal; Hosokawa Seijurou dan Hosokawa Takajiro.

 

“Sei-jurou...Takajiro... Bagaimana engkau di sini?”

 

“Panjang umurmu.” Ujar Seijurou.

 

“Kami baru keluar dari Pintu Timur. Nampaknya kau diabaikan Skuad Sakura selepas pengsan.” Takajiro memaklumkan.

 

“Pengsan?”

 

“Barangkali akibat letupan bom tadi. Natsuki, Ayame sudah tewas dan tentera Maharaja dan Kogen sedang mengejar mereka ke seluruh pelusuk hutan.” Seijurou menjelaskan, sambil membuka ikatan tubuh Natsuki yang diikat pada papan kayu dan asalnya diletakkan dalam kereta kuda.

 

Natsuki cuba menggamit kembali memori yang samar-samar. Dia diikat kembali selepas pertempuran pertama di Nakasendo, ketikamana Chiho dan Chinami melakukan jurus kedua itu. Ayame selepas itu membawa mereka lari ke sini, dan Natsuki diikat kerana disyaki bersekongkol dengan Chinami dan Chiho. Chinami dan Chiho pula, entah ke mana tidaklah Natsuki maklum. Sebelum bertempur dengan tentera Maharaja di sini, mereka sudahpun lesap dari pandangannya.

 

“Koichi mahu engkau diselamatkan.” Seijurou memaklumkan sambil membuang ikatan terakhir pada tubuh Natsuki.

 

Natsuki hanya diam.

 

“Aku mahu membalas dendam untuk Hatsuki. Aku akan membunuh Ayame-san.” Natsuki berkata dengan penuh tekad.

 

Seijurou dan Takajiro berpandangan seraya ketawa kecil.

 

“Engkau budak yang kuat Natsuki. Kami ingat kau dah terkorban. Ketemu sahaja engkau masih hidup, dan engkau masih dengan cita-cita itu.” Seloroh Seijurou.

 

“Engkau mungkin tercedera dalaman, baik kau berehat saja. Sudahlah, kami akan hantar kau ke Kogen.” Ujar Takajiro.

 

Natsuki bangun dan berdiri, membuatkan kedua kembar Hosokawa itu kaget.

 

Natsuki kemudian menggerak-gerakkan kaki dan tangannya, seraya berkata, “Lihatlah. Aku tidak tercedera. Mengapa kalian kata aku tercedera?”

 

“Kecederaan dalam tidak akan nampak pada mata kasar.” Takajiro menambah penjelasannya.

 

Natsuki pantas melompat ke atas seekor kuda yang ditinggalkan tentera Ayame di situ.

 

“Natsuki!” Seijurou cuba menegah, namun Natsuki hanya menulikan telinga.

 

“Aku mahu mengejar Ayame-san.” Jawabnya ringkas.

 

Natsuki meluru ke barat Nakasendo. Dia yakin Ayame sudah menghala ke barat, kerana menghala ke timur hanya menempah penyakit. Selepas itu dia menemui tentera Maharaja yang sedang berkuda ke arah barat juga, pada fikirannya pasti sedang mengejar Ayame. Kudanya terhenti tiba-tiba kala dia tiba di satu kawasan hutan berhampiran Hidagawa, di mana tentera Maharaja begitu ramai berhimpun di situ.

 

Natsuki tidak menyedari, Seijurou dan Takajiro mengekorinya dengan berkuda di belakang.

 

“Aku Natsuki dari Kogen. Mengapa kalian berhimpun di sini?” Soal Natsuki sambil menayangkan lencananya.

 

“Ayame masuk ke dalam belukar itu dan menghilang.”

 

“Siapa lagi ada di dalam?”

 

“Kami nampak Okuhida Ryouji, dan tidak lama kemudian seorang gadis.”

 

Itu pasti adiknya, getus Natsuki. Ah, lama sungguh tidak aku temui mereka. Bagaimana mereka boleh terlibat dengan perang ini? Pastinya angkara Koichi, tidak syak lagi. Koichi pastinya tahu hanya Okuhida sahaja yang mampu menewaskan anaknya itu.

 

Aku fikir inilah pintu masuk ke lembah Amaguri. Ya, sudah lama aku tidak ke sini. Kami sebagai pengakap Kogen semuanya dibenarkan memasuki lembah Amaguri melalui pintu ini, yang juga jalan pintas ke Kogen dari Hidagawa. Nama kami akan disebut oleh Koichi atau pewaris Amaguri di tiang batu tama-no-iwa-nya bagi membolehkan kami masuk, dan kami hanya perlu menyebut nama kami pada belukar itu untuk memasukinya.

 

Natsuki menyebut namanya selepas mendapatkan bom dan senjata lain dari para tentera yang berhimpun, dan masuk dengan kudanya. Ketika dia sampai, Hisamiko masih sedang sengit bertempur dengan Ayame, dan pertempuran mereka masih ghaib dari matanya, sehinggalah Hisamiko ditumpaskan dan mereka memperlahan ke jurus rendah kaminari.

 

Seijurou dan Takajiro yang menyusul Natsuki, melakukan perkara sama dan mendapati mereka turut dibenarkan masuk. Barangkali kerana sejarah lepas mereka yang merupakan pengakap Kogen. Mereka turut mendapatkan bekalan senjata tambahan seperti bom dari para tentera Maharaja yang berhimpun di situ.

 

Namun tidak semena-mena ada dua lagi petarung misteri memasuki pantas dengan berkuda di belakang Seijurou dan Takajiro, tanpa sempat ditegah tentera Maharaja. Ada yang cuba memberi peringatan kepada Seijurou dan Takajiro mendapati dua orang misteri itu agak mencurigakan dan mungkin mengejar Seijurou dan Takajiro, namun mereka sudah pun di dalam lembah Amaguri dan tidak mendengarnya.

 

**

 

Kuasa bom itu sungguh membinasakan. Kaki Ayame sebelah kanan putus, dan dia tidak lagi boleh berjalan dan hanya mengengsot. Dia mahu masuk ke dalam lubang pokok gergasi secepat mungkin.

 

“Berhenti Ayame-san!” Natsuki memekik. Seijurou dan Takajiro yang masih di atas kuda, memerhati Ayame yang bersusah-payah mengengsot di atas padang rumput dengan darah berjejeran seperti lendir yang ditinggalkan siput di sepanjang susur laluannya.

 

Seijurou dan Takajiro menahan sebak di dada. Ayame yang dahulunya ketua mereka, menerima nasib yang sungguh menghinakan. Sedang mereka masih di kuda, Ayame searas dengan kaki kuda itu, sebegitu hina sekali letak duduknya kini. Namun sebak di dada sekilas dicantas pemandangan mengerikan di Yokuma, dan sekitar Kogen, yang dilihat mereka tempoh hari. Bagaimana seorang gadis tiga dekad umurnya ini mampu mencetuskan kemusnahan maha besar di tengah-tengah Nakasendo, dengan kuasa di tangannya disalahgunakan. Takajiro lebih terkesan berbanding Seijurou, air matanya mengalir, dan ketika dia hampir-hampir sahaja tergolek ke satu belah pagar untuk menyelamatkan Ayame, dia ditahan Seijurou.

 

“Takajiro, shikkarishiro! (kuatkan dirimu!)”

 

“Tapi Seijurou...kita sekian lama sudah bekerja dengannya...”

 

“Engkau tak nampak kemusnahan yang dia dah lakukan? Darah yang dia dah tumpahkan?”

 

“Engkau tak kasihankan dia? Dia pernah menyelamatkan engkau bukan?”

 

“Benar...” Seijurou mengerling kalau-kalau Ayame memandang ke arahnya, kerana dia akan cuba mengelak dari mata mereka bertentangan. Sekali mata bertentang, sekali itu ia akan terkunci dan dia akan dirasuk Berahi Kuasa.

 

Ayame tidak memandang ke arah lain, selain lubang pokok itu sahaja, getus Seijurou. Mengapa dengan lubang pokok itu? Apa ada di dalamnya?

 

Tiba-tiba meluru dua orang petarung berkuda dari belakang mereka, meluru pantas terus ke lokasi Ayame. Mereka meloncat turun dari kuda masing-masing. Ryouji dan Hisamiko yang masih terbaring, membesarkan mata.

 

Dua orang petarung itu ialah Tokui dan Takumi. Mereka mengeluarkan pedang dan menghunusnya, melindungi Ayame dari serangan sesiapa jua yang berada di situ.

 

“Tokui, berambus dari sini!” Pekik Natsuki. “Engkau penjilat!”

 

“Tokui, beredar. Kalian tahu apa hukuman buat pembelot?” Tambah Seijurou.

 

“Takumi!” Laung Takajiro. Takumi adalah petarung Kogen yang terlibat sebagai nazir rumah perlindungan dan sekali-sekala menyertai Ayame melangsaikan misinya, termasuk satu di Suruga dahulu. Takajiro tidak rapat dengannya, namun sekali-sekala mereka bertemu dan bergurau di warung. Takajiro tahu Takumi ada hati dengan Ayame. Takajiro pernah cuba menyarankan Takumi pada Ayame, menggunakan kesempatannya sebagai orang kanan Ayame di Furukawa, namun Ayame enggan berpacaran dengan sesiapa pun. Takajiro sedar amat, bahawa Takumi digerakkan cintanya kepada Ayame. Namun budak Tokui ini tidaklah pula dia tahu apa motifnya dia berada di sini. Barangkali kerana cinta juga?

 

“Takumi! Beredar dari Ayame!” Laung Takajiro.

 

“Tidak! Aku akan lindungi Ayame sehingga jasadku hancur sekalipun!” Teriak Takumi. Air matanya berlinangan menuruti wajah yang gelap itu. Pedang masih dihunus.

 

“Jika kalian tidak beredar sekarang, kami akan lontarkan bom ini.” Seijurou memberi kata dua.

 

“Kami kira sampai sepuluh. Beredar, atau dibom!”

Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov