“Kita diekori. Pastinya orang bapaku.” Pantas Ayame menuding jari kepada bapanya sendiri.
“Tidak, aku tidak fikir begitu. Ayame, bapamu bukan orang begitu.” Sanggah Hotaru.
“Dia mahu membunuhku!” Ayame masih berdegil dengan dakwaannya. Sangka buruk terhadap bapanya sememangnya sudah kukuh berakar umbi dalam nubari.
“Ayame! Dengar kataku, mereka orang akahana!” Tegas Hotaru, sedang mata meliar memerhati sekeliling. Tangan sudah memegang hulu pedangnya.
Sementara itu tidak jauh dari tempat mereka, Tokui berjaya menindih penyumpit jarum.
“Siapa yang menghantarmu? Siapa?!” Tokui membalikkan tubuh penyumpit itu. Ditarik kain yang menutup mulutnya. Terdedahlah wajah seorang lelaki yang muda sekitar dua puluhan, licin wajahnya seperti perempuan, mata sepet amat. Dia tersengih penuh sinis.
“Apa kaubilang aku akan menjawab soalanmu? Pergi mampus!” Dia memusingkan Tokui dan bangkit, gesit melarikan diri. Tokui mengejar. Namun dengan pakaian hitam dan gelap malam, mudah dia melepaskan diri dari tanggapan Tokui.
Hotaru mengambil jarum yang tercacak pada sebatang pokok matsu.
“Jarum ini hanya dibuat di Furukawa. Ah, memang akahana pun! Pedagang Belanda sepertinya hanya memperoleh bekalan dari sana.” Tegas Hotaru, seraya menyimpan jarum itu dalam bungkusan buluh kecil dan dicampak ke dalam sakunya.
Tokui tiba di tempat mereka.
“Ayame-san! Apa engkau buat di sini?”
Hotaru dan dua pengikutnya terbeliak mata melihat Tokui di situ.
“Tokui, engkau tidak baca nota yang kutinggalkan?” Soal Ayame tanpa langsung menoleh memandang Tokui. Jelas berang mewarnai nada suaranya.
“Aku membacanya.”
“Dan engkau masih tidak faham lagi?!” Suara Ayame meningkat sedikit.
“Aku faham. Namun aku risaukan engkau.”
“Engkau tak perlu risaukan aku!”
Hotaru bersiul kecil. Oh, dingin benar Ayame. Bukankah jelas maksud budak ini yang dia sukakan engkau, Ayame? Hotaru senyum dalam tunduk...
Tokui terdiam. Dia sempat melihat wajah-wajah berlitup muka dan berpakaian hitam seperti ninja yang tiga orang itu.
“Siapa mereka, Ayame-san?”
“Engkau tidak perlu tahu. Pulang sekarang.”
“Aku tidak akan pulang selagi engkau tidak pulang.”
“Usah berdegil, dan ingat yang aku ketuamu. Pulang sekarang!”
“Ayame-san. Aku di sini atas arahan Koichi. Sebenarnya Koichi memintaku melihatkan engkau sepanjang misi di Izu. Namun engkau telah melarikan diri dari rumah tumpangan itu senyap-senyap pula.” Tokui berterus-terang.
Ayame bingkas terbang dari dahan ke dahan pokok hutan, langsung menghilangkan diri dalam gelap malam. Hotaru dan rakannya terpinga-pinga sebentar. Hotaru memandang salah seorang rakannya dan mengangguk kecil, baru faham agaknya, Mereka beredar meninggalkan Tokui yang sedang tegak kaku berdiri, masih menyorot kelibat Ayame yang sudah lesap ditelan gelap.
Tokui hilang jejak langsung. Dalam kepala dia tertanya-tanya, jurus apakah itu? Apakah Ayame sudah menguasai jurus kesepuluh?
Tatkala dia menoleh ke belakangnya, Hotaru dan dua lagi rakannya turut sama lesap.
**
“Aku fikir akahana mahu membalas dendam kerana kita menyekat orang-orangnya membekal senjata kepada Hamada dulu.” Hotaru memberikan pandangannya.
“Tidak. Mengapa aku yang disasarkan? Jika pun kerana aku Shirasaka, tidak ramai yang kenal wajahku.” Hatta Tsugiyama pun tidak mengenaliku ketika aku menyelamatkan Chisato dahulu. Ayame berbisik dalam hatinya.
“Oh, ya. Pengintip bangsat mereka itu.” Ayame menjawab sendiri soalannya, tatkala Hotaru hampir membuka mulut mahu mencadangkan jawapan. “Haih, berapa ramai pengintip mereka ada?”
“Ayame, aku fikir mereka mengekorimu dari Sangenchaya.”
“Tidak mungkin. Aku tidak kesan sebarang besi di belakangku. Atau mereka mengekorimu?”
“Mana mungkin. Sebentar. Rumah tumpang kami hanya di depan rumah tumpangmu.”
“Bererti mereka menumpang di rumah sama dengan rumah tumpanganmu, Hotaru-san. Mereka pasti sudah tahu engkau akan keluar tengah malam buta ke sini. Engkau rasa ada terbocorkan apa-apa?”
Hotaru cuba mengingat, kemudian menepuk-nepuk dahinya.
“Mengapa?”
“Barangkali penghuni bilik sebelahku mencuri dengar...”
“Berhati-hati lain kali Hotaru!”
“Maafkan aku Ayame. Maafkan aku, aku langsung tak sangka ia boleh terbocor begini mudah.”
“Nyawa aku hampir melayang tadi tahu?”
Hotaru tunduk. Jeda seketika. Dalam diam Ayame mula mengesyaki kepercayaan terhadap Hotaru namun dipendamkan kejap-kejap. Tunggu dahulu, ujarnya dalam hati. Mungkin ia benar satu kesilapan atau mungkin benar ada bunga pengkhianatan.
**
Beberapa bulan lepas...
Otou-san mempercayaiku. Aku gembira dia mempercayaiku. Namun pabila dia cuba menyekat penglibatanku dalam misi, dan hanya membenarkan aku menghantar pasukanku, aku jadi bingung. Mula-mula aku faham dia semakin bimbang akanku. Dia bimbang akan kehilanganku selepas peristiwa di Suruga. Namun pabila berterusan begini, aku tidak berpuas hati. Seolah otou-san cuba menghalangku terus. Seolah dia cuba merenggangkan aku dari kumpulanku agar agendaku terhalang, dan mungkin Skuad Sakura bakal berkubur atau dibubarkan dan orang-orangnya diserap ke dalam Kogen dan dipecah-pecahkan ke serata pelusuk Jepun. Aku mahu mengetuai. Aku mahu mereka mengikut telunjuk dan arahanku, bukan arahan otou-san. Bukan arahan Kogen, bukan arahan Maharaja. Aku mahu seluruh Jepun mengikutku!
Tidak, dari mana kata-kata itu muncul?
Mengapa seluruh Jepun? Mengapa aku mahukan seluruh Jepun mengikutku? Tidak, aku harus membetulkan niatku. Bukankah aku hanya ada dan sedang memimpin Skuad Sakura? Aku mahu menghapuskan onar dalam Kogen, dan melaksanakan Kod Kogen. Itu tujuanku.
Namun dari mana datangnya kemahuan menakluk seluruh Jepun? Apa yang membuatkan aku fikir begitu?
Ayame terus-menerus dirasuk oleh rasa yang datang entah dari mana. Ia seolah-olah sudah lama bermukim dalam hati, bahawa dia sepatutnya mengetuai dan mengawal manusia di telunjuknya. Mengapa sejak bapanya giat menghalang usaha-usahanya, rasa itu semakin kuat? Rasa itu menimbulkan citra demi citra. Semua yang dikagumi dan dihormati selama ini bertukar menjadi penghalang. Maharaja adalah penghalang, bukan lagi model rujukan, bukan kiblat sanjungan lagi. Koichi adalah penghalang, bukan lagi bapa yang penyayang. Koichi adalah pengongkong, Koichi menghalangnya dari melebarluas jalur mencapai kuasa.
Aku ingin menjadi sesuatu. Aku, Ayame, ingin menjadi sesuatu. Seperti shogun yang pernah memerintah negara ini beratus tahun lamanya. Tidak, shogun hanya menumpang kuasa baginda. Namun aku mahu mencantas baginda. Aku mahu memboneka negara ini. Aku akan kucarkacirkan ia. Aku akan merampas kuasanya!
Tanpa dia sedari, Ayame mengukir senyum lebar menampakkan giginya yang putih dan taring kecil di kedua-dua hujung bahagian atas. Matanya menimbulkan urat-urat berwarna merah. Kabus-kabus yang menutup Gaung Maut di hadapannya kadang menepi ditiup angin, menghantar bau busuk mayat di dalam gaung ke atas dan menerpa hidung Ayame. Namun semua itu tiada kesan kepada Ayame yang sudah mabuk kuasa.
Namun wajah Ayame kembali berubah muram. Dahinya berkerut, giginya berlaga. Aku hanya mahukan seluruh negara ini tunduk kepadaku agar onar-onar yang dilakukan sepertimana penjaga rumah perlindungan kami, dihapuskan. Seluruh negara ini akan bersih sepertimana Kogen dibersihkan Skuad Sakura. Ya, itulah cita-citaku. Aku bukan gila kuasa. Aku bukan gila kuasa! Aku hanya mahukan negara yang aman dari jenayah-jenayah itu!
Nariko mengintai Ayame dari balik sebatang pokok yang tumbuh tunggal di situ, di tebing berumput itu. Mengapa Ayame-san bercakap seorang diri di sini? Akhir-akhir ini kerap pula dia termenung dan bercakap seorang di sini, getus Nariko. Bahkan dia ketawa dan seketika kemudian bermuram pula. Apa yang berlaku kepada Ayame-san?
Nariko teringat beberapa bulan sebelumnya, ketika dia dan Hotaru di Furukawa.
“Ayame, hentikan!” Pekik Hosokawa Seijurou, pengintip kanan Ayame berpangkalan di Furukawa. Kembar Seijurou, Takajiro sudah bersedia di belakang Ayame, akan cuba menghalang sekiranya dia cuba melakukan perkara yang tidak diingini terhadap tawanannya.
“Dia cuba menculik gadis di sini!”
“Hentikan, Ayame.” Seru Takajiro pula.
“Kalian, apakah kalian masih bersamaku?” Soal Ayame keras.
“Sudah pasti! Mengapa engkau meragui kami?”
“Kerana Skuad Sakura hanya patuh kepada Kod Kogen. Kod Kogen mesti ditegakkan!”
“Benar. Namun tiada bukti yang mensabitkan lelaki ini dengan dakwaanmu. Ayame, lupakah engkau yang kita hanya menghukum selepas bukti yang tidak diragui dikemukakan? Lupakah engkau yang lelaki ini perlu dibicarakan dahulu, bukan terus dibunuh?”
Ayame tersentak tiba-tiba. Perlahan-lahan pegangan tangannya terlerai. Pantas lelaki itu ditahan dan diikat Seijurou dan Takajiro. Sementara itu Hotaru dan dua pengikutnya memegang dan membawa Ayame beredar jauh sedikit dari situ.
“Ayame, engkau sudah baikkah?” Tegur Hotaru. Nariko yang turut sama mengekor Ayame ke Kawamoto senyap-senyap, membawakan teh hijau panas dan meletakkan di sisi Ayame. Mereka sedang berada di sebuah warung soba.
Ayame mengangguk.
“Aku tidak tahu mengapa aku jadi begini, Hotaru-san. Andai kembar Hosokawa itu tiada di situ, pasti aku telah membunuh lelaki itu.”
Hotaru menumpu telinga pada Ayame, tidak membalas.
“Aku merasakan seolah-olah kemanusiaanku telah dimamah. Aku tidak tahu apakah disebabkan tugas-tugasku selaku penjatuh hukuman bunuh Kogen, atau kerana...” Kerana ramalan Amaguri berkenaan Kaisenjyo itu.
“Kerana apa, Ayame-san?” Soal Hotaru.
“Un, nani mo (tiada apa-apa.)” Oh, hampir aku terlepaskannya!
Nariko memasang telinga. Pada saat itu dia merasakan Ayame sudah mula berubah. Dia memandang tangan Ayame yang disorok di bawah meja. Tangannya terketar-ketar.
Pabila seseorang sudah mula menyedari kuasa di tangannya membolehkan dia bertindak sewenang-wenangnya, segalanya menjadi ringan. Jika melibas pedang pada tengkuk penjenayah itu pada mulanya berat, selepas dilakukan berulang kali, ia menjadi ringan. Mulanya ringan itu pada tangan yang menghayun pedang. Kemudian ia menjalar menjadi ringan pada membuat pertimbangan, segalanya menjadi mudah, segalanya boleh ditamatkan dengan memutuskan hukuman mati, kerana ia Kod Kogen. Kerana Kod Kogen telah mengesahkannya. Jika seseorang masih sangsi dan teragak-agak, bererti dia tidak yakin dengan Kod Kogen. Benarkan begitu? Apakah undang-undang seperti Kod Kogen itu boleh dibahaskan lagi, kerana ia terlalu kaku dan mengabaikan kemanusiaan? Atau kerana Ayame sendiri gagal mengawal emosinya dan seharusnya Kod Kogen itu sudah pun luhur pada intinya namun yang salah dan gagal mengawal emosi adalah penjatuh atau pelaksana kod itu?
Ayame, siapakah engkau sebenarnya? Apakah engkau masih Ayame seperti yang kukenali di awal pertemuan kita dahulu?
**
Seperti belakangan ini, Ayame bersendirian di Gaung Maut melayani hatinya yang berbolak-balik. Dia tidak rengsa bertemankan kesunyian dan bau busuk dari gaung itu, yang dihasilkan mayat-mayat yang mereput di dasarnya. Kadangkala yang datang dalam hatinya ialah niat murninya membersihkan Kogen, sehingga melarat kepada membersihkan negara, dan kemudian datanglah bisikan jahat agar dia mengubah niatnya kepada menghapuskan Maharaja. Dan kemudian dia kembali terjunam ke pangkal niat murninya, dan kemudian dirasuk lagi niat jahat itu. Ia berulang-ulang seperti gelombang air pasang dan surut. Semua ini menggilakan, mengujakan juga, namun menakutkan. Andai, andai ibunya dapat mendengar dan dia dapat berkongsi apa yang difikirkannya itu dengan ibunya, pasti semua ini dapat direnggangkan. Namun tiada gunanya kerana ibunya pun sudah lama pergi. Bapanya tidak boleh diharapkan, kerana bapanya tidak akan mendengar sepertimana ibunya mendengar.
“Wahai anakku.”
Ayame tersentak. Dia mendengar suara itu jelas di telinganya tatkala ralit merenung Gaung Maut yang berkabus. Suara itu menerjah lamunannya yang sekejap ke neraka sekejap ke syurga, sekejap ke hitam dan sekejap ke putih. Pertarungan dalam minda membubar. Dia menoleh. Namun tiada kelibat pun yang kelihatan. Suasana terang namun berkabus. Kabusnya kian tebal seolah timbul dari Gaung Maut naik menyelubung ke atas lereng.
“Wahai anakku.”
Suara itu datang lagi. Kali ini Ayame pasti, dia bukan berangan-angan.
“Siapa engkau?!” Soal Ayame.
“Aku sumpahan hayabusa.”
Ayame pasti, suara itu bukan angan-angan lagi. Ia menjawab soalannya. Ia memberi respons.
“Apa yang kaumahu?!”
“Engkau patut menyoal dirimu, apa yang kaumahu, Ayame-san?”
“Aku tidak tahu siapa engkau. Berhenti menggangguku!”
“Mengganggumu? Oh, Ayame waga-no-musume. Aku tidak mengganggumu. Aku ingin membantumu.”
“Jadi siapa engkau yang tiba-tiba sudi membantuku?”
“Bukankah telah kukatakan akulah sumpahan hayabusa?”
Nama itu datang lagi dan menjentik benaknya. Segala memori berkenaan nama itu yang pernah dia dengari dari perbualan Koichi dan Omi puluhan tahun lalu, kembali bermain di benak.
“Sumpahan hayabusa? Celaka siapakah engkau?”
“Engkau tidak ingat? Akulah yang membunuh ibumu.”
“Celaka, nyah engkau dari sini!”
“Tidak, Ayame. Aku mahu membawamu bertemu seseorang. Perkenalkan rakanku, Kaisenjyo.”
“Wahai Ayame, akulah Kaisenjyo.” Suara ghaib itu bertukar kepada suara seorang wanita.
“Engkau siapa pula?”
“Aku adalah ramalan yang mereka kecoh-kecohkan itu, sejak zaman Amaguri. Aku tiada jasad dan aku mahukan jasadmu.”