Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 17

Di malam yang hening itu, ditemani cahaya pelita, Tatsuya bersila di lantai perpustakaan Yoshinobu dan membuka buku berkenaan kaminari-no-kaze yang disimpan di situ.

 

“Tak sangka gabenor gemuk itu punya banyak buku di sini namun tidak dibacanya. Rugi. Dari mana dia dapat semua buku-buku di sini?”

 

Satu-persatu halaman diselak. Dia malas membaca tulisan panjang lebar Takasaki dan Mitsuo, maka dia hanya memerhati ilustrasi buruk yang disertakan. Ada satu dua perkataan yang menarik perhatiannya, seperti ‘rusuhan tenaga’, ‘beban emosi’, ‘zen’, ‘had tampungan tenaga’, ‘kesan berantai’...

 

Dahulu dia berlatih kaminari dengan Tsugiyama. Maka dia mampu mencapai jurus rendah kaminari, kerana had tampungan tenaganya sudah ditingkatkan oleh Tsugiyama yang ditingkatkan oleh Takasaki yang ditingkatkan oleh Mitsuo selaku puak Okuhida yang lahir dengan had tampungan tenaga yang sudah dipertingkatkan. Begitulah rantaiannya.

 

Maka Tatsuya menyedari, tiada halangan untuk dia mencapai jurus kaminari yang lebih tinggi dengan latihan sendiri. Namun bagaimana mengurangkan beban emosi? Apakah ada pedang istimewa?

 

Oh ya. Mariko. Kebolehannya menewaskan Tsugiyama pada jurus sembilan adalah sinar harapanku. Aku perlu mendapatkan pedang itu. Paling akhir pedang itu dipecahkan gadis bedebah Okuhida itu ketika Saitou menggunakannya, dan aku tidak mengambilnya pulang pula.

 

Tatsuya menepuk dahi menyedari kecuaiannya.

 

Esoknya Tatsuya ke kubur Tsugiyama demi menjejaki sisa pedang Mariko yang dipecahkan Hisamiko.

 

“Tetsuro.”

 

Seorang lelaki yang rendah dan cekung wajahnya dan rambutnya putih dan panjang berikat kain merah, keluar dari belukar dan berdiri di sisi Tatsuya yang sedang duduk di atas potong-potong buluh tua merenung busut yang mengandung jasad Tsugiyama.

 

“Aku menemuinya Tatsuya. Dari dalam Kogen, aku mendapat tahu mereka menggunakan resin ini menguatkan bilah-bilah pedang mereka.”

 

Lelaki berambut putih dan panjang berikat itu menghulurkan batu berwarna oren bercampur kuning kepada Tatsuya.

 

“Apakah ini?”

 

“Resin aomomiji. Getah keras dari pokok mistik yang tumbuh di dalam ibupejabat Kogen.”

 

Aomomiji? Bagaimana pula pokok momiji berwarna biru?”

 

“Aku tidak pasti. Seperti kukatakan, ia pokok mistik. Aku dengar ia hanya tumbuh di sana.”

 

“Jadi? Apa boleh aku lakukan dengannya?”

 

“Engkau boleh meminta tukang pedang menempa dengan resin ini.”

 

Tetsuro menjelaskan perincian teknikal bagaimana penempa perlu melakukannya.

 

Arigatou, Tetsuro. Ini upahmu.”

 

Doumo.” Tetsuro membuka kantung. Senyum lebar dia. Upahnya lebih dari jangkaan.

 

“Gembira berurusan denganmu Tatsuya.” Ujar Tetsuro seraya beredar.

 

**

 

“Inoue, ada apa engkau mahu bertemuku di pejabat pagi-pagi buta begini?”

 

“Koichi, boleh aku berbisik?”

 

Douzo.”

 

Inoue menganjak ke sebelah Koichi seraya berbisik ke telinganya, “Aku seperti biasa menjual resin-resin aomomiji yang kaubekukan di lembah Okuhida itu di jalanan berhampiran Kisennuma sebagai cenderamata. Namun ada perkara yang mencurigakan beberapa hari lepas. Seorang lelaki berambut putih dan berikat kain merah datang membeli, dalam dua ke tiga kali begitu. Kali pertama dalam lima biji. Kali kedua, sepuluh biji. Kali ketiga dia datang, dia meminta untuk membeli lima puluh biji! Aku katakan padanya aku hanya ada dua puluh biji sahaja, namun dia tetap membelinya dan memberitahuku agar menyediakan tiga puluh biji bakinya kemudian, selepas dia membayar kepadaku harga untuk lima puluh biji.”

 

“Hairan, bagaimana tiba-tiba sahaja ada yang menaruh begitu besar minat terhadap resin itu. Apakah kau mengekorinya?”

 

“Ya, aku menghantar Yasuo. Yasuo memberitahuku dia memberikan resin itu kepada seseorang yang kemudiannya memberikan kepada seorang tukang pedang di Shizen. Iaitu Mitsuhide.”

 

“Mitsuhide. Tukang pedang kepercayaan keluarga Hamada. Engkau dapat tahu lelaki berambut putih dan berikat kain merah itu bekerja dengan siapa?”

 

“Dari pemerhatian Yasuo juga aku dapat tahu dia bekerja untuk Tatsuya, salah seorang pengikut Tsugiyama. Dialah yang membunuh Mariko-san. Dia ada mengganggu Ryouji di Gero baru-baru ini. Barangkali kerana Ryouji ada kaitan dengan kematian Tsugiyama ketuanya. Ryouji juga dipersalahkannya di atas kematian iparnya penjaga kuil Furukawa itu. Aku bilang dia mahu membunuh Ryouji dengan tangannya sendiri, maka dia cuba mencipta pedang baru dengan resin itu.”

 

“Aneh, rahsia resin itu yang menguatkan bilah hanya berlegar dalam kalangan kita sahaja. Apakah ada orang mereka dalam kalangan kita di sini?” Duga Koichi.

 

“Jika ada, maka mereka pastinya yang kerap keluar dan masuk tanah tinggi ini. Engkau fikir?”

 

“Yang keluar masuk dari sini agak ramai. Sukar untuk kita cari yang mana yang mencurigakan.”

 

“Kita sempitkan pada mereka yang pernah menjadi tali barut Hamada. Shizuo? Noguchi?”

 

“Aku tidak fikir begitu. Mereka benar-benar mahu berubah dengan menyertai Kogen. Aku dapat melihat dedikasi mereka. Ah, Inoue, tidak semudah itu menghakimi manusia. Aku juga boleh mengatakan yang aku mengesyaki Ayame.”

 

“Ayame?”

 

“Mungkin dia merancang mahu menghancurkan Kogen agar Skuad Sakuranya dapat berkembang menjadi penggantinya. Hatta engkau sekalipun turut aku syak.”

 

“Koichi...”

 

“Apa yang ingin kumaksudkan, Inoue, adalah kemungkinan itu pelbagai. Namun apa yang pasti sekarang, orang-orang Hamada atau sekurang-kurangnya mereka yang membeli resin itu darimu sudah tahu rahsia pedang kita. Aku mahu engkau terus memerhati sekitar Shizen sama ada pengetahuan tentang resin itu hanya terhad sekitar mereka sahaja atau telah tersebarluas.”

 

Ryoukai.”

 

“Sebentar, perhatikan juga sama ada Mitsuhide berjaya menghasilkan bilah menggunakan resin itu.”

 

“Baik, Koichi.”

 

Inoue agak gusar mendengarkan kata-kata Koichi. Gusar barangkali Koichi menaruh curiga terhadapnya. Kepercayaan adalah nadi utama kerjaya Inoue. Kesetiaan dan kepercayaan adalah segala-galanya, lebih nilainya dari gaji yang diterima. Kepercayaan memberi makna dalam kerjanya. Bertahun dia membina kepercayaan keluarga Shirasaka. Dia tidak akan sekali-kali mengkhianati mereka, tidak sekali-kali. Jika dia melakukan sebarang pengkhianatan kelak, dia rela melakukan seppuku.

 

 

**

 

Mitsuhide mengambil masa berehat selepas selesai kerja-kerja di bengkel penempaan pedang pada hari itu. Tatsuya yang tiba di situ dalam sejam sebelumnya setia menunggu Mitsuhide.

 

“Ya, Tatsuya. Apa hajat engkau ke sini?”

 

“Aku ingin mendengar pendapatmu berkenaan bilah ini.” Tatsuya membuka bilah Mariko yang telah pecah dari bungkusan kain yang dibawa.

 

Mitsuhide mengambil salah satu dari serpihan bilah itu, mengamatinya rapat. Meskipun dia sudahpun lanjut usia, dia tidak memerlukan kanta mahupun cermin mata.

 

“Sungguh ringan. Dan luar biasa. Bilah biasa tidak berkilau seperti bilah ini. Seolah-olah ia sekata sehingga ke bahagian dalaman. Siapa yang menempanya?”

 

“Anak murid Takasaki. Aku dengar dia menggunakan resin ini.”

 

“Resin apakah ini?”

 

“Resin aomomiji.”

 

Aomomiji? Aneh benar bunyinya.”

 

“Aku mahu pedang yang kuat dan ringan. Aku dengar dari Kogen, resin ini menguatkan bilah. Mitsuhide, tolong aku tempa pedang menggunakan resin ini.”

 

Mitsuhide ketawa kecil mendengarnya.

 

“Tatsuya, tiada bilah terkuat di dunia. Hatta aku berusaha sedaya yang termampu sekalipun, pasti ia akan dapat dipecahkannya.”

 

“Apa maksudmu Mitsuhide?”

 

“Ciptaan manusia banyak kekurangan. Jika engkau berjaya menghasilkan bilah terkuat sekalipun, ia tidak akan bertahan lama statusnya. Pasti ada teknologi baru, atau kaedah baru dicipta bagi memecahkannya.”

 

“Aku tidak kisah. Yang penting pedangku ini dapat menewaskan anak-anak Okuhida Mitsuo...”

 

“Okuhida? Aku seperti pernah mendengar nama mereka. Oh, ya. Kobato kerapkali bercerita tentang mereka sewaktu tinggal di sini dahulu.”

 

“Kobato?” Tatsuya menyangka Kobato itu ialah anak kecil yang sama yang dia bakar rumahnya bersama Tsugiyama dan kemudian diselamatkan Takasaki ketuanya. “Kozue Kobato, maksudmu?”

 

“Ya. Bagaimana engkau mengenalinya?”

 

“Oh, tidak ada apa-apa. Aku hanya mengagak, kerana aku seperti pernah mendengarnya.” Tatsuya menipu acuh tak acuh. Mitsuhide memandang penuh curiga. Namun Tatsuya tidak mampu menyembunyikan sepenuhnya rasa terkejut dari wajahnya.

 

“Menurut Kobato, anak Okuhida bernama Ryouji itu mahir kaminari dan ada mengajarkan jurus enam. Mereka bertemu ketika tinggal di rumah Takasaki bekas gurumu itu.” Jelas Mitsuhide, sengaja menebak Tatsuya agar membuka mulut.

 

Setahu aku dari Tsugiyama, Kobato mati dimamah rusuhan tenaga, getus Tatsuya. Tidak rugi jika aku memeriksanya dari Mitsuhide.

 

“Apa terjadi dengan Kobato?”

 

Akhirnya dia termakan umpanku, getus Mitsuhide.

 

“Dia meninggalkan rumah ini tanpa bertemuku buat kali terakhir. Aku tidak tahu apa terjadi dengannya. Aku fikir dia telah bertemu pembunuh ibu dan bapanya, maka dia sedang berusaha melunaskan dendamnya. Aku rindukan Kobato. Tatsuya, jika engkau bertemunya, bawalah dia ke sini.” Sugul nada Mitsuhide.

 

Sambungnya lagi, “Hanya Kobato yang sering berbual denganku di sini. Aku tiada anak. Isteriku sudah lama meninggal. Aku menganggapnya sebagai anak sendiri sejak dia tiba di sini. Dia seorang yang banyak cakap namun kadang-kadang aku melihatnya bersendirian, wajahnya sugul seperti sedang mengenang sesuatu yang pahit.”

 

“Kobato sudah mati, Mitsuhide.”

 

Kening Mitsuhide terangkat, sedikit tersentak mendengarkan khabar itu.

 

“Apa maksudmu, Tatsuya?”

 

“Kobato sudah mati. Dia dibunuh Okuhida Ryouji.” Tatsuya mula merekayasa cerita. Segala pembayang sudah tersedia, hanya perlu diadun mengikut selera sendiri. Jika hitam seleranya, maka hitamlah kisahnya. Maka mulalah hancur hati-hati rapuh yang mendengar. Kelak mudah, fikirnya, untuk dia mengawal hati-hati ini seperti boneka.

 

Sambung Tatsuya lagi, “Pembunuh ibu dan bapa Kobato ialah Takasaki. Takasaki membakar rumah ibu dan bapanya. Kobato kembali ke rumah Takasaki dan membunuhnya. Okuhida Ryouji bertemu dia dan cuba menangkapnya. Mereka bertarung dan Kobato dimamah rusuhan tenaga. Dia mati, Mitsuhide. Dia mati di tangan Ryouji.”

 

“Takasaki gurumu membakar rumah Kobato? Naze da, Tatsuya? Apakah engkau turut bersekongkol dengannya? Mengapa kalian melakukan perkara sekejam itu, Tatsuya?! Patutlah engkau mengenalinya, huh!” Mitsuhide mengenali Takasaki, kerana samurai-samurai Hamada ramai yang menempa pedang di kedainya.

 

Tatsuya sudah terperangkap. Terlajak kata buruk padahnya...

 

“Kami hanya menurut arahan. Kobato tidak tahu aku turut terlibat. Maafkan aku, Mitsuhide.” Tatsuya tunduk rendah.

 

Maka benarlah ura-ura yang kudengar dari orang ramai bahawa sememangnya Hamadalah yang mengarahkan rumah ibu bapa Kobato dibakar, getus Mitsuhide. Kasihan keluarga Kozue itu. Dia pernah bersama-samaku bersembang di kedai soba di sini. Sini kampung kami membesar.

 

Masih dalam tunduk, Tatsuya menyambung, “Mitsuhide, Hamada sudahpun tiada. Aku tidak akan melakukan jenayah itu lagi. Yoshinobu penggantinya tidak sekejam itu. Aku jamin kami tidak akan mengulanginya.”

 

“Malang budak Kobato itu. Jiwanya bersih. Namun dirosakkan oleh tangan-tangan kalian!” Bentak Mitsuhide. Tatsuya menahan amarah. Jika diikutkan selaku samurai dia boleh saja memancung kepala Mitsuhide di atas kata-kata biadap dan menghina itu namun dia bukan lagi samurai. Kesamuraian telah dimansuhkan. Sebarang tindakan begitu hanya dilihat sebagai jenayah oleh kerajaan baru Maharaja.

 

Pantas Tatsuya memotong sebelum api kemarahan dia atau Mitsuhide melarat, “Apa yang penting Mitsuhide, andai Ryouji tiada, sudah pasti Kobato masih di sini. Dan sudah pasti engkau mampu memujuknya agar tidak meninggalkanmu. Sudah pasti engkau masih sedang berbual-bual dengannya. Ryoujilah yang membongkarkan bahawa Takasaki yang membakar rumah Kobato.” Tatsuya menabur fitnah.

 

“Ryouji tidak berpuashati dengan Takasaki kerana Takasaki pernah bekerja dengan Hamada yang juga telah membunuh bapanya, maka dia cuba membakar api dendam Kobato.”

 

Tatsuya mengerling sekeliling seraya menyambung dengan suara lebih perlahan, “Kemudian selepas Kobato membunuh Takasaki, Ryouji membiarkan Kobato lesap oleh rusuhan tenaga, agar perancangan jahatnya ikut lesap sekali tanpa dibicarakan.”

 

Tatsuya merenung dalam mata Mitsuhide, seperti cuba memukaunya, seraya menyambung dengan menekan suaranya agar segala tuduhan ini lekat terus di benak Mitsuhide dan mencambah dendam, “Mitsuhide, Ryouji adalah punca kepada kematian Kobato. Kita perlu membunuh Ryouji. Aku perlukan kemahiranmu menempa pedang dengan menggabungkan resin yang kubawa ini. Aku akan membunuh Ryouji untukmu, Mitsuhide!” Tangan Tatsuya kini hinggap di kedua-dua belah bahu Mitsuhide, menggoncang-goncangkan tubuh rakannya itu dengan mata tidak lekang merenungnya.

 

Mitsuhide tergamam.

 

“Mitsuhide, aku, Tsugiyama dan Takasaki langsung tidak berniat membakar rumah Kobato malam itu jika bukan kerana Hamada. Kami tidak berupaya mengawal tindakan kami, kerana kami hanyalah para samurainya. Namun Ryouji bukan samurai. Dia bertindak sendiri. Ryouji harus dibunuh.”

 

Darah naik ke muka Mitsuhide. Amarah dikobar oleh kata-kata Tatsuya. Dalam amarah yang membakar, berdesir suaranya.

 

“Aku akan membantumu menempanya. Aku akan membantumu membunuh Okuhida Ryouji! Aku akan pastikan nyawa Kobato dituntut bela.”

 

Tatsuya menyeringai dalam hati. Umpannya mengena.

 

Engkau akan mati di tanganku, Okuhida Ryouji! Aku pasti akan dapat menumpaskan engkau dan adikmu!

 

“Mitsuhide-san, aku akan menghantar seseorang ke sini. Dia akan memberikanmu resin-resin ini untuk kaucubajaya. Engkau cubajayalah berulang kali sehingga berjaya menghasilkan bilah terbaik. Selepas engkau berjaya, maklumkan kepadaku dan aku akan bayarkan seberapa harga yang engkau mahukan.”

 

“Aku tidak akan mengenakan harga yang mahal untukmu. Bukan untung yang aku mahukan. Aku mahu nyawa Kobato terbela. Hanya bantuanmu yang aku perlukan demi hutang darah Kobato.” Tegas Mitsuhide. Tatsuya hanya menyeringai mendengarkan kata-kata itu.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov