Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 62

Ayame masih meneruskan mengengsot ke arah lubang pokok gergasi, sedang menoleh sekali-sekala dan mendapati bekas pengikutnya itu di situ.

 

Ichi! (Satu!)”

 

Ni! (Dua!)”

 

San! (Tiga!)”

 

Shi! (Empat!)”

 

Go! (Lima!)”

 

Tiada anjakan. Yang ada hanyalah tembok kedegilan yang menyekat kaki.

 

Roku! (Enam!)”

 

Nana! (Tujuh!)”

 

Hachi! (Lapan!)”

 

Kyuu! (Sembilan!)”

 

BTOOM!

 

Baka jyanai (Bodohkah kalian)! Getus Ayame yang sudah pun di dalam lubang pokok besar. Tubuh Takumi dan Tokui separuh hancur dibom. Mereka terlantar di atas rumput, nyawa-nyawa ikan.

 

Nasakenai na... (Tak ada harapan lagi.)” Keluh Takajiro melihatkan nasib dua orang pencinta Ayame itu yang kini hanya menunggu sakarat memadamkan riwayat mereka.

 

Ayame mengumat-kamit sesuatu sedang masih terbaring di lantai dalam lubang pokok gergasi itu. Ia mantera yang dihafalnya dari buku Amaguri. Usai menamatkan mantera itu, akar pokok gergasi yang berceracak dan membentuk lubang itu, bergerak perlahan-lahan dan kian pantas, merapat dengan satu dan yang lainnya sehingga membungkus lubang itu dan menutupnya kejap-kejap sehingga tiada seorang manusia mahupun makhluk sekecil serangga mampu memasukinya lagi.

 

“Ayame ditelan akar pokok itu!” Jerit Takajiro. Ryouji dan Hisamiko dan Natsuki menganga melihatnya.

 

Natsuki tidak berpuas hati lantas tergerak melontar bomnya ke akar pokok yang sudah pun mengurung Ayame kejap itu. Namun bomnya hanya meletup di luar, tidak sedikitpun memusnahkan akar pokok itu, seolah lilin yang menyelaputi kulit dan luaran akarnya yang besar itu kalis api dan gelombang kejutan. Lontaran bom dari Seijurou dan Takajiro menyusul. Akar pokok itu masih tidak terkesan sedikitpun. Mayat Tokui dan Takumi sudah pun dibenam akar pokok itu ke dalam tanah, sekaligus mengebumikannya.

 

Kuso! (Sial!)” Maki Natsuki. “Engkau matilah terkurung di dalam akar pokok itu, Ayame-san!”

 

Ryouji dan Hisamiko hanya terdiam. Misi mereka terbantut tidak semena-mena dengan Ayame mengurung diri dalam lubang akar pokok gergasi itu. Mereka sepatutnya membawa mayat Ayame ke lembah Okuhida seperti arahan Koichi dan Maharaja.

 

**

 

Sebaik akar pokok gergasi mengatup rapat, cahaya matahari pun terhalang dari menerobos ke dalam lubang kayu. Ayame diselubung kesamaran, cahaya masih datang dari batu-batu penyerap cahaya yang banyak digantung di dalam lubang kayu itu, yang kini membebaskan cahaya dalam kegelapan. Dia mengengsot dengan darah masih belum berhenti mengalir dari kakinya yang putus. Gigi digetap menahan peritnya, dan dia mengoyak kain yukata dan membalut bahagian kaki yang cedera itu.

 

Dia mengengsot melepasi ruang dapur, dan sampai di ruang tamu utama yang ada satu bangku dengan dua ke tiga buah buku bersepahan di atas para. Di hadapannya dia bertemu sebuah rak buku yang besar dari lantai ke bumbung. Dia menolak satu bahagian rak itu, yang rupanya sebuah pintu, yang membawanya ke sebuah bilik yang kecil.

 

Darah masih menitik menembusi balutan, namun kian memperlahan dan terhenti. Dia masuk ke dalam bilik itu dan duduk bersandar pada sebuah katil yang ada di situ. Perit pada kakinya masih terasa. Gegaran kecil akibat bom-bom yang dibaling ke arahnya di luar menjatuhkan debu, namun ia reda selepas beberapa ketika.

 

Dalam menanggung kesakitan itu, dia mengingat kembali wajah-wajah yang berada di sekelilingnya sebentar tadi. Seijurou dan Takajiro yang pernah memberikan khidmat di Furukawa dan orang kanan yang paling dipercayainya, kini cuba membunuhnya. Bangsat mereka, rupanya mereka tali barut otou-san. Hanya Tokui yang masih setia hingga hujung nyawa. Namun Tokui terlalu muda dan bodoh. Takumi itu mengapa pula? Mengapa tiba-tiba dia datang ke sini? Ah, usah difikirkan lagi, semua itu tiada gunanya lagi. Aku akan terkurung di sini entah berapa lama.

 

Pemikiran yang berunut-runutnya itu akhirnya mendap kepada Koichi. Di mana bapanya itu sekarang? Mungkin sedang bersorak-sorai dengan kemenangan mereka dan bubarnya Skuad Sakura dan bahagian yang setia dengannya dari Kogen? Apakah otou-san sedang bergembira atau berduka dengan pemergianku?

 

Aku sesungguhnya tiada sesiapa pun di dunia ini sejak mula lagi. Ayame tersengih menyedari hakikat itu. Sejak ibu mati di usiaku yang kesepuluh tahun, tiada sesiapapun yang benar-benar bersamaku. Takahata dan Shizue-nee chan telah aku cantas mereka demi Kogen. Demi Kogen! Aku menghindar semua lamaran demi Kogen, kerana aku tidak mahu organisasi ini dikuasai lelaki seperti otou-san! Aku mengabdikan hidupku, waktu mudaku untuk Kogen, aku yang mengasaskan Skuad Sakura demi membersihkan Kogen, sedang otou-san hanya mahu mengubahnya menjadi lembik, membenarkan penjenayah berat hidup.

 

Segala yang aku lakukan, termasuk perang itu, segala-galanya hingga ke saat ini... adalah demi Kogen!

 

Air matanya mengalir menuruni pipi dan rambut yang berjurai dan kusut-masai yang menutup pipi dan leher.

 

Mengapa begini jasa-jasaku dibalas. Andai ibu berada di sini, pasti ibu akan menyokongku.

 

Dia menoleh memandang katil di belakangnya. Dia membayangkan ibunya yang sering terlantar di atas katil ada di situ, sedang dia duduk di sebelah mendengar ibunya bercerita pelbagai perkara. Namun bayangan itu kian jelas. Dia cuba menyentuhnya, ia benar kelibat ibunya di depan mata.

 

Dia menganjak merapatkan kepalanya ke bahu ibunya seperti yang selalu dilakukannya dahulu. Ibunya menoleh ke sisi dan mata mereka bertentangan. Mata Ayame membulat. Ibunya yang sekian lama pergi kini muncul kembali di depan mata.

 

“Ayame...” Tutur ibunya dalam lemah, seperti biasa didengarinya. Suara itulah yang sudah bertahun menderita sakit akibat sumpahan hayabusa. Suara itu jugalah yang bercerita dan berbual pelbagai perkara setiap hari.

 

Ayame memeluk ibunya. “Okaa-san...”

 

Namun bayangan itu tiba-tiba melesap dan dia menyedari hanya memeluk sebiji bantal.

 

Dia kembali duduk di sisi katil, dan terlena.

 

Dalam lena itu, dia didatangi sebuah mimpi. Ia sebenarnya memori lama dahulu yang dimainkan kembali dalam mimpi itu. Ia salah satu hari dalam hari-hari terakhir sebelum ibunya pergi selama-lamanya. Dia yang hanya berumur sepuluh tahun ketika itu datang ke sisi ibunya seperti biasa.

 

“Ayame...” Ujar ibunya dengan tangan membelai rambut Ayame.

 

Okaa-san.”

 

Ayame dapat merasakan belaian ibunya tidak lagi seperti sebelumnya, amat lemah, dan tangannya lebih sejuk dari biasa. Direnung wajah Tsubomi, rona hitam bawah matanya kian membesar, wajahnya makin cekung menampakkan rahang, hampir tenggelam bebola mata dalam soketnya. Rambutnya kering dan beruban. Suara Tsubomi juga nampak terlalu sukar digugah dari dada. Nafasnya juga lebih kuat berombak dalam dada. Saat itu Ayame faham ibunya tidak akan lama lagi di dunia ini.

 

“Berapa sudah umurmu tahun ini?” Tsubomi menyoal. Dia sudah lupa akan tarikh dek terlalu lama terlantar. Ayame sudah tidak mampu mengingat entah kali ke berapa soalan yang sama itu ditanya ibunya. Namun dia tidak rengsa, dia faham orang sakit mudah melupainya.

 

Ayame mengira satu persatu dengan jarinya, dari tahun lahirnya 1846 sehingga tahun itu, 1856. Setiap batang jari habis dibengkokkan, sepuluh semuanya.

 

Jyuu-sai (sepuluh tahun), okaa-san.”

 

Bermakna sudah enam tahun aku terlantar, getus Tsubomi. Kerana mula aku terlantar ialah ketika dia empat tahun. Sudah enam tahun Ayame terpaksa hidup dengan ibu yang terlantar ini, lebih dari separuh umurnya. Tsubomi menahan sebaknya. Dia tidak mahu Ayame melihatnya menangis dan lemah.

 

“Engkau masih ke sekolah?”

 

Ayame mengangguk. “Aku tidak pernah ponteng, okaa-san.”

 

Tsubomi tersenyum sahaja mendengarnya. Dia ingin sekali melawat Ayame di sekolahnya seperti ibu bapa lain, di sekolah yang diselia Kogen itu, yang terletak di Kogen-no-Shita di bawah sana. Namun apakan daya, dia hanya terlantar di sini bertahun-tahun. Koichi pula tidak terlalu mengendahkan Ayame. Dingin seperti selalunya, sibuk dengan urusan-urusannya.

 

“Tiada budak-budak membulimu lagi?”

 

“Tiada lagi.”

 

“Saeki, budak lelaki yang engkau khabarkan padaku itu bagaimana dia?”

 

Ayame agak terkejut ibunya masih mampu mengingati Saeki, sang pembuli yang pernah memukulnya dahulu. Sangkanya Tsubomi sudah melupakannya kerana dia tidak pula bertanya dalam hari-hari sebelum ini.

 

“Tiada, okaa-san.” Ayame menggeleng kepala. “Saeki sudah lama tidak menggangguku.”

 

Hontou desuka?” Tsubomi menaruh minat pada jawapan ringkas Ayame.

 

Hontou da.”

 

“Mengapa?”

 

Ayame melilau matanya, sebelum menjawab,”Ayame hentak penumbuk pada perutnya bila dia mahu buli Ayame.”

 

Hee...” Tergamam Tsubomi mendengarnya, ada garis senyuman merekah, mungkin hanya itu bentuk tawa yang mampu dilakukan dalam lemah begitu. “Selepas tu?”

 

“Kami berguling dan bertumbuk atas tanah, sehingga cikgu datang meleraikan.”

 

“Lepas tu? Cikgu denda kalian?”

 

“Ya. Kami kena berdiri atas meja.”

 

“Macam mana Ayame berbaik dengan Saeki?”

 

“Ayame berikan dia makanan dan hadiah di hari lahirnya.”

 

Tsubomi melopong sedikit mendengarnya. Itu salah satu dari intipati cerita-cerita yang didongengkan kepada Ayame sepanjang dia terlantar. Ayame mengambil pengajaran dan mempraktikkannya. Tsubomi berasa lega dan tenang mendapat tahu rahsia ini dari Ayame.

 

“Dia ucapkan terima kasih dan senyum pada Ayame.” Tambah Ayame lagi. “Sejak hari itu dia baik denganku dan tidak lagi membuliku.”

 

“Ibu gembira mendengarnya. Ibu fikir, Ayame anak ibu ini orang yang baik.”

 

“Orang yang baik?”

 

“Orang yang baik akan membalas kejahatan dengan kebaikan.”

 

“Seperti yang Ayame dah buat?”

 

“Ya. Ayame, hanya kebaikan yang dapat mengatasi kejahatan.” Tsubomi menuturkan, matanya merenung Ayame tepat dengan kepala diiringkan perlahan-lahan. Kelopak matanya lebih rendah dari biasa, matanya berselaput sehingga mata hitamnya sudah kelabu. “Ingat pesan ibu ini, Ayame. Engkau akan bahagia jika kau berpegang dengannya, sepanjang hidupmu, sehingga selepas ibu tiada lagi di sisimu.”

 

Hanya kebaikan yang dapat mengatasi kejahatan. Kata-kata itu terngiang-ngiang sehingga Ayame terjaga dari mimpinya, dalam samar bilik yang kecil dan dingin di dalam batang pokok gergasi itu.

 

Nampaknya andai okaa-san masih hidup, dia pasti tidak akan menyokong segala perbuatanku selepas aku meninggalkan Kogen. Pembunuhan yang telah aku lakukan di Yokuma, di Nakasendo... dan di pintu masuk Kogen... Semua pertumpahan darah yang aku sebabkan itu, okaa-san pasti tidak akan merestuinya. Padanya pasti semua itu kejahatan. Sedang aku melakukannya demi Kogen, agar ia tidak jatuh ke tangan pengecut seperti otou-san. Namun ia tetap sebuah kejahatan di mata okaa-san.

 

Ayame menutup muka dan menangisi dosa-dosanya, menyedari tahap kejahatan yang dia zahirkan itu tidak akan direstui sesiapapun, walau ibunya sendiri. Ayame telah melihat sendiri bagaimana pengikutnya yang paling setia pun telah memilih membelotnya.

 

Aku sudah melakukan terlalu banyak kejahatan selepas lari dari Kogen. Apakah masih ada ruang untuk aku melakukan kebaikan dan mengatasinya? Jika ada, bagaimana? Jika aku keluar dari sini, mereka akan membunuhku pastinya.

 

Dia mencari-cari dan berlegar-legar dalam bilik itu dalam keadaan mengengsot. Dia menemui lantai yang tidak sekata dan membukanya. Dia menemui sebuah buku, iaitu buku ramalan Amaguri. Dia amat kenal buku itu, buku itu jugalah yang mengajarnya mantera yang boleh menggerakkan akar-akar pokok gergasi itu. Dia terserempak dengan satu petikan yang meramalkan kemunculan Kaisenjyo:

 

Tahun sembilan zaman gemerlap

Terputus segala pewaris kuasa

Tinggal sunti berdarah gahara

 

Sunti tiada tandingan bertarung

Sunti gerhana gemerlap takhta

Pulaukan, sisihkan

Agar aman sarwa pertiwi

 

Pulau terasing jauh di utara

Tempat sunti berdiam, dipenjara

Tegahlah jiwa nan menghampiri

Nescaya selamat nyawa dan pertiwi.

 

Okaa-san... apakah kebaikan yang mampu aku lakukan demi mengatasi kejahatanku? Oshiete okaa-san... oshiete... (ajarkanku...)

 

ENGKAULAH KEJAHATAN!

 

Tiba-tiba bergema suara yang sekian lama tidak berkumandang, di telinganya. Ayame memerhati sekeliling, namun dia pasti suara itu bukan datang dari luaran. Ia di dalam kepalanya.

 

Aku tidak jahat!

 

ENGKAULAH KEJAHATAN!

 

Suara itu berulang lagi. Ia suara sumpahan hayabusa, syaitan yang menawarkan bantuan kepadanya sekian lama.

 

AKU MEMBERIKAN ENGKAU PILIHAN, DAN ENGKAU MEMILIH KEMUSNAHAN. ENGKAU KEJAHATAN. HAPUSKAN DIRIMU. KEJAHATAN!

 

Aku akan mengatasinya! Aku akan melakukan kebaikan kembali!

 

ENGKAU MAHU MENYERAH DIRI?

 

Ya! Aku mahu serah diri.

 

MEREKA AKAN CUBA MEMBUNUHMU JUA. DAN ENGKAU AKAN CUBA MELEPASKAN DIRI.

 

Aku tidak akan melepaskan diri! Hanya dengan menyerah diri sahajalah, itulah kebaikan yang akan mengatasi kejahatanku!

 

ENGKAU YAKIN? ENGKAU KAISENJYO, AYAME. ENGKAU TIDAK AKAN DIBUNUH MEREKA. ENGKAU ADALAH SYAITAN. SELAGI MANA ENGKAU BELUM MENJADI KAISENJYO, SEGALA USAHA MEREKA MEMBUNUHMU JADI SIA-SIA. KEJAHATANMU AKAN BERLELUASA. ENGKAU AKAN MENCARI PELBAGAI CARA DEMI MENENTANG MAHARAJA SELAGI ENGKAU HIDUP.

 

Suara itu menghilang, namun ia bermain-main di benaknya.

 

Apakah benar sememangnya akulah kejahatan itu? Kejahatan yang membinasakan tanah Yamato ini? Lantas apa kebaikan yang boleh kulakukan demi menghapuskan diriku yang merupakan kejahatan itu?

 

Ayame merenung dalam-dalam dan memejamkan matanya. Saat itu lahir perasaan membuak-buak, dia mahu merampas takhta Maharaja. Itulah niat sebenarnya yang hanya terzahir pabila direnung. Itulah Berahi Kuasa yang sebenar. Kuasa menjadi satu figura yang menggiurkan, memberahikan, sehingga mereka yang dirasuknya lupa segala-galanya. Itulah Ayame yang sebenarnya.

 

Ya, itulah jawapannya. Aku sudah menemuinya sekarang.

 

Ibu yakin, Ayame anak ibu orang yang baik. Suara ibunya kembali menguasai benak. Ayame terumbang-ambing pendiriannya.

 

Ayame menitiskan air mata. Dia tidak mempercayai segala ramalan itu. Dia bukanlah Kaisenjyo. Dia memilih jalan ini demi Kogen. Dia tetap mempercayai dirinya adalah kebaikan, seperti yang pernah dikatakan ibunya. Namun pabila terburu-buru, matlamat menghalalkan segala cara termasuk cara yang melibatkan kejahatan. Itulah yang sebenarnya berlaku. Namun karmanya sama sahaja. Jika dia keluar dari sini sekalipun, dia tetap akan dihukum bunuh. Jika tidak dibunuh Maharaja, dia akan dibunuh bapanya, atau bekas pengikutnya. Ramalan Kaisenjyo itu tiada maknanya, dia bukan petarung yang tidak akan dikalahkan, buktinya pada putusnya kaki yang dibom itu. Tiada maknanya semua itu lagi. Mati di sini atau mati di luar sana tiada bezanya lagi.

 

Selepas kering air mata, yang hadir dalam sanubari hanyalah nekad yang tidak akan diubah dan diundurkan lagi. Dia membuka satu laman dalam buku Amaguri itu dan membaca mantera. Habis membacanya, akar-akar di luar ruang itu menekan segala-galanya ke dalam sehingga hancur dinding dan binaan di dalamnya, sehingga menekan dan menindih dan mencucuk tubuh Ayame dan membungkus dan melemaskan jasadnya, sehingga luarnya turut hancur.

 

Moga dengan kematianku ini, aku menebus dosa-dosaku itu, bisik Ayame dalam hati, sebelum menutup mata selama-lamanya.

 

Di luar, pokok gergasi itu membungkus segala isinya seperti sotong kurita membungkus dan menghancurkan sebuah kapal. Ia berlaku sekelip mata, dan pabila ia terhenti, akar-akar kayu dan batang pokok gergasi itu dan daun-daunnya melenyap bak debu ditiup angin.

Previous: Bab 61
Next: Bab 63

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov