Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 68

“Demikianlah kisahnya bagaimana Ayame-san dibunuh.” Saionji, shugenja yang dipertanggungjawabkan meronda lembah Amaguri dan Gunung Kogen, menamatkan perkhabarannya kepada Koichi berkenaan apa yang berlaku kepada Ayame selepas masuk ke lembah Amaguri itu selepas dikejar tentera Maharaja.

 

“Maafkan aku, Koichi-san. Aku hanya memerhati dari atas pokok dan bersembunyi dan tidak melakukan apa-apa, seperti arahanmu. Maafkan aku!”

 

“Tak perlu meminta maaf Saionji. Engkau telah menuruti segala arahanku. Dan arahanku itu adalah arahan dari baginda juga.” Meskipun berat. Aku terpaksa melakukannya.

 

Saionji meminta izin beredar dari lembah itu, demi meneruskan tugasnya meronda Gunung Kogen, dan Koichi membenarkan. Koichi turut beredar, keluar dari lembah Amaguri itu dan terus berkuda ke lembah Okuhida.

 

Sebaik tiba di lembah itu, dia berjalan menuju ke tiang batu putih Okuhida. Di sebelah tiang batu itu bersemadinya Ayame. Sudah dua bulan Koichi berulang-alik begini dari Kogen ke lembah Okuhida demi melawat kubur Ayame. Semakin hari, dia semakin lama dan kerap ke sini. Jika dahulu hanya seminggu sekali, namun kini, dia akan datang seminggu tiga kali. Kogen telah diserahkan beransur-ansur kepada majlis yang dilantik Maharaja. Ryouji sudah pun berpindah ke Tokyo bersama Hisamiko. Ryouji enggan mewarisinya.

 

Apa boleh dilakukan, getus Koichi. Aku tidak menyalahkan Ryouji atas pilihannya. Dia menerima tugas membunuh Ayame dariku dan dari baginda agar dia mendapat habuan dari Maharaja, dan salah satunya ialah rumah di Tokyo. Lagipun, melihatkan keadaan Kogen yang semakin berpecah-belah dan ramai yang tidak bersetuju dengan perlantikannya, adalah lebih baik dia tidak menerima jawatan itu. Aku memilih Ryouji kerana keperibadiannya. Namun tidak sekali-kali aku menyangka, hanya aku yang kenal Ryouji. Rata-rata mereka di sini tidak kenal Ryouji meski namanya diketahui ramai ahli Kogen, mungkin mereka hanya kenal pada namanya. Disebabkan itu, mereka enggan menerima Ryouji menjadi pemimpin mereka. Mereka mengenali aku lebih dari itu, sebelum aku menjadi ketua Kogen lagi, aku berkecimpung sebagai pengintip dan membina jaringan dengan banyak penjaga rumah perlindungan. Ryouji mungkin ada melawat banyak rumah perlindungan sewaktu misinya, namun itu misi menghukum, bukan membina jaringan dengan penjaga rumah.

 

Aku tidak tahu siapa lagi yang boleh dipercayai selain Ryouji demi mewariskan Kogen. Namun sekarang masalah itu sudah pun diselesaikan. Maharaja sudah pun mengambilalihnya. Biarkanlah baginda dan perdana menterinya bertungkus-lumus mentadbir dan mengubah Kogen. Aku hanya mahu bersara. Aku hanya mahu bersama Ayame. Sekarang aku sudah pun berjaya menyerahkan hampir seratus-peratus tugasku kepada penjawat baru, iaitu wakil yang dilantik Perdana Menteri Ito. Lagi beberapa hari, akan diadakan majlis bagi meraikan perpisahan dan persaraanku dari Kogen. Ah, andai masih ada Tsubomi dan Ayame. Namun siapa lagi yang ada. Aku tidak ada ahli keluarga lagi. Aku adalah ahli terakhir puak Shirasaka. Aku mahu berseorangan di lembah ini sehingga hari matiku.

 

Koichi menyapu daun-daun dan lalang kering yang bertaburan di atas batu hampar di atas kubur Ayame dengan tangannya. Di tengah hamparan itu adalah nisan bertuliskan nama Ayame dalam kanji. Koichi merenung batu itu lama, seolah cuba memanggil roh Ayame agar datang mempersilakan dirinya.

 

Sejak dua bulan lalu, entah berapa kali dia mengulangi perbuatan itu. Pabila dia merenung dan perlahan-lahan matanya terpejam, segala memori bersama Ayame kembali bertandang ke benak. Namun memorinya terlalu sedikit. Memori yang banyak bertandang adalah memori yang berkait dengan kerjayanya sebagai pengintip Kogen. Dengan memori yang sedikit, mana mungkin seseorang boleh kekal hidup dalam sanubari meskipun dia sudah lenyap dari pandangan mata. Dengan memori yang sedikit, ia diulang-ulang berkali-kali sehingga membosankan dan memualkan. Hanya yang berulang-ulang itu memori dia duduk-duduk melayan celoteh Ayame di bawah pokok di sebelah pejabatnya. Dia mendengar namun tidak mendengar. Dia mendengar namun yang kedengaran hanyalah masalah-masalah Kogen yang dibincangkan dalam Majlis Tertinggi, menanti buah akalnya dikeluarkan. Pabila disoal Ayame dia hanya ber’hah’, ‘ya’, atau ‘wakatta’ atau ‘souka’. Sehingga patah-patah jawapan itu sudah dihafal dan dihafal juga bila waktu yang tepat untuk dikeluarkan agar Ayame tidak merasakan bahawa jawapan itu sekadar jawapan kosong yang tiada makna apa-apa. Bahkan intonasinya juga mestilah nampak bahawa patah-patah itu dikeluarkan dari hati dan bersungguh dan bukannya sekadar lafaz di mulut.

 

Tsubomi sesungguhnya adalah isteri yang tidak dimahukan. Ia adalah isteri yang dipaksakan ke atasnya oleh Omi yang mahukan zuriat, meskipun dia enggan berkahwin pada ketika itu. Dan ia berturutan kepada Ayame, yang juga anak yang tidak dimahukan. Selepas pemergian Tsubomi, Koichi menyesal kerana mengabaikannya. Namun Koichi tidak mengambil pengajaran dari itu. Meski dia mengambil pengajaran sekalipun, Ayame sudah liat dan sukar dilenturkan lagi. Ayame sudah dewasa ketikamana dia menjadi penjatuh hukuman bunuh. Koichi sudah terlambat mendidiknya. Yang tinggal pada waktu itu hanyalah satu matlamat; iaitu Ayame yang dicop sebagai ‘penyakit’ Kogen mesti dihapuskan sebelum ia melarat. Namun dia enggan, kerana jauh di sudut hati dia terlalu menyayangi Ayame. Hanya satu sahaja yang mampu memaksanya membunuh Ayame, iaitu Maharaja. Meski begitu, dia masih tidak sanggup melakukannya dengan tangannya sendiri. Maka Ryouji dan Hisamiko diupah melakukannya.

 

Apakah manusia boleh mengubah ketentuan-ketentuan Tuhan? Soal Koichi dalam hatinya. Jika semuanya sudah tertulis, seperti ramalan Amaguri itu, maka apa maknanya usaha dan ikhtiar? Apa maknanya menjadi manusia yang berakal di dunia ini? Aku sudah cuba mengelak dari takdir-takdir itu selepas mengetahuinya, namun bagaimana otou-san masih mampu memaksakan jodoh ke atasku dan aku pula ditelan paksaan itu? Pastinya ada campur tangan Tuhan bukan? Dan ia berlarutan sehingga lahirnya calon Kaisenjyo dari keturunanku sendiri yang aku sudah lama ingin elakkan dari ia berlaku. Jika benar Tuhan memberikanku pilihan, mengapa aku disibukkan dengan Kogen sedangkan aku patut menumpu pada keluargaku dan mendidik Ayame?

 

Apakah semua yang telah berlaku ini salahku, atau salah Tuhan yang telah mentakdirkannya ke atasku?

 

Aku tidak tahu jawapannya. Apa yang kutahu, takdir itu sudah pun berlaku dan ia sudah pun tamat, sekurangnya pada saat ini. Maka isyarat darinya jelas di sini, Ayame bukanlah Kaisenjyo. Kaisenjyo pasti akan datang dari keturunan lain, seperti Okuhida, atau jika aku melahirkan zuriat lagi, dari keturunanku. Namun jika aku mati sekarang, bukankah yang tinggal hanya Okuhida sahaja? Bukankah Kaisenjyo akan datang dari kalangan mereka jika itu kesudahannya?

 

Alangkah baiknya jika aku mati sekarang. Dengan matinya diriku, bebaslah aku dari takdir Dia yang sungguh tidak aku fahami. Lagipun apa gunanya hidup lagi, kerana hidupnya aku di dunia ini hanya akan meneruskan ramalan itu walau apa sekalipun usaha yang aku lakukan. Permainan Dia paling sukar sekali kutelah dan kuelakkan, meski sekuat mana sekalipun usahaku. Maka Tuhan, cabutlah nyawaku sekarang. Aku mohon, Engkau tamatkan penderitaanku ini.

 

Koichi begitu dalam menghayati doa dan ratibnya di depan nisan Ayame itu, sebelum tiba-tiba dirasakan ada pedih pada dada belah kirinya. Pedih itu mencucuk seperti mata pedang menerjah ulu jantung, mulanya sakit pada satu titik, namun merebak bak akar pisang, menjalar dari kiri dada, ke bahu dan hujung lengan dan ke perut dan ari-ari dan menuruni sehingga ke peha dan kakinya. Seluruh anggotanya menjadi kejang, tangannya memagut dada kiri. Koichi membulat mata, dia terlentang ke atas rumput, matanya menjegil menentang langit biru. Wajahnya dari putih bertukar biru, mata putih memenuhi bebola mata sedang mata hitam sudah ke atas. Jasadnya kaku dan membiru dan kejang  dan mengeras, tidak semena-mena nafasnya terhenti, dengan mulut menganga, mata terbuka.

 

**

 

“Huah!” Hisamiko bangun mengejut dari futon-nya, gebar diselak. Peluh memercik membasahi ubun-ubun. Rambut panjangnya yang mengurai diselak ke belakang bahu. Yukata putih yang dipakainya lencun di bahagian dada dan leher.

 

Dia bingkas bangun dan bersandar pada dinding. Pintu gelangsar dibuka, membenarkan bayu malam sejuk musim sejuk menderu masuk, mengeringkan peluhnya. Selepas beberapa ketika dia berehat, dia merasakan tidak semena-mena satu lonjakan tenaga menderu dari dada hingga ke kepalanya. Dia berasa sungguh bertenaga dan seolah mahu melompat keluar dari bilik itu terus terbang ke gunung dan menghamburkan api ke seluruh kota Tokyo. Hisamiko menyarungkan yukata biasanya, dan mencapai pedangnya, dia berlari keluar dari rumahnya.

 

Ryouji yang berada di bilik sebelah dan tidak tidur, sejak tadi menyedari Hisamiko bangun tiba-tiba dan bila dia keluar sahaja, Ryouji turut bergegas keluar cuba mengejar adiknya. Hisamiko sudah hilang ditelan pekat dinihari.

 

Pada waktu itu juga Ryouji merasakan kekuatan luar biasa mengalir dalam jasadnya. Dia naik ke jurus kesembilan demi mengejar Hisamiko, dan dirasakannya peningkatan ke jurus itu terlalu mudah berbanding biasa. Dia tidak tahu dan enggan memikirkannya lebih-lebih kerana dia lebih memikirkan Hisamiko.

 

Dia dapati Hisamiko sedang bertenggek di atas sebatang dahan tinggi pokok keyaki yang sudah gugur semua daunnya. Malam dingin musim sejuk mencengkam tulang, namun Ryouji menahan diri demi adiknya, dia redah kesejukan itu dan cuba memanjat pokok tersebut. Namun belum pun dia cecah dahan tersebut, Hisamiko terjun menjunam dan mendarat di atas tanah. Ryouji mengeluh, dia turun perlahan-lahan.

 

Hisamiko sudah memecut berlari meredah hutan konifer di pinggir Tokyo. Ryouji mengejar dengan jurus tinggi menyedari Hisamiko menggunakan kaminari. Namun dia kembali diselubung kegelapan hutan konifer, meski fajar sudah mula menyingsing dan langit membiru. Dalam kegelapan itu dia ditendang Hisamiko dari belakang. Mereka bertarung dengan lengan sahaja, sehingga Ryouji yang keletihan dan mahu ia segera dihentikan, berteriak nama Hisamiko.

 

Hisamiko seolah disentak suara Ryouji yang menengking itu seraya terhenti. Mata hitamnya yang tadi membesar kian mengecil. Nafasnya mula mencungap sebaik dia ansur sedar.

 

“Apa dah berlaku, Hisamiko?” Ryouji memegang kedua-dua belah bahu Hisamiko yang berpeluh dan mencungap dan menggoncang-goncangkannya.

 

“Aku tak tahu. Tiba-tiba ada gelora dalam tubuhku ketika bangun tadi.”

 

“Gelora?”

 

“Aku teringin berperang dan bertempur tiba-tiba.”

 

Hisamiko dan Ryouji mendengar bunyi klik dalam benak mereka, dan sejurus itu, segala bunyi unggas malam di hutan itu juga apa-apa bunyi lain hilang sekelip mata. Pemandangan di sekeliling mereka gelap dan hitam dan ada satu bintik cahaya muncul di atas kepala. Mereka memandang ke atas.

 

“Wahai anak-anak Okuhida. Aku hayabusa-no-kami.”

 

“Apa yang kau mahu dari kami?” Soal Ryouji. Hisamiko masih mendengar suara Ryouji dalam situasi ini, selain suara semangat itu.

 

“Pewaris terakhir puak Shirasaka, Shirasaka Koichi baru sahaja meninggal dunia semalam. Dengan itu, enam persepuluh kuasa hayabusa diserahkan kepada kalian, puak Okuhida yang merupakan puak terakhir yang membuat perjanjian dengan hayabusa-no-kami. Kalian kini adalah pemegang penuh kuasa hayabusa. Dan calon Kaisenjyo adalah Okuhida Hisamiko.”

 

Chotto matte, kami-sama.”

 

“Sekian, Ryouji. Sayonara.” Sejurus itu bintik cahaya hilang dan kegelapan bubar, mereka kembali ke alam nyata. Bunyi unggas dinihari dan bayu bertiup kembali menerjah telinga.

 

“Koichi-san sudah meninggal dunia. Namun di mana? Dan bagaimana dia mati?” Soal Ryouji sendirian.

 

“Kita boleh tanyakan orang-orang di Kogen. Mereka pastinya tahu ke mana perginya Koichi-san paling akhir.”

 

Ryouji beralih pandangan ke arah Hisamiko. Segalanya terang kini. Dia faham kenapa Hisamiko tiba-tiba menyatakan berkenaan gelora. Ia pastinya kerana dia telah dicalonkan sebagai Kaisenjyo.

 

Omaera! Di sini kalian rupanya. Usah lari!” Kedengaran suara dari kejauhan. Kelibat tentera berkuda, dalam dua ke tiga orang di hujung hutan itu kelihatan berlatar dinihari yang biru gelap.

 

Hisamiko menarik tangan Ryouji seraya mengisyaratkannya agar mengikutnya berpusing. Ryouji tidak mampu berfikir panjang, dia mengikut sahaja permintaan Hisamiko dan mereka melakukan jurus kedua. Ribut yang berpusaran melontarkan pengejar mereka itu ke pinggiran hutan. Mereka pula telah keluar dari hutan itu menuju ke satu kawasan di celah gunung.

 

“Siapa mereka? Kelibat yang mengikut kita akhir-akhir ini seperti aduanmu?” Soal Ryouji. Mereka duduk berlindung di balik batu-batu besar di tepi sebatang sungai glasier. Hingar dari sungai itu boleh menabir suara mereka dari didengari sesiapa.

 

“Mungkin.”

 

“Hisamiko, jujur denganku. Engkau tahu bukan siapa mereka?”

 

Hisamiko diam.

 

Siapa yang mengintip kami? Aku boleh senaraikan satu-persatu kemungkinannya, getus Ryouji. Pertama, ahli Kogen yang tidak berpuashati denganku. Namun aku pun sudah lari dari sana dan Kogen sudah pun diuruskan Maharaja. Tidak ada maknanya mengejarku. Atau barangkali ada tentera atau pengintip Maharaja yang tahu Hisamiko telah menyelamatkan Chiho dan Chisato, yang terlibat dalam pasukan Ayame menentang baginda? Ya, itu kemungkinan yang amat kuat! Dan dari dalam gelap itu, aku perasan mereka berpakaian seragam polis. Polis tidak akan mengejar atau mengintip kami kecuali ada bukti yang sahih, itu etika kepolisan yang aku fahami dari Kasukabe. Oleh itu, mereka tidak akan mengintip kami hanya berdasarkan pemerhatian, sebagai contoh, mata-mata mereka nampak Hisamiko menghantar Chisato dan Chiho ke pelabuhan. Sesuatu bukti mesti dalam bentuk yang tidak boleh disangkal (incontrovertible proof), baru polis akan bertindak. Pastinya Hisamiko ada terlepas sesuatu, ketika menghantar Chisato dan Chiho.

 

“Hisamiko... apa kau lakukan di pelabuhan Wakayama?” Ryouji menekan lagi, kali ini dia cuba mengorek sesuatu yang paling hampir dengan tercetusnya intipan misteri demi intipan misteri yang mereka hadapi di Tokyo sejak berpindah ke sana dua bulan lepas. Ini kerana Hisamiko hanya berpisah dengannya ketika ke pelabuhan Wakayama itu sahaja. Sejak pertarungan dengan Ayame di lembah Amaguri, mereka sentiasa bersama sehingga menetap di Tokyo kini.

 

“Aku hanya menghantar Chiho dan Chisato nee-chan. Oh ya, aku gunakan duit simpanan kita sedikit membayar kapal mereka. Bukankah sudah aku beritahu itu?”

 

“Oh ya. Abang baru terdetik bertanyakan sesuatu. Tambang kapal itu bukannya murah. Tak kan kau membayarnya tunai?”

 

“Aku bayar dengan cek...”

 

Sebaik mendengarnya, mata Ryouji membulat, benaknya seolah baru dijentik pencerahan, “Itulah dia! Itulah silapmu, Hisamiko!”

 

“Mengapa? Apa silapnya?”

 

“Di atas cek itu kau ada tulis namamu bukan?”

 

“Ya.”

 

Ryouji menepuk kepalanya. Bukan dia menyalahkan Hisamiko sahaja, dia menyalahkan dirinya juga. Kerana melepaskan Hisamiko ke Wakayama itu juga cadangannya.

 

“Aku sudah dapat mengagak penyebab kita dijejaki. Pegawai sempadan akan menyimpan rekod setiap anak kapal di pejabat sempadan seperti di pelabuhan. Pembayaran dengan cek akan mendedahkan namamu dalam buku rekod butiran anak kapal sehinggalah cek itu ditunaikan. Jika pegawai di pelabuhan korup, namamu dan anak kapal yang dibiaya akan terdedah kepada pengintip Maharaja atau mana-mana pihak luar. Cek itu, adalah bukti yang tidak boleh disangkal dan sahih dan boleh digunakan polis sebagai asas untuk mengintip kita.”

 

“Mana onii-san tahu semua ini?”

 

“Aku pernah dibawa otou-san ke pelabuhan di utara (Laut Jepun) sewaktu kecil dan tahu bagaimana aktiviti mengangkut barang dan manusia di pelabuhan dilangsaikan.” Sepertimana Mitsuo selalu membawa Ryouji ke Furukawa, dia juga pernah membawanya melihat-lihat pelabuhan di utara yang merupakan nadi utama bekalan senjata Kogen.

 

“Mana mungkin pengintip Maharaja tahu Chiho dan Chisato-nee chan terlibat dalam pertempuran menentang baginda?”

 

“Nama semua ahli Skuad Sakura satu-satu telah dihantar kepada Maharaja oleh Kogen. Sedang tentera lain yang direkrut lewat oleh Ayame tidak ada dalam senarai itu.” Tambah Ryouji. “Aku tahu selepas perang berakhir, selepas aku selidik dalam pejabat Koichi. Juga aku dapat tahu, selepas pertempuran pertama di timur Nakasendo, Maharaja turut menghantar pengintipnya ke semua pelabuhan keluar masuk negara demi menangkap tentera Ayame dan Yoshinobu yang melarikan diri merentas hutan.”

 

“Maafkan aku onii-san. Tiket mereka mahal kerana dibeli di saat akhir. Aku terpaksa membayar dengan simpanan sekaligus terpaksa menulis cek itu...” Segera Hisamiko meminta maaf menyedari kesilapannya.

 

“Salahku juga, Hisamiko. Salahku juga menghantarmu ke Wakayama.” Ryouji mengeluh di hujungnya. “Apapun, perkara yang sudah berlaku tak perlu dikenang-kenang lagi.”

 

“Tak syak lagi, telahanmu benar onii-san.”

 

“Kenapa?”

 

“Aku perasan tentera yang kejar kita tadi memakai pakaian ala tentera Prussia, pastinya polis Maharaja.”

 

Ryouji mengangguk perlahan.

 

“Nampaknya kita kena melarikan diri dari Tokyo dan tidak akan kembali lagi ke sana. Menyerah diri kepada Maharaja hanyalah akan dihukum bunuh kerana membantu pemberontak. Kita akan berundur ke lembah Okuhida dahulu.” Cadang Ryouji.

 

“Dengan apa? Tak kan dengan berlari?”

 

“Selepas kita hilang penat di sini, kita akan ke Nakasendo. Di sana kita akan tumpang mana-mana kereta kuda.” Ryouji mencadangkan, melihatkan mereka baru sahaja melakukan jurus kedua yang memakan tenaga.

 

“Baiklah.”

 

“Hisamiko, engkau sudah tidak apa-apa? Pagi tadi engkau...”

 

“Aku tidak apa-apa, onii-san. Cuma aku bimbang andai ia berlaku lagi...”

 

“Usah kau risau. Rehatlah. Aku perhatikan sekeliling.”

 

**

 

“Tak guna!” Polis berpakaian ala tentera Prussia itu mendengus. “Mereka menggunakan kaminari pula.”

 

“Agak-agak ke manakah mereka akan lari, Kamimura?” Soal salah seorang dari pengikutnya, kepada pegawai yang mendengus itu.

 

“Mereka akan mencari pelabuhan. Mereka pastinya sudah tahu. Aku hairan, apa yang mereka takut sangat? Maharaja hanya mahu mereka dilokapkan dan disoalsiasat.”

 

“Jika takut, bererti benarlah mereka bersalah. Benarlah mereka membantu pemberontak lari dari sini.” Saenuma memberi pandangan.

 

“Jika benar begitu, hukumannya amatlah berat. Barangkali hukuman mati.”

 

“Aku fikir, mereka lari sebab rancangan engkau menggunakan pengintip itulah, Kamimura. Andai ditangkap terus, pastinya mereka tidak akan ada ruang melarikan diri. Bukti dari pengintip upahan kazoku itu sudah memadai untuk kita menangkap mereka.”

 

“Sepatutnya sudah berjaya ditangkap. Namun entah mengapa baru dua ke tiga hari lepas bukti itu tiba dan didedahkan. Selama dua bulan selepas perang itu, senyap saja. Entah apa punya lembab penyiasat upahan kazoku itu. Dengan dua tiga hari sahaja masa diberi, mana mungkin kita mampu menangkap mereka.”

 

“Barangkali harga upah tidak dipersetujui.” Saenuma mencadangkan. “Selalunya begitulah. Tak guna punya penyiasat. Fikir duit saja.”

 

“Yang menyukarkan kita ialah burung bangsat itu sentiasa ada. Jika pengintip kita mengintip gadis Okuhida itu pada jarak yang cukup jauh, beberapa saat selepas itu, pasti dia sudah tiada. Padahal jarak pengintip kita dari tempatnya agak jauh, dalam satu perenam ri. Aku tak fikir gadis itu boleh mengesan kita pada jarak itu. Dan pastinya ada burung itu terbang melintas depan mata pengintip kita!” Jelas Kamimura sambil menggenggam penumbuk, jelas dia geram dengan kegagalan menangkap Hisamiko berkali-kali.

 

“Kau yakin ke ‘ninja’ kita tu boleh tangkap dia jika diintip dari dekat?”

 

“Ninja kita tu tahu kaminari juga. Namun jika bukan kerana burung bangsat itupun, budak perempuan Okuhida itu sungguh peka seperti kucing! Pengintip itu juga tahu kaminari, mampu berlari lagi pantas dari ninja biasa. Namun masih juga terdedah pada pancainderanya!” Kamimura menggenggam penumbuk lagi menahan geram. “Maka kita tak boleh intipnya dari dekat.”

 

“Sebentar. Mengapa tak diminta sahaja berdepan-depan agar mereka menyerah diri? Burung itu takkan tahu dan curigakan kita jika guna cara baik. Selepas mereka leka, kita kepung dan jaringkan mereka.”

 

“Burung itu cerdik, Saenuma. Ia bukan calang-calang burung. Bahkan sangat pandai mengelak panah dan menyerang pemanah kita. Barangkali gadis itu telah berbincang dengannya dan memintanya menegah sekiranya wajah kita dan mana-mana polis cuba mendekatinya. Atau jika kita bersedia dengan jaring, akan diberitahu awal-awal kepada mereka.”

 

Saenuma mengeluh, “Bagaimana dengan abangnya? Peka seperti gadis itu jugakah?” Soal Saenuma.

 

“Aku tak rasa abangnya sepeka itu.” Jawab Kamimura. “Mungkin hanya adiknya sahaja, kerana yang kudengar, adiknya itu salah seorang dari calon Kaisenjyo. Namun mereka sentiasa bersama. Agak sukar sebenarnya. Mahu gunakan bom dan cederakan mereka agar tidak melarikan diri, berisiko membunuh mereka, sesuatu yang baginda tidak mahukan.”

 

“Nampaknya fikir panjang pun dah tak guna lagi. Mereka pun dah benar-benar lari dari kita. Sekarang kita perlu mencari di semua pelabuhan di Honshu ini.” Saenuma mengeluh di hujung ayat.

 

“Saenuma, kerahkan orang-orang kita berkawal di semua pelabuhan di barat Honshu.”

 

Ryoukai.”

Previous: Bab 67
Next: Bab 69

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov