Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 49

“Siapa yang menggalinya, cakap!” Tengking Hotaru. Semua ahli Skuad Sakura diam. Chiho dan Chinami duduk berhampiran Chisato, tunduk. Tangan Chiho berpegangan dengan tangan Chinami.

 

Hotaru mendapati lubang di pusat lembah itu telah digemburkan ketikamana Natsuki tiba dan memijak batu hitam itu. Maka Hotaru berfikiran ada pembelot dalam Skuad Sakura yang berpakat dengan Natsuki.

 

Soalan Hotaru bergema memecah hening hutan sugi. Salah seorang ahli Skuad Sakura mahu membuka mulut namun teragak-agak, seolah sedang mengemam tanghulu yang hidup dan mahu melepaskan diri dari mulutnya. Tangannya diangkat separa, was-was dan takut-takut.

 

Wajah Hotaru sering beralih-alih di antara bengis dan sedih. Ketika bengis menguasai, sedih datang tiba-tiba namun pantas diselang dengan kebengisan kembali, seolah ada jiwa lain yang cuba merebut jasad dan kepalanya. Natsuki mengesannya, dan berkata pada diri, “Itu bukan Hotaru, itu Ayame. Tak sangka ia boleh direalisasikan dari jauh.”

 

Natsuki memandang salah seorang dari para petarung wanita itu yang teragak-agak mahu melapor dengan tangan separa diangkat dan mulut kembang-kecut, kepala menggigil. Tangan Natsuki yang sedang terikat menggenggam penumbuk, geram. Aku tidak kisah jika aku mati seorang, getus Natsuki. Namun jangan diapa-apakan kembar itu. Merekalah yang menggali dan menggemburkan lubang di pusat lembah itu sebelum aku tiba. Andai tidak digali, tanah di situ tidak lembut dan aku tidak akan mampu menanam dengan menekan, dan jika ditanam pada tanah yang keras, batu hitam itu tidak akan diserap masuk ke dalam tanah. Aku seharusnya berterimakasih pada kembar Ogasawara. Mereka wira sebenar di sini.

 

“Bukankah aku telah berpesan pada kalian semua agar tidak mendekati Higashi-no-yane? Bukankah aku telah memberitahu awal-awal lagi?!” Gertak Hotaru kepada ahli Skuad Sakura itu. Semua menganga, semua terpinga-pinga. Perwatakan Hotaru yang selalunya kepala angin itu kini dikuasai perwatakan yang asing yang bengis, mirip Ayame. Semua bingung.

 

Hotaru beralih kepada Natsuki.

 

“Natsuki, engkau akan diikat sehingga Ayame kembali. Andai apa yang dia rancang tidak menjadi disebabkan apa yang telah kaulakukan pada lembah itu, engkau akan kami hukum bunuh.”

 

Natsuki tidak bereaksi. Baginya dia tidak punya apa-apa lagi motivasi untuk meneruskan hidup. Biarlah dia mati dengan aman. Namun sebelum mati, dia mahu dendamnya terhadap Ayame terbalas.

 

**

 

Ayame tiba pada hari ketiga.

 

“Bagaimana, Ayame-san?”

 

“Ini batunya. Dan mengapa engkau mengikat Natsuki?” Soal Ayame ketika matanya terpaku pada Natsuki yang sedang diikat pada sebatang pokok.

 

“Dia telah mengganggu pusat Higashi-no-yane.”

 

Hontou?”

 

Hotaru mengangguk.

 

“Bagaimana dia mengganggunya?”

 

“Dia mengorek dan menanam sesuatu. Aku fikir ada pembelot dalam kalangan kita yang turut membantunya.”

 

“Ada pembelot? Aku akan tanya lanjut kemudian.”

 

Ayame mendekati Natsuki yang sudah lesu.

 

“Natsuki, engkau mengkhianati kami?”

 

“Takkan engkau baru mengetahuinya? Aku bilang engkau sudah dapat menghidunya awal-awal lagi.”

 

“Ya. Aku tahu. Cuma aku bimbang engkau tidak tahu apa akibatnya mengkhianatiku.”

 

“Aku tahu. Aku tidak punya keinginan untuk hidup pun lagi. Ayame, engkau sudah kalah.”

 

“Apa maksudmu?”

 

“Aku sudah menanam sesuatu dalam pusat lembah itu.”

 

“Batu hitam?”

 

“Ya.” Natsuki senyum sinis.

 

Wajah Ayame berubah. Dia segera mengambil kudanya dan bergegas ke pusat Higashi-no-yane dalam keadaan tergesa-gesa. Hotaru mengikutnya.

 

“Batu lahar Yakedake-kah?” Soal Hotaru.

 

“Batu apa lagi? Hanya batu obsidian dari lahar beku gunung itu sahaja yang menjadi penawar sihir Amaguri.”

 

Setibanya di pusat Higashi-no-yane, Ayame pantas terjun dari kudanya dan mencucuk tama-no-iwa yang dipotong dari lembah nenek moyangnya itu ke tanah di pusat lembah itu. Tama-no-iwa itu bernyala dan membesar sehingga bertumbuh menjadi sebuah tiang batu yang besar dan tinggi berwarna putih.

 

“Hah, Natsuki hanya berdongeng. Cakap besar! Lihatlah, ia bertumbuh dan naik dengan sempurna!”

 

Ayame ketawa berdekah-dekah selepas menghabiskan kata-kata.

 

Ayame kembali kepada Natsuki.

 

“Ia tidak akan bertahan lama. Paling lamapun empat bulan sahaja. Selepas itu ia akan kembali seperti sediakala.” Natsuki menjelaskan tanpa berselindung.

 

“Maka engkau harus bersyukur nyawamu dipanjangkan empat bulan lagi dari sekarang. Andai selepas tempoh itu sihirku termati seperti katamu, maka engkau akan kubunuh.”

 

“Sebelum kau mengapa-apakanku, Kogen akan datang ke sini menumpaskan engkau.”

 

Ayame menahan geram seraya berlalu. Natsuki hanya tersenyum puas kerana berjaya menggagalkan rancangan Ayame dan sekaligus membalas dendam kematian kembarnya. Dengan batu obsidian itu sudah bersebati dengan tanah di sini, selamanya Higashi-no-yane akan terhindar dari sihir Amaguri dan penciptaan lembah rahsia yang baru. Tiada ruang bagimu lagi Ayame. Tiada ruang engkau membina pangkalan rahsia di mana-mana lagi. Engkau akan terkepung di celah gunung ini.

 

Natsuki ditahan selama mana Skuad Sakura menguasai Yokuma. Empat bulan kemudian, dia diselamatkan Kogen dan kembali ke pangkuan Kogen yang dipimpin Koichi.

 

**

 

“Maka engkaulah yang berpakat dengan Natsuki?!” Gertak Ayame.

 

Kedua-dua kembar, Chiho dan Chinami membisu. Yoriko, pengadu itu, hanya berdiri dengan pandangan kasihan memerhatikan mereka berdua. Pada Yoriko, dia terpaksa mengadu. Dia amat takut akan Ayame. Ayame telah banyak berjasa padanya juga. Andai dia menyembunyikan pemerhatiannya, bagaimana dia mampu hidup di hari-hari mendatang di sini? Bagaimana dia mampu bertutur lancar di hadapan Ayame? Berkali-kali dia memohon maaf dan ampun dari Chiho dan Chinami dalam hatinya, namun mungkin dengan pandangan simpatinya ini mereka berdua akan mendengarnya. Kerana dia tidak mampu melaungkannya di hadapan Ayame yang sedang menyinga ini. Namun Chiho dan Chinami tidak memandangnya langsung, hanya sekali-sekala jelingan menyampah melintas pandangan Yoriko.

 

“Maafkanlah mereka Ayame-san. Mereka terlalu mengikut perasaan. Aku sedia dihukum atas kesalahan mereka!” Rayu Chisato, suara itu menyentak Yoriko yang jauh dalam gaung kerisauan dan lamunan yang tidak bertepi.

 

Ayame menampar Chisato sehingga tersungkur dia. Chisato menangis.

 

“Bukankah mereka ini tanggungjawabmu? Harapkan pegar, pegar makan padi! Aku serahkan mereka berdua sepenuhnya di bawah seliaanmu, kerana aku percayakan engkau, Chisato. Namun susu diberi tuba dibalas. Begini balasan engkau terhadap jasaku, orang yang pernah menyelamatkan engkau dahulu?” Bentak Ayame.

 

“Maafkan aku Ayame! Ampun! Sekali ini sahaja kesilapanku. Aku akan lebih berhati-hati!” Rayu Chisato lagi sambil bersujud dan kemudian memegang kaki dan lutut Ayame, memautnya sambil teresak-esak. Ayame menolak kakinya sehingga Chisato tergolek.

 

“Kurung mereka bertiga dalam lubang bawah tanah.” Arah Ayame kepada Hotaru.

 

“Baik, Ayame-san!”

 

Hotaru yang akur seperti lembu dicucuk hidung, mengarahkan orang-orang bawahannya mengikat Chisato dan adik kembarnya, dan kemudian mengurung mereka dalam lubang bawah tanah.

 

“Hotaru, bagaimana dengan Nariko?” Soalan Ayame melintas tajam pada telinga Hotaru selepas dia selesai ‘memenjarakan’ Chisato dan adik-adiknya.

 

Dalam hati Hotaru mengherdik Ayame. Ada hati bertanya tentang Nariko, sedang engkaulah punca dia jadi begitu? Ada hati engkau, Ayame-san?! Gertak Hotaru dalam hatinya.

 

“Dia masih sasau di pokok...”

 

“Aku nampak itu. Aku mahu tahu, apakah jiwa dan kewarasannya sudah membolehkan bertarung kembali?”

 

“Ha? Ayame, apa yang kau mahu rancangkan? Mahu pergunakan dia lagi?”

 

“Itu kau tak perlu tahu. Jawab soalanku sahaja!” Ayame mengarah keras tapi perlahan suaranya, menikam Hotaru ke bumi lagi.

 

Hotaru tunduk akur, ketakutan dan menjawab perlahan, “Dia sudah ansur memulih. Racaunya sudah kurang. Keinginannya untuk membunuh diri sudah mereda. Namun Ayame, aku pinta agar dia berehat dan tidak menjalankan apa-apa misimu buat sementara waktu. Onegai, Ayame-san!” Hotaru tunduk lagi rendah separas pinggang Ayame, merayu tanpa asa.

 

“Aku lakukan apa yang aku ingin lakukan dan aku putuskan apa yang ingin aku putuskan. Engkau ikut sahaja arahanku.” Tegas Ayame dingin seraya berlalu meninggalkan Hotaru.

 

Hotaru enggan mengalah, seraya menyambung rayuannya, “Ayame...”

 

Ayame terhenti berjalan, menoleh dan merenung dengan mata berapi, Hotaru kembali tunduk, namun kali ini, tunduknya seolah dipaksa-paksa oleh kuasa halimunan. Ayame berlalu pergi tanpa menoleh lagi.

 

**

 

Kurobi, burung gagak peliharaan Hamada itu terbang meluncur hingga mendarat di atas lengan berbulu seorang lelaki gempal dan berkimono hijau dari kain sutera yang mahal. Pada paruhnya ada kayu warna hijau berjalur merah, yang bermaksud apa yang diingini dari oleh lelaki gempal yang juga pemiliknya dari pertempuran di Yokuma itu berjaya dicapai, dan tiada orang-orangnya dalam pasukan Konoe yang mati.

 

Yoshinobu tersenyum puas. Sememangnya itulah yang dimahukan. Tanpa perlu menghantar tenteranya sendiri, dan tanpa perlu menaikkan syak Konoe terhadapnya dan membahayakan dirinya, dia menumpang kesanggupan Ayame menyerang pergunungan itu. Yoshinobu tidak menaruh sebarang keinginan terhadap Yokuma, hanya dia mahu ia bebas dari cengkaman Konoe dan konco-konconya yang mengganggu para pedagang yang melalui kawasan itu dan memeras mereka, kadangkala merompak mereka dengan polis enggan masuk campur.

 

Yoshinobu sendiri mengalami kerugian susulan penjualan saham Tokizawa dalam syarikat insurans Furuya dan enggan menggaji petarung melindunginya di Kawamoto. Maka kos perlu dikurangkan. Gaji para petarung yang diupah termasuk pasukan Konoe itu adalah kos yang mesti dijelaskan berkala.

 

Konoe tidak penting lagi, getusnya. Mereka samurai yang diupah bapaku dahulu demi melindungi Higashi-no-yane di tengah pergunungan itu. Selepas kuasanya sudah terhapus, tiada gunanya lagi samurai itu. Gaji mereka pun sudah lama tidak berbayar. Mereka ronin, sebetulnya. Aku bukan tuan mereka. Andai mereka mencari pekerjaan lain demi makan minum, aku tidak kisah. Namun mengganggu para pedagang yang melalui Nakasendo di situ, dan memeras mereka adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Ini kerana ada dalam kalangan pedagang itu adalah pedagang yang berkait denganku dan berkait dengan rantai bekalan syarikat-syarikatku.

 

Dan Tatsuya. Si tak guna itu, yang membunuh anak Tokizawa! Aku lepaskan dia sejenak selepas dia melakukannya, hanya demi memberinya peluang menebus dosa itu. Dia sepatutnya mencari pencarum baru, dan memasarkan produk insurans Furuya kepada pencarum baru. Namun apa yang telah dibuatnya? Membunuh pedagang di Nakasendo? Untuk apa?

 

Aku dengar dia menggunakan kaminari-nya itu membunuh pedagang di Nakasendo! Tak guna Tatsuya. Akhirnya aku sendiri yang akan mencantasmu. Aku akan hantarkan Ayame ke sana. Maka rasakan. Usah diganggu Nakasendo, bedebah!

 

**

 

“Ada apa engkau memanggil aku ke sini?” Soal Ayame, sambil memeluk tubuhnya. Dia tiba di situ tiba-tiba dengan terbang meloncat dari satu pohon di lereng bukit itu, langsung masuk ke laman mengadap Yoshinobu. Pengikut Yoshinobu yang tergamam melihat kekurangajaran Ayame keluar dengan pedang dihunus ke arahnya. Hotaru yang mengiringi Ayame turut sama mengeluarkan pedang masing-masing dihunus ke arah orang-orang Yoshinobu, mengelilingi Ayame.

 

“Apa perlukah engkau biadap begini?” Soal Yoshinobu sinis, sambil mengusap dagunya yang berlapis-lapis seperti longgokan tahi kerbau. “Kita orang Yamato hidup beradab, bukan begini menceroboh. Kalian, sarungkan pedang-pedang kalian!” Bentak Yoshinobu kepada para pengikutnya.

 

“Tapi tuan..”

 

“Kalian tak dengarkah?!” Bentak Yoshinobu lagi, berdecit sejenak mereka seraya menyarungkan pedang berhati-hati sedang mata masih tertancap pada tetamu yang tidak diundang itu.

 

“Aku tak sangka engkau sudi menerima pelawaanku datang ke sini.”

 

“Jadi apa kau mahu?”

 

“Oh, sabar, sabar, bijin. Kita masuk ke dalam rumahku dahulu, ne?”

 

“Tidak, hanya di sini. Segera.” Tegas Ayame.

 

“Oh hoho. Baiklah, baiklah. Aku ingin meminta pertolonganmu.”

 

“Mengapa aku?”

 

“Kerana hanya engkau yang mampu menewaskannya. Engkau salah seorang dari pencipta kaminari bukan?”

 

“Menewaskan siapa?”

 

“Pengganggu di Nakasendo. Ada pembunuh baru.”

 

“Pembunuh Senja sudah dihapuskan, sekarang muncul pula yang baru?” Soal Hotaru perlahan.

 

“Apa cirinya?” Ayame menyoal.

 

“Dia hanya beroperasi di sepanjang laluan Nakasendo dan hanya membunuh pedagang tanpa mencuri barangan mereka. Dan namanya Tatsuya.”

 

“Apa pulangan jika aku terima tawaranmu?”

 

“Bantuan senjata moden.”

 

“Kau sudah tawarkan dalam perjanjian dahulu. Dan aku masih belum menuntutnya. Aku mahu pulangan lain untuk tugasan ini.”

 

“Kami akan membantumu memerangi Maharaja di Yokuma dan Nakasendo. Aku dengar engkau baru menakluknya bukan dari para ronin? Maharaja pastinya akan datang menghalau engkau dari situ.”

 

Ayame senyum, “Itu sudah bagus. Aku terima. Jadi, apa aku perlu buat dengan Tatsuya ini?”

 

Pengikut Ayame tidak bereaksi kerana telah dirasuk Berahi Kuasa. Namun mereka mendengar segala butir-butirnya.

 

“Bunuh dia.”

 

“Perlu aku bawa kepalanya ke sini?”

 

“Tidak perlu. Siapa lagi petarung kaminari yang mengganas di situ selainnya?”

 

Logiknya membawa kepala Tatsuya ialah bukti bahawa dia benar dibunuh. Namun jika sudah diketahui hanya dia yang menggunakan kaminari di Nakasendo, tidak perlulah bersusah-payah membawanya pulang.

 

“Benar. Jika dia dibunuh, kes-kes pembunuhan di Nakasendo pastinya melesap sendiri.”

 

“Pandai Ayame-chan.”

 

Ayame loya mendengar panggilan manja Yoshinobu itu.

Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov