Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 48

“Andai aku masih hidup, aku mahu meninggalkan Kogen. Namun aku mahukan tanah dan rumah. Hanya itu upah yang aku mahukan.”

 

“Andai kau mati?”

 

“Terpulang pada kau upah apa yang kau mahu beri.”

 

“Andai kau mati, aku akan abadikan namamu, sebagai salah seorang pahlawan negara yang telah membantu Maharaja menewaskan musuh mereka.”

 

“Apakah Ayame sudah menjadi musuh baginda?”

 

“Melawan Koichi sama seperti melawan baginda.”

 

Souka... baik, aku setuju.” Balas Natsuki.

 

“Aku setuju, yakusoku.”

 

Kedua-dua mengikat jari kelingking masing-masing bersama, tanda janji. Tatsuhiro menyerahkan kembali batu hitam itu kepada Natsuki.

 

“Tak sangka engkau seorang yang pentingkan diri.” Seloroh Natsuki.

 

“Apa maksudmu?”

 

“Engkau pengintip paling setia Koichi sehingga kini. Namun sanggup mengkhianati dia demi isterimu, malah mengambil kesempatan dengan kesediaan aku kekal di sini!”

 

“Jadi? Aku tak nampak di mana buruknya. Ia demi bayiku yang belum lahir.”

 

Natsuki tidak berkata apa-apa. Sukar untuk ditafsirkan, bilamana seseorang sudah mabuk dengan beban emosi. Natsuki belum berkahwin, mungkin selepas ini dia tidak akan sempat pun berkahwin, namun sekurang-kurangnya dia faham akan kasih seorang bapa terhadap anaknya. Seorang bakal bapa, sebetulnya.

 

“Kadang-kadang rasa cinta pun boleh buat orang jadi gila...”

 

“Bukan kadang-kadang, selalunya. Dan aku rasa kau pun macam itu juga.”

 

“Oh. Betullah.” Sahut Natsuki kebodoh-bodohan, agak ketinggalan sebelum dia fahami bahawa Tatsuhiro memaksudkan hubungan dia dengan Hatsuki. Iaitu hubungan abang dengan adik lelaki kembar.

 

Ne, Tatsuhiro. Cuma satu perkara yang aku mahu kaubantu.” Pinta Natsuki.

 

“Apakah ia?”

 

“Aku tak mahu mati katak, jika aku akan mati. Boleh kau alih perhatian mereka? Gunakan jurusmu itu. Sementara Ayame masih belum tiba di sini, aku fikir inilah masa sesuai untuk kau larikan diri dari pengikutnya.”

 

“Tidak menjadi masalah. Namun ingat Natsuki, andai engkau mungkir janji kita, aku akan...”

 

“Membunuhku? Tidak menjadi masalah, aku rela dihukum mati jika ingkar janji kita. Namun aku tidak semurah itu, Tatsuhiro. Aku punya maruah dan aku ada dendam terhadap Ayame. Aku pasti akan membalasnya dengan cara ini.”

 

Tatsuhiro menghembus nafas lega dalam hati. Dia menjelaskan bahawa tanah di pusat Higashi-no-yane itu perlu digemburkan dahulu dan batu itu harus dicucuk ke dalam tanah gembur sehingga tenggelam seluruhnya. Natsuki faham dan merancang sendiri dalam kepala bagaimana melakukannya.

 

Kini aku punya perancangan baru, dengan kehadiran Tatsuhiro. Dan aku kini tahu apa yang aku boleh manfaatkan dari Chiho dan Chinami demi pelan ini, getus Natsuki.

 

Mulanya Natsuki merancang mahu menggunakan Chiho dan Chinami demi membunuh Ayame, dengan Chiho dan Chinami menggunakan jurus kedua mereka menebarkan orang-orang Ayame ke tepi. Natsuki tahu kerana Chinami dan Chiho sememangnya antara beberapa orang individu di Kogen yang terkenal dengan jurus kedua mereka.

 

Namun selepas Tatsuhiro datang menegurnya, dia mengubah kepada menggunakan pelan Tatsuhiro, dan tidak membunuh Ayame, tetapi cuba menggagalkan rancangan utamanya, matlamat utamanya ke Yokuma, iaitu menghidupkan pangkalan di Higashi-no-yane bekas tapak kuasa Hamada itu. Jika bunuh, Natsuki berkata pada dirinya, ada kebarangkalian lebih tinggi dia akan tewas. Andai dia menang sekalipun, Ayame hanya sakit sekali, sakarat sekali. Namun dia mahu Ayame menderita lama. Dia mahu Ayame meratap kegagalannya itu selama-lamanya.

 

Natsuki melaung penceroboh, penceroboh kepada pengikut Ayame, dan mereka mengejar Tatsuhiro termasuklah Hotaru dan Chisato...namun Tatsuhiro lebih pantas. Mujur Ayame tidak ada. Andai Ayame ada di sini, habislah Tatsuhiro.

 

Sementara mereka mengejar Tatsuhiro, Natsuki menahan Chiho dan Chinami.

 

“Chiho, Chinami, bantuku sebentar.”

 

“Apa dia?”

 

Natsuki menunggu sehingga kakak mereka Chisato jauh mengikut yang lainnya mengejar Tatsuhiro, sebelum mengatur strateginya.

 

Selepas Chiho dan Chinami beredar mengikut pelan Natsuki, dia ke hadapan dan cuba mengelirukan Hotaru. Hotaru terpancing dengan taktiknya dan mengekorinya sehingga ke pusat Higashi-no-yane.

 

“Mengapa tidak sahaja kaubagi kami menanamnya?” Soal Chiho.

 

“Tidak, aku yang akan menanamnya.” Lagipun aku lebih yakin jika aku sendiri yang menanamnya. Aku tidak boleh percaya seratus peratus sesiapa pun dari Skuad Sakura. Maka aku hanya boleh mengamanahkan separuh sahaja dari perancanganku kepada mereka berdua ini. Jika mereka tidak menggemburkannya, maka aku tidak akan mempercayai mereka berdua lagi selepas ini.

 

“Dan ketika aku menanamnya, aku mahu Hotaru menjadi saksi dan aku mahu Ayame tahu melalui Hotaru yang akulah, Natsuki, yang menggagalkan perancangan agungnya di sini. Baru puas hatiku, dengan itu dendamku terbalas.”

 

“Kau akan matilah, bodoh.” Maki Chinami. “Ayame pasti akan membunuhmu.”

 

“Aku tidak kisah. Hatsuki sudah pun mati. Aku mahu mengikutnya.”

 

Nasakenai na (engkau sungguh menyedihkan).” Tambah Chiho.

 

**

 

Hotaru menyedari satu kelibat menuju ke Higashi-no-Yane kala orang-orangnya, para petarung wanita itu, mengejar Tatsuhiro. Hotaru berpatah kembali mengikut kelibat tersebut yang hilang di celah-celah hutan daun tirus.

 

Ya Hotaru! Ikutlah aku!

 

Natsuki bersembunyi di atas sebatang pokok sugi, kemudian terbang dari satu pucuk ke pucuk lain, sehingga luka-luka tangannya dicucuk daun pokok tirus itu.

 

Aku harus memasuki kaminari. Higashi-no-yane sudah tidak lagi jauh.

 

Natsuki berpusingan di udara dan terjun ke pusat lembah Higashi-no-yane.

 

Apakah ini pusatnya? Ada serpihan batu-batu putih...ia tama-no-iwa! Bukankah ini yang memegang sihir Hamada dahulu?

 

Dia mengambil batu hitam itu dari saku, dan memijaknya sehingga ia betul-betul tenggelam ke dalam tanah di pusat lembah itu.

 

Terima kasih Chiho dan Chinami, getusnya.

 

Hotaru datang dan cuba merempuh Natsuki yang sedang berdiri di pusat lembah itu, sebelum dia terhenti tiba-tiba, iaitu ketika hanya sedepa dari Natsuki.

 

Mengapa kau berhenti, Hotaru? Suara itu berulang dan bergema dalam benak Hotaru.

 

Apakah kau juga mahu mengingkariku? Suara itu bergema lagi.

 

Tidak, Ayame-san. Aku... aku pasti akan menangkap budak ini. Hotaru bersuara cuba menyahut suara-suara halus itu meskipun dia tahu Ayame tiada di situ jiwa dan raga. Namun dia sedar, Ayame sedang mengawalnya dari jauh.

 

Habis, buat apa berhenti? Tangkapnya sekarang! Gesa suara ‘Ayame’ itu lagi.

 

Hotaru terperangkap di antara mengikut suara hatinya yang sememangnya tidak mahu lagi bersama Ayame, dengan gesaan Ayame yang datang dari jauh itu. Natsuki sudah pun jauh ditenggelami hutan sugi. Batu hitam yang ditanam sudah pun ditelan sepenuhnya oleh bumi dan melarut, menanti menyahsihirkan mana-mana tama-no-iwa baru yang akan ditanam di tempat yang sama.

 

Hotaru yang seolah dirasuk, bergerak pantas seolah mendapat tenaga ghaib dari Ayame yang sedang entah di mana, sehingga mampu mengejar Natsuki yang kini di dalam hutan.

 

Natsuki berjaya ditahan dan dilemahkan, dia dibawa pulang kembali ke pangkalan pengikut Ayame dan diikat pada pokok oleh para perempuan di sana.

 

**

 

Tatsuhiro

 

Kuda kecil berwarna perang dan berjambul panjang itu pantas memecut meredah laluan Nakasendo yang berkerikil licin dan sekata, tidak seperti bahagian lain yang berkerikil tidak rata, tajam-tajam yang memaksa ia berjalan perlahan. Penunggangnya seorang pemuda berusia awal dua puluhan, namun bertubuh kecil, dan wajah keanak-anakan. Dia pantas mengelak pabila ada kereta kuda pedagang datang dari arah bertentangan, hampir-hampir sahaja mereka berlanggar, namun pemuda itu sempat mengelakkan kudanya.

 

Di satu kawasan Nakasendo berhampiran sebuah hentian shukuba, dia ditahan sekumpulan polis Maharaja yang memakai seragam ala tentera Prussia, namun berwarna serba putih, dan topi ala topi kelasi berwarna hitam jalur putih. Pemuda kerdil itu menayangkan tatu pada lengannya yang berubah-ubah logo pabila dipusing-pusingkan, salah satu logo itu memaparkan burung hayabusa berlingkar mematuk ekor sendiri. Para polis mengangguk-angguk seraya melepaskan pemuda itu melalui shukuba berkenaan.

 

Tujuan kelana pemuda berkuda ini hanya satu; ke timur. Ia lebih timur dari Kanto, dari Tokyo, namun tidaklah sejauh Sendai. Ia dalam pergunungan hampir dengan benteng Emishi itu, di sebuah tempat bernama Chichibu yang terletak ke tenggara Nagano. Ia digelar Higashi-no-yane, salah sebuah kompleks bergunung-ganang dan berbatu-batu, yang di lembah tengahnya pernah menjadi pangkalan kuasa Hamada dan ditanam batu tama-no-iwa di pusatnya. Hutan pergunungan daun tirus yang dipanggil Yokuma yang mengelilingi pergunungan itu menjadi sarang para ronin yang selalu mengganggu para pedagang dan sukar dikawal oleh para polis yang baru dibentuk pasukannya oleh kerajaan baru Maharaja.

 

Pemuda kenit itu menyimpang ke tenggara kala melepasi persimpangan Nagano. Dia akan menelusuri jalan menuju Tokyo, namun Tokyo bukanlah destinasinya. Dia akan menyimpang ke kiri di separuh perjalanannya dan akan memasuki hutan daun tirus Yokuma. Bahaya akan menanti di situ. Gemuruh merayap ke tulang hitam.

 

Mengapa aku, Koichi? Mengapa tidak Ryouji? Mengapa tidak adiknya? Mengapa aku yang dihantar menyelamatkan anakmu? Soal pemuda itu dalam hati, berulang-ulang kali.

 

Sebaik dia berkelana setengah jam dalam hutan daun tirus itu, kedengaran laungan ‘penceroboh’ bergema di segenap penjuru hutan. Sekumpulan ronin pantas terjun dari atas dengan pedang mereka cuba menetak pemuda kenit, namun sebelum pedang itu hinggap ke tubuhnya, dia hilang. Kudanya bergerak pantas sendirian maju ke depan dengan jayanya melepasi tetakan pedang-pedang itu, dan lebih kurang lima saat kemudian, pemuda kenit itu kembali ke atas pelana dan terus maju memecut ke depan, meninggalkan para ronin yang kini mendarat di atas tanah terpinga-pinga.

 

Senang, getus pemuda kenit. Mereka ini hanyalah picisan, orang bawahan Empat Celaka yang mengawal pergunungan dan hutan ini. Namun Empat Celaka sudah pun tiada, tewas kepada anak-anak Okuhida dan bekas penjaga rumah perlindunganku, Imagawa Ichiro yang menjadi polis itu. Jika Empat Celaka, mungkin aku tidak akan mampu bertahan. Dan Ayame. Ayame adalah satu-satunya petarung yang cukup menggerunkan, meskipun dia wanita, dia keturunan Shirasaka. Andai dia menjadi lawanku...

 

Ah, mengapa aku sering memikirkan yang dia akan menjadi lawan tarungku? Bukankah aku sedang datang ke sini untuk menyelamatkannya? Mengapa? Kerana memori lama itu yang masih menekan-nekan hati dan jantung? Bahawa segigih mana sekalipun aku cuba membuktikan diriku yang kerdil ini mampu bangkit berdiri setanding mereka yang bertubuh normal, memanjat tangga-tangga kemahiran bertarung sehingga mampu menguasai jurus kaminari lesap jasad yang aneh itu, tetap akan ditewaskan anak Koichi jua?

 

Ya, aku tidak lupa memori lama itu. Koichi sengaja memaksa aku bertarung dengan Ayame di hadapannya, demi mengujiku. Aku kerdil dan aku sedar, kerana itu aku gigih belajar bertarung sehingga rumah perlindunganku ditutup selepas Imagawa Ichiro meletak jawatan dan aku diserap masuk ke Kogen, dan Koichi mengambil aku sebagai orang kanannya melihatkan kemahiranku mampu menandingi tubuh mereka yang normal, dan sejurus itu dia mahu mengujiku dengan melagakan aku dengan Ayame dalam satu arena persabungan. Aku dan Ayame, seolah binatang yang akan dilagakan. Andai aku menang, aku akan dilantik menjadi pengintip rahsianya yang paling kanan dari para pengintip yang kanan-kanan belaka. Aku akan menjadi penjilatnya, bak kata mereka yang mencemburuiku. Ah biarkanlah. Itu kedudukan yang tinggi di Kogen. Aku jelas dicemburui, oleh mereka yang tidak menyangka pemuda kenit begini mampu mengatasi mereka yang sasa-sasa dan tinggi-tinggi dan kekar-kekar itu. Dengan tubuh kecil ini aku mampu menguasai jurus lesap jasad dengan mudah, itu kelebihanku berbanding mereka kerana aku lebih ringan. Aku percaya, setiap kekurangan pasti ada kelebihannya jua.

 

Dalam persabungan itu aku tewas jua pada Ayame. Ayame mematahkan egoku. Ayame kekal menjadi igauan ngeri, satu-satu halangan yang tidak mampu aku atasi segigih mana sekalipun aku mendaki ke puncak jaya. Aku sedar kekerdilan tubuh ini kembali merencatkan ego dan keyakinanku, bahawa tidak semua boleh diatasi dengan kemahiran dan usaha, kerana nasib yang baik juga ada saham penentu. Iaitu warisan dari kelahiran, keturunan yang bernasib baik seperti Shirasaka. Aku mampu menewaskan semuanya, namun tidak Ayame. Namun tidak juga mereka yang punya kuasa magis seperti Ayame, dan yang setara dengannya seperti keturunan Okuhida.

 

Meski aku tewas, Koichi menganugerahkan jawatan ini kepadaku kerana petarung lain juga semuanya tewas dengan Ayame, dan tewas denganku. Koichi memilihku bukan kerana aku pemenang, namun kerana aku adalah yang terbaik dalam kalangan mereka yang kalah.

 

Dan pabila Koichi memerintahkan aku ke sini menyelamatkan Ayame, aku jadi curiga mulanya. Ketika itu aku bertanya mengapa aku yang dihantar? Aku, yang pernah ditewaskannya? Mengapa tidak Okuhida, yang setara dengannya? Okuhida yang pernah menewaskan Empat Celaka?

 

Dan Ayame ditahan para ronin di sini? Itu paling aneh khabarnya yang aku dengari. Sedangkan aku begitu mudah mengelak dari para ronin ini? Atau apakah Ayame sedang berhelah dengan Koichi, sedang dia boleh sahaja melepaskan diri?

 

Dan mengapa Yokuma, mengapa di sini Ayame ditahan?

 

Koichi sebenarnya telah memberikanku dua pilihan; selamatkan Ayame jika dia benar diberkas, atau musnahkan perancangannya menakluk Yokuma jika dia hanya berhelah diberkas, dengan menanam objek dalam saku ini, iaitu sesuatu yang menghalang Ayame dari merealisasikan impiannya, impian yang menarik dan membawanya ke ceruk gunung di Yokuma ini. Aku tidak tahu rinciannya, hanya itu yang diberitahu Koichi dari buku Amaguri.

 

Aku fikir, aku datang ke sini bukan untuk menyelamatkannya lagi. Ayame amat mungkin sedang berhelah dengan kami. Impian Ayame yang mahu memiliki kuasa dan menakluk seluruh Jepun, dan menyingkirkan Maharaja telah meruntun jiwanya ke sini. Firasatku cukup kuat mengatakan bahawa aku akan dipaksa memilih pilihan kedua dan mungkin akan bertarung dengannya lagi.

 

Dari dua pilihan itu, yang pertama itu aku akan dibantu yang lain seperti Tokui, atau mungkin kembar Hosokawa jika Kogen berjaya mendapatkan pengganti sementara mereka. Namun bagaimana jika aku perlu memilih yang kedua? Kembar Hosokawa jelas hanya mengikut Ayame, mereka pengikut setia, begitu juga Tokui. Memang aku akan tewas dengan berseorangan, nampaknya. Dan apa lagi balasan yang paling sesuai jika aku tewas? Pastinya kematian. Sang pembunuh dengan julukan Hitokiri Ayame itu sudah banyak menumpahkan darah, meski dengan mandat Kogen, aku ragui sama ada dia masih punya hati.

 

Mengapa aku yang dihantar? Sedangkan aku tidak ampuh ditangan Ayame? Mengapa tidak Okuhida?

 

Aku hanya mahu hidup dengan anak biniku. Haruka sudah enam bulan hamil, aku tidak mahu anak itu tidak berbapa sekiranya aku tewas di sini. Aku tidak takut mati, aku tidak takut dengan Ayame. Namun aku bimbang jika anak itu tidak berbapa. Tuhan, hantarkan seseorang yang boleh aku sandarkan misi ini padanya. Tuhan, berikan si kerdil ini peluang merasai secebis kehidupan di sini.

Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov