Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 47

Sebaik dirasakan Chisato terlelap dan Chiho dan Chinami duduk berjauhan dari kakak mereka, Natsuki mendekati mereka. Dia turut memerhati Hotaru dan Nariko sedang leka dengan hal masing-masing.

 

“Chinami, Chiho. Aku lihat kau tak terkesan.” Natsuki langsung terus kepada niatnya.

 

“Apa maksudmu?” Soal Chiho.

 

“Kalian tidak dirasuk Ayame bukan? Hanya kakak kalian yang terkesan bukan?”

 

“Mana kautahu?” Soal Chinami pula.

 

“Sekadar pemerhatian. Aku perhatikan kalian dari jauh.”

 

“Oh begitu rupanya. Bagaimana pula kau boleh berada di sini?”

 

“Kami sebenarnya datang untuk menyelamatkan Ayame, atas permintaan Tokui dan Koichi. Namun sekarang lain pula jadinya situasi di sini.”

 

“Kami dengar tadi engkau beritahu Ayame yang kembarmu terbunuh. Kami tumpang sedih.”

 

“Dahulu kalian yang menyelamatkan kami bukan?” Soal Chinami.

 

“Ketika rumah kalian di Hidagawa itu terbakar? Ya.” Balas Natsuki.

 

“Hatsuki pun ada sekali waktu itu.” Tambah Chiho.

 

“Benar.”

 

“Chinami, Chiho. Aku mahu meminta pertolongan kalian.”

 

“Kami pasti akan membantumu kerana engkau dan kembarmu pernah menyelamatkan kami. Namun tentang apa?”

 

“Sebelum itu aku nak tahu, apakah kalian masih bersama Ayame? Atau kalian ke sini hanya kerana kakak kalian?”

 

Chinami dan Chiho menggeleng kepala. “Kami hanya mengikut kakak. Kakak yang dirasuk Ayame-san.”

 

“Begitu rupanya. Aku harap kalian setia pada Kogen. Aku perlukan bantuan kalian.”

 

“Untuk apa?” Soal Chiho.

 

“Nanti akan aku perjelaskan.”

 

“Tapi aneh kan Chiho.” Tebak Chinami. “Ayame mampu merasuk mereka yang tidak mahir jurus kedua dengan dia. Itu kuasa yang berlainan dari kuasa kita bukan?”

 

“Ya. Aku fikir begitu. Namun Ayame ada pilihan. Aku fikir ketika dia menggunakan Nariko-san, dia menggunakan jurus kedua jarak jauh, seperti kuasa kita. Namun pabila dia menggunakan mereka yang tidak boleh melakukan jurus kedua dengannya, seperti Chisato-nee-chan, dia akan menggunakan Berahi Kuasa. Namun jurus kedua lebih menjimatkan tenaga.”

 

“Jadi Ayame-san lebih cenderung menggunakan jurus kedua jarak jauh daripada Berahi Kuasa? Demi menjimatkan tenaga?”

 

“Begitulah.”

 

“Jadi apa yang membuatkan kalian tidak terkesan dengan Ayame?” Sampuk Natsuki.

 

“Mungkin darah keturunan.” Jawab Chiho.

 

“Namun Chisato-nee chan dipengaruhi?” Sangkal Chinami.

 

“Entahlah. Ayame-san aneh. Dulu, nee-chan ada bercerita yang dia dan Azusa nee-chan diselamatkan Ayame selepas Azusa nee-chan disuntik aotsuyu oleh pengikut Hamada. Sedang kita tak adalah pernah diselamatkan Ayame-san...” Tambah Chiho.

 

Atta!” Natsuki yang mengikuti perbualan mereka berteriak perlahan, seolah mendapat satu pencerahan.

 

“Mengapa, Natsuki?”

 

“Aku fikir kerana hutang budi. Tokui pernah berhutang budi pada Ayame. Bukankah Tokui pernah diselamatkannya dulu?”

 

“Mungkin juga.” Tambah Chiho.

 

“Maka kerana nee-chan berhutang budi dengan Ayame-san...” Gumam Chinami

 

“Jika benar teorimu, maka ia bertepatan dengan Nariko-san punya kes juga.” Chiho menambah.

 

“Yalah...” Natsuki getus.

 

“Tapi mengapa Ayame ke sini? Dan membawa kalian juga?” Soal Natsuki pula.

 

“Mungkin kerana mahu membina pangkalan perang?” Tambah Chiho.

 

“Ya, pangkalan perang. Namun sejauh ini? Sejauh ini dari Kogen?”

 

“Aku tak tahu...”

 

Mengapa perlu sejauh ini untuk membelot? Getus Natsuki. Pasti ada sesuatu di sini, sebagai contoh, yang membolehkan Ayame membina pangkalan baru, seperti Shirasaka-no-Kogen, yang sulit, tersembunyi dan hanya membenarkan orang-orang yang dibenarkan masuk sahaja untuk masuk ke sini. Bahkan hampir kesemua orang kanannya dalam Skuad Sakura di bawa ke sini, termasuk Nariko.

 

Ayame mungkin mahu membina pangkalan rahsia seperti Shirasaka-no-Kogen. Maka pastinya ada tempat yang sesuai di sini untuk mencipta pusatnya seperti di Kogen, iaitu tiang batu putih itu.

 

Natsuki bertekad untuk menghalang Ayame kerana jika dia berhasil membina pangkalan itu, dia tidak akan dapat mendekati Ayame dan membunuhnya lagi. Dia tahu Ayame ingin memerangi Kogen berdasarkan kata-kata Hotaru. Selain dari membalas dendam kematian Hatsuki, Natsuki ingin menggagalkan usaha Ayame demi Kogen juga. Natsuki juga sedar Ayame sebenarnya mencurigainya dan tidak akan membenarkan dia memasuki lembah baru Ayame itu.

 

**

 

Sewaktu Natsuki duduk di tepi sungai berhampiran tanah lapang di mana pasukan Ayame sedang berhimpun, di mana pada ketika itu Ayame dan Tokui masih di Kogen, ada batu hinggap di belakang kepalanya. Dia menggosok-gosok kepala yang sakit, dan terjenguk-jenguk ke arah datang batu yang dilempar itu.

 

Dari arah belukar yang dilihatnya, seorang lelaki dua puluhan berbadan kerdil berdiri.

 

“Tatsuhiro!” seru Natsuki, agak kuat, memaksa lelaki itu meletakkan jari pada mulut menyuruhnya senyap.

 

Tatsuhiro berjalan mendekati Natsuki sambil sekali-sekala memerhati sekeliling. Sebaik cukup hampir untuk dia separa berbisik, dia bertanya pada Natsuki, “Apa kaubuat di sini?”

 

“Aku mengikut Tokui.”

 

“Tokui? Di mana dia sekarang?”

 

“Mengikut Ayame ke Kogen?”

 

“Ha? Ke Kogen?”

 

“Ya. Kenapa?”

 

“Tidak ada apa-apa.”

 

Huh, berahsia lagi, getus Natsuki. Orang kanan Koichi yang misteri dan kerdil ini sememangnya banyak rahsia dan arahan yang perlu disembunyikan dari kami. Kami jarang bertemunya, namun kali ini, dia pula yang tanpa segan-silu menemuiku. Pasti ada sesuatu yang mahu dicungkilnya.

 

Jika dia ke Kogen, pastinya untuk mendapatkan benda itu, getus Tatsuhiro dalam hati. Melihatkan mayat-mayat ronin itu, barangkali Ayame sudah menumpaskan mereka dan kini melakukan perancangan seterusnya, iaitu menguasai Yokuma.

 

“Engkau membantu Ayame membunuh ronin-ronin itu?”

 

Natsuki memandang tajam Tatsuhiro yang selamba sahaja memuntahkan soalan tersebut, soalan yang berbaur tuduhan. Kemudian dia memaling muka dan memandang sungai sambil menjawab, “Kami diminta Tokui agar bersamanya datang ke sini menyelamatkan Ayame atas suatu upah, namun tiba sahaja kami di sini, mayat-mayat itu sudah terhidang di depan mata kami. Ayame berpura-pura.”

 

Maka aku harus memilih pilihan kedua Koichi itu, getus Tatsuhiro.

 

“Dan Tokui kemudian diminta Ayame mengikutnya kembali ke Kogen?”

 

“Ya. Dia macam dirasuk. Mungkin memang penjilat Ayame dari dasar hati agaknya.” Balas Natsuki dengan nada geram. “Disebabkan perbuatan Ayame dan pasukannya itu, kembarku dibunuh salah seorang ronin yang sedang bersembunyi.”

 

Tatsuhiro melopong. “Hatsuki bukan? Oh, kami-sama.”

 

“Tatsuhiro, aku tidak akan kembali ke Kogen. Aku akan kekal di sini selagimana Ayame hidup.”

 

“Untuk apa?”

 

“Aku mahu menuntut bela kematian Hatsuki.”

 

Sebaik mendengarnya Tatsuhiro seolah ditebak sinar harapan. Dia tidak kisah lagi akan Ayame, bahawa dia anak Koichi. Perbuatan Ayame dan pasukannya juga menjadi punca. Idea baru datang menghunjam benak. Jalan keluar telah tersedia, gumam Tatsuhiro dalam hati. Aku mahu pulang.

 

“Natsuki, benarkah kau memang tak akan kembali?”

 

“Aku nekad. Mengapa kau bertanya? Jarang pengintip Koichi yang paling misteri mahu tahu tentang orang lain, lagi pula pegawai bawahan Kogen macam aku.”

 

“Begini. Haruka isteriku sedang hamil. Aku mahu pulang. Aku tidak mahu berada di sini.”

 

“Jadi?”

 

“Koichi memintaku melakukan sesuatu di sini. Sesuatu yang mungkin akan merisikokan nyawaku.”

 

“Wah, sejak bila pengintip Koichi jadi lemah begini? Kerana bini engkau sanggup ingkar arahannya?” Seloroh Natsuki.

 

Tatsuhiro tidak menghiraukan kata-kata Natsuki dan meneruskan kata-katanya, “Kerana aku tahu aku pasti akan ditewaskan dan ditangkap Ayame. Aku tidak setanding langsung dengannya.”

 

“Hatta dengan jurus lesap jasad engkau itu?”

 

“Aku pernah menggunakannya namun ternyata Ayame lebih mahir.”

 

“Oh, jadi apa yang Koichi mahu engkau lakukan?”

 

Tatsuhiro sedar pada saat ini, dia akan mengkhianati amanah Koichi sekiranya dia bermulut tempayan. Jika dia membongkarkannya, ia adalah kali pertama dia membongkarkan pelan Koichi kepada pihak yang tidak terlibat. Namun dia tiada pilihan. Dia perlu pulang kepada Haruka. Dia perlu pulang kepada kandungan Haruka. Bertarung dengan Ayame hanyalah kerja gila dan bodoh. Dan jika sudah tersedia peluang dan jalan pintas di depan mata, mengapa perlu mengambil jalan gila dan bodoh?

 

Dengan membius segala rasa bersalah dan pengingkaran kod perisikan mereka, Tatsuhiro memuntahkan dalam monoton senafas, “Menanam batu ini di pusat lembah Higashi-no-yane, sehingga ia tenggelam dan bersebati dengan tanah, tanpa pengetahuan Ayame dan pasukannya.” Tangan Tatsuhiro menyeluk saku dan mengeluarkan sejenis batu lonjong bermuka rata merata-rata berwarna hitam.

 

“Batu apakah ini?” Soal Natsuki sambil mengambil batu itu dari Tatsuhiro dan membelek-beleknya.

 

“Ia akan beransur-ansur meneutralkan tama-no-iwa selama empat bulan. Dalam empat bulan pertama, tama-no-iwa akan berkuasa dahulu dan melindungi Yokuma sepertimana Shirasaka-no-Kogen, sehingga Ayame berasa seolah-olah lembahnya sudah menjadi, sihirnya sudah menjadi sepertimana lembah Shirasaka-no-Kogen. Namun selepas empat bulan, sihirnya mulai rosot, dan lembah ini kembali menjadi seperti sebelum tama-no-iwa itu ditanam.”

 

“Maka Ayame kembali ke Kogen demi mendapatkan tama-no-iwa? Dari pusat lembah moyangnya itu?”

 

“Pandai kau, Natsuki. Dia akan memotong batu putih itu.”

 

“Bolehkah ia dipotong?”

 

“Dengan kepantasannya pada jurus kesembilan, dia mampu. Kecuali jika Koichi berjaya menghalangnya sendiri. Atau membuang namanya dari senarai nama-nama mereka yang dibenarkan memasuki Shirasaka-no-Kogen. Namun sampaikah hati Koichi? Ayame itu anaknya, anak tunggalnya, anak tunggal perempuan kesayangannya. Mampukah dia, Natsuki? Sedang dia sendiri mahu melihat anak kesayangannya itu di depan mata.”

 

“Nampak gayanya hampir-hampir tidak mungkin.”

 

“Aku yakin, Ayame akan kembali ke sini tidak lama lagi.” Tambah Tatsuhiro. “Sebelum dia kembali, aku berharap kau dapat melakukannya untukku.”

 

Maafkan aku, Koichi! Jerit Tatsuhiro dalam hati.

 

Tiba-tiba batu itu lesap dari tangan Natsuki, turut lesap Tatsuhiro.

 

Tatsuhiro muncul kembali bersama batu itu, di belakang Natsuki.

 

“Aku di belakangmu.”

 

Natsuki menoleh, seraya menganga ketakjuban. “Pantas... apakah ini jurus lesap jasad?”

 

“Ya.”

 

“Dan kenapa kauambil kembali batu itu?!” Soal Natsuki.

 

“Aku belum percayakan engkau. Apakah engkau setia dengan Kogen atau dengan Ayame?”

 

“Aku antara yang normal di sini. Sewaktu mereka dirasuk...”

 

“Berahi Kuasa.”

 

“Apa?”

 

“Berahi Kuasa. Ia kuasa Ayame. Jika kau normal berbanding yang lain ketika dia menggunakannya, maka engkau tidak terkesan.”

 

“Oh... jadi, aku tidak terkesanlah. Maka cukuplah dengan itu untuk kau mempercayaiku.”

 

“Sebentar. Apakah kau rela mengambilalih tugasan Koichi ini dari tanganku?”

 

“Ya.”

 

“Sungguh?”

 

“Sungguh! Tapi pastinya atas suatu upah.”

 

“Apa upahnya?”

Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov