Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 58

Chiho mendedahkan kebenaran, bahawa mereka direkrut  Ayame tanpa rela, dan berperang dengan ronin di Yokuma dan kemudian tentera Maharaja, dan bagaimana mereka terperangkap di hutan ini dan sedang mencari jalan ke pulau Ogasawara.

 

Ryouji yang berada tidak jauh dari mereka, tidak dapat menumpu pada perbualan itu, sebaliknya pada Chisato yang memeluk kakinya dan sasau. Dia tidak pasti apakah dia harus bergembira dek pertemuan ini, atau kaget. Dalam mindanya hanya perintah Maharaja yang menjadi pedoman di hutan ini, iaitu menangkap Ayame. Apakah dia harus lari bersama Chisato dan hidup aman di luar segala sengketa ini, atau meneruskan agendanya menangkap Ayame dan mengaut imbuhan yang besar dari Maharaja?

 

Tidak, jika aku memilih Chisato, bagaimana dengan Kiku? Aku masih tidak mampu melepaskan Kiku. Aku di sini kerana Kiku. Laba dari misi menangkap Ayame itu adalah materinya, namun kepuasan sebenarnya, rohnya ialah pada Kiku, pelangsaiannya ialah pada Kiku. Ia hadiah buat Kiku, ketikamana Maharaja menganugerahkanku ganjarannya. Dan Kiku adalah permulaan perjalananku ke sini, segala keputusan yang aku ambil sehingga berada di sini.

 

Kewujudan Chisato hanyalah mengingatkan betapa lemahnya aku, betapa pengecutnya kerana sanggup meninggalkan cintanya sekerat jalan. Chisato sudah lama terpadam dari benakku. Chisato adalah cerita sebuah kelukaan yang tidak mampu aku teruskan, dan aku tidak mahu lagi berterusan menerima kelukaan. Chisato, lepaskan aku, lepaskan aku, sebelum aku mengubah keputusanku.

 

Ryouji berusaha untuk tidak memandang Chisato yang melekap pada pehanya erat, bagai ular membelit dahan. Namun esak dan rayu Chisato berkumandang di telinga seperti bunyi nyamuk yang sukar dibendung di malam hari, menagih perhatian dan tindakan.

 

Melihatkan Chisato yang berperlakuan aneh, Ryouji bertanya dirinya, apakah pemergiannya dahulu yang menyebabkan Chisato jadi begitu? Apakah Chisato sudah kurang waras?

 

“Ryouji...engkau Ryouji?” Chisato cuba memanjat tubuh Ryouji yang masih kaku berdiri. Ryouji memandang ke atas. Apakah harus dia tendang sahaja Chisato sehingga tersungkur jauh-jauh? Apakah dia harus kembali ke masa lalu, dan meneruskan kembali cinta yang sudah terkubur lama dahulu, menghidupkan kembali cinta yang sudah tinggal rangka dan tengkorak, yang dagingnya sudah lama hilang dimamah ulat-ulat masa?

 

Ryouji masih diam, enggan mengakui dirinyalah Ryouji. Melihatkan perlakuan Chisato yang seakan gila dan kebodoh-bodohan, dia terdetik untuk meluahkan. “Aku bukan Ryouji.”

 

“Engkau bukan Ryouji?”

 

“Cik sudah silap orang. Aku tidak tahu siapa Ryouji. Lepaskan aku.” Tambah Ryouji, dingin, mata masih menengadah kanopi pokok konifer.

 

“Engkau Ryouji. Engkau Ryouji!” Chisato memegang erat kaki Ryouji dan menggoncang-goncangkannya, masih berdegil dengan pendapatnya.

 

Lepaskan aku Chisato. Lepaskan aku!

 

“Aku bukan Ryouji!” Ryouji menendang Chisato sehingga dia tersungkur jauh menyeret sama daun-daun kering sehingga kotor kain yukatanya.

 

Chiho tiba-tiba datang dan memeluk Chisato, “Maafkan aku Okuhida-san. Kakakku sudah hilang kewarasan.”

 

“Ryouji... engkau Ryouji...” Chisato tidak mahu mengalah, merangkak dan cuba berlari menerkam Ryouji, namun pantas ditahan dan didudukkan Chiho. Dia memujuk Chisato yang teresak-esak menangis, sehingga Chisato direhatkan dan dibiarkan lena pada sebatang pokok.

 

“Maafkan aku.” Ryouji berkata pada Chiho.

 

“Kakakku sudah hilang kewarasan. Maafkanku membiarkan dia mengganggumu.”

 

“Aku bilang aku tidak akan bertemunya lagi.” Ujar Ryouji perlahan dengan nada penuh kesal kerana datang ke hutan itu. “Apa yang telah berlaku padanya?”

 

Chiho menceritakan perang mereka sebagaimana yang diceritakan pada Hisamiko. Hisamiko mendengarnya sekali lagi. Dia memberitahu Chisato jadi begitu selepas kematian Chinami.

 

“Begitukah...” Gumam Ryouji. “Apa mungkinkah dia boleh dirawat?”

 

“Aku tidak tahu... mungkin mengambil masa. Ibu saudaraku pernah mengalami penyakit serupa selepas kematian anaknya namun dia pulih kembali.”

 

Ryouji memandang Chisato di kejauhan. Rasa kasihan menusuk kalbu, namun hatinya sudah keras. Cinta Chisato sudah lama melenyap dari benaknya. Chisato kini orang asing baginya. Namun rasa kasihan yang disandarkan pada kenangan masih ada terbit di sudut hati. Dia mahu sekali membawa Chisato berjumpa mana-mana tabib, namun ditahan hatinya. Andai dia melangkah ke arah Chisato setapak, dibimbangi dia akan kehilangan peluang menangkap Ayame. Mungkin selangkah dia terlewat, selangkah itu juga Ayame akan ke hadapan dari tentera Kogen dan Maharaja. Aku di dalam perang, getus Ryouji. Aku harus fokus.

 

“Jadi bagaimana kalian akan ke Ogasawara?” Soal Ryouji.

 

“Aku tidak tahu. Kami akan cari mana-mana pelabuhan sesuai di selatan.”

 

“Kami tahu satu pelabuhan.” Ryouji mencadangkan. Hisamiko mengangguk. “Kami pernah membantu seseorang dahulu, seorang pemilik kapal dagang di pelabuhan Wakayama. Aku boleh menghantar Hisamiko agar membawa kalian ke sana.” Aku mahu Hisamiko tidak terlibat dengan pertempuran dengan Ayame, getus Ryouji. Maka ini adalah peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

 

Onii-san, bagaimana dengan pelan...” Hisamiko cuba menyampuk, namun ditahan Ryouji.

 

“Kami dihantar Maharaja dan Kogen untuk menangkap Ayame, namun aku yakin mampu menewaskannya seorang.”

 

Onii-san!” Hisamiko menarik tangan abangnya dan mengisyaratkan mereka berbincang jauh dari Chiho. Ryouji akur dalam terpaksa.

 

Di tempat yang jauh sedikit dari Chiho...

 

“Hisamiko! Tolong. Abang merayu. Hanya ikut kataku sekali ini, boleh? Chisato kakakmu bukan? Mereka dikejar tentera Maharaja sekarang. Mereka perlukan bantuan kita, hanya engkau yang boleh abang harapkan.”

 

“Kita akan ke mana-mana bersama-sama bukan? Onii-san dah lupa janji itu? Andai onii-san ditewaskan Ayame-san...”

 

“Aku tidak akan ditewaskan, ne? Aku berjanji akan pulang hidup-hidup, denganmu. Kita akan hidup kaya-raya di Tokyo. Ne?”

 

“Biar aku yang bertarung dengan Ayame-sanonii-san pergi hantar Chisato nee-chan ke pelabuhan.” Hisamiko cuba memaksakan satu pelan alternatif, kerana tidak yakin abangnya akan memenangi pertarungan dengan Ayame.

 

Mengapa Hisamiko begitu yakin dia akan menewaskan Ayame? Apakah dia fikir dia lebih handal bertarung dariku? Apakah dia sudah tahu akan ramalan Amaguri itu?

 

Sebentar, bagaimana mungkin mereka akan ke pelabuhan Wakayama dari sini? Aku tahu kami boleh merentas Jalan Garam dan masuk ke Tokaido, itu yang kumaksudkan tadi bilamana aku tawarkan pada Chiho. Dan dari Tokaido, kami terus ke Wakayama menyusur pesisir Laut Timur. Itu jalan biasa pedagang. Namun Chiho dan Chisato pelarian perang, mereka tentera Ayame dan musuh Maharaja, maka jalan begitu harus dielakkan. Mereka harus merentas hutan ini. Dan kami tiada peta untuk tujuan itu. Satu-satunya ‘peta’ yang ada di sini ialah Azuchi. Hisamiko boleh meminta bantuan Azuchi. Burung itu pasti tahu jalannya. Dahulu, ia yang bertanggugjawab membawa Hisamiko ke Nara.

 

“Aku tidak boleh membawa mereka Hisamiko, hanya engkau yang boleh.”

 

“Ha? Apa maksudmu?”

 

“Mereka tak boleh lalu jalan biasa Tokaido, tentera Maharaja pasti akan menangkap mereka. Mereka perlu rentas hutan ini. Engkau ingat bagaimana Azuchi membawamu ke Nara? Tanpa peta?”

 

“Ya...”

 

“Engkau pinta bantuan Azuchi. Ia pastinya tahu bagaimana ke Wakayama merentas hutan. Lagipun ia boleh terbang dengan pantas dan kembali kepadamu dalam masa sehari untuk merisik jalan di hadapan. Ia hanya taat denganmu. Ia tidak akan mematuhi aku bahkan memahami bahasaku. Hanya engkau yang mampu melakukannya, Hisamiko.”

 

Betul juga, getus Hisamiko dalam hati. Kegusaran merasuk hati. Dia tersepit. Mahu dilepaskan yang mana satu? Abangnya, atau kakaknya?

 

Lantas dia memilih Chisato dalam keterpaksaan. Berat hatinya melepaskan Ryouji seberat bumi beban emosi yang menarik hatinya ke tanah, dia lantas menerkam dan memeluk Ryouji seerat-eratnya, air matanya mengalir deras.

 

Onii-san berjanji denganku, engkau akan pulang bernyawa!” Sendu Hisamiko kedengaran di balik patah-patah itu.

 

“Pasti Hisamiko. Aku berjanji.”

 

Mereka kembali ke tempat Chiho.

 

“Semua ini ada syaratnya Chiho-san.” Tambah Ryouji.

 

“Apa syaratnya?”

 

“Engkau tidak bocorkan kedatangan kami kepada Ayame dan sekutunya.”

 

“Pasti. Aku, tidak, kami adik-beradik Ogasawara tidak pernah rela sekalipun menyertai perangnya itu.”

 

“Bagus. Gembira aku mendengarnya. Satu lagi syarat.”

 

“Apakah ia?”

 

“Andai Chisato kembali waras, beritahunya yang aku sudah tiada, yang Ryouji yang dilihatnya di sini hanyalah orang yang dikesilapkan, pelanduk dua serupa. Ryouji yang sebenarnya sudah mati.”

 

Chiho tergamam mendengar permintaan Ryouji itu. Dia serba-salah. Begitu juga Hisamiko.

 

“Boleh kutahu mengapa engkau minta begitu?”

 

“Sepatutnya aku sudah pun mati, kerana sumpahan puakku. Itu yang disangka dan dipegang Chisato juga sewaktu perpisahan kami di Kogen dulu. Aku mahu aku terus ‘mati’ dari kenangannya. Aku tak mahu membebankannya lagi dengan kisah-kisah cinta silam. Kalian, hiduplah dengan hidup yang baru di pulau itu. Bimbing kakakmu mencari kehidupan baru di sana, seperti air sungai yang mengalir tanpa beban mendapan berat lagi. Tak perlu lagi fikirkan tentang Jepun ini, dan tentangku.”

 

“Okuhida-san... kau mampukah begitu? Maaf aku menyibuk akan kisah peribadimu.”

 

“Aku mampu.” Balas Ryouji. Lagipun aku tidak pasti apakah aku akan terus hidup lagi selepas pertembungan dengan Ayame nanti. Maka buat apa ditunggu akan diriku? Dan jika aku ditewaskan Ayame, Maharaja juga akan ditewaskan, kecuali jika Hisamiko menyambung misiku ini dengan tangannya sendiri. Jika Hisamiko menang, Maharaja juga akan menang, dan Maharaja akan menganugerahkannya dengan habuan yang lumayan. Masa depan Hisamiko sudah terjamin. Namun jika Hisamiko tewas, tamatlah riwayat kami, tidak perlulah lagi meneruskan hidup dan penderitaan ini. Semua hilang bak ditelan angin lalu.

 

“Baiklah, jika itu yang kaumahukan.” Balas Chiho, dia memandang Ryouji dengan rasa kasihan. Di balik pandangannya itu, dia cuba mengorek isi mata Ryouji, cuba mencari apa yang cuba disembunyikannya. Namun sinar mata Ryouji itu sudah pudar, sudah dimamah derita, pantulan mentari nampak kabur dan kabut, urat-urat merah berceracak bak akar gambut menyeruak dari sudut ke sekitar bebola mata hitam.

 

Apalah agaknya yang telah kalian lalui, duga Chiho dalam hati.

 

**

 

Hisamiko memimpin dengan kudanya di hadapan, dan Chiho di belakang menunggang kudanya sambil menggalas Chisato. Tunggangan mereka kebanyakan masa perlahan berbanding tunggangan di Nakasendo, kerana mereka merentas hutan dengan tanah beralun dan permukaan yang tidak sekata. Azuchi di atas terbang menunjuk jalan, dan sekali-sekala turun ke lengan Hisamiko memaklumkan keadaan di hadapan.

 

Disebabkan permukaan yang tidak sekata dan tanah yang beralun, maka kuda-kuda mereka cepat berasa sakit dan sengal, yang menuntut mereka untuk berehat lama di satu-satu tempat perhentian kerana kuda mereka enggan meneruskan perjalanan.

 

“Kalian diekori seseorang.” Adu Azuchi kepada Hisamiko ketika mereka duduk berehat di satu kawasan hutan.

 

“Di mana pengekor itu?”

 

“Aku sukar mengesannya. Dia seolah hanya terbang dan berlari, berdasarkan baunya.”

 

“Ha? Apakah dia ninja?”

 

“Aku tak tahu. Tapi bilamana kau bergerak, dia pun mula bergerak.”

 

“Kau kesan guna apa selain bau?”

 

“Deria pengesan besi sepertimu. Namun tiada besi aku kesan padanya. Namun baunya sentiasa aku dapat kesan, hanya bilamana kau mula bergerak.”

 

Aneh, getus Hisamiko. Siapa yang membebaskan bau badan hanya ketikamana kami bergerak?

 

“Engkau pastikah, Azuchi? Engkau benar-benar tidak tersilap?” Soal Hisamiko meminta kepastian dari burung hayabusa itu. “Jangan-jangan ia hanya bau Chinami dan Chiho.”

 

“Aku yakin bukan bau mereka.” Tegas Azuchi. “Baunya berlainan dari kalian, malah dari kuda kalian pun.”

 

“Jika ia bergerak kala kami bergerak, pastinya dia berada di sekitar sini juga dan berhenti juga kala kami berhenti.”

 

“Tapi aku tak tahu di mana dia jika benar dia ada di sini seperti katamu, kerana tiada baunya.” Maklum Azuchi. “Kecuali jika dia bergerak, kerana hanya baunya akan keluar saat itu.”

 

Aneh, getus Hisamiko. Ini tak boleh dibiarkan. Kami harus bergegas meninggalkan tempat ini.

Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov