Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 54

Gunung Yakedake adalah salah satu dari gunung-gunung berapi yang banyak di Honshu. Gunung inilah yang paling menyerlah dan paling aktif dalam kalangan gunung-gunung berapi di tengah-tengah Banjaran Hidagawa, di tengah-tengah Alp Utara. Kawahnya sentiasa mengeluarkan asap. Laharnya yang membeku di kakinya ada yang masih panas dan berapi. Sementara lahar di bawah tanah yang panas cair bertanggungjawab memanaskan banyak onsen di sekelilingnya.

 

Sekumpulan burung berwarna hitam dan berupa seperti gagak sedang berhimpun di kaki gunung ini dan mematuk-matuk lahar beku yang panas dan berasap. Meski paruh mereka menyentuh lahar itu, mereka tidak berasa panas dan kesakitan. Malah, paruh mereka tidak dirosakkan langsung oleh lahar panas itu.

 

Selepas ia dipecahkan kepada ketulan-ketulan kecil, burung-burung itu memagut dengan paruhnya yang panjang dan besar, dan terbang ke arah satu kawasan lapang berumput di celah pergunungan tersebut, di mana sekumpulan lembu dibiarkan berkeliaran sambil meragut rumput.

 

Burung-burung hitam itu menggugurkan lahar beku dan panas itu ke atas lembu-lembu tersebut. Bercempera lembu-lembu itu sambil berteriak terseksa kepanasan dan kelecuran, berlari-lari tanpa arah tuju sehingga melanggar satu sama lain lantas terjelepok, dan mereka lagi dihentam batu-batu lahar panas itu terus-menerus sehingga terkedang, mata terbeliak, lidah terjelir, kaku kojol. Sebaik semua burung hitam habis menggugurkan lahar-lahar beku dan panas itu, mereka berpatah balik ke Yakedake, memagut ketulan panas yang baru, dan mengulangi perkara sama, menyeksa ternakan-ternakan itu sehingga lunyai.

 

Batu-batu panas yang bertindihan dek luruan dan hentaman dari paruh burung hitam itu yang bersilih ganti menembus daging, mengeluarkan asap hangit, sehingga berlubang-lubang jasad-jasad lembu yang sudah terkedang kaku menjadi bangkai, bergelimpangan memenuhi segenap padang ragut. Dari lubang-lubang pada tubuhnya keluar darah merah pekat. Rupa semua bangkai lembu itu bak daun-daun yang berlubang-lubang sesudah dimamah ulat.

 

Seorang lelaki gempal bersarung kimono sutera mahal warna hijau, memandang penuh sadis dan kagum, seringai terlukis pada bibirnya. Dia berdiri di atas sebuah menara tinjau di tepi padang itu, beserta lima orang pengiringnya.

 

Subarashii...” Bisik halus lelaki gempal itu, sambil menepuk tangan perlahan-lahan. Seorang lelaki kurus keding di sebelahnya turut sama menepuk tangan. Lelaki kurus keding itu memakai pakaian ala bangsawan Prussia. Ada dua orang lelaki pengiring lain di sisi mereka berdua, turut memandang kagum. Kemudian dua lagi pengiring berdiri paling belakang, memandang lembu-lembu yang mati itu dengan mata terbeliak, mungkin membayangkan bagaimana nasib mereka jika dihentam dengan begitu kejam oleh batu-batu lahar itu.

 

“Berapa ekor dalam simpananmu, Katsuragi-san?” Soal lelaki gempal kepada lelaki kurus keding.

 

“Dalam seratus ekor.”

 

“Engkau fikir berapa jauh jarak mereka boleh terbang sambil memagut batu lahar itu?”

 

“Laju penerbangan purata mereka ialah sepuluh ri dalam sejam (40 kilometer sejam). Mereka hanya mampu bertahan setengah jam dengan haba batu itu sebelum merasa sakit dan paruh mereka dirosakkannya, jadi jangkauan maksimum dalam lima ri.”

 

“Namun batu itu pasti akan menyejuk bukan selepas melalui jarak dan penerbangan selama itu?” Lelaki gempal menyatakan pendapatnya.

 

“Benar Yoshinobu-sama.”

 

“Tak mengapa. Aku mahu burung ini guna lahar hanya untuk serangan dalam lingkungan dua ri sahaja dari Yakedake. Untuk yang lebih dari itu, kita akan gunakan sumber yang lebih dekat dengan lokasi serangan.”

 

“Apa maksud Tuan?”

 

“Bola meriam yang dipanaskan dahulu, kita akan bawa dekat dengan tempat serangan dan panaskan di sana. Atau...”

 

“Atau apa?”

 

“Burung ini bijak bukan? Kita latih mereka gugurkan bom juga.”

 

“Bom?”

 

“Ya, bom. Seperti yang pernah digunakan Mongol untuk menyerang kita di Tsushima lebih enam ratus tahun dulu.”

 

“Bernas juga idea Tuan. Serangan dari atas sememangnya agak janggal pada zaman ini, kecuali oleh anak panah. Namun anak panah juga datang dari hadapan, di kejauhan.”

 

“Selain dari janggal, tiada siapapun akan menyangka burung-burung ini juga sebahagian dari taktik kita. Siapa dalam kalangan mereka yang berfikiran burung boleh jadi secerdik itu dan sebahagian dari tentera kita? Kecualilah jika ada pembelot dalam kalanganku yang membocorkannya kepada sesiapa di luar.” Yoshinobu menjeling setiap wajah-wajah pengiring yang lima orang itu termasuk yang berpakaian seperti tentera Prussia.

 

“Atau mungkin samurai Tuan yang dalam pasukan Konoe.” Katsuragi cuba mencadangkan berdasarkan syaknya, sekaligus mengalih perhatian Yoshinobu terhadap mereka semua kepada ronin di Yokuma.

 

“Taira Masanobu, maksudmu?” Yoshinobu berterus-terang sahaja, tidak menggemari kiasan-kiasan. Katsuragi tergamam.

 

E...to..., barangkali, Tuan.” Balas Katsuragi, serba salah mahu menafikan atau tidak, kerana sememangnya suspek itulah juga yang disyaki dalam kepalanya. Dalam hati dia mengeluh seolah Yoshinobu tahu apa yang berkisar dalam benaknya. Mahu berselindung tidak sanggup dengan mata jojol Yoshinobu merenungnya dalam-dalam menikam ke pangkal otak.

 

“Hanya dia sahaja yang Tuan hantar ke Yokuma sebagai pengintip. Taira Masanobu adalah talam dua muka, dia mengintip Tuan untuk Konoe, ketikamana dia juga mengintip Konoe dan konco-konconya untuk Tuan.”

 

“Mengapa engkau mengesyakinya begitu?”

 

“Aku baru pulang dari Tokyo semalam, melalui Nakasendo dan nampak dia dengan ronin-ronin Yokuma berkuda ke Tokyo. Mereka nampak kucar-kacir dan seolah baru dibantai dengan pakaian koyak, luka sana-sini... ada yang bersandar pada penunggang kuda.”

 

“Oh, dia bersama merekakah... Siapa sekarang yang mengetuai ronin Yokuma?”

 

“Nakamura Yoichi, orang kanan Konoe. Melihatkan mereka ke Tokyo, nampaknya mereka mahu mengheret Maharaja sekali agar membantu mereka merampas kembali Yokuma dari Ayame.”

 

“Dia pastinya akan membocorkan pelan aku dan Ayame. Dan bahawa aku mahu memerangi baginda.”

 

“Dan juga membocorkan berkenaan burung-burung ini.” Katsuragi menambah.

 

Taira, aku tahu engkau pasti akan membelotku, getus Yoshinobu. Ia lambat atau cepat sahaja. Aku tahu engkau dan Konoe amat rapat, rakan sekampung. Dan engkau pun sudah tahu yang aku akan membuangmu. Dan engkau pun sedar aku tidak ambil peduli dengan Yokuma lagi, yang sebenarnya dalam wilayahku. Yokuma adalah duri dalam daging. Andai ia tidak berada dalam wilayahku, sudah pasti aku tidak perlu bimbang. Membayar samurai adalah kos.

 

Aku mengambil Taira dahulu demi melihatkan Konoe dan konconya untukku. Ketika itu otou-san masih hidup. Hanya kemudian baru kusedari dia rakan sekampung Konoe. Namun rakan sekampung tidak semestinya setia seperti ini. Mungkin ada cerita lain. Aku tidak betah mengoreknya. Patutlah engkau memohon cuti sebaik mendapat surat yang mengkhabarkan Yokuma diserang. Rupanya engkau ke Yokuma, dan bersama-sama ronin tak guna itu ke Tokyo.

 

**

 

Sadis, bisik salah seorang dari dua orang yang berwajah seriau dalam kalangan lima orang pengiring Yoshinobu itu, kepada rakannya yang juga seriau.

 

Mereka berdua berbisik sebaik Yoshinobu dan tiga yang lain jauh sedikit ke depan.

 

“Engkau nampak bukan si gemuk itu? Matanya tak berkedip langsung.” Soal yang seriau tadi kepada rakan seriaunya.

 

“Aku nampak, Teppei.”

 

“Engkau ingat sepuluh tahun lepas? Matanya yang sadis itu tak pernah berubah.”

 

“Aku tak ingat. Bukankah aku belum menyertai kalian?”

 

“Oh yalah. Engkau pun belum menyertai kami.”

 

“Kenapa?”

 

“Dahulu di makmal pembiakan jigokutori (burung neraka) itu, sedekad lalu, dia pernah datang melawat. Makmal itupun idea dia asalnya, dan dikembangkan saintisnya. Anak-anak burung hitam itu dicelup paruhnya dalam arang dan dibiarkan berteriak. Yang mati dibuang ke gaung, yang hidup dibiakkan. Anak dari pembiakan itu dilatih perkara sama sehingga mereka betul-betul dapat zuriat yang paruhnya lasak sehingga boleh memagut batu itu.”

 

“Kejamnya...” Rakan yang mendengar labun Teppei itu menutup mulut.

 

Teppei menyambung, “Aku muntah-muntah selepas hari pertama aku dibawa ke makmal itu. Teriak anak-anak burung itu berlarutan sehingga ke dalam mimpi. Aku tak boleh tidur, Shigeru. Namun demi anak-anakku aku bertahan dengan pekerjaan ini, aku tiada pilihan.”

 

“Katamu tadi si gemuk itu tidak berkedip matanya?” Soal Shigeru. Matanya membulat kerana tertarik dengan kisah gelap Teppei yang sudah sekian lama berkecimpung dalam pembakaan terpilih burung hitam jigokutori itu, namun tidak pernah didengarinya dari Teppei.

 

“Si gemuk itu memandang tanpa perasaan langsung. Bahkan dia boleh senyum lagi! Teriak anak-anak burung itu sungguh memilukan, namun dia hanya senyum. Memang sadis, memang psikotik!”

 

“Aku ada mendengar bapanya dulu pun memelihara seekor gagak yang amat cerdik, yang menghantar berita-berita lebih cekap berbanding samurai.” Tambah Shigeru.

 

“Kurobi namanya, aku tahu itu, ada sesekali aku ke rumahnya di Kawamoto mengikut bosku. Gagak itu bukan setakat cerdik, malah boleh membunuh dengan menikam paruhnya ketika terbang junam. Kurobi setahuku dibiakkan dahulu sebelum projek burung jigokutori ini. Barangkali si gemuk mendapat idea sadis ini sendiri selepas melihat Kurobi.”

 

“Bapak borek anak rintik.” Sahut Shigeru.

 

“Fiil kebinatangan mengalir dalam darah yang sama.” Tambah Teppei.

 

“Menyedihkan. Samurai memang begini sadiskah?” Tambah Shigeru pula.

 

“Tidak juga. Namun dalam kalangan yang paling sadis, aku fikir merekalah yang paling sadis.” Teppei menambah, namun entah benar entah tidak kenyataan itu tidaklah dia ketahui. Dia hanya menyatakan dengan emosi sahaja.

 

“Aku banyak juga memerhati burung pelik-pelik dalam kawalan mereka. Macam hayabusa bernama Goro itu.” Shigeru menambah.

 

“Itu pun dibiakkan syarikat yang sama.”

 

“Maka mereka ini punya bukan setakat makmal, malah syarikat!” Shigeru meluahkan rasa takjub dan terkejutnya.

 

“Yalah, kalau tidak macam mana mereka boleh kumpul dana? Syarikat Furuya itu menjual insurans, dan wang pencarum dikumpulkan dan dilaburkan untuk penyelidikan benda-benda beginilah. Namun sekarang si gemuk sedang pening kepala.”

 

“Kenapa?”

 

“Pencarum terbesarnya, syarikat sutera Tokizawa telah tarik diri. Dana sudah berkurang. Hanya sedikit sahaja burung-burung jigokutori boleh dibiakkan. Untuk menternak mereka memerlukan sumber makanan yang banyak. Banyak dana diperlukan.”

 

“Mengapa tidak dicari pencarum lain?”

 

“Bukan tidak ada, Yoshinobu sudah mengupah Tatsuya orang kanannya itu mencari pencarum baru. Si gemuk mengharapkan Tatsuya lekas mendapatkan pencarum baru. Jika tidak tiada danalah. Sudahlah banyak rumah pelacuran kita ditutup kerana kurang bekalan gadis. Kogen semakin ketat mengawal penjaga rumah perlindungan mereka.”

 

**

 

Sementara itu di istana di Tokyo...

 

Heika, ada seseorang ingin berjumpa.”

 

Maharaja yang sedang duduk di dalam bilik pejabat sedang menulis sesuatu pada kertas di atas meja di hadapannya. Sekali-sekala dia mencelupkan bulu pelepah ke dalam botol dakwat di depannya, dan menulis, dan mengulang celupan itu. Teguran pembantunya tidak dihiraukan. Pembantunya faham, baginda tidak mahu diganggu, seraya berundur.

 

Chotto matte, Seiji.” Baginda bersuara, namun tangannya masih menulis dan kepalanya masih menumpu pada kertas. Langkahan pembantunya ke pintu terhenti, dia berpatah balik.

 

“Siapa mereka?” Soal baginda sambil tangan masih menulis, mata masih menumpu ke arah kertas. Hanya misainya yang panjang dan tebal sahaja kelihatan bergerak-gerak jika dipandang dari belakang, sepertimana yang dilihat Seiji.

 

“Mereka samurai ronin dari Yokuma.”

 

“Yokuma...pergunungan yang bermasalah itu? Beta telah hantar polis beta membanteras penjenayah ronin-ronin kurang ajar yang mengganggu pedagang di sana, namun masalah masih berulang. Apa yang polis-polis itu buat? Dan sekarang ronin-ronin ini mahu menceroboh istana beta? Berani benar mereka.”

 

“Bukan begitu Heika. Mereka nampak tercedera dan pucat. Patik fikir ini bukan angkara polis. Polis akan menangkap mereka pastinya jika polis yang mencederakannya. Namun mereka bersusah-payah mahu bertemu Heika. Pasti ada sesuatu yang memaksa mereka sehingga ke sini.”

 

“Beta mahu bertemu mereka sekarang.”

 

Maharaja dibawa mengadap ronin-ronin dari Yokuma itu di sebuah balai mengadap. Maharaja duduk di atas takhtanya dengan citranya dilitup kegelapan, agar wajahnya tidak dapat dilihat para ronin itu, lalu menimbulkan rasa keramat dan misteri dan kemuliaan. Sementara itu di hujung permaidani merah yang panjang yang menghampar di bawah takhta, sepuluh orang ronin, dengan pakaian koyak-rabak dan kotor-kotor, muka pucat, calar-balar kulit muka dan rambut kusut masai, ada yang luka sana sini kesan dirobek pedang, duduk melutut, dan sudah pun dinyahsenjatakan para pengawal istana.

 

“Ampunkan kami Heika.” Salah seorang dari ronin itu, yang melutut paling hadapan, bersuara. Yang lain turut sama tunduk. Hanya ronin yang paling hadapan itu yang tidak terlalu kucar-kacir, namun pakaiannya masih ada kesan-kesan pertarungan dan kotoran.

 

“Siapa namamu?” Soal baginda.

 

“Nakamura Yoichi, dan patik mewakili para ronin dari Yokuma ini.”

 

“Mengapa kalian mahu bertemu beta berdepan-depan begini? Memasuki istana beta bererti kalian menyerah diri. Dan kalian tahu bukan beta pasti akan menghukum kalian atas perbuatan kalian mengganggu pedagang?”

 

“Kami tahu, Heika. Namun sebelum itu kami ingin melaporkan sesuatu. Bahawa Yokuma sudah ditakluk.”

 

“Apa?”

 

“Yokuma sudah ditakluk Shirasaka Ayame, dan konco-konconya dari Kogen.”

 

“Jadi, kalian berkeadaan begini disebabkan mereka?” Soal baginda, merujuk kepada keadaan mereka yang caca-marba dan kucar-kacir.

 

“Benar Heika.”

 

Maharaja diam sejenak, di balik kegelapan yang menabir wajahnya itu dia teruja, bagaimana Ayame dan pasukan wanitanya menewaskan ronin paling berbahaya di Honshu yang semuanya lelaki belaka itu, tahap bahaya mereka sehinggakan polis pun tidak berani mempertaruhkan nyawa mereka di sana. Oh ya, Empat Celaka sudah pun tiada, maka agak tidak adil jika aku menghukum begitu, getus baginda dalam hati. Mungkin Ayame dan orang-orangnya akan tewas jua jika Empat Celaka masih hidup.

 

Kemudian baginda menyoal, “Apa gunanya maklumat itu dan manfaat kepada beta?” Baginda memandang Yoichi sedalam-dalamnya menagih kebenaran, namun Yoichi tidak mengetahuinya kerana dia yang menunduk dan wajah baginda masih diselubung kegelapan.

 

“Yokuma adalah laluan utama dari sini (Tokyo) ke Nakasendo, dan Heika akan memerangi Yoshinobu-sama bukan? Maka jalan itu amat penting buat Heika. Namun, Shirasaka Ayame mahu menjadikan Yokuma pangkalannya, berpakat dengan Yoshinobu, dengan menyekat jalan itu dari Yokuma dan melancarkan perang terhadap Heika!”

 

“Buktinya?”

 

“Heika, patik perkenalkan Taira Masanobu, mata-mata kami dalam pasukan Yoshinobu.”

 

Salah seorang dari ronin itu bangkit dan melutut di sebelah Yoichi. Taira Masanobu satu-satunya dari kalangan para ronin itu yang langsung tiada kesan kecederaan mahupun kotoran hasil pertarungan pada pakaiannya, menunjukkan dia tidak terlibat dalam perang kecil tersebut. Masanobu kemudian mengeluarkan segulung dokumen dari dalam kimononya.

 

“Heika, ini adalah surat dari Shirasaka Ayame kepada Yoshinobu-sama, memberitahunya Yokuma sudah ditakluknya dan meminta Yoshinobu-sama menghantar bekalan senjata ke sana. Patik mendapatkannya dari pembantunya.”

 

Seiji, pembantu baginda mengambil surat itu dari tangan Masanobu dan menelitinya. Dia mengesahkan, “Ia asli, Heika. Cap mohor tanda terima itu jelas dan sah dari Hamada Yoshinobu.”

 

“Kerahkan orang-orang beta memerhati Yokuma dan Shirasaka Ayame. Andai benar dakwaan kalian, Ayame akan beta isytiharkan pengkhianat negara. Dan kalian para ronin, akan aku serapkan menjadi pembantu demi mendapatkan kembali Yokuma. Beta akan hantar pasukan sokongan bersama kalian, dan senjata moden.” Titah baginda bergema menyimpulkan pertemuan itu.

 

Semua ronin tersenyum dalam hati, gembira bukan kepalang. Bukan setakat dendam terhadap Ayame terbalas, malah mereka mendapat kedudukan di sisi baginda. Malah jenayah mereka dilupakan, mereka akan berkhidmat terus kepada baginda sepertimana kazoku. Makan pakai mereka akan terjamin, mereka boleh hidup sepertimana golongan berada di sini. Semuanya kerana idea bernas Yoichi, pemimpin mereka yang geliga itu.

 

Namun itu hanya sangkaan belaka. Kepastian diperlukan agar sangkaan menjadi kenyataan. Tiada siapapun dalam kalangan ronin itu mahu menjadi ronin dan hidup bergelandangan dan sentiasa mencipta musuh di dalam hutan dan menjadi seseorang yang dibenci lainnya, mereka hanya mahu hidup senang-lenang seperti dahulukala. Cuma bilamana status samurai dimansuhkan, maka hidup bersenang-lenang tidak lagi relevan, di mana mereka harus bekerja untuk hidup. Namun kerja apa lagi yang sesuai dengan kemahiran bertarung dan lain-lain kemahiran – jika benar ada – yang diraih dari status samurai itu? Mungkin hanya kerja di bahagian tenteralah, kerana mereka tahu bertarung. Atau kerja sebagai ahli politik, dan memanfaatkan kemahiran arah-mengarah para petani dahulu.

 

“Heika, bagaimana pula dengan balasan atas perbuatan kami dahulu? Apakah Heika akan mengampunkan kami?”

 

“Ya, dengan syarat kalian berperang untuk beta.”

 

“Kami bersedia berperang sekarang sekalipun Ayame tidak jadi mengkhianati Tuanku!” Serentak patah-patah itu bergema dari tembolok para ronin, mereka tunduk dengan dahi mencecah lantai balairung.

 

“Untuk perang menentang Yoshinobu itukah... beta akan pertimbangkan. Namun kalian mesti dilatih dahulu menggunakan senjata api. Juga, Yokuma adalah yang pertama yang mesti kalian bantu beta. Jika kalian bertarung bersungguh-sungguh dan memenangi pertempuran ini, beta akan ampunkan jenayah kalian.”

 

Seiji dengan tekun mencatit segala butir-butir pertemuan dan dikri dan janji baginda dalam lembaran pada tangannya.

 

Lagi lebar senyum para ronin itu. Maharaja tidak membantah mereka menyerah diri begini. Sememangnya itulah yang baginda mahukan sejak dahulu lagi. Jika pembuat masalah yang sukar diselesaikan menjadi duri dalam daging, selumbar dalam jari, mengapa tidak digunakan selumbar dan duri ini untuk melindungi negara yang masih muda dan bergolak ini? Lagi pula mereka datang menyerah diri begini, ia bagai pucuk dicita ulam mendatang. Mereka pun mahir bertarung, meski mereka bakal ditewaskan Ayame. Namun mereka boleh dilatih, bahkan dibekalkan senjata moden lagi. Hanya pengetahuan dan selok-belok mereka bertempur dalam hutan, lagi-lagi hutan Yokuma, diperlukan amat sekarang.

 

Namun Maharaja sedar, andai baginda tersilap langkah, kemusnahan dan kekucarkaciran mampu lahir dari dalam, dengan cara dirobek oleh para ronin yang diserap masuk ini bak kuman yang memakan daging dari dalam tanpa disedari. Mereka mungkin adalah helah Yoshinobu, datang ke sini seperti kuda Trojan yang akan merembeskan keluar racun yang merosakkan daging dan saraf.

 

Usah mudah mempercayai mereka, getus baginda dalam hati. Lantas Baginda mengatur sesuatu. Malamnya, baginda meminta Seiji mengatur pemerhati dari kalangan mereka yang terpercaya dari istana. Bekas-bekas samurai baginda, para pemedang handalan yang pernah dilatih Saisho Takanori yang berada dalam kazoku dipilih menjadi pemerhati ronin dari Yokuma ini.

Previous: Bab 53
Next: Bab 55

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov