Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 22

Mereka berdua berjalan ke satu sudut dewan.

 

Sebaik tiba di sana, lelaki itu menyoal, “Apa gelaranmu?”

 

“Panggil sahaja aku yoru-no-kaze (bayu malam).”

 

Yoru-no-kaze ka... baiklah Yoru-no-kaze.” Nada sinis dapat dikesan dari suara lelaki itu.

 

Lelaki tersebut menyambung, “Namaku Kasukabe Hiroshi. Aku ketua detektif bagi polis Maharaja, atau engkau bolehlah menggelarku inspektor juga. Aku bertugas di sepanjang Nakasendo.”

 

“Inspektor Kasukabe, apa bantuan yang engkau perlukan dariku?”

 

“Begini, Ryo-, erm, Yoru-no-kaze, kami sedang menyiasat satu kes pembunuhan. Berdasarkan penyiasatan kami, sudah sepuluh pembunuhan berlaku, dan kami yakin ia dilakukan orang sama.”

 

Ryouji dapat mengesan sukukata ‘ryo’ yang sengaja dihentikan itu, namun tidak memberikan tumpuan kerana dia lebih menumpu pada kes yang sedang dikisahkan Inspektor Kasukabe.

 

“Di mana ia berlaku?”

 

“Kesemua pembunuhan berlaku di sekitar Gunung Hiei, berhampiran Kyoto. Dari sepuluh itu, tiga rakanku dibunuhnya sewaktu menjejakinya untuk tujuh kes pertama.”

 

“Apa motifnya?”

 

“Tidak pasti. Namun mangsa semua tujuh kes pertama ialah sami Shinto dan Buddha yang berpangkalan di kuil-kuil di Kyoto dan Kanazawa. Mereka dibunuh ketika ulang-alik antara dua kota itu dan merentas Hiei.”

 

Yoru-no-kaze, aku tidak mahu mensia-siakan nyawaku. Lebih baik aku ubah seseorang yang lebih tahu bertarung, seperti engkau yang tahu kaminari.”

 

Polis itu menyambung, “Ayuh yoru-no-kaze. Para ahli keluarga si mati sedang menekan kami agar menangkap pembunuh ini segera. Aku akan bayar engkau secukupnya sebaik engkau berjaya menangkapnya. Kami dah tak ada banyak masa lagi.”

 

“Sebentar, bagaimana dengan shinsengumi?”

 

Shinsengumi sudah terkubur di Hakodate. Engkau tak tahu?”

 

“Bukan, maksudku, takkan tiada pewaris sekolah pedang mereka dalam pasukan polis? Shinsengumi sepatutnya membantu kalian kerana ia unit paling mahir berpedang dan sebahagian dari kalian juga.”

 

“Ah, sekolah pedang mereka juga dah ditutup. Bahkan, ilmu berpedang mereka tak sebanding dengan kaminari-mu. Yang aku dapat dari laporan awam, pembunuh di Hiei itu pantas seolah menggunakan kaminari. Mungkin hanya kalian yang mampu menewaskannya.”

 

Ryouji pada awalnya agak enggan membantu polis kerana ia sama seperti dia melakukan kerja-kerja polis. Dia hanya mahu membantu orang awam. Namun mendengarkan kewujudan penjenayah dengan ilmu kaminari membuka perspektif baru. Saat itu Ryouji juga tidak menyangka seni rahsia itu sudah tersebar luar. Jika keadaan ini berterusan, fikirnya, akan ramai penjenayah begini menjadi masalah kepada polis.

 

**

 

Sami Fukuyama tercengang. Rupanya budak inilah yang menampal poster-poster di pekan itu!

 

Siapakah dia? Ninja? Berdasarkan poster-poster itu, katanya dia akan membela mereka yang dizalimi? Apakah dia hakim? Ninja? Yang diutus Maharaja? Atau Kogen? Atau bertindak sendiri?

 

Apapun ini sudah bagus. Sudah tujuh kes bunuh di Hiei melibatkan rakan-rakanku di Kyoto dan Kanazawa tidak terbelakan, dan tiga orang pegawai polis turut terbunuh menjadikan sepuluh korban semuanya. Ini peluang untuk aku meminta bantuannya.

 

Sebaik pintu dewan dibuka, hadirin keluar meluru seperti tebuan yang sarangnya dijolok. Ryouji keluar paling akhir dengan topeng masih melitup wajahnya.

 

“Orang muda, orang muda!” Panggil Sami Fukuyama dari tempat tersorok di tepi dewan dengan suara perlahan namun keras dan masih boleh didengari Ryouji.

 

Ryouji menoleh. Sami Fukuyama agak terperanjat melihatkan topeng Ryouji yang menyerupai topeng kabuki dengan corak seperti api yang marak berwarna merah melingkar menghiasi kedua-dua belah pipi topeng. Topeng itu menjadikan pemakainya terserlah lebih garang dan pada masa yang sama, misteri.

 

“Ya, Fukuyama-san.”

 

E to, engkau yang menampal poster-poster di pekan bukan?” Sami Fukuyama menyoal langsung.

 

Ryouji serba salah. Sudahlah sami ini telah tahu wajahnya, kini dia tahu pula dialah yang menampalnya.

 

“Ya...” Jawab Ryouji dalam serba salah, perlahan nadanya.

 

Tasukatta! Ne, orang muda. Aku juga perlukan bantuanmu.” Pinta Sami Fukuyama dengan wajah mengharap.

 

Ryouji agak keberatan kerana dia sudah menerima lima permintaan ketika di dalam dewan tadi, termasuk dari polis Maharaja itu. Namun melihatkan ini adalah kali pertama dia berkecimpung dalam bidang ini, dia harus ‘melabur’ reputasi dahulu. Tidak boleh sekali-kali pamerkan wajah jemu dan letih dan lemah. Ya, andai itu berlaku secara tidak sengaja dek kebiasaan, maka topeng kabuki inilah yang akan menyembunyikannya.

 

“Ya, Fukuyama-san. Ceritakanlah.”

 

Sami Fukuyama melaporkan rincian kes-kes pembunuhan para sami yang melintas Hiei. Dari butiran itu Ryouji menyimpulkan pada sami itu, “Buat pengetahuanmu Fukuyama-san, ia telah dilaporkan kepadaku dalam dewan itu oleh seorang polis yang menyiasat kes itu. Usah kau risau Fukuyama-san, aku akan selesaikannya. Namun hanya satu kupinta, disebabkan engkau telah melihat wajahku, maka rahsiakanlah identitiku.”

 

“Ya, pasti. Orang muda, boleh kutahu siapa namamu?”

 

Yoru-no-kaze.” Jawab Ryouji ringkas seraya berlalu.

 

Sami tua itu tercengang. Ia tidak berbunyi seperti nama yang normal. Apapun wajahnya telah aku rakam, getus Fukuyama. Di kali lain aku terserempak, aku tahu dialah orangnya, yoru-no-kaze!

 

**

 

“Aku ke Kyoto sebentar, ada urusan mustahak.”

 

Begitulah bunyinya pesan Ryouji yang ditulis pada kertas dan ditinggalkan pada mangkuk makanannya.

 

Hisamiko bergegas ke Kyoto dan mengambil cuti pada hari itu. Pelayan kepada Ryouji sudah melepaskan pekerjaannya berikutan keadaan Ryouji yang sudah kembali pulih dan kerapkali lesap dari rumah itu ketika Hisamiko tiada, menyebabkan dia berfikir tiada gunanya dia berkhidmat di situ jika khidmatnya seolah tidak diperlukan.

 

Sementara itu di pekan Gero, khabar tersebar tentang yoru-no-kaze. Peristiwa di Gozen tempoh hari membantu membenarkan khabar-khabar itu. Sengaja Ryouji membiarkan ramai yang menemuinya di Kuil Gozen kerana inilah yang mahu dicapainya, bahawa kewujudan yoru-no-kaze itu benar dan bukannya penipu.

 

Ada orang awam yang cuba mengaitkan yoru-no-kaze dengan petarung Kogen yang hilang selepas menumpaskan Hamada, iaitu Ryouji, namun dia tidak dapat membuktikannya. Sami Fukuyama yang berjalan-jalan di Gero hanya mendiamkan diri. Dia tidak pasti apakah remaja yang dilihat malam itu dan yang menempah dewan itu Ryouji. Namun dia sudah mengenali wajah sebenar yoru-no-kaze.

 

Bodoh aku tidak mengambil nama orang yang menempah dewan, keluh Fukuyama dalam hati. Aku harus menghentikan tabiat begitu, tabiat yang tertanam kerana selalunya yang menempah dewan itu ialah orang yang aku kenali. Apapun, aku yakin dengan remaja itu di pihak yang benar. Dan aku menunggu buktinya. Andai dia berjaya menangkapnya, akan aku sebarkan bahawa yoru-no-kaze sememangnya di belah kebaikan dan bukanlah dari golongan yang batil.

 

**

 

Hiei ialah sebuah kawasan berhutan dan berbukit-bukau yang terletak di utara Kyoto. Ketika musim luruh, daun-daun di hutan ini bertukar kuning, jingga dan perang dan kirmizi, membentuk sebuah kaleidoskop warna api yang bercampur-campur dan menarik ramai pelancong dari luar Kyoto mahupun dari dalam kota itu ke sini saban tahun. Meskipun terdapat banyak lagi kawasan serupa di seluruh Jepun, pelancong masih ke sini kerana uniknya campuran warna-warni musim luruh di sini berbanding lainnya.

 

Di tengah-tengah Hiei ialah laluan pedagang yang mahu terus menuju ke kawasan Hokuriku dari Osaka, Kyoto atau mana-mana kota di Dataran Kansai. Laluan pedagang ini ada yang melintas kawasan berpanorama yang menjadi tumpuan pelancong. Maka ia tidaklah terlalu sunyi. Namun pelaku onar sememangnya bijak mencari peluang. Mereka akan menunggu sehingga para pelancong beredar sebelum memulakan onarnya, sebagai contoh, ketika hari sudah senja.

 

Sekumpulan sami Buddha dari Kuil Enryakuji di puncak Gunung Hiei telah merentas hutan ini dan menyusur sepanjang tepi tasik air tawar yang dipanggil Biwa untuk ke utara menuju Kanazawa dan Ishikawa. Bersama mereka ialah seorang pedagang sutera yang menggalas sutera itu dalam buntil kain di belakangnya.

 

Namun malang tidak berbau, perompak tunggal menyerang mereka tiba-tiba ketika hari jatuh senja. Mereka berpecah. Namun seorang demi seorang dibunuh di serata hutan itu dalam kegelapan senja dan malam yang kunjung tiba.

 

Seorang demi seorang mayat sami ditemui pemburu dan dilaporkan kepada polis. Ketika polis cuba menjejaki pembunuh tersebut, tiga dari anggota mereka turut terbunuh, juga dalam waktu senja. Motif perlakuan kejam pembunuh misteri ini masih bertandatanya. Sutera pedagang dirampasnya, namun pedagang itu ditemui selamat di tempat persembunyiannya. Namun jika dia hanya mahukan sutera, mengapa kesemua sami dibunuhnya? Mengapa sami yang melarikan diri dikejar dan dicari, dan dibunuh?

 

Polis menyoalsiasat pedagang sutera tersebut jika dia ada bersekongkol dengan Pembunuh Senja (tasogare-no-hitokiri) – gelaran yang diberikan polis kepada pembunuh itu. Namun pedagang sutera itu menafikan sekeras-kerasnya. Bahkan dia menegaskan barangannya turut dilarikan. Polis menekan pedagang itu bagaimana dia boleh selamat sedang semua sami yang bersamanya dibunuh meskipun telah melarikan diri dan bersembunyi. Pedagang itu tidak pasti, mungkin nasibnya baik. Pedagang itu masih dalam tahanan polis. Pada polis, pedagang itu masih mencurigakan. Dia mungkin hanya ditugaskan bosnya sebagai penghantar sutera itu sahaja, namun telah bersekongkol melarikan sutera itu dengan pembunuh itu. Para sami itu pula adalah souhei (sami petarung) yang diupah bos kepada pedagang, namun tidak mampu menewaskan pembunuh itu.

 

Ryouji dengan bertopeng kabuki sampai di lokasi tempat mayat-mayat sami ditemui selepas menambat kudanya pada sebatang pokok sugi. Kasukabe mengiringinya bersama dua orang lagi anggota polis lain. Kasukabe sebenarnya tidak mahu mengikut Ryouji, namun dia terpaksa kerana perlu memberitahu lokasi mayat ditemui dan mendedahkan dapatan penyiasatannya kepada Ryouji.

 

“Aku tidak faham. Tidak mungkin mereka sami petarung. Lihatlah, jarak mayat-mayat mereka ditemui amat jauh dari satu sama lain, dan juga jauh dari laluan asal mereka. Ini bermakna mereka tak bersedia bertarung, lantas melarikan diri.” Ryouji memberikan pandangannya selepas dibawa ke dalam hutan itu. Hari sudah petang dan redup sedikit.

 

“Namun berdasarkan rekod dan pengecaman wajah, mereka sami petarung dari Kuil Enryakuji berhampiran.” Maklum Kasukabe. Ryouji tidak memberikan sebarang reaksi namun dia menerima pernyataan itu tanpa soal dan berhenti sejenak menghadamnya.

 

“Engkau yakin pembunuh itu berseorangan?” Soal Ryouji.

 

“Menurut pedagang itu yang memerhati, ya. Juga, dapatan dari cara mangsa-mangsa dibunuh. Mereka ditikam di dada, saiz tikaman dan kedalaman sama.”

 

“Mungkin mereka sami petarung namun mengetahui sang pembunuh itu amat mahir dalam pertarungan lebih dari tahap mereka, mereka berubah fikiran.” Cadang Ryouji.

 

“Jadi, maksudmu, mungkin suspek itu amat dikenali dengan reputasi tinggi di hutan ini? “Pembunuh Senja yang Tidak Tertewaskan” contohnya? Reputasi yang tinggi seperti Miyamoto Musashi?”

 

“Salah satu kemungkinannya. Atau mungkin dikenali dalam kalangan sami itu secara peribadi di Enryakuji? Mungkin bekas rakan mereka?” Ryouji menambah cadangan kemungkinan. Kasukabe hanya mengangguk, jari menggaru-garu dagu seolah sedang berfikir dengan dalam sekali akan suntikan-suntikan idea bernas dari Ryouji, namun mungkin juga dia hanya berpura-pura berfikir kerana sememangnya kerja-kerja berfikir itu selama ini diserahkan kepada anak buahnya.

 

“Bagaimana mungkin kita mendapatkan kesaksian dari para sami itu sedangkan semua mangsa pun dah mati?” Soal Ryouji lagi. Dia menyambung dengan soalan lain memikirkan hanya satu kemungkinan yang paling logik, “Engkau sudah siasat betul-betul siapa pedagang itu? Apa latar belakangnya?”

 

“Jadi maksudmu, pedagang itu mungkin juga dikenali sami?”

 

“Boleh jadilah. Sebab ada mungkin bosnya mengupah sami-sami itu kerana mengenali mereka. Setahuku jarang sami petarung diupah mengawal barang dagangan. Selalunya ronin atau pengawal biasa sahaja yang melakukannya. Sami petarung selalunya hanya bertugas mengawal kuil.” Hujah Ryouji.

 

Ryouji menyambung, “Namun mengupah sami petarung? Pastinya sami-sami ini sudah dikenali lama oleh bos pedagang itu sebab itu mereka sanggup. Lagipun dengan keadaan bergolak sekarang, berapa kerat pelancong datang ke kuil? Pendapatan para sami pasti berkurang, penginapan di kuil pasti kurang pelanggan, dan mereka pastinya sanggup menerima upah begini.”

 

“Logik bukan pendapatku?” Tebak Ryouji. “Bahkan, mengupah sami lebih selamat, kerana para perompak sutera biasanya tidak akan menyerang sami kerana mereka akan menyangka para sami itu dalam rombongan spiritual dan menghormati mereka.”

 

“Betul juga katamu.” Kasukabe bersetuju, dalam hatinya teruja bagaimana Ryouji boleh memberikan pendapatnya. Seolah remaja ini pernah menyiasat sebelum ini, getus Kasukabe.

 

Ryouji mengeluh dalam hati, kerana sepatutnya soalan itu disoal oleh polis kepada pedagang tersebut dan sepatutnya difikirkan polis itu. Pada fikirannya, Ryouji hanya akan membantu menangkap suspek yang sudah lengkap bukti kesalahannya, sudah cukup syaknya meski belum dapat dibuktikan kesalahannya – yang mana pembuktian dan pengmuktamadan hukuman itu adalah kerja mahkamah. Zaman ini zaman pendekar berpedang, menangkap mereka yang mahir berpedang amat sukar. Selaku manusia paling mahir dalam berpedang dan pernah bekerja di Kogen menangkap pelaku onar dalam Kogen sendiri, maka Ryouji bercadang menyelesaikan masalah inilah.

 

Namun kini dia turut melakukan kerja-kerja detektif pula, bahkan berfikir untuk mereka. Sedang di Kogen dahulu pun, hanya nazir yang melakukannya, dan kemudian barulah dia dan Ayame akan dipanggil untuk menangkap mereka. Namun memikirkan bahawa pasukan polis masih muda di negara ini, dan masih bertatih dalam meraih pengalaman menyiasat, Ryouji tidak terlalu ambil pusing. Namun jika ia dilakukan terlalu kerap, lambat-laun Ryouji bimbang dia akan diletihkan dengan perkara ini jua.

 

“Namun apa motifnya semua sami dibunuh? Bahkan pembunuh itu mengejar mereka yang bersembunyi!” Kasukabe mengutarakan kemusykilan selepas mengambil masa menghadam hujah-hujah Ryouji tadi.

 

“Demi menghapuskan saksi? Aku tak tahu. Ada seribu satu sebab yang kalian perlu saring dan rungkaikan, itulah tugas kalian. Tugas aku ialah menangkap suspek, sang Pembunuh Senja itu. Selepas itu kalian bolehlah tanya dia. Jadi, aku nak tahu bila dan di mana dia paling mungkin akan keluar.”

 

“Di waktu senja di sepanjang jalan pedagang. Aku fikir berhampiran kawasan Kuil Enryakuji juga.”

 

“Engkau ada rupa wajah dan pakaiannya?”

 

“Tuan Kasukabe! Tuan Kasukabe!” Kedengaran suara seorang lelaki memanggil-manggil Kasukabe dari kejauhan tiba-tiba. Kelihatan seorang polis dalam seragamnya berkuda ke arah mereka.

 

“Tiga mayat lagi ditemui, di laluan menghala ke Wakayama!”

 

Wakayama terletak di selatan Kyoto maka laluan ke sana terletak pada arah bertentangan dengan laluan ke Kanazawa, dari lokasi mereka dalam hutan Hiei ini.

 

“Ada kaujumpa apa-apa persamaan dengan kes di sini?”

 

“Tikaman pada dada. Juga, semua yang mati adalah sami petarung dari kuil di Shiga. Cuma mereka semua juga shugenja (petapa gunung).”

 

“Kita ke sana sekarang!”

 

Hai, Kasukabe-san!”

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov