Hatsuki berbincang dengan Natsuki.
“Ayame ditangkap? Biar betul!” Bisik keras Hatsuki menerjah telinga Natsuki. “Dia anak Koichi, pasti ganjaran besar menanti kita!” Tambahnya lagi. “Namun, jika Chisato di sana juga, aku harus ke sana walau apapun ganjaran lain yang menanti di sini.”
“Tak mustahil Koichi akan menawarkannya disebabkan Ayame anaknya. Namun ini Yokuma, Hatsuki. Ronin di sana tidak sama dengan ronin lain. Mereka ronin yang dipilih khas oleh Empat Celaka.”
“Yalah. Lagipun takkan kita bertiga saja berhadapan dengan ronin-ronin itu. Andai ada sepuluh orang aku akan lebih yakin dengan perancangan Tokui.” Ujar Hatsuki.
“Jadi, kau nak sertai?”
“Memang aku mahu sertai, demi Chisato, dan juga ganjaran Koichi. Namun berdasarkan katamu, tak logik aku pertaruhkan nyawa dan mati katak. Ronin di sana mahir dengan selok-belok hutan itu, kita mungkin akan diperangkap. Jika beramai ke sana, kita boleh berpecah.”
“Jadi kalau kita bertiga sahaja yang ada, engkau tak akan pergi?”
“Aku tetap akan pergi, demi Chisato dan ganjaran Koichi. Namun aku fikir pelan ini tak realistik. Lagi pula Ayame turut ditangkap. Pasti bukan calang-calang ronin itu, seperti katamu.”
“Aku cadang kita bawa Seijurou dan Takajirou. Mereka ahli lelaki Skuad Sakura. Semua ahli Skuad Sakura tahu selok-belok hutan itu kerana mereka pengintip kerap dihantar Ayame mengintai pusat Higashi-no-yane.” Cadang Natsuki.
“Apakah mereka masih di Kogen?” Soal Hatsuki.
“Mereka tidak ke mana-mana. Pangkalan mereka sentiasa di Furukawa.”
“Namun untuk apa-apa tambahan petarung, kita harus minta persetujuan Tokui dahulu.”
“Ya, jadi engkau setuju kita tambah nama kembar Hosokawa?”
“Aku ikut katamu sahaja.”
Tidak lama selepas itu mereka kembali menemui Tokui.
“Sebelum kami bersetuju, apa ganjaran kepada kami sekiranya kami menyertaimu?”
“Apa sahaja yang kalian mahukan. Termasuk kenaikan pangkat di Kogen.”
Mata Hatsuki dan Natsuki membulat, kemudian tersenyum dan memandang satu sama lain, seolah-olah mereka sudah dapat mengagak ganjaran besar itu akan diberikan.
Kembar ini lebih senior dari Tokui dan pernah tinggal di rumah perlindungan Kogen di Shinagawa. Selepas umur mereka mencecah lapan belas tahun, mereka masih tinggal di sana selama empat tahun demi membantu penghuni rumah-rumah perlindungan lain di sekitarnya melaksanakan misi latihan Kogen, sebagaimana mereka pernah membantu Ryouji dan Shinji dahulu.
“Tokui, aku fikir kita bertiga sahaja tidak cukup. Aku sarankan kita cukupkan sepuluh orang.”
“Apa maksudmu?”
“Kita boleh berpecah. Salah seorang akan jadi pengintip. Aku fikir kita tidak akan mampu melawan ronin di sana bertiga. Aku cadangkan kita bawa sekali kembar Hosokawa, Seijurou dan Takajiro.”
“Koichi tidak membenarkan kita mengambil mereka berdua.” Jelas Tokui.
“Apa?”
“Kerana mereka berdua pengawal Furukawa.”
“Oh.”
“Aku sudah kesuntukan masa, kalian. Yokuma pun jauh dari sini. Kita cari sahaja yang dekat.”
“Alangkah baiknya jika Ryouji dan adik perempuannya itu masih di sini...”
“Engkau mengenali Ryouji?” Soal Tokui.
“Siapa tidak kenal Okuhida Ryouji.”
“Maksudku, apakah kalian pernah mengenalinya secara peribadi?”
“Dahulu kami pernah membantu dia melangsaikan misi pertamanya di Hidagawa. Namun sekarang dia sudah jauh melepasi tahap kita. Malangnya, dia telah meninggalkan Kogen demi adiknya.”
“Ah, usah dikesali mereka yang telah pergi.” Nada Tokui sedikit cemburu. “Ayuh.”
“Sebentar, aku tidak akan menyertai jika hanya kita bertiga. Ia sama sahaja seperti misi bunuh diri.” Tegas Hatsuki.
“Hatsuki, engkau berubah fikirankah? Bukankah tadi kaukata...” Soal Natsuki.
“Aku... entahlah.
“Habis, kalian mahu menunggu kembar Hosokawa? Tebusan di Yokuma sekarang menanti masa. Ronin-ronin di sana akan menodai mereka. Hatsuki, Chisato yang engkau dambakan itu di sana engkau tahu?”
“Ya aku tahu.” Sahut Hatsuki perlahan.
“Maka lekaslah!”
**
Selepas dua hari berlalu, tiada pampasan pun tiba dari Kogen. Konoe dan konco-konconya mula mengatur perancangan melakukan onar ke atas pasukan Ayame.
Ayame tidak mampu berbuat apa-apa, tangannya masih terikat. Penghinaan apakah yang akan aku alami ini, getus Ayame. Rakanku akan diperkosa di hadapanku. Lepaskanlah, lepaskanlah ikatan ini.
Raungan Nariko bergema menikam telinga. Nariko...bertahan Nariko. Ayame ditekan rasa bersalah kerana membawa mereka semua ke sini. Mengapa tidak dia batalkan sahaja niatnya menakluk Yokuma. Mengapa dia begitu birah mahu menguasai gunung yang tiada apa-apa selain dari pusat kuasa Hamada ini? Pelbagai rasa sesalan meruntun hatinya.
Sengaja para ronin itu merancang melakukannya di hadapan mereka demi menakutkan dan menghina mereka. Nariko menjerit dan meraung seperti orang histeria, trauma lamanya kembali menyerang.
Ada tawanan wanita lain yang diikat, yang terkencing melihat Nariko ditindih dan ronin mula melurutkan seluarnya. Ayame memejam mata tidak mampu melihat Nariko lagi. Dahulu dia telah memancung kepala perogol Nariko. Itu dahulu waktu tangannya masih bebas menghayun pedang. Namun saat ini tangannya hanya terikat, dan dia hanya mampu memandang.
Apakah begini lemah diriku? Di mana kaminari-no-kaze yang aku banggakan dan dambakan itu? Otou-san, di mana bantuanmu? Argh, aku tidak pernah meminta bantuan dari otou-san. Otou-san apakah engkau telah menerima khabar dari Konoe? Mengapa tidak engkau bantu kami? Apakah engkau masih mengabaikan diriku otou-san? Apakah kerana engkau memarahiku maka engkau mengabaikan kami? Otou-san!
Kaki Nariko yang sudah separuh bogel itu diangkat dan didepangkan. Nariko dimalukan. Mata Nariko memutih ke atas, jeritannya terhenti, mungkin sudah pengsan. Namun itu semua tidak menghalang bangsat-bangsat ini dari meneruskan onar mereka.
Ayame terus memejam mata, tidak sanggup melihat rakannya dinodai di hadapan matanya. Nariko adalah gadis yang pernah diselamatkannya dan dia pernah melihat Nariko berbulan trauma dan kali ini Nariko mengalaminya kembali sehingga jeritannya tidak mampu mengeluarkan suara lagi dan sekarang terhenti, dia pengsan. Ayame memejamkan mata, air matanya mengalir. Barangkali ketika Ayame memejam mata ini Nariko sudah direnggut keperawanannya buat kali kedua dan Ayame tidak mampu memandangnya. Segala perancangannya di sini terkubur begitu sahaja. Selepas ini mungkin rakan-rakannya pula menerima nasib sama, dan mungkin dia akan turut dimangsakan.
Saat itu dirasakan tali yang mengikat tangannya longgar. Dia menoleh dan mendapati Momoyama berada di belakang pokok tempat dia diikat, baru selesai mematuk bahagian terakhir tali yang mengikat tangannya.
Momoyama terbang pantas dan disedari pemanah Konoe.
“Burung tak guna!” Jerit pemanah Konoe seraya melepaskan sebatang. Pengikut Konoe yang hampir menodai Nariko terhenti. Nariko masih lembik di atas tanah, pengsan dengan mata putih ke atas.
Panah pengikut Konoe tidak mengenai Momoyama, namun panah itu mengenai untaian terakhir tali yang mengikat tangan Ayame, dan langsung semuanya terputus. Pantas Ayame mencapai pedangnya dan meluru ke arah Konoe dalam kaminari, menikamnya dan mengangkut Nariko dari situ.
Selepas meletakkan Nariko di satu tempat yang jauh dan tersembunyi, Ayame kembali dengan pantasnya dalam kaminari dan melepaskan semua rakan-rakannya yang diikat, termasuk Chisato dan adik-adiknya. Kala Hotaru turut dilepaskan, mereka bertarung dengan orang-orang Konoe seketika demi membuka jalan melepaskan diri dari kawasan itu.
“Semua ikut Hotaru!” Arah Ayame.
Hotaru dipandu Ayame dengan Berahi Kuasa dari jarak jauh, bergerak dalam separa sedar dan tiba di tempat Nariko dibaringkan.
“Chisato, bawa Chiho dan Chinami ke pusat Yokuma!” Arah Ayame sedang masih bertarung dengan orang-orang Konoe. Chisato mengangguk dalam sasau, seolah turut dirasuk Berahi Kuasa Ayame, dan menarik Chiho dan Chinami ke arah kuda mereka.
“Kejar mereka!” Salah seorang pengikut Konoe mengarahkan yang lainnya mengejar Chisato dan adik-adiknya. Konoe masih rebah di atas tanah menahan sakarat, selepas dadanya ditikam Ayame.
Usai menebarkan orang-orang Konoe dan mereka meminggir, Ayame bergegas ke kudanya dan mengejar Hotaru.
“Bagaimana dengan Nariko, Hotaru?”
“Dia sudah terjaga.” Balas Hotaru.
Nariko sudah dipakaikan kembali seluar hakama-nya dan dibaringkan di atas lantai hutan. Matanya separa terbuka. Ada sisa air mata di sudut mata. Dia merenung langit, wajahnya pucat dan tidak bermaya.
Ayame turun dari kuda, dan bergegas menemui Nariko yang sedang terlentang. Dia duduk di sisi Nariko, tangannya memegang sebelah pipi Nariko.
“Nariko, engkau tak apa-apa? Nariko.” Nariko menoleh pada belah pipinya yang dipegang Ayame, pandangannya kaku kepada Ayame, dia menggeleng-geleng kecil.
Sebelah tangan Ayame memegang sebelah lagi pipi Nariko.
“Nariko, kuatkan semangatmu.” Ujar Ayame sambil merenung mata Nariko. Ramai ahli Skuad Sakura masih berada di sekeliling mereka juga. Ayame memandang Hotaru yang sedang berdiri. Hotaru mengangguk kepala dan mengarahkan semua ahli Skuad Sakura di situ agar meninggalkan Ayame dan Nariko berdua sahaja. Mereka akur dan beredar.
“Nariko, tenung mataku dan usah berkedip.” Pinta Ayame perlahan, separa berbisik sedang tangannya masih memegang pipi Nariko.
Nariko masih diam namun dia mengikut kata-kata Ayame. Matanya yang separa terbuka dibulatkan, dan dia memaku pandangan pada Ayame.
“Nariko, engkau tidak sempat diapa-apakan mereka, mujurlah Momoyama membantuku tadi. Namun bangsat itu telah memalukan engkau!” Suara Ayame dikeraskan pada ayat kedua itu.
“Aku telah kucarkacirkan mereka. Ada yang terbunuh dan ada yang cedera parah. Aku akan pastikan mereka semua dihapuskan dengan bantuanmu.”
Nariko mengangguk.
“Nariko, ingat balik peristiwa dahulu.”
Nariko tercengang.
“Ingat di hari engkau pulang ke rumah selepas menjual kayu api. Ingat Nariko, ibumu yang sakit dibunuh di dalam rumah. Penyangak yang membunuh ibumu telah merebahkan engkau dan kemudian memperkosamu.”
Air mata Nariko mengalir sebaik mendengar ayat kedua dari Ayame.
“Engkau membencinya bukan?”
Nariko mengangguk, sedu-sedan kedengaran.
“Engkau tak mahu ia berulang bukan?”
Nariko mengangguk lagi.
“Engkau tak mahu ia berlaku pada sesiapapun, pada mana-mana wanita bukan?”
Nariko mengangguk lagi.
“Engkau tak mahu melihat lelaki-lelaki ini membunuh ibu yang lain sepertimana mereka membunuh ibumu bukan?”
Nariko lagi mengangguk, sedu dan hingus makin menyesakkan, wajahnya yang cerah naik merah.
“Nariko, mereka serupa seperti bangsat yang menceroboh rumahmu itu, bangsat yang telah aku pancung kepalanya itu.”
Nariko mengangguk buta-buta dalam lemah. Mata masih terpaku pada renungan Ayame.
“Nariko dengar baik-baik.” Ayame menekan kedua belah telapak tangannya pada pipi Nariko.
“Bangkit dari perbaringanmu ini, bangkit dan angkat pedangmu. Bersama-sama aku, kita akan cincang dan hancurlumatkan mereka sehingga tiada seorangpun yang berbaki lagi. Kita sama-sama rejam mereka sehingga ke jurang neraka. Mereka harus mati, Nariko, dengan tangan-tangan kita berdua!”
Ayame perlahan-lahan melepaskan tangannya dari pipi Nariko, namun tenungannya masih dikunci pada mata Nariko yang semakin terbuka luas dan semakin cerah bak mentari terbit dari ufuk. Ayame bangkit dan berdiri, Nariko pula bangkit sendiri dari perbaringan dengan mata masih terkunci pada wajah Ayame. Semua yang memandang kehairanan, seolah Nariko ditarik oleh tali halimunan yang terikat pada kepala Ayame. Nariko yang pengsan tadi seolah dirasuk dibonekakan Ayame, bangkit dengan cergas, pucat di wajahnya memudar dan menghilang, cahaya matahari yang menusuk dari kanopi hutan menyinar dipantul wajah Nariko yang putih.
Ayame berjalan undur, Nariko menurut dengan maju ke hadapan menuju Ayame, perlahan-lahan.
“Nariko, ayuh. Angkat pedangmu.” Ayame menyerahkan pedang Nariko yang masih bersarung dengan sebelah tangannya. Nariko mengambil, dan menarik pedang itu dari sarung dalam sasau.
“Mereka di sini!” Laung sekumpulan lelaki. Mereka orang-orang Konoe yang baru menjejaki semua pengikut Ayame.
“Nariko, serang!” Laung Ayame dengan tangan mengarah kepada kumpulan lelaki itu.
Ayame berdiri jauh dari Nariko dan mengawal Nariko dengan kata-katanya. Nariko bergerak bertarung seolah dirasuk Ayame, dengan pantasnya dalam kaminari. Jika mulut Ayame mengarahkannya melibas pedang, Nariko akan melakukannya. Jika Ayame mengarahkan Nariko terbang, terbanglah dia ke atas pokok. Jika Ayame mengarahkan Nariko mengelak, mengelaklah dia sepantasnya sehingga tergeliat urat saraf penyerangnya. Bagaimana Ayame melakukannya?
Ia jurus kedua kaminari yang dilakukan dari jauh. Nariko menjadi terlalu kuat. Kerana keserasian mereka, maka tenaga tidak dibazirkan ketika jurus kedua. Kerana keserasian itu juga, tenaga dari Ayame dialirkan dengan maksimum kepada Nariko seperti dua sistem dalam resonans, maka ia mampu berlaku dalam apa jua keadaan tidak terhad kepada jurus kedua sahaja. Maka, menurut teori Ayame dan Okuhida Mitsuo dan Takasaki Nakatsu, Nariko mampu naik ke jurus sembilan meskipun dia bukan dari keturunan Shirasaka, oleh bantuan dan Berahi Kuasa Ayame.