Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 39

“Mengapa, bijin?” Soal penjaga tapak di Yozehama itu dengan biadapnya.

 

“Kalian membeli tempat ini namun tiada senjata?” Ayame menyoal. Soalannya disambut ketawa kecil para penjaga tapak itu, namun agak sayup kerana angin dari Laut Jepun bertiup kencang tiba-tiba. Sebaik angin terhenti, mereka sambung menjawab persoalan Ayame.

 

“Kami hanya membeli tapak ini dari Maharaja dalam keadaan kosong.”

 

“Dari Maharaja?”

 

“Asalnya Maharaja membeli dari bapamu Koichi, juga dalam keadaan kosong.”

 

“Ini bererti, bapaku masih memegang semua senjata itu?”

 

“Kami tak pasti. Hanya itu yang kami tahu.”

 

Tidak mungkin senjata itu dijual, getus Ayame. Otou-san pasti tahu berkenaannya.

 

Namun apa gunanya mereka membeli tapak kosong ini? Getus Ayame lagi. Sebentar. Sini dekat dengan jeti ke Pulau Sado. Di sana boleh didaratkan senjata dari Barat juga, yang datang dari Nagasaki mengikut jalan laut Kitamaebune merentas Laut Jepun, dan dari transit di Sado senjata-senjata api itu diangkut dengan sampan-sampan pula ke sini. Mengapa tidak aku terfikirkannya sebelum ini?

 

Ayame mengeluh dalam hati. Bijak engkau bijak, Hamada Yoshinobu!

 

Dia memandang laut, dari jauh berbalam-balam kelibat Pulau Sado dengan jeti di pinggir pantai Yozehama mengunjur ke laut tidak jauh dari situ.

 

Tiba-tiba beberapa batang jarum fukiya ditembak dari arah belukar mengenai pengikut Yoshinobu. Mereka rebah langsung. Sebahagian pembantu Yoshinobu yang terselamat menarik Yoshinobu masuk ke dalam kereta kuda. Ayame menghilang dan tidak lama kemudian mengheret keluar para penembak fukiya itu, semua tiga orang, dari belukar, dengan darah kesan hirisan pedangnya pada perut masing-masing.

 

“Mati Hamada Yoshinobu... pencemar sungai kami...” Gumam salah seorang penembak fukiya yang berjaya diberkas, dalam keadaan nyawa-nyawa ikan selepas dibelah pedang Ayame. Dia kaku sejurus selepas menghabiskan kata.

 

“Mereka pastinya waris Wabak Taun 1865 dulu...Tak sangka masih ada waris yang hidup.” Gumam salah seorang pengikut Yoshinobu.

 

Arigatou...” Ucap salah seorang pengikut Yoshinobu kepada Ayame. “Pantas engkau bertarung. Tidak syak lagi, benarlah engkau Hitokiri Ayame yang digembar-gemburkan itu, anak Shirasaka Koichi yang tidak dihebahkan.”

 

Ayame perlahan-lahan menyimpan jarum yang berjaya ditangkapnya ke dalam saku umanori. Lima batang semuanya, berjaya ditangkap ketika menyasar kepadanya, ketikamana dia menumpaskan tiga orang itu. Ini bermakna, serentak ketika tiga orang itu cuba membunuh pengikut Yoshinobu, ada penyumpit lain yang menyasar kepada Ayame. Ayame tahu, pengikut Yoshinobulah yang cuba membunuhnya tadi. Dia yakin, kerana ia jenis jarum fukiya sama yang menghala ke arahnya beberapa hari lepas.

 

“Aku ingin bertemu Yoshinobu-san.”

 

Lelaki pengikut Yoshinobu itu berkata, “Ayuh ke kereta kuda.”

 

Ayame hanya menyeringai. Dia tahu dia sedang berada di dalam mulut buaya. Bila-bila masa sahaja dia boleh ditikam atau disumpit lagi dari belakang. Pengikut Yoshinobu sedang mengelilinginya, mula lelaki ini, kemudian ada dua tiga orang lagi menyusul kala dia bergerak mendekati kereta kuda Yoshinobu yang berada tidak jauh dari lokasinya. Namun dia harus bertemu Yoshinobu berdepan-depan, ada sesuatu yang mustahak harus dibincangkan sebelum mereka berperang.

 

Bodoh juga aku, datang ke sini seorang diri, getus Ayame dalam hati. Namun aku tidak boleh membawa Hotaru dan lain-lainnya.

 

Sebelum masuk ke dalam kereta kuda yang besar itu, pengikut Yoshinobu yang mengelilinginya berkata, “Serahkan pedangmu.”

 

Ayame tidak membantah, seraya menyerahkan semua senjata dalam pemilikannya. Dia melangkah masuk ke dalam kereta kuda. Kelihatan seorang lelaki gemuk dengan kimono warna hijau sedang melahap buah-buahan.

 

Lelaki itu tidak menghiraukan Ayame, masih dengan asyiknya melahap. Ayame mengeluarkan dari sakunya jarum fukiya yang hampir membunuhnya tadi, dan meletakkannya di atas meja rendah yang memisahkan mereka, di tepi bakul buahan.

 

Yoshinobu memandang jarum-jarum itu, seraya berkata, “Engkau sudah tahu aku mahu membunuhmu, namun engkau masih datang ke sini menadah leher?”

 

“Sejak bila engkau mengekoriku?”

 

“Sejak engkau menyekat senjata akahana yang menuju ke Kobe untuk bapaku.”

 

“Bukankah itu juga manfaat bagimu? Engkau mahukan bapamu mati bukan?”

 

“Ya. Engkau benar. Namun sekarang dia sudah mati. Aku yang berkuasa. Dan aku bimbang engkau bakal menyekat senjata-senjataku pula, bila aku berperang dengan Maharaja nanti.”

 

“Aku dengar engkau mencipta racun baru untuk membunuh semua petarung kaminari.”

 

“Ya. Sampel percubaannya semua dalam jarum-jarum yang kau bawa ini. Ayame-san, setepatnya aku hanya mahu menguji racun baru ini ke atasmu. Jika ia berjaya, maka ia juga pasti berkesan pada pengikutmu juga.”

 

Ayame cuba menimbal balik perancangannya. Soalan-soalan Taketatsu bermain di benak, tentang mengapa dia bersusah-payah mahu menjerumuskan diri ke dalam perang yang akan berlaku. Apakah kerana dia mahu mendapatkan perhatian Maharaja dengan membantu baginda dan seterusnya ganjaran kedudukan dan pangkat dari baginda? Atau sebenarnya dia mahukan seluruh Jepun, mengubah seluruh negara ini agar ia menggunakan Kod Kogen menghukum semua penjenayah, dan dengan itu hukuman bunuh tidak akan dimansuhkan dan bapanya tidak akan mampu melakukannya di peringkat Kogen jika Ayame yang pada waktu itu sudah menjadi Maharaja, menghalangnya?

 

Jika dia mahukan seluruh Jepun, maka dia seharusnya menyertai pihak yang dirasakan akan memenangi perang itu, dan kemudian mencantas rakan seperjuangannya itu dari dalam, perlahan-lahan. Apakah Maharaja akan memenanginya? Jika diambilkira Perang Boshin yang lalu, Maharaja memenanginya. Namun bagaimana? Kedua-dua pihak sama kuat, bersenjata Barat pada ketika itu. Jika diambilkira keadaan sekarang, Yoshinobu dan Maharaja juga setara.

 

“Maaf, Ayame-san. Aku masih belum jelas tujuan engkau mahu bertemuku. Engkau tahu bukan aku orang yang sibuk? Aku tidak ada banyak masa melayan orang sepertimu.” Ujar Yoshinobu seraya mencapai sebiji anggur dan mengunyahnya.

 

Aku datang ke sini untuk menyiasatmu, getus Ayame dalam hati. Sebenarnya itulah tujuannya. Tujuannya ke Yozehama adalah demi melihat kentonmen itu, dan juga bertemu Yoshinobu demi mengesahkan sama ada dia yang menyerang curinya. Jika dia membawa sekali ahli Skuad Sakura, pasti mereka tidak akan bersetuju Ayame memprovokasi Yoshinobu kerana Yoshinobu sememangnya mahu membunuh mereka kerana campurtangan sewaktu peperangan dengan bapanya di Kobe dulu.

 

“Aku datang ke sini untuk membuat tawaran denganmu.”

 

“Apa tawaranmu?”

 

“Kita bersama-sama menentang Maharaja.”

 

**

 

Yoshinobu berhenti mengunyah dan menelan anggur, halkum turun naik sebaik mendengar kata-kata Ayame. Selepas itu dia ketawa terbahak-bahak sehingga terbatuk-batuk dan tersedak.

 

Ayame menahan rasa diperkecilkan, rasa marah yang berputik, dia rasa dipermainkan. Dia menuli telinga dari ketawa yang sungguh menyakitkan hati itu.

 

Ne, Ayame-san. Ulang sekali lagi?”

 

“Kita bersama-sama menentang Maharaja.” Ulang Ayame dengan wajah serius dan mata merenung tajam Yoshinobu. Yoshinobu yang masih mahu ketawa, terhenti dan termangu direnung.

 

“Ayame-san, apa maksudmu? Kalian musuh kami. Sejak zaman datukmu Omi lagi, kalian sering mengganggu operasiku, perniagaanku. Sekarang cucunya sanggup mengotorkan tangan berganding tangan denganku? Lawak apa yang kau cuba buat ini?”

 

“Maharaja tiada harapan untuk menang jika kita berkawal di tengah-tengah Hidagawa dan Nakasendo.”

 

“Jadi, engkau bersetuju bersamaku kerana berfikiran baginda akan kalah? Bagaimana jika aku yang akan kalah? Apakah engkau masih setuju bersamaku?”

 

“Benar. Aku yakin baginda akan tewas. Kita lebih tahu selok-belok pergunungan di sini. Aku dan engkau, kita sama-sama pemastautin Hidagawa dan sekitarnya sejak zaman-berzaman.”

 

“Dasar oportunis!”

 

“Terpulang padamu apa yang kaumahu katakan tentangku. Aku fikir baginda akan tewas di sini. Pergunungan Hidagawa dan Nakasendo adalah kawasan yang terpencil dan berhutan, dan berbukit-bukau. Amat sesuai menyerang hendap mereka. Lagipun tentera Maharaja akan dipecahkan separuh ke Kyushu demi menyelesaikan Saisho. Jika kita bersekutu, dengan tenteraku yang tahu kaminari, kita pasti akan dapat menewaskan mereka dengan mudah.”

 

Yoshinobu menggosok-gosok dagunya seolah sedang berfikir dengan menggunakan sepenuh otaknya. “Jadi, apa yang kaumahu dariku sebagai balasan?”

 

“Aku perlukan senjata moden untuk para pengikutku. Sebagai tambahan simpanan demi menambahkan lagi keberkesanan kaminari mereka. Dan oh ya, aku boleh melatih para tenteramu dengan seni kaminari, ia amat membantu jika pertempuran jarak dekat diperlukan dan pengelakan tembakan rambang. Juga jika kita menang perang ini, aku akan serahkan separuh Jepun kepadamu.”

 

“Oh, begitukah? Ayame-san. Aku sudah ada tentera yang tahu kaminari-mu. Ramai bekas samuraiku sempat mewariskan seni itu kepada pengikutku. Ingat Okuhida Mitsuo, rakan bapamu, merangkap pencipta seni itu? Dia samurai kepada bapaku.”

 

“Aku tiada tawaran lain. Nyatakan apa yang kau mahu, aku akan pertimbangkan.”

 

Yoshinobu senyum sinis, memandang sambil menelanjangkan Ayame dari hujung rambut ke hujung kaki dengan pandangan matanya yang bulat dan jojol itu. Ayame menahan diri meski rasa kurang selesa ditenung-tenung dengan ghairahnya oleh Yoshinobu si tua keladi ini.

 

“Aku mahukan engkau. Ayame-chan. Tempat perempuan hanyalah di dapur atau di kamar sahaja. Jika kau menjadi gundikku, aku akan berikan segala-galanya, makan pakai dan tempat tinggal yang mewah. Hanya engkau perlu menjadi gundikku dan bila kita merampas seluruh Jepun ini dari Maharaja, engkau akan kujadikan permaisuriku.”

 

Ayame mahu meludah sebaik mendengarkan permintaan Yoshinobu yang tidak sedar diri itu. Namun dia menahannya seraya berkata, “Baiklah.”

 

Aku akan membunuh lelaki gemuk ini selepas perang ini berakhir, pastinya.

 

Kala matanya menghantar Ayame pergi sehingga kelibat gadis itu hilang di ufuk, Yoshinobu menyeringai. Matahari tidak akan wujud berdua di langit, Ayame-san. Separuh Jepun?

 

Yoshinobu ketawa dalam hati. Separuh Jepun? Apakah pulau Jepun ini boleh dikerat-kerat seperti doh udon?

 

Matahari tidak akan wujud berdua di langit, aku akan pastikan akulah satu-satunya matahari yang menerangi bumi Yamato ini. Sama ada engkau menjadi gundikku, atau aku terpaksa menghapuskanmu, dengan racun itu.

 

“Yoshimura!” Yoshinobu menyeru nama itu.

 

Seketika kemudian muncullah seorang samurai yang memakai yukata longgar menampakkan dada berbidang, tubuhnya tinggi dan tegap, pedang samurai bersisip pada pinggang, rambutnya yang panjang diikat bonjol ke belakang, mukanya bersegi dan kulitnya gelap sedikit, ada bengkung melilit pinggang.

 

“Ya, Yoshinobu-sama.”

 

“Bagaimana dengan sampel terbaru racun itu?”

 

“Racun untuk kaminari itukah?”

 

“Ya, insuransku itu.”

 

“Sudah sembilan puluh peratus selesai disiapkan bekas anak murid Noguchi. Namun Yoshinobu-sama, engkau pastikah racun ini mampu membunuh anak Koichi itu? Aku dengar dia kalis racun, dari bekas ahli Kogen sendiri.”

 

“Aku tidak tahu. Disebabkan itu kita harus mencuba. Tetapi bukan sekarang. Tunggu sehingga selepas perang.”

 

“Mengapa selepas perang?”

 

“Itu bukan urusanmu.”

 

Yoshimura menggaru dagu. Dia tunduk dan beredar.

 

Ayame sesungguhnya telah dipengaruhi Kaisenjyo, dan akan mengubah hala tuju Skuad Sakura dengan bersekutu dengan Yoshinobu. Yoshinobu bersetuju bersekutu dengan Ayame untuk merampas Kogen. Antara isi lain perjanjian mereka, Yoshinobu perlu menghentikan pemerdagangan karayuki. Yoshinobu bersetuju namun dia sebenarnya tidak akan melakukannya. Dia mahu Kogen dihapuskan kerana Kogen tetap ancamannya.

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov