Ia memakan masa sehari juga sebelum aku memutus mengetuai mereka. Abashiri tidak punya anak dan saudara maka tiada sesiapa yang menentang keputusannya menjadikan aku, orang Yamato, ketua mereka. Mungkin juga kerana ramalan Amaguri itu yang mereka taati seperti mentaati agama atau dikri Maharaja, menyelamatkanku dari menjadi tentangan mereka yang tidak berpuas hati – jika ada – dan juga membuatkan mereka sebulat suara menyokong keputusan Abashiri. Aku menjadi raja mereka secara rasmi selepas Abashiri meninggal dunia akibat sakit tua. Aku menyedari tanpa batu pemberian nee-chan itu, sudah pasti aku tidak akan bertahan di sini, sudah pasti aku masih di dalam pelarian. Sungguh engkau berjasa padaku, nee-chan.
Tahun demi tahun, aku membesar menjadi wanita dewasa sedang masih mengetuai mereka. Aku dipandu oleh Komori dalam selok-belok pentadbiran, dan Komorilah yang banyak membentuk jiwa pemimpinku selepas itu, sebagaimana dia pernah menasihati Abashiri. Kemudian Komori pergi selama-lamanya dan aku dibiarkan bersendirian mengemudi mereka. Aku tidak dikahwini kerana mereka menganggapku Tuhan. Bahkan mereka menyembahku. Mereka fikirkan aku jelmaan semangat raya hutan mereka yang mereka panggil Kamui itu.
Aku lewat menyedari akan hakikat kuasa kerana aku hanyalah seorang remaja bawah umur ketikamana tampuk ini disuguh kepadaku. Tetapi pabila mereka mula menyembahku, aku fikir tiada risiko untuk aku melakukan sedikit kekerasan. Mula aku memberanikan diri menjatuhkan hukuman mati ke atas kesalahan membocorkan rahsia kami kepada pengintip Yamato. Pembelot itu dipanah di hadapanku, dengan panah beracun, sebelum ia mati mulutnya mengeluarkan buih putih. Aku menahan trauma di jiwa melihatkan kematian di hadapanku, namun lama-kelamaan aku jadi terbiasa, jiwaku mengeras seperti lahar di kaki Gunung Iwate. Dari setia, mereka jadi takut denganku. Kata-kata dari mulutku adalah undang-undang segera. Namun aku tahu, pabila aku mula mengesan bibit-bibit pemberontakan, aku hapuskan bibit-bibit itu dan aku ringankan hukuman-hukumanku agar mereka tidak marah dan kekal setia dan kekal TAKUT.
Dengan momokan bahawa akulah Kamui Besar, akulah raja, dan akulah yang patut ditakuti, memimpin mereka menjadi mudah. Aku mengekalkan keamanan dan mereka membiak dan bertambah bilangan. Aku latih mereka menjadi tentera sepertimana Yamato. Mereka sudah memiliki teknologi seperti penjinakan kuda dan pemanahan, namun aku tambahbaik senjata mereka dengan besi berkualiti dengan ilmu penempaan besi yang aku raih dari tawanan Yamato kami. Kami menjadi kelompok penakluk, aku mengembangkan empayar kami lebih dari kampung itu. Sempadan aku buka, dan batu nee-chan di atas menara itu aku ambil kembali agar aku dapat melindungi diriku kelak. Kami telah kuat, tiada sesiapa mampu menumpaskan kami dan mereka tidak perlu lagi batu nee-chan itu, maka kampung kami telah kembali terbuka seperti dahulu. Sehinggalah ke satu tahap, di mana keseluruhan utara Honshu ini berada di bawah telapak kakiku dan Maharaja Yamato di Kyoto hanyalah tinggal satu sahaja figura tunggal yang harus aku tumpaskan sebelum seluruh Jepun jatuh ke tanganku.
“Mengapa engkau mengambil kembali batuku itu?” Soal nee-chan kepadaku dalam satu mimpi.
“Ini pemberianmu kepadaku. Aku mahukan ia kembali.”
“Bagaimana dengan kampungmu itu nanti? Bagaimana jika tentera Yamato menyerang mereka?”
“Mereka sudah kuat, mereka tidak akan dapat dikalahkan. Nee-chan, aku mahu menakluk seluruh Jepun.”
“Apakah engkau membunuh orang-orang awam Yamato demi mencapainya?”
“Ya. Itu tidak dapat dielakkan.”
“Nadeshiko! Aku tidak pernah mengajarmu membunuh mereka yang tidak bersalah!”
“Nee-chan, aku hanya membalas dendam. Bukankah dahulu mereka membunuh orang awam Emishi di kampungmu?”
“Engkau Nadeshiko. Apakah kerana darahmu... kerana engkau memang lahir dari bangsa itu...”
“Nee-chan...”
“Nadeshiko, aku mengambilmu dahulu dengan harapan aku dapat mengubahnya, mengubah tanggapanku. Namun sayang, engkau sama sahaja dengan bangsamu. Bangsa penghisap darah, bangsa pembunuh! Dan engkau membawa dan mendidik tabiat pembunuh itu ke dalam bangsaku!”
“Nee-chan, sungguh aku tidak berniat... Nee-chan...”
“Mulai hari ini, roh engkau akan dicampakkan ke sebuah pulau sebagai gadis perang laut (Kaisenjyo). Jasadmu pula akan kekal terbaring di dalam khemahmu, kekal dalam lenamu sekarang sehingga ia mereput sendiri. Engkau akan diberi peluang menempati jasad seorang wanita yang akan datang ke pulau itu. Dan engkau akan sentiasa menghalang mana-mana penceroboh pulau itu dari mendekatinya. Itu tugasmu selaku Kaisenjyo.”
“Nee-chan!!!!!” Aku meraung.
“Dan aku bersumpah, bangsa Yamato akan dihukum dengan ‘dua matahari’ yang akan gugur di tempat asal tamadun mereka dilahirkan, sekiranya mereka kekal dengan kekejaman mereka. Sayonara!”
Kata-kata Amaguri yang terakhir itu bergema, paling tajam dan menikam-nikam telinga dan hatiku. Ia sebuah sumpahan yang menggerunkan. Apa yang nee-chan maksudkan dengan ‘dua matahari’? Dua matahari yang akan digugurkan? Apa maksudmu, nee-chan?
“Nee-chan.... nee-chan!”
Aku melihat batu itu tiba-tiba berada di dalam tanganku, ada cahaya keluar darinya dan memecahkannya kepada tiga bahagian. Ketiga-tiga belah batu itu berhamburan ke udara dan menghilang, tercampak entah ke mana.
Kemudian segalanya jadi gelap. Sedar dari mimpi, aku tiba di sebuah pulau terbaring di atas pasir pantai yang memutih sejauh mana memandang. Angin laut bertiup menghantar bau masin dan hanyir laut.
Aku memegang diriku. Namun hampa, aku tidak berjasad. Tanganku menyentuh pasir pantai yang melapik. Segalanya boleh ditembusi. Aku bahkan boleh terapung dan terbang seperti bulu burung. Aku terapung dan menerawang bahagian atas pulau itu. Ia bergunung-ganang dan ada yang mengeluarkan asap.
Aku tidak lagi maklum akan apa yang berlaku di kampung Emishi itu. Mungkin jasadku di sana masih dalam tidur dalam khemah? Aku tidak tahu. Mungkin jasadku sudah tidak bernyawa, berbau dan akhirnya dikebumikan? Aku tidak tahu. Mungkin bangsa Emishi di sana sudah ditewaskan Yamato? Aku tidak tahu. Segalanya berlaku terlalu pantas, sedang aku di kemuncak kuasa mengembangkan empayar Emishi.
Aku terkurung dan terpenjara di sini. Aku tidak lapar dan tidak makan. Aku hanya terapung dan menunggu sehingga wanita yang dijanjikan nee-chan itu sampai dan aku dapat menakluk tubuhnya. Hanya dengan itu aku akan dapat kembali ke Jepun dan meneruskan agendaku menaklukinya. Hanya dengan berjasad sahaja mereka para pengikutku akan dapat melihatku seperti biasa dan menanggap kewujudanku, dan merasa gerun denganku.
Tamat kisah Yamato Nadeshiko