Home Novel Fantasi Yoru-no-kaze
Bab 57

“Beredar dari sini.” Ujar Hotaru selepas menyerahkan surat itu kepada Chiho. Chiho masih sedang khusyuk membacanya, cuba menghadam patah-patah yang bercalit-calit, cuba menanggap kebenaran dan keaslian surat tersebut. Chisato pula sedang tidur keletihan selepas terjerit terpekik berjam-jam lamanya.

 

Chiho terhenti membaca selepas mendengar Hotaru. Dia mengangkat muka, “Hontou desuka?”

 

“Ya. Beredar ke pulau puak kalian seperti dalam surat itu. Usah kembali ke Jepun lagi. Andai engkau kembali dan Ayame sedang berkuasa di sini, kalian pasti akan dibunuhnya.”

 

Chiho tergamam, antara aneh dan gembira perasaannya berculang-caling.

 

“Beredar!” Hotaru membentak dengan tegasnya.

 

Chiho tersentak. Dia segera merungkaikan tali yang mengikat Chisato. Chiho memanggil kudanya dengan meniup jarinya. Segera seekor kuda tiba ke situ.

 

Chiho mengikat Chisato pada belakang badannya dan beredar. Chisato ada kala terjaga namun kewarasannya sudah termamah dan rompong. Mulutnya hanya mengumat kamit antara nama Chinami dan perkataan-perkataan yang kurang jelas bunyinya. Dia kekal dalam racau sehingga Chiho menaikkannya atas pelana dan berkuda keluar dari situ. Hotaru memandang sayu kelibat mereka sehingga hilang ditelan hutan daun tirus.

 

Semoga kalian selamat tiba di sana, getusnya. Surat itu jaminan kalian akan selamat. Puak Ogasawara yang memiliki surat bercap maharaja itu pasti akan dilindungi orang-orang Maharaja. Kalian selayaknya bukanlah pembelot. Kalian hanyalah mangsa Ayame.

 

**

 

Angin musim panas bertiup sederhana. Chisato bersama kembarnya diarahkan bertahan di atas sebuah bukit yang membenteng belah kiri laluan Nakasendo yang menghala ke Osaka. Ayame bersetuju membebaskan Chiho dan Chinami selepas Chisato merayu-rayu tanpa henti. Atas nasihat Hotaru, Ayame berlembut hati. Namun pelepasan itu dengan syarat. Andai Chiho dan Chinami mengulanginya lagi, mereka akan dihukum bunuh tanpa bicara.

 

Turut bersama mereka ialah ahli Skuad Sakura yang lain. Wajah-wajah mereka seolah berada dalam keadaan khayal, dan pergerakan mereka tersusun namun tidak dengan kerelaan. Ia diatur oleh satu minda, satu kuasa halimunan yang dimiliki seorang wanita, yang merupakan ketua mereka dan penggerak utama mereka ke dalam perang ini. Dialah Ayame-san.

 

Ayame berada di dalam sebuah lubang pada lereng, dan mengatur tenteranya dari situ dengan matanya. Namun tidak semua dapat dikawalnya. Natsuki, Chinami dan Chiho adalah antara yang menyamar seolah mereka sedang dikawalnya. Bukanlah Ayame tidak sedar perkara itu, cuma dia kurang mengingatinya. Dalam ingatan Ayame, entah berapa ramai orang yang pernah dibantunya tidaklah dia ingat kesemua wajah-wajah mereka, atau saat yang paling tepat di mana bantuannya dihulur. Yang diingatnya ialah yang selalu dia dampingi seperti Nariko, Hotaru dan kenalan rapat di Kogen. Dia sendiri tidak pasti apakah dia pernah membantu Chinami, Chiho dan Natsuki. Namun syak Ayame masih ada. Dia memerhati tajam tiga orang itu sejak mula lagi. Lagi-lagi Chinami dan Chiho yang ternyata membelotnya sebelum ini. Dan juga Natsuki. Meski Natsuki sepatutnya dibunuh sahaja kerana dia jelas membelotnya, Ayame tidak melakukannya. Ayame memberinya peluang kedua untuk dia menyumbang kepada perang ini. Semua ini juga atas nasihat Hotaru.

 

Chinami dan Chiho nampak dikesani kuasaku, getus Ayame. Jika mereka benar berlakon, mereka pelakon yang cukup handal. Namun tidak sekali pun aku nampak mereka berlakon. Ada dalam kalangan Skuad Sakura yang pernah aku bantu secara tidak langsung dan dikesani rasukan itu. Mereka yang begitu, memang wujud. Maka tidak mustahil Chinami dan Chiho turut berjaya dikesani kuasaku. Sedang Natsuki, aku masih curiga. Bila masa aku pernah menabur budi pada Natsuki? Aku harus fokus pada Natsuki.

 

Namun mereka bertiga pasti bahawa Ayame tidak pernah membantu mereka, kerana Berahi Kuasanya tidak mampu merasuk mereka, dan Ayame tidak mengetahuinya. Oleh itu, Chinami, Chiho dan Natsuki bebas menyusup dalam tentera Ayame ini. Namun sanggupkah mereka membiarkan para tentera Ayame ini patuh membabibuta dengan arahan Ayame yang kejam itu? Apakah mereka akan membiarkan tentera Ayame menumpahkan darah sewenang-wenangnya? Chinami dan Chiho masih berlakon dirasuk, menurut apa yang dibuat oleh yang lainnya, menyuap peluru ke dalam senjata. Namun ikutan mereka kadangkala kekok, tergelincir dan tersilap. Lantas Ayame menajamkan lagi pemerhatian.

 

“Chinami, hati-hati. Kita diperhatikan Ayame lebih teliti kali ini.”

 

“Aku tahulah.”

 

“Jadi engkau fahamkah pelan kita?”

 

“Faham. Kita akan lakukan jurus kedua pada ketika tentera Maharaja hampir menang ke atas kita. Dengan itu membuktikan yang kita di sebelah Ayame, dan Ayame akan melupakan pembelotan kita sebelum ini.”

 

“Bagus. Macam itulah Chinami.” Chiho seraya menepuk lembut kepala kembarnya, sambil memerhati Ayame dan pantas menarik tangannya kembali. Mujur Ayame sedang memandang ke tempat lain kala itu.

 

Chiho yakin dengan jurus kedua mereka ini mereka mampu mengucarkacirkan tentera Maharaja. Namun bukanlah itu yang dimahukan sebenarnya. Dalam hatinya, dia tidak memihak kepada mana-mana pihak pun, baik Maharaja mahupun Ayame. Dia hanya mahu perang ini berakhir, namun biarlah jurus kedua ini dilakukan ketikamana perang sudah berada di tahap genting, kerana jika ia dilakukan di awal peperangan, nampak sangatlah dia mahu mengkhianati Ayame kerana ada kebarangkalian yang jurus kedua juga akan menebarkan tentera mereka juga, dan Ayame sudah menegah penggunaannya awal-awal lagi. Pabila jurus kedua ini dilakukan di saat genting di mana mereka tiada lagi harapan, maka ia akan nampak seperti seolah mereka melakukan serangan kecemasan dan ia sangat diperlukan dan Ayame akan berfikiran mereka melakukan itu demi tentera mereka dan kematian tentera mereka disebabkan jurus itu boleh dianggap korban berkait (collateral damage). Chiho juga mahu mengaplikasikan jurus itu demi keyakinan dirinya, demi membuktikan yang dia mampu melakukannya dalam situasi perang ini bersama-sama Chinami, selepas bertahun berlatih. Itu juga tujuan sebenar mengapa dahulu dia beriya-iya mahu menyertai Ayame. Namun dia tidak menyangka akan berperang dan perang itu pula bukan lagi menyelamatkan rumah-rumah perlindungan Kogen dari pelaku onar, tetapi menentang Maharaja, sesuatu yang Chiho tidak akan bersetuju sehingga ke akhir hayatnya.

 

Natsuki turut dimaklumkan pelan itu awal-awal oleh Chiho. Mulanya dia tidak bersetuju. Namun itu lebih baik dari mereka yang akan dihukum bunuh Ayame kerana membelotnya terang-terang, berbanding nyawa-nyawa tentera mereka sendiri dan tentera Maharaja sendiri yang mungkin akan terkorban sebagai korban berkait akibat pelan Chiho ini.

 

Sementara itu, ratusan tentera Yoshinobu bertahan di atas bukit sebelah kanan Nakasendo yang menghala ke Osaka.

 

Momoyama terbang senyap ke arah Ayame dan melaporkan dapatannya. Mereka bersiap dengan senjata masing-masing demi menyeranghendap tentera Maharaja. Chinami dan Chiho bersiap-siap dengan senjata api masing-masing juga, sekadar cukup menghindar syak Ayame. Namun kakak mereka hanya menurut seperti boneka, jelas dirasuk Berahi Kuasa. Natsuki di tempat peninjau bersiap dengan senjatanya juga.

 

Ketika kereta-kereta kuda Maharaja masih dalam satu ri (empat kilometer) dari mereka, mereka sudah menyuap peluru pada pistol dan senapang masing-masing dan membidik dari atas bukit. Bunyi detakan kaki kuda dan geseran roda kereta kuda dengan batu kerikil kedengaran satu perlapan ri (lima ratus meter) dari lokasi mereka, dengan bala tentera dua ribu orang di belakang mengekori, bunyi hingar yang bercampur-aduk itu seolah bunyi gemuruh dari avalanche yang dibentuk salji-salji cair ketika musim bunga.

 

Burung jigokutori terbang dari kejauhan, mungkin dari kawasan padang di mana kemudahan memanaskan bebola meriam dipasang, datang menyelubung langit bak awan hitam dan sarat, menggugurkan bebola meriam panas itu ke atas rombongan Maharaja. Bercempera tentera Maharaja memasuki hutan di pinggir laluan Nakasendo. Yang kelecuran dibedil batu itu dan tubuh mereka dilubangi bak lilin yang dicampak ke dalamnya guli panas. Ratapan mereka yang dibedil dan terseksa sungguh mengilukan. Tentera Ayame dan Yoshinobu pula mula menembak mereka yang lari masuk ke dalam hutan konifer, sambil bertahan dari atas bukit.

 

Rupanya dalam salah satu kereta kuda itu, ada mesingan Gatling dan bekalan pelurunya yang berkotak-kotak, dan ia terdedah pabila bumbung kereta itu dibedil bebola meriam yang digugurkan jigokutori. Meletuplah mesingan itu bersama-sama bekalan pelurunya, dan mencederakan tentera Maharaja yang lewat memasuki hutan konifer pada bahu jalan, habis terbakar dan hangus tubuh mereka, ada yang hancur tubuh badan akibat terkena serpihan letupan.

 

Satu kawanan burung jigokutori yang lain menyusul dan menggugurkan lagi bebola meriam yang panas ke atas tentera Maharaja yang masih berbaki di dalam hutan konifer. Ada pokok-pokok sugi yang terbakar, dan bebola turut membakar daun-daun kering di lantai hutan. Bebola yang menghentam tentera di dalam hutan membunuh mereka terus, dan natijahnya sama seperti yang dilihat pada mereka yang berada di atas jalan kerikil Nakasendo itu. Tentera Maharaja kian berkurang kerana sudah melarikan diri dari lokasi serangan. Kedengaran sorakan tentera Yoshinobu dan pasukan Ayame turut sama bersorak.

 

Namun sorakan tidak lama. Sorakan tentera Yoshinobu rencat mendadak, disusuli bunyi letupan demi letupan. Tentera Maharaja yang berundur bergabung dengan tentera tambahan yang datang dari arah belakang, dari dalam hutan sugi tanpa melalui Nakasendo, dan melontar bom dari bawah.

 

Tentera Ayame turut sama diserang dari bawah. Chisato melarikan diri tanpa mempedulikan adik kembarnya, dia masih diselubung Berahi Kuasa Ayame.

 

“Lari, lari!” Jerit Ayame. Tenteranya mengikut dia dan Hotaru. Tentera Maharaja sudah mengepung di bawah bukit, di mana arah larian mereka menghala.

 

Kuso, getus Ayame. Mereka mengepung kami dari bawah. Tidak kusangka mereka turut membawa pasukan simpanan merentas hutan di belakang kami!

 

“Tak guna, kalian penderhaka! Kami akan membalas dendam. Burung kalian akan kami hapuskan!”

 

Sejurus itu kedengaran bunyi mesingan Gatling menembak dari bawah, bertalu-talu ke atas kawanan burung hitam jigokutori yang baru tiba. Burung-burung itu gugur satu persatu bersama bebola meriam yang panas, tiada lagi tentera Maharaja yang ditimpanya kerana semua telah bersembunyi dalam hutan konifer dan sedang menunggu tentera Ayame dan Yoshinobu dari atas bukit masing-masing.

 

“Pucuk dicita, ulam mendatang.” Getus Chiho, sambil tersenyum.

 

“Sekarangkah, Chiho?” Soal Chinami.

 

“Ya. Benar-benar kemahiran kita diperlukan sekarang. Kita ambil jarak ke belakang dahulu. Natsuki.”

 

Natsuki di sebelah mengangguk, seraya menolak orang-orang Ayame ke dalam satu lingkungan yang mana ia akan dikelilingi Chiho dan Chinami. Orang-orang Ayame ditolak mudah kerana mereka sedang dalam keadaan kebodoh-bodohan akibat rasukan Berahi Kuasa Ayame. Sebaik semuanya sudah dalam lingkungan itu, Natsuki turut sama menjerumuskan diri ke dalamnya, dan Chiho dan Chinami berlari mengelilingi mereka, semakin pantas, sehingga mereka semua diangkat oleh taufan puting beliung yang dibina. Tentera Maharaja yang menunggu di bawah bukit tertebar ke gaung dan ke serata hutan, bersama senjata mereka. Ada senjata dan bom mereka terhentak dan ternyala sendiri dan meletup, menambahkan binasa. Dari letupan itu, mereka yang berada di pinggiran luar lingkungan lindungan kuasa Chiho dan Chinami, terkesan dan dibunuhnya. Ia turut melibatkan tentera Ayame sendiri. Ayame yang berada di dalam puting beliung itu bersama pengikutnya, bercampur-baur perasaannya, antara gembira dibantu kembar itu, dan terkilan ada pengikutnya yang mati akibat ribut buatan itu.

 

Sementara Chiho sungguh teruja dapat mempraktikkan kuasa tersebut di medan tempur yang sebenar, mereka terleka. Ada bom yang meletup itu mengenai Chinami, menamatkan ribut serta-merta. Chinami maut sekelip mata.

 

“Chinami!” Jerit Chiho. Semua pengikut Ayame terhempas ke bumi. Ada yang tercedera dan patah-patah tulang, ada yang masih mampu bangkit. Tentera Maharaja sudah lesap sepenuhnya. Sementara di bukit seberang, kedengaran bunyi pertempuran tentera Maharaja dengan pasukan Yoshinobu masih berlangsung. Bangkai burung jigokutori bergelimpangan memenuhi laluan berkerikil Nakasendo. Kereta-kereta kuda dan bangkai-bangkai kuda bergelimpangan di jalan sama, dilubangi bebola meriam yang gugur dari jigokutori. Pokok-pokok konifer terpatah terputus sana-sini, ada yang terbakar hangus, mendedahkan hutan yang sekian lama dilitup kegelapan kepada cerah langit musim panas yang sekarang redup petang.

 

Chiho bergegas ke arah Chinami. Namun Chinami sudah pun kaku dan sejuk, cederanya di dalam, musnahnya di dalam, barangkali ada organ yang sudah dicederakan oleh gelombang kejutan dari letupan itu.

 

Hati Chisato masih berdetak dan bertarung dengan pengaruh Berahi Kuasa Ayame. Chisato sejak awal lagi sangat tidak ingin adik kembarnya terlibat, namun dilemahkan semangat untuk menentang Ayame oleh Berahi Kuasanya. Namun jeritan Chiho menyebut-nyebut nama Chinami itu sungguh dikenalinya, sungguh dirasainya, ia menembus tembok pejal dan kejap binaan Ayame yang menabir kesedarannya, dia lantas bangkit, anak matanya mengecil, dan bergegas ke lokasi punca jeritan itu. Dia menemui Chinami yang kaku yang sudah dipangku Chiho.

 

Hanya raungan Chisato yang bergema memecah kesunyian petang yang dipenuhi bau asap dan mayat di celah hutan tersebut. Kala itu juga, di belah lain Nakasendo, tentera Maharaja dan tentera Yoshinobu sudah pun usai pertempuran. Entah siapa yang memenanginya tidaklah diketahui.

 

**

 

Dipendekkan cerita, selepas pertempuran itu, tentera Ayame dan Yoshinobu melarikan diri dengan berkuda ke bahagian barat Nakasendo. Tentera Maharaja tidak jemu-jemu mengejar mereka. Ada dalam dua ratus orang pasukan Yoshinobu tersesat dan mereka menyimpang dari Nakasendo kerana mengelak tentera Maharaja yang berpecah mengejar mereka dan kemudian terpaksa merentas hutan. Dalam mencari jalan keluar dari hutan itu, mereka sampai di Azumidaira, sebuah perkampungan di celah gunung di tengah Honshu yang ada banyak sawah padi. Namun sawah-sawahnya tidak bertanam. Ini kerana pesawahnya sendiri ada dalam pasukan tentera Maharaja, dan juga tentera Yoshinobu juga. Pesawah ini ada yang direkrut dan dirasuah kedua-dua pihak yang berperang demi menyertai mereka.

 

Tentera-tentera Yoshinobu yang tersesat ini telah bertembung dengan tentera Maharaja yang turut sama tersesat, dan berlakulah pertempuran menggunakan segala macam senjata api moden. Ada mesingan, ada senapang, ada pistol dan ada juga yang masih menggunakan pedang. Juga ada bom yang dilontarkan. Tidak kurang dengan kawanan burung jigokutori yang menggugurkan bebola-bebola panas dari langit dan menghancurkan tentera Maharaja sehingga ada yang bergelimpangan dalam baruh-baruh yang kering tanpa padi. Bagi mereka yang melarikan diri, masih juga berjaya disasar bebola-bebola itu sehingga mayat mereka bergelimpangan di tebing Sungai Azusa di Kamikochi. Meski begitu, tentera Maharaja tetap memenangi pertempuran di Azumidaira kerana kemewahan bekalan senjata mereka, ditambah keberkesanan mesingan Gatling dalam menyapubersih jigokutori yang bermaharajalela di langit biru. Tentera Yoshinobu yang sesat ini terpaksa melarikan diri lagi, lebih jauh, ke barat, sehingga bertemu kembali rakan-rakan mereka di sana.

 

Batang hidung Yoshinobu tidak langsung kelihatan di balik ratusan mayat tenteranya yang gugur di Azumidaira dan Nakasendo. Pastinya dia tidak akan berada di sini, di Azumidaira ini, di sini ialah medan yang sesat. Dia dan sebahagian besar tenteranya sedang berada jauh di barat Nakasendo, berhampiran pergunungan Tateyama dan juga Shirasaka-no-kogen. Ada buah tangan yang diusahakannya bersama para tenteranya demi menyambut ketibaan tentera Maharaja di sini. Sementara itu tentera Ayame juga tiba di kaki banjaran Tateyama, namun di Pintu Timur ke Kogen. Dua pecahan ini berada berhampiran dengan Nakasendo dan menanti untuk mengapit tentera Maharaja yang akan tiba.

 

**

 

Chiho memecut kudanya merentas hutan sugi menuju selatan. Dia tidak melalui Nakasendo, kerana tidak relevan. Lagi pula tentera Maharaja sedang berada di sana. Dia harus melalui Jalan Garam, namun untuk ke sana, dia harus merentas hutan dahulu demi mengelak tentera Maharaja. Dia perlu berkuda sehingga sampai ke Shiojiri, di mana dia akan ke selatan mengikut Jalan Garam sehingga bertemu simpang ke Tokaido. Di Tokaido, dia akan berkuda sehingga sampai ke Wakayama, dan akan mencari mana-mana pelabuhan untuk ke pulau Ogasawara itu.

 

Namun dia tidak punya peta. Dia masih di dalam hutan di Hidagawa ini, masih dalam tiga ri dari kem Ayame.

 

Chiho turun dari kuda dan menyandarkan Chisato pada sebatang pokok. Chisato dalam sasau dengan mata separa terbuka, tiba-tiba menggumam, “Ryouji...”

 

Tangannya yang lemah diangkat, jari dituding ke satu arah, dan dia masih menggumam, “Ryouji...”

 

Chiho menyorot tudingan Chisato, mendapati satu kelibat di kejauhan, semakin dekat semakin jelas wajahnya disinar mentari petang yang mencucuk celah kanopi hutan. Wajah itu pernah dilihatnya, agak dikenalinya. Menyusul di belakang kelibat itu ialah kelibat seorang gadis, dan wajahnya amat dikenalinya.

 

“Okuhida-san, Miko-chan?” Terpacul dari mulut Chiho soalan itu. Hisamiko mengangguk, dan Chiho menerkam dan memeluknya.

 

Chisato merangkak dan menerkam Ryouji pada pehanya. Namun Ryouji tidak menunjukkan rasa gembira mahupun terkejut, dia hanya kekal berdiri kaku. Chisato masih memeluk kakinya.

 

“Engkaukah Miko-chan? Setelah sekian lama...” Chiho memegang kedua-dua belah pipi Hisamiko, air matanya berlinangan. Setelah sekian lama, dua sahabat lama ini kembali bertemu.

 

“Ya, Chiho. Ini akulah. Apa khabarmu? Di mana Chinami?” Soalan pertama Hisamiko keluar menggamit nama Chinami. Di mata Hisamiko atau sesiapapun, Chiho dan Chinami tidak dapat dipisahkan. Sesiapapun yang biasa dengan mereka pasti akan mengingat mereka sebagai satu pasangan. Tidak boleh ada Chiho tanpa Chinami, dan begitulah sebaliknya. Maka, jika hanya ada muncul Chiho di depan mata Hisamiko, rasa janggal akan menjentik benak dan pasti akan ditanya soalan begitu.

 

Chiho hanya diam dan tunduk. Dia mengambil masa meluahkan realitinya, “Dia mati dalam perang kami.”

 

“Perang? Apa yang berlaku, Chiho? Lagi pula, mengapa engkau berada di sini? Bukankah kalian dilarang sewenang-wenangnya keluar dari Kogen?” Bertalu-talu soalan Hisamiko keluar menagih jawapan Chiho.

Previous: Bab 56
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov