Home Novel Cinta Isteriku Romantik
Bab 13

Hanna mencapai sekeping roti gardenia yang disapukan dengan kaya. Kemudian roti itu dilipat dua. Pantas roti itu dibawa ke mulutnya. Perlahan sahaja dia mengunyah roti tersebut.

“Alamak, dah lambat!” Dia mencapai sweater dan memakainya.

Hanna ada temujanji pada jam 10 pagi. Jam di tangan sekarang menunjukkan angka 9.30. Sempat ke dia sampai? Harap-harap jalan tidak sesak. Sempat juga dia mencapai nasi lemak yang sudah dibuatnya khas untuk Halimah.

Dia menutup grill pintu rumahnya. Dia sudah lambat untuk berjumpa dengan seseorang yang sudi menjual kedainya. Dia mahu berniaga sendirian. Kata majikannya, walaupun berhenti dia masih boleh meneruskan sebagai kerja sampingan. Kalau tak, dia yang rugi. Akhirnya Hanna bersetuju.

Hanna ingin fokus pada perniagaan yang bakal dibukanya. Dia harus berhati-hati dengan segala urusan yang melibatkan wang. Dia tidak mahu ditipu atau tertipu.

Selepas mengunci pintu, Hanna berpaling dan terpegun melihat keretanya. Ada sesuatu di atas bonet kereta.

“Apa ni?” Hanna terasa pelik melihat ada bunga di atas keretanya. Dia membuang bunga tersebut di dalam tong sampah tapi menyimpan kad tersebut.

Dia masuk ke dalam kereta. Dengan berhati-hati, dia memandu keluar dari perkarangan rumah sewanya. Hanna memandu laju.

Fokus Hanna terganggu. Sesekali dia menjeling kad yang berbentuk hati itu.

“Jiwang betul la! Dah la bagi aku bunga. Tak tahu ke aku tak suka bunga malah alah pada bunga.” Hanna mengambil kad itu lalu dibukanya.

Saya dah lama suka awak dan saya selalu perhatikan awak - Peminat Misteri

“Peminat misteri?” Dahi Hanna berkerut. Tiba-tiba perasaan takut menyelubungi hatinya. Ada seseorang yang sedang memperhatikan dia

Hanna menuju ke Cafe Secret Recipe. Sebuah kedai kek di dalam kompleks The Mall yang memang terkenal dengan keenakannya. Tambahan pula lelaki yang mahu menjual kedainya merancang temujanji di situ.

“Encik Adi, maaf saya lambat. Jalan sesak dengan kereta.” Ucap maaf dari Hanna tanpa melihat wajah lelaki itu. ‘Memang la jalan sesak dengan kereta. Tak kan sesak dengan orang pula. Aku ni pun...’ Ada senyuman terukir di bibir Hanna.

“Tak apa!” lelaki itu pun baru mendongak memandang Hanna.

“Awak!” serentak suara mereka kedengaran.

“Patutlah rasa lain macam aje.” kata Hanna. Dia tidak menyangka yang dia akan berjumpa dengan lelaki yang tidak berlaku sopan pada dirinya. Tiada kemaafan untukmu, Adi.

“Cik Hanna, maafkan saya mengenai tempoh hari.”

“Lelaki semuanya tidak boleh percaya. Tak apalah. Saya tak jadi nak beli kedai tu.” Hanna sudah bersedia mahu berdiri.

“Nanti dulu. Kita bincang. Tak kan awak nak sia-siakan segala impian awak.” Kata Adi. Hanna pula hanya menjeling tajam pada lelaki itu.

“Saya boleh kurangkan lagi harganya jika awak sudi maafkan saya. Saya juga manusia, nak duit juga. Kiranya saya dah bertolak ansur dengan awak.” Cadang Adi.

Hanna duduk semula. Dia mula berfikir mengenai kata-kata Adi. Impiannya harus dilaksanakan dalam masa terdekat. Dia tidak boleh tangguh lagi. Hanna masih berfikir. Apa yang perlu aku lakukan ini? Hanna buntu.

“Cik Hanna fikirlah. Daripada lima puluh peratus yang saya minta tu, saya kurangkan kepada tiga peratus sahaja keuntungan dari kedai buku itu.” Adi masih cuba memujuk.

“Seperti Cik Hanna tahu yang kedai itu merupakan tempat strategik. Berhampiran kedai itu, ada bank, sekolah, pasaraya dan sebagainya. Ia boleh mewujudkan pelanggan dari pelbagai peringkat umur. Tambahan pula kalau kedai tersebut ditambah dengan jualan alat tulis. Saya yakin yang kedai itu boleh berkembang.” Adi berkata penuh yakin.

Makin ligat Hanna berfikir.

“Kelebihan lain pula ialah kedai itu masih dalam keadaan elok. Cantik. Dan banyak lagi yang masih baru. Ada pekerja yang sudah bekerja 5 tahun di situ dan seorang jujur. Almari juga masih baru-baru dan begitu juga dengan rak buku. Semuanya berkeadaan baik.” Jelas Adi lagi.

“Tandas?” soal Hanna sambil matanya terkebil-kebil.

“Tandas dan ruang dapur juga ada. Cik Hanna juga boleh tinggal di situ kalau mahu. Sebab kemudahan diri, semuanya ada. Termasuklah katil untuk tidur, tandas plus bilik mandi, dapur dan surau. Tempat Cik Hanna buat ibadah pun ada. Mahu meniaga, niaga juga. Sembahyang kamu kena buat.

“Tapi kenapa Encik Adi tidak teruskan sahaja perniagaan tu?” sengaja Hanna bertanya. ‘Bersungguh-sungguh aku beli tapi dia nak jual pula. Nak juga tahu kenapa.’ Bisik hati Hanna.

“Saya terpaksa jual.” Wajah Adi mendung.

“Kenapa?” Hanna rasa simpati. Dia sudah salah faham.

“Sebab saya dah ada kedai yang lebih besar.” Adi tersenyum.

Hanna menjeling tajam arah Adi. ‘Selamba badak mamat ni kelentong aku.’ geram Hanna.

“Ish!” Hanna berdiri tegak.

“Nanti dulu Cik Hanna. Saya gurau je.” Halang Adi. “Duduk dulu Cik Hanna.” Pinta Adi lagi sekali.

Hanna duduk kembali.

“Sebenarnya, saya terpaksa jual sebab saya amat perlukan wang. Ibu saya sakit, dia perlukan rawatan secepat mungkin. Saya orang miskin cik Hanna. Saya kena jual juga kedai ni. Sekurang-kurangnya saya kenal kumpul sedikit lagi duit.” Wajah Adi mendung. Dia teringat ibunya yang terlantar di hospital.

“Boleh percaya ke?” Hanna lebih berhati-hati.

“Kalau Cik Hanna tidak percaya, saya boleh bawa pergi jumpa ibu saya di hospital.” Mata Adi bercahaya. Mengharap segunung harapan.

“Baiklah!” setuju Hanna.

“Ini surat perjanjian.” Pantas Adi mengeluarkan satu dokumen.

“Boleh saya baca syarat-syaratnya dulu?” pinta Hanna.

“Boleh Cik Hanna. Saya setia menanti tanda tangan Cik Hanna.” Adi tersenyum.

Hanna menjeling tajam arah Adi tetapi hanya seketika. Dia membaca surat perjanjian tersebut. Dahinya berkerut-kerut. Matanya terkebil-kebil.

“Nak tanda tangan kat mana?” soal Hanna.

“Kat dada saya boleh tak?” gurau Adi.

Aku rasa mahu tembak sahaja lelaki ini. Hanna cuba bersabar.

“Gurau je. Tanda tangan di sini.” Dengan penuh sopan Adi menunjukkan tempat yang seharusnya Hanna tanda.

Selepas selesai urusan mengenai perjanjian dan segalanya, Hanna bangun dan menuju ke tempat yang tersusun pelbagai kek. Hanna teruja memilih kek kesukaannya.

Aku mahu beli kek sebelum pulanglah. Bisik hati Hanna. Dia tahu yang kek di sini semuanya enak belaka. Harganya juga jauh lebih mahal berbanding di kedai-kedai biasa. Tetapi, keenakannya memang berbaloi dengan harganya.

Hanna sempat menjeling pada Adi yang merenung tajam ke arahnya. Lelaki itu masih duduk di tempat mereka berbincang. Dia tidak ambil peduli itu semua.

Mata Hanna terus meliar memandang kek-kek di dalam cermin kaca yang kesemuanya berhiasan cantik.

“Nak yang mana?” Tiba-tiba Adi muncul di belakang Hanna.

Hanna berpaling ke arah Adi. Dia kaget dengan pertanyaan Adi. Lelaki ini mahu belanja aku kek ke?

“Cik Hanna suka makan yang mana?” tanya Adi lagi.

“Semuanya nampak sedap,” jawab Hanna teragak-agak.

“Jadi, Cik Hanna suka yang mana satu?”

“Encik Adi tanya banyak-banyak ni, kenapa?” Hanna mula tidak berpuas hati.

“Garangnya Cik Hanna.” Adi tersengih.

Hanna tidak mengambil peduli tentang Adi. Aku ada duit, tidak perlu meminta simpatinya. Aku boleh beli sendiri.

Hanna merenung sehiji kek ‘Brownies Chocolate’ yang memang menjadi pilihannya jika ke kedai ini.

“Black Forest sedap tak?” tanya Adi lagi.

“Tak tahu.” Hanna malas mahu melayan Adi. Dia terus menggamit jurujual dan menuding ke arah kek Brownies Chocolate yang menjadi pilihannya. Dia tersenyum di dalam hati. Dapat makan kek, sedapnya!

Hanna melangkah ke kaunter pula. Sebuah plastik kotak kek yang sederhana besar terpegang kemas di tangan Hanna.

“Cik Hanna, tunggulah!” panggil Adi apabila dia sudah keluar dari kedai tersebut.

“Ada apa lagi Encik Adi Putra. Urusan kita semua sudah selesai kan?” Hanna tidak pasti mengapa Adi masih memanggilnya sedangkan urusan mereka semua sudah selesai sebentar tadi. Surat perjanjian pun sudah ditandatangani.

“Kita kan bakal jadi rakan kongsi, jadi tak salah kita berkenalan.” Adi tersenyum.

“Okey tapi saya sibuk lepas ni.” Setuju Hanna tetapi pada masa yang sama menolak untuk mereka bersama.

“Cik Hanna mahu ke mana?”

“Saya mahu ke hospital. Mak saya sakit. So, saya mahu pergi melawat.” Kata Hanna. ‘Tak akan aku nak cakap yang mak aku gila. Nanti dia ingat aku sewel pula.’ Desis hati Hanna.

“Saya teman Cik Hanna. Menziarahi orang yang sakit dapat insafkan orang. Jadi, boleh tak saya teman Cik Hanna?” pandai sungguh Adi menyusun kata-kata.

Hanna terpinga-pinga seketika dengan permintaan Adi.

“Tapi...” Hanna serba salah.

“Tapi apa?”

“Tapi hospital tu agak jauh. Tak payah la Encik Adi.” Tolak Hanna. Dia benar-benar berharap yang Adi tidak degil.

“Tak apa la kalau Cik Hanna tak sudi. Saya pergi dulu. Apa-apa urusan nanti, saya hubungi Cik Hanna ya?” kata Adi mengalah.

Hanna berasa lega dengan kata-kata Adi. Dia terus berlalu pergi. Memang sikapnya nampak seperti kasar tetapi itulah Hanna Hashim.

Hanna memandu penuh berhati-hati supaya dia selamat berjumpa dengan Halimah. Tepat jam 3 petang dia tiba di rumah sakit jiwa tersebut.

Kelihatan ibunya sedang tidur lena walaupun keadaan sekeliling sangat bising dengan pesakit lain. Hanna tersenyum. Perlahan-lahan dia meletak bekas makanan yang dibawa untuk Halimah di atas meja yang berada di tepi katil.

Halimah tersedar.

“Siapa?!” Pantas Halimah membuka mata. Suasana bising di sekelilingnya sikit pun tidak mengganggu tidurnya tetapi sebaik sahaja Hanna meletakkan barang tersebut, Halimah terus terjaga.

“Mak, ini anak mak, Hanna.” Hanna memberitahu Halimah. “Hanna datang lawat mak.”

“Anak? Mana Adam? Dia yang sebenarnya anak aku.” soal Halimah.

Hanna terdiam. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab pertanyaan Halimah.

“Adam ada kem di sekolah.” Bohong Hanna.

“Kem?”

“Yalah. Adam kan baru 12 tahun, dia ada kem ilmu di sekolah. Mak nak makan? Hanna ada bawakan nasi lemak untuk mak. Hari tu mak cakap nak makan nasi lemak.” Hanna dengan pantas mengubah topik perbualan mereka.

“Nasi lemak?” dahi Halimah berkerut. “Nak!” suara Halimah kedengaran gembira.

“Tapi mak, sebelum mak makan, kita mandi ya?” ajak Hanna. Dia diberitahu yang Halimah sudah tiga hari tidak mahu mandi. Kasihan dia melihat wajah tua itu.

“Tapi sejuk...” tolak Halimah. Dia tidak mahu mandi.

“Hanna ada beli syampoo dan sabun mandi yang baru. Wangi tau mak.” Pujuk Hanna bagi menarik minat Halimah.

“Wangi ke?” Halimah bertanya. Dia ingin tahu. Dua botol yang dibawa oleh Hanna di ambilnya. Halimah mencium botol-botol itu. “Wanginya...” pujinya.

“Wangi kan? Hanna tak tipu mak. Jom mak. Hanna tolong mandikan mak.” Ajak Hanna. Halimah hanya mengikut arahan Hanna.

Hanna tersenyum. Mereka ke bilik air yang sudah disediakan. Hanna rasa gembira dapat berbakti pada Halimah. Semasa dia kecil, Halimah yang mandikannya. Kini, dia berpeluang melakukan apa yang Halimah buat untuknya dulu.

Selesai sahaja mandi, Hanna pakaikan baju yang baru. Dia meminta Halimah duduk di atas katil dan dia mengeringkan rambut ibunya dengan tuala.

“Rambut mak cantik.” Puji Hanna. Selepas itu, dia mengambil sikat di dalam beg tangan untuk menyikat rambut ibunya.

Perlahan-lahan dia menyisir rambut Halimah. Kadang-kadang tersekat-sekat apabila dia menyikatnya. Mungkin kerana rambut Halimah terlalu kusut.

Halimah berasa selesa dengan belaian Hanna lalu membiarkan anaknya itu menyisir rambutnya.

Mereka berdua dia seketika.

Apabila Hanna mengikat rambut Halimah dengan kemas, dia tersenyum.

“Jom makan mak.” Ajak Hanna. Dia menghidang nasi lemak yang di minta Halimah minggu lalu.

“Terima kasih mak sebab sudi menerima kehadiran Hanna di sisi mak.” Air mata Hanna mengalir. Dia benar-benar sedih melihat keadaan Halimah.

“Kenapa kau nangis? Janganlah nangis. Mari mak cik dodoikan kau.” Peluk Halimah. Dia menyanyikan lagu yang sering dia nyayikan untuk Hanna suatu masa yang dulu.

Hanna rasa bahagia.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.