Mikail Islam
termenung memandang pantai yang terbentang luas. Dia berjalan seorang diri.
Sendirian membuat dirinya lebih tenang. Dia membiarkan angin sejuk bertiup
lembut mengusap tubuhnya. Pandangan Mikail tiba-tiba tertarik melihat batu-batu
besar yang tidak berapa jauh dari tempat dia berjalan itu.
Dia menuju ke arah batu itu.
Kemudian, dia sengaja merebahkan tubuhnya di atas batu sambil kakinya terjuntai
ke bawah
Mikail berasa sedikit tenang. Pantai
Berirama di Kelantan memang cantik. Walaupun ketika ini tidak ramai orang
tetapi dia senang mendongak memandang awan yang cantik.
Mikail terbangun. Hatinya dipagut
rasa sakit apabila teringat Hanna kini menjadi milik orang lain. Matanya
merenung ombak yang mengganas menghempas pantai.
“YA ALLAH, aku tahu dan aku sedar
apa yang aku buat. Biarlah aku ikut kata hatiku. Kalau betul Hanna ditakdirkan
untukku, pasti suatu hari nanti KAU akan pertemukan aku dengannya. Aku tetap
berharap.” Kata Mikail dengan rasa kecewa.
Dia melepaskan pandangannya ke laut
lagi. Ombak bergulung datang dan pergi mengikut giliran tanpa mungkir. Itukah
kewajipannya? Mikail Islam insaf.
Keindahan alam kadang-kadang membuat
kita membuka minda tentang kekuasaan ALLAH
dalam mencipta sesuatu itu.
Mikail melihat ombak yang mengapung
dan membadai. Entah mengapa perlahan-lahan kakinya berjalan menuju ke laut.
Tiba-tiba perasaan kecewa menyuntik diri. Sudah tiga hari berlalu sejak hari
perkahwinan Hanna.
“Ah... Hanna. Kenapa kau tidak
menyedari aku. Aku adalah cinta yang kau cari selama ini.” Langkah Mikail makin
laju ke laut. Dia tenggelam.
Mikail menahan nafasnya dengan mata
yang terpejam. Tubuhnya dibiarkan terapung di permukaan laut. Ada sedikit
perasaan tenang. Dia berharap dapat berjumpa lagi dengan Hanna walaupun
perempuan itu sudah menjadi milik orang lain.
“Gila ke?” ada satu suara berkata.
Mikail terasa dirinya dipaut oleh
seseorang dan dibawa ke gigi laut. Dalam keadaan sedar itu, dia amat kenali
wajah yang tiba-tiba muncul itu. Tubuh Mikail dirangkul dengan sekuat hati.
Tenaga perempuan memang tidak mampu untuk membantu lelaki.
Pantas Mikail memejamkan semula
matanya apabila perempuan itu memandang ke arahnya. Perempuan itu dudukkan
Mikail di atas pasir sambil merangkul erat tubuh itu.
“Selamat ke Mikail ni?” Hanna
bertanya sendirian. ‘Muka macam tak lemas je. Biar betul ni?’
Perlahan-lahan Mikail membuka
matanya.
“Mikail Islam... Mikail Islam...”
Panggil Hanna. Dia berasa lega melihat Mikail sudah sedar. Mikail pura-pura
batuk. Pasti Hanna sudah tersalah sangka padanya.
“Awak nak mati ke?!” soal Hanna
dengan kasar. Entah mengapa hatinya terasa sakit dengan perbuatan Mikail yang
tidak menghargai nyawa sendiri.
“Siapa yang nak mati?” Soal Mikail
dengan wajah yang penuh dengan keliru. Dia hanya biarkan sahaja rangkulan gadis
itu. Terasa tenang hatinya apabila Hanna memperlakukan dirinya seperti itu.
“Bukan ke awak nak bunuh diri tadi?”
soal Hanna pula. Baru dia sedar yang tangannya sendiri sedang melilit ke tubuh
sasa lelaki itu. Dia baru sedar yang dia telah memeluk Mikail. Segera Hanna
melepaskan rangkulan itu. Akibatnya Mikail jatuh rebah ke tanah pasir.
“Awak dah gila ke? Bunuh diri tu
perbuatan dilaknati Allah.” Jelas Mikail bersahaja. Tanpa sedar, bibir Mikail
mula menguntum senyum. Terasa yang dirinya penting tatkala itu.
“Tadi bukan nak bunuh diri la?” soal
Hanna dengan wajah yang merah menahan malu. ‘Aku dah agak dah. Salah faham ni.’
Entah mengapa tiap kali berhadapan
dengan Mikail, Hanna rasa malu sangat. Memandang wajah Mikail pun dia tidak
sanggup. Hatinya berdebar-debar.
“Hanna, kenapa ni?” muncul pula Adi
bersama jaket. Dia meninggalkan Hanna sendirian kerana mahu mengambil jaket di
kereta. Pantas dia menyarungkan jaket itu di tubuh isterinya.
Mikail juga terperanjat. Dia hampir
lupa. Pasti Hanna bersama Adi. Lelaki itu kan suaminya. Hatinya dipagut rasa
cemburu. Melihat Adi menggenggam tangan Hanna.
“Sayang tak apa-apa?” soal Adi.
“Hanna okey, abang.” Jawab Hanna.
“Mari kita pergi!” ajak Adi. Dia tidak
tahan melihat cara Mikail memandang Hanna bagaikan lelaki itu amat mencintai
Hanna. ‘Hanna milik aku. dan pasti akan jadi milik aku selamanya. Dia tidak
rela lelaki lain memandang Hanna begitu.’
“Mikail, awak jaga diri awak tu. Saya
pergi dulu.” Hanna terus merangkul pinggang suaminya dan berjalan sepanjang
pantai itu.
Mikail hanya mampu melihat kemesraan
Hanna dengan Adi. ‘Aku yakin kau milik aku Hanna.’ bisik hatinya. Dia terus
berbaring melepaskan lelah yang dirasakan amat berat. Biarlah dia berehat
seketika di sini.