Hanna mencapai sekeping roti gardenia yang disapukan dengan kaya. Kemudian
roti itu dilipat dua. Pantas roti itu dibawa ke mulutnya. Perlahan sahaja dia
mengunyah roti tersebut.
“Alamak, dah lambat!” Dia mencapai
sweater dan memakainya.
Hanna ada temujanji pada jam 10
pagi. Jam di tangan sekarang menunjukkan angka 9.30. Sempat ke dia sampai?
Harap-harap jalan tidak sesak. Sempat juga dia mencapai nasi lemak yang sudah
dibuatnya khas untuk Halimah.
Dia menutup grill pintu rumahnya.
Dia sudah lambat untuk berjumpa dengan seseorang yang sudi menjual kedainya.
Dia mahu berniaga sendirian. Kata majikannya, walaupun berhenti dia masih boleh
meneruskan sebagai kerja sampingan. Kalau tak, dia yang rugi. Akhirnya Hanna
bersetuju.
Hanna ingin fokus pada perniagaan
yang bakal dibukanya. Dia harus berhati-hati dengan segala urusan yang
melibatkan wang. Dia tidak mahu ditipu atau tertipu.
Selepas mengunci pintu, Hanna
berpaling dan terpegun melihat keretanya. Ada sesuatu di atas bonet kereta.
“Apa ni?” Hanna terasa pelik melihat
ada bunga di atas keretanya. Dia membuang bunga tersebut di dalam tong sampah
tapi menyimpan kad tersebut.
Dia masuk ke dalam kereta. Dengan
berhati-hati, dia memandu keluar dari perkarangan rumah sewanya. Hanna memandu
laju.
Fokus Hanna terganggu. Sesekali dia
menjeling kad yang berbentuk hati itu.
“Jiwang betul la! Dah la bagi aku
bunga. Tak tahu ke aku tak suka bunga malah alah pada bunga.” Hanna mengambil
kad itu lalu dibukanya.
Saya dah lama suka awak dan saya
selalu perhatikan awak - Peminat Misteri
“Peminat misteri?” Dahi Hanna
berkerut. Tiba-tiba perasaan takut menyelubungi hatinya. Ada seseorang yang
sedang memperhatikan dia
Hanna menuju ke Cafe Secret Recipe.
Sebuah kedai kek di dalam kompleks The Mall yang memang terkenal dengan
keenakannya. Tambahan pula lelaki yang mahu menjual kedainya merancang
temujanji di situ.
“Encik Adi, maaf saya lambat. Jalan
sesak dengan kereta.” Ucap maaf dari Hanna tanpa melihat wajah lelaki itu.
‘Memang la jalan sesak dengan kereta. Tak kan sesak dengan orang pula. Aku ni
pun...’ Ada senyuman terukir di bibir Hanna.
“Tak apa!” lelaki itu pun baru
mendongak memandang Hanna.
“Awak!” serentak suara mereka
kedengaran.
“Patutlah rasa lain macam aje.” kata
Hanna. Dia tidak menyangka yang dia akan berjumpa dengan lelaki yang tidak
berlaku sopan pada dirinya. Tiada kemaafan untukmu, Adi.
“Cik Hanna, maafkan saya mengenai
tempoh hari.”
“Lelaki semuanya tidak boleh
percaya. Tak apalah. Saya tak jadi nak beli kedai tu.” Hanna sudah bersedia
mahu berdiri.
“Nanti dulu. Kita bincang. Tak kan
awak nak sia-siakan segala impian awak.” Kata Adi. Hanna pula hanya menjeling
tajam pada lelaki itu.
“Saya boleh kurangkan lagi harganya
jika awak sudi maafkan saya. Saya juga manusia, nak duit juga. Kiranya saya dah
bertolak ansur dengan awak.” Cadang Adi.
Hanna duduk semula. Dia mula
berfikir mengenai kata-kata Adi. Impiannya harus dilaksanakan dalam masa
terdekat. Dia tidak boleh tangguh lagi. Hanna masih berfikir. Apa yang perlu
aku lakukan ini? Hanna buntu.
“Cik Hanna fikirlah. Daripada lima
puluh peratus yang saya minta tu, saya kurangkan kepada tiga peratus sahaja
keuntungan dari kedai buku itu.” Adi masih cuba memujuk.
“Seperti Cik Hanna tahu yang kedai
itu merupakan tempat strategik. Berhampiran kedai itu, ada bank, sekolah, pasaraya
dan sebagainya. Ia boleh mewujudkan pelanggan dari pelbagai peringkat umur.
Tambahan pula kalau kedai tersebut ditambah dengan jualan alat tulis. Saya
yakin yang kedai itu boleh berkembang.” Adi berkata penuh yakin.
Makin ligat Hanna berfikir.
“Kelebihan lain pula ialah kedai itu
masih dalam keadaan elok. Cantik. Dan banyak lagi yang masih baru. Ada pekerja
yang sudah bekerja 5 tahun di situ dan seorang jujur. Almari juga masih
baru-baru dan begitu juga dengan rak buku. Semuanya berkeadaan baik.” Jelas Adi
lagi.
“Tandas?” soal Hanna sambil matanya
terkebil-kebil.
“Tandas dan ruang dapur juga ada.
Cik Hanna juga boleh tinggal di situ kalau mahu. Sebab kemudahan diri, semuanya
ada. Termasuklah katil untuk tidur, tandas plus bilik mandi, dapur dan surau.
Tempat Cik Hanna buat ibadah pun ada. Mahu meniaga, niaga juga. Sembahyang kamu
kena buat.
“Tapi kenapa Encik Adi tidak
teruskan sahaja perniagaan tu?” sengaja Hanna bertanya. ‘Bersungguh-sungguh aku
beli tapi dia nak jual pula. Nak juga tahu kenapa.’ Bisik hati Hanna.
“Saya terpaksa jual.” Wajah Adi
mendung.
“Kenapa?” Hanna rasa simpati. Dia
sudah salah faham.
“Sebab saya dah ada kedai yang lebih
besar.” Adi tersenyum.
Hanna menjeling tajam arah Adi.
‘Selamba badak mamat ni kelentong aku.’ geram Hanna.
“Ish!” Hanna berdiri tegak.
“Nanti dulu Cik Hanna. Saya gurau
je.” Halang Adi. “Duduk dulu Cik Hanna.” Pinta Adi lagi sekali.
Hanna duduk kembali.
“Sebenarnya, saya terpaksa jual
sebab saya amat perlukan wang. Ibu saya sakit, dia perlukan rawatan secepat
mungkin. Saya orang miskin cik Hanna. Saya kena jual juga kedai ni.
Sekurang-kurangnya saya kenal kumpul sedikit lagi duit.” Wajah Adi mendung. Dia
teringat ibunya yang terlantar di hospital.
“Boleh percaya ke?” Hanna lebih
berhati-hati.
“Kalau Cik Hanna tidak percaya, saya
boleh bawa pergi jumpa ibu saya di hospital.” Mata Adi bercahaya. Mengharap
segunung harapan.
“Baiklah!” setuju Hanna.
“Ini surat perjanjian.” Pantas Adi
mengeluarkan satu dokumen.
“Boleh saya baca syarat-syaratnya
dulu?” pinta Hanna.
“Boleh Cik Hanna. Saya setia menanti
tanda tangan Cik Hanna.” Adi tersenyum.
Hanna menjeling tajam arah Adi
tetapi hanya seketika. Dia membaca surat perjanjian tersebut. Dahinya
berkerut-kerut. Matanya terkebil-kebil.
“Nak tanda tangan kat mana?” soal
Hanna.
“Kat dada saya boleh tak?” gurau
Adi.
Aku rasa mahu tembak sahaja lelaki
ini. Hanna cuba bersabar.
“Gurau je. Tanda tangan di sini.”
Dengan penuh sopan Adi menunjukkan tempat yang seharusnya Hanna tanda.
Selepas selesai urusan mengenai
perjanjian dan segalanya, Hanna bangun dan menuju ke tempat yang tersusun
pelbagai kek. Hanna teruja memilih kek kesukaannya.
Aku mahu beli kek sebelum pulanglah.
Bisik hati Hanna. Dia tahu yang kek di sini semuanya enak belaka. Harganya juga
jauh lebih mahal berbanding di kedai-kedai biasa. Tetapi, keenakannya memang
berbaloi dengan harganya.
Hanna sempat menjeling pada Adi yang
merenung tajam ke arahnya. Lelaki itu masih duduk di tempat mereka berbincang.
Dia tidak ambil peduli itu semua.
Mata Hanna terus meliar memandang
kek-kek di dalam cermin kaca yang kesemuanya berhiasan cantik.
“Nak yang mana?” Tiba-tiba Adi
muncul di belakang Hanna.
Hanna berpaling ke arah Adi. Dia
kaget dengan pertanyaan Adi. Lelaki ini mahu belanja aku kek ke?
“Cik Hanna suka makan yang mana?”
tanya Adi lagi.
“Semuanya nampak sedap,” jawab Hanna
teragak-agak.
“Jadi, Cik Hanna suka yang mana
satu?”
“Encik Adi tanya banyak-banyak ni,
kenapa?” Hanna mula tidak berpuas hati.
“Garangnya Cik Hanna.” Adi
tersengih.
Hanna tidak mengambil peduli tentang
Adi. Aku ada duit, tidak perlu meminta simpatinya. Aku boleh beli sendiri.
Hanna merenung sehiji kek ‘Brownies
Chocolate’ yang memang menjadi pilihannya jika ke kedai ini.
“Black Forest sedap tak?” tanya Adi
lagi.
“Tak tahu.” Hanna malas mahu melayan
Adi. Dia terus menggamit jurujual dan menuding ke arah kek Brownies Chocolate
yang menjadi pilihannya. Dia tersenyum di dalam hati. Dapat makan kek,
sedapnya!
Hanna melangkah ke kaunter pula.
Sebuah plastik kotak kek yang sederhana besar terpegang kemas di tangan Hanna.
“Cik Hanna, tunggulah!” panggil Adi
apabila dia sudah keluar dari kedai tersebut.
“Ada apa lagi Encik Adi Putra.
Urusan kita semua sudah selesai kan?” Hanna tidak pasti mengapa Adi masih
memanggilnya sedangkan urusan mereka semua sudah selesai sebentar tadi. Surat
perjanjian pun sudah ditandatangani.
“Kita kan bakal jadi rakan kongsi,
jadi tak salah kita berkenalan.” Adi tersenyum.
“Okey tapi saya sibuk lepas ni.”
Setuju Hanna tetapi pada masa yang sama menolak untuk mereka bersama.
“Cik Hanna mahu ke mana?”
“Saya mahu ke hospital. Mak saya
sakit. So, saya mahu pergi melawat.” Kata Hanna. ‘Tak akan aku nak cakap yang
mak aku gila. Nanti dia ingat aku sewel pula.’ Desis hati Hanna.
“Saya teman Cik Hanna. Menziarahi
orang yang sakit dapat insafkan orang. Jadi, boleh tak saya teman Cik Hanna?”
pandai sungguh Adi menyusun kata-kata.
Hanna terpinga-pinga seketika dengan
permintaan Adi.
“Tapi...” Hanna serba salah.
“Tapi apa?”
“Tapi hospital tu agak jauh. Tak
payah la Encik Adi.” Tolak Hanna. Dia benar-benar berharap yang Adi tidak
degil.
“Tak apa la kalau Cik Hanna tak
sudi. Saya pergi dulu. Apa-apa urusan nanti, saya hubungi Cik Hanna ya?” kata
Adi mengalah.
Hanna berasa lega dengan kata-kata Adi. Dia terus berlalu
pergi. Memang sikapnya nampak seperti kasar tetapi itulah Hanna Hashim.
Hanna memandu penuh berhati-hati
supaya dia selamat berjumpa dengan Halimah. Tepat jam 3 petang dia tiba di
rumah sakit jiwa tersebut.
Kelihatan ibunya sedang tidur lena
walaupun keadaan sekeliling sangat bising dengan pesakit lain. Hanna tersenyum.
Perlahan-lahan dia meletak bekas makanan yang dibawa untuk Halimah di atas meja
yang berada di tepi katil.
Halimah tersedar.
“Siapa?!” Pantas Halimah membuka
mata. Suasana bising di sekelilingnya sikit pun tidak mengganggu tidurnya
tetapi sebaik sahaja Hanna meletakkan barang tersebut, Halimah terus terjaga.
“Mak, ini anak mak, Hanna.” Hanna
memberitahu Halimah. “Hanna datang lawat mak.”
“Anak? Mana Adam? Dia yang
sebenarnya anak aku.” soal Halimah.
Hanna terdiam. Dia tidak tahu
bagaimana mahu menjawab pertanyaan Halimah.
“Adam ada kem di sekolah.” Bohong
Hanna.
“Kem?”
“Yalah. Adam kan baru 12 tahun, dia
ada kem ilmu di sekolah. Mak nak makan? Hanna ada bawakan nasi lemak untuk mak.
Hari tu mak cakap nak makan nasi lemak.” Hanna dengan pantas mengubah topik
perbualan mereka.
“Nasi lemak?” dahi Halimah berkerut.
“Nak!” suara Halimah kedengaran gembira.
“Tapi mak, sebelum mak makan, kita
mandi ya?” ajak Hanna. Dia diberitahu yang Halimah sudah tiga hari tidak mahu
mandi. Kasihan dia melihat wajah tua itu.
“Tapi sejuk...” tolak Halimah. Dia
tidak mahu mandi.
“Hanna ada beli syampoo dan sabun
mandi yang baru. Wangi tau mak.” Pujuk Hanna bagi menarik minat Halimah.
“Wangi ke?” Halimah bertanya. Dia
ingin tahu. Dua botol yang dibawa oleh Hanna di ambilnya. Halimah mencium
botol-botol itu. “Wanginya...” pujinya.
“Wangi kan? Hanna tak tipu mak. Jom
mak. Hanna tolong mandikan mak.” Ajak Hanna. Halimah hanya mengikut arahan
Hanna.
Hanna tersenyum. Mereka ke bilik air
yang sudah disediakan. Hanna rasa gembira dapat berbakti pada Halimah. Semasa
dia kecil, Halimah yang mandikannya. Kini, dia berpeluang melakukan apa yang
Halimah buat untuknya dulu.
Selesai sahaja mandi, Hanna pakaikan
baju yang baru. Dia meminta Halimah duduk di atas katil dan dia mengeringkan
rambut ibunya dengan tuala.
“Rambut mak cantik.” Puji
Hanna. Selepas itu, dia mengambil
sikat di dalam beg tangan untuk menyikat
rambut ibunya.
Perlahan-lahan dia menyisir rambut
Halimah. Kadang-kadang tersekat-sekat apabila dia menyikatnya. Mungkin kerana
rambut Halimah terlalu kusut.
Halimah berasa selesa dengan belaian
Hanna lalu membiarkan anaknya itu menyisir rambutnya.
Mereka berdua dia seketika.
Apabila Hanna mengikat rambut
Halimah dengan kemas, dia tersenyum.
“Jom makan mak.” Ajak Hanna. Dia
menghidang nasi lemak yang di minta Halimah minggu lalu.
“Terima kasih mak sebab sudi
menerima kehadiran Hanna di sisi mak.” Air mata Hanna mengalir. Dia benar-benar
sedih melihat keadaan Halimah.
“Kenapa kau nangis? Janganlah
nangis. Mari mak cik dodoikan kau.” Peluk Halimah. Dia menyanyikan lagu yang
sering dia nyayikan untuk Hanna suatu masa yang dulu.
Hanna rasa bahagia.