DENGAN
tenang aku memandu Produa Kelisa yang kupinjam dari seorang rakan beberapa
minggu yang lalu. Sesekali, aku mengerling ke sebelah, memandang Shazzy yang
sudah tenggelam dengan dunianya sendiri. Alunan muzik pop yang berkumandang
sedikit-sebanyak menceriakan suasana sepi antara kami.
“Shaz, you fikir apa?” soalku memecah kesunyian. Dia agak terkejut lalu
memandang ke arahku. Kepalanya digeleng perlahan.
“Nothing,”
ujarnya.
“Kenapa dari tadi you diam aja? Ada something
yang distract your mind ke?” soalku
lagi. Dia menggeleng lagi.
“Nothing,
sayang. Cuma, I rasa tak ada benda
nak cakap,” jawabnya. Kedengaran seperti tidak ikhlas dari hatinya. Aku dapat
merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikirannya kini.
“You
rasa janggal bila I drive and you
duduk sebelah, jadi penumpang?” tekaku. Dia memandangku dengan pandangan yang
berkerut.
“No,
it’s not like that actually,” katanya lembut tetapi tegas.
“Cuma I rasa bersalah kat you.
Yalah, before this, I yang selalu
jemput you kalau kita nak ke mana-mana.
But now, dah terbalik. You pulak yang selalu jemput I.” Akhirnya dia mengaku. Aku ketawa
kecil.
“Habis tu, you masih trauma dengan jalanraya. Kaki you tu pun belum pulih sepenuhnya. So, dengan siapa lagi yang boleh you bergantung harap?” aku bersuara.
“Is
that because of me, you sanggup sewa kereta ni dari kawan you tu? Berapa dia charge you?” soalnya.
“Habis tu, kalau I tak sewa kereta ni, macam mana kita
nak attend dinner kelab ni? Takkan
kita nak suruh kawan-kawan lain jemput kita pulak? Susahkan mereka aja. Alah, you jangan risaulah. Tuan punya kereta
ni classmate I dulu. Dia tak charge
pun,” kataku meyakinkannya.
“Hah! Biar betul you ni? Takkan dia tak charge langsung? Yalah, kawan tu kawan
jugak, tapi business tetap business,” ujarnya lagi. Aku mengeluh
berat.
“Betul, dia tak charge pun. Lagipun I
pinjam untuk malam ni aja. Esok I dah
kena pulangkan balik. Sekejap sangat dia kata, so dia tak charge
apa-apalah.”
“Siapa kawan you tu?” soalnya lagi. Aku merengus.
“Mustaqim. Dia buat business sewa kereta. Puas hati
sekarang?” Geram aku dibuatnya. Mujurlah dia terdiam selepas itu. Tidak
menekan-nekanku dengan persoalan itu lagi.
*****
AKU
memakirkan kereta di tempat letak kereta yang telah di sediakan lalu
memandangnya sambil tersenyum.
“Okey, sayang. Kita dah sampai,”
ujarku mengejutkannya. Malam ini, buat pertama kalinya KKM mengadakan majlis
makan malam di Restoran Nelayan sempena meraikan kejayaan mengumpul lebih ramai
ahli baru pada kali ini. Aku menolak pintu kereta. Namun, Shazzy masih membatu
seperti tadi. Aku mengerutkan dahi. Hairan. Lantas kuraih tangannya.
“Shaz,
what’s wrong?” soalku lembut.
“I
seganlah, sayang. Dengan keadaan I
yang macam ni,” ujarnya perlahan. Aku menghelakan nafas berat, bersama ketapan
di bibir.
“Kenapa mesti segan? Bukannya obvious sangat pun. Besides, you dah tak bertongkat sekarang ni. So, what’s the problem?” pujukku.
“Itu yang I takutkan tu. Dahlah cara jalan I masih tak betul. Dah tu tak ada benda nak support. Buatnya I
terjelapuk tiba-tiba nanti macam mana?” Aku ketawa mendengar kata-katanya itu.
“Itu rupanya yang you risaukan? Shaz, I kan
ada? I akan sentiasa bersama dengan you. I
akan support you. I akan pimpin you walau ke mana saja you nak pergi,” tuturku lembut. Dia
memalingkan wajah memandangku.
“Even
kalau I nak ke toilet?” sendanya. Kami ketawa serentak.
“You
ni, ada-ada ajalah. Dah, jomlah. Kita dah lambat ni. Err… you tunggu, I tolong
bukakan pintu tu,” kataku lantas keluar dari perut kereta.
Pantas kuaturkan langkah ke pintu
sebelah sana
lalu membukakan pintu untuknya. Kucuba memimpin lengannya bagi memudahkan
dirinya untuk bangun. Aku memandang dirinya dari atas hingga ke bawah. Cukup
segak dan bergaya dengan kemeja lengan pendek berwarna hitam berserta seluar slack yang sedondon dengan kemejanya.
Dan apa yang paling kugemari, rambutnya yang berceracak dan berkilauan serta
wajahnya yang berkacamata bingkai tebal dan kelihatan trendy itu menambahkan lagi ketampanannya.
Manakala aku pula hanya mengenakan
sehelai blouse hitam beropol ringkas
di tengah berserta sehelai slack yang
berwarna serupa dengan blouse.
Sengaja aku ingin tampil berbeza malam ini, seperti wanita-wanita koprat dan
berprestij. Wajahku turut diberi solekan ringkas. Pantas kurangkul lengannya
erat sebaik pintu kereta ditutup. Dan buat seketika mata kami saling
bertatapan.
“You
look so great, sayang,” pujinya. Aku tersenyum malu. Namun, dalam hati aku
cukup bangga.
“And
you’re so gorgeous,” pujiku pula.
Kami melangkah menuju ke pintu masuk
restoran tersebut. Tiba di dalam, aku terkesima, melihat hiasan dalaman
restoran yang tampak eksklusif itu. Tidak lama kemudian, Farhana dan Abang Dino
datang menerpa ke arah kami.
“Hei, Shaz. Kau apa khabar? Kaki kau
tu dah okey ke?” soal Abang Dino ceria. Tangannya dihulurkan kepada Shazzy
untuk bersalaman.
“Okeylah sikit. Dah boleh gerak
macam biasa. Cuma kekadang tu rasa ngilu kalau banyak sangat bergerak,” jawab
Shazzy sebaik menyambut huluran tangan Abang Dino.
“Wah, sama-sama hitam. Berjanji ke
ni?” usik Farhana. Aku dan Shazzy saling bertatapan sambil tersenyum.
“Tak janji sebenarnya. Tapi, yalah.
Kalau tak sehati sejiwa, bukanlah pasangan kekasih namanya tu,” ujarku. Mereka
bersorak kecil mendengar kata-kataku itu.
“Ah, jemputlah. Ada lagi meja yang kosong,” pelawa Abang
Dino.
“Haa… meja kita orang kat depan sana pun masih ada lagi
tempat kosong,” sampuk Farhana pula.
“Kat meja kau orang, siapa lagi yang
duduk?” soalku.
“Macam biasalah, geng-geng kita.
Abang Que, Abang Reza, Kak Nad, Kak Min, aku, Abang Dino. Kau orang duduklah
satu meja dengan kita orang,” pinta Farhana.
“Fuh, duduk satu meja dengan MT. Seganlah
aku,” ujarku. Farhana mencebik.
“Hoi, cik kak. Tu, cik abang kau kat
sebelah tu macamlah bukan MT. Kau
jangan lupa, si Shazzy ni mantan MT. Dia dulu Naib Presiden untuk kelab kita
ni.” Aku tersenyum kambing mendengar kata-kata Farhana itu. Sekilas aku
memandang Shazzy di sebelah. Dia turut tersenyum sinis.
“Bekas Naib Presiden, Anne… Mana ada
sandang apa-apa jawatan lagi dah,” ucap Shazzy.
“Tapi banyak sumbangan kau untuk
kelab ni walaupun kau dah letak jawatan hari tu,” Abang Dino menyampuk.
“Dahlah… jangan fikir panjang lagi.
Kau duduk aja semeja dengan kita orang,” bebel Farhana lagi.
“Hmm… okeylah,” kataku. Terus kami
mengatur langkah ke arah meja yang dimaksudkan oleh Farhana itu tadi.
Sepanjang perjalanan ke meja
tersebut, tanganku begitu kejap memaut lengan Shazzy. Di kala itu, aku bagaikan
ternampak kelibat seseorang yang begitu asyik memandang ke arah kami. Aku
segera mengerling ke arah satu meja. Memang sah sangkaanku. Begitu tajam sekali
renungan Azhari ke arah aku dan Shazzy. Segera aku menjeling tajam. Malah,
semakin kuat pautan tanganku di lengan Shazzy. Mujurlah Shazzy tidak perasan
dengan situasi itu.
“Hei, Shaz! Apa khabar?” sapa Abang
Reza ramah. Mereka menyambut mesra kedatangan kami. Kami dipelawa duduk. Sebaik
mengambil tempat, aku membiarkan Shazzy berborak dengan Abang Que dan Abang
Reza manakala aku lebih senang melayan Kak Nad dan Kak Min. Meja kami menjadi
semakin riuh dengan kehadiran Farhana dan Abang Dino.
“Uncle
Shah tak sampai lagi ke?” soalku.
“Belum. Alah, biasalah. Dia tu kan penasihat. Kalau dia
datang lewat pun tak apa,” jawab Kak Min selamba.
“Ingatkan dia datang sekali dengan
Abang Que,” kataku. Mereka mencebik. Uncle
Shah, atau nama sebenarnya Shahrul Azran, merupakan penasihat KKM. Selain itu,
beliau juga merupakan bapa saudara kepada Abang Que. Aku dimaklumkan, Uncle Shah dan Abang Que memiliki minat
yang serupa. Maka sebab itulah mereka terlalu rapat. Selain itu, Uncle Shah dulu pernah menjadi pensyarah
UiTM di Fakulti Sains Sukan.
Tidak lama kemudian, Uncle Shah tiba bersama isterinya. Abang
Que telah mempelawanya untuk duduk di meja kami. Aku merasakan sedikit janggal.
Tak sangka dapat duduk semeja dengan Majlis Tertinggi Kelab. Pasti meja kami
menjadi tumpuan kerana terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa atasan. Sebaik Uncle Shah tamat memberi sepatah dua
kata, para hadirin telah dijemput untuk menjamu juadah yang telah terhidang. “Shaz, you tunggu aja di sini, ya. I
ambilkan you makanan,” ujarku kepada
Shazzy. Dia menggeleng.
“Tak apa, kita pergi ambil bersama,”
bantahnya.
“Takkan you nak beratur panjang-panjang macam tu. Nanti kaki you tu sakit. Kan doktor dah pesan, kena banyakkan rehat
kaki tu. Tak boleh berdiri lama-lama. You
duduk aja di sini, ya. I pergi
ambil,” tegasku lalu bangun dari kerusi tersebut. Di saat aku hendak berlalu
pergi, Shazzy menyambar tanganku.
“Sayang, you ambil sekali satu pinggan ajalah. Kita share,” cadangnya. Aku tahu, dia tak mahu menyusahkanku membawa dua
pinggan. Aku mengangguk tanda akur.
Aku melangkah menuju ke arah meja
yang menghidangkan makanan ala-ala buffet
itu. Agak banyak juga jenis lauk yang dihidangkan.
“Hai,” sapa satu suara. Aku
terkesima sebentar lalu menoleh ke belakang sekilas.
“Hai,” jawabku dingin.
“Sorang aja? Si dia tu tak ambil
makanan sekali?” soalnya seolah memerli. Aku hanya membisu. Malas hendak
melayannya.
“Wah, banyaknya makan. Muat ke
tangki perut tu?” dia bersuara lagi. Sinis. Aku merengus geram. Tak habis-habis
nak cari pasal dengan aku.
“Suka hati akulah. Apa, kau susah
ke?” balasku. Suaraku masih dingin seperti tadi. “Amboi, sombongnya!” ujarnya
lagi. Aku diam lagi. Lantaklah dia nak kata aku apa sekalipun. Setelah
mengambil makanan, pantas aku ingin berlalu dari situ.
“Aween,” panggilnya. Secara
automatik, langkahku terhenti. Dengan perlahan aku menoleh ke belakang. Dia
berjalan, menghampiriku.
“Kenapa, Ween? Kenapa begini sekali
layanan kau terhadap aku?” soalnya lembut. Aku menghelakan nafas berat. Terasa
ada getar di bibir ini.
“Kenapa kau masih lagi nak ganggu
hidup aku, Ari? Tak jelas lagi ke apa yang aku katakan hari tu?” giliranku pula
menyoal. Dia mengeluh berat.
“Kenapa kau tak nak beri aku peluang
untuk memperbaiki kesilapan aku, Ween?” dia menyoalku kembali. Lantas aku
memusingkan tubuhku, memandang wajahnya. Aku sendiri tidak pasti di manakah
datangnya kekuatanku ini untuk bertentangan mata dengannya. “Kau ni cakap macam
orang tak matanglah, Ari. Cubalah kau fikir, macam mana aku nak berikan kau
peluang untuk memperbaiki kesilapan kau tu? Semuanya dah terlambat. Peluang apa
lagi yang kau nak?” panjang sekali aku bersuara.
Dan buat seketika mata kami bertaut.
Ah, renungan mata itu. Mata itu masih sama seperti dulu. Malah aku tidak dapat
menafikan yang mata itu masih mampu menggoda perasaanku. Cepat-cepat aku
tersedar, lantas melarikan pandanganku ke arah lain.
“Peluang kau dah tak ada, Ari.
Tempat kau di sini dah ada yang mengganti,” kataku sambil menunjukkan jari ke dadaku.
Dia terdiam tanpa kata. Namun, matanya masih merenungku. Segera aku beredar,
meninggalkannya yang masih terpaku di situ.
Aku kembali ke mejaku membawa
pinggan yang penuh dengan makanan. Shazzy tersenyum melihat aku menatang
pinggan yang sarat itu.
“Wah, banyaknya. Membukit,”
komennya. Aku tersenyum memandangnya.
“Kan untuk kita berdua? Kalau I sorang makan tak larat ni,” jawabku.
Dia ketawa kecil. Kami mulai menjamahnya. Rakan-rakan yang duduk semeja dengan
kami hanya mampu tersengih.
“Wow,
romantiknya. Makan sepinggan. Uncle Shah
dengan Aunty Ruby pun tak makan
sepinggan macam tu, kan
honey?” ucap Uncle Shah, mengusik kami. Tersipu-sipu Aunty Ruby apabila kata-kata itu terucap dari bibir suaminya. Aku
dan Shazzy berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum.
“Ini baru depan mata, uncle. Belakang kita tak tahu apa lagi
yang dia orang share agaknya,” sampuk
Abang Que pula. Aku merenung Abang Que tajam. Shazzy pula sekadar tersengih
lalu mengacukan buku limanya ke arah Abang Que.
Sedang kami enak menjamu selera,
tiba-tiba kami didatangi oleh seseorang. Aku sedikit tersentak apabila seorang
gadis menyapa Shazzy.
“Hai, Shaz,” panggilnya lembut.
Shazzy menoleh.
“Eh! Hai, Tiara. You buat apa kat sini?” soal Shazzy agak
riang. Aku merenung gadis itu seketika. Kulitnya yang agak gelap tetapi manis,
memberikan gambaran kepadaku bahawa dia dan Shazzy ini tentunya ‘sekapal’.
Terdetik sesuatu yang tidak menyenangkan di hatiku. Namun cepat-cepat aku
membuang rasa kurang enak itu.
“I
pun one of the members. Baru lagi. You apa khabar? Hari tu dengar cerita you accident,” ujar gadis itu lembut.
Aku meneruskan suapanku tanpa menghiraukan mereka berbual. “Sayang, kenalkan this is Tiara, kawan lama I. Tiara, ni Azween, my love,” Shazzy memperkenalkan kami.
Aku tersenyum seraya menghulurkan tangan ke arah gadis itu. “Hi, I’m Tiara,” ujarnya sambil menyambut
huluran tanganku.
“Khairul Azween,” ujarku pula.
“Okeylah Shaz, Azween. Enjoy your dinner. I nak ke meja I,” ucapnya dan terus berlalu dari situ. Shazzy terus mengekori
pandangannya ke arah gadis itu tadi. Seketika kemudian, dia menoleh ke arahku
semula. Aku pula berlagak seperti biasa, menjamah makanan yang masih berbaki di
pinggan.
Aku tersandar kekenyangan. Agak banyak juga juadah
yang kami jamah sebentar tadi. Shazzy pula masih leka berborak dengan Abang Que
dan Uncle Shah. Kak Nad dan Kak Min
pula begitu asyik berbual-bual dengan isteri Uncle Shah. Aku tidak berani menyampuk kerana aku tidak begitu
rapat dengan Aunty Ruby.
Sementara itu, kami dihiburkan
dengan persembahan Abang Reza dan Abang Dino. Hatiku cukup terbuai dengan suara
merdu Abang Dino yang menyanyikan lagu bertajuk ‘Ayu’ yang telah dipopularkan
oleh kumpulan V.E dan Ruffedge itu. Sementara Abang Reza pula berperanan
memainkan gitar akustiknya. Seketika aku menyiku Farhana yang hanya terdiam di
sebelahku. Dia tersentak. Aku tersenyum melihat dia menggelabah sebegitu.
“Terpesona dengan suara Abang Dino
ke?” usikku. Dia mencebikkan bibir. Aku ketawa kecil.
Aku terus menghayati lagu yang kian
mendayu itu. Ditambah dengan cahaya suram yang melatari suasana restoran itu.
Dan seketika mataku terpandang akan seraut wajah tidak jauh dari meja kami.
Matanya yang begitu tajam menikam terus merenungku. Aku menjadi kurang selesa.
Seluruh tubuhku menggeletar. Tanpa sedar tangan Shazzy kuraih. Shazzy yang
sedang berbual dengan Abang Que dan Uncle
Shah itu agak tersentak. Wajahnya dipalingkan ke arahku. Aku mengukirkan
segaris senyuman buatnya. Dia yang kelihatan terpinga-pinga turut tersenyum
melihatku. Tanganku turut digenggamnya kemas. Seketika rasa gentar menjadi
sedikit reda dengan sentuhan lembutnya itu.
Sepanjang perjalanan pulang, aku
hanya membisu seribu bahasa. Kubiarkan Shazzy tenang memandu di sebelahku.
Tadi, semasa kami ke tempat letak kereta untuk pulang, Shazzy telah meminta
agar aku memberi keizinan kepadanya untuk memandu. Aku yang pada mulanya agak
berat hati untuk membenarkannya terpaksa akur melihat kesungguhannya.
“Macam mana you boleh kenal Tiara?” soalku memecah kesunyian. Dia memandang
sekilas ke wajahku.
“Neighbour
lama. Sebelum berpindah ke Sungai Penchala,” jawabnya. Aku mengangguk. Namun
dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bercelarunya perasaanku ini.
Rasa takut andainya sejarah lama berulang kembali. Ya ALLAH, jauhilah aku dari
malapetaka yang pernah menimpa diriku dulu. Sesungguhnya aku terlalu menyayangi
Shazzy. Malah, rasa sayangku terhadapnya jauh lebih menebal berbanding dengan
Azhari dulu. Usah biarkan Shazzy berlalu dari hidupku.
*****
SEMINGGU
sebelum tarikh perkhemahan di Air Terjun Jerangkang. Aku serta rakan-rakan yang
bertugas di bawah biro peralatan telah ke premis kelab untuk berbincang tentang
peralatan yang bakal dibawa kelak.
“Menurut Abang Que, bilangan ahli
yang mengikuti perkhemahan kali ni sebanyak tiga puluh tiga orang, tak termasuk
Abang Que dan Abang Reza,” Farhana bermukadimah.
“Aku rasa, khemah kita cukup untuk
tampung tiga puluh dua orang ni. Tapi masalahnya sekarang, peralatan makan
seperti pinggan, mangkuk, sudu dan garpu. Aku dapati banyak yang hilang pada
perkhemahan yang lalu, kat Janda Baik,” terang Farhana lagi. “Macam mana boleh
hilang?” tanya salah seorang dari kami. Farhana menjungkitkan bahu.
“Sama ada kita terbuang sewaktu
operasi kemas-mengemas ke, atau ada antara ahli kita yang terbawak balik ke,
itu aku tak pasti. Yang penting kali ni, kita kena berhati-hati. Especially sewaktu tengah mengemas
ketika nak balik. Pastikan jangan ada yang terbuang. Dan lagi satu, seperti
yang kita maklum, ramai ahli baru yang akan menyertai perkhemahan kali ini.
Pastikan mereka tidak mengambil sebarang peralatan yang dimiliki oleh kelab,”
Farhana meneruskan kata-katanya.
“Aween, aku tugaskan kau untuk
mengira dan mencatat bilangan bagi setiap peralatan yang akan dibawa ke sana sebelum pergi dan
sebelum kita berangkat pulang,” sambungnya lagi. Aku mengangguk sambil mencatat
tugasan yang baru diamanahkan itu di dalam buku catatan
“Sekarang ni, masalah yang kita
hadapi adalah kekurangan sudu, garpu dan cawan plastik. Jadi, aku nak tanya kau
orang semua. Siapa yang nak volunteer
untuk membeli alatan tu? Tentang bajetnya pulak, kita beli dulu barang-barang
tu dan kemudian baru kita boleh claim
dari bendahari kelab.”
Semua berpandangan sesama sendiri.
Akhirnya seorang dari mereka mengangkat tangan. “Saya boleh cari,” kata anak
muda yang baru berusia 18 tahun itu.
“Saya pun boleh. Biar kami berdua
mencari alatan tu bersama,” sampuk salah seorang lagi. Aku dan Farhana
berpandangan sesama sendiri lalu tersenyum. Senang hati kerana mereka sanggup
memberi kerjasama.
“Okey, pastikan awak berdua mencari
barang-barang tersebut selewat-lewatnya hari Jumaat. Sebab hari Ahad kita dah
nak bertolak. Aku kena pastikan segala alat kelengkapan kita mencukupi pada
hari Sabtu. Yang lain-lain seperti khemah, kanvas, alatan rekreasi akan aku
uruskan bersama Aween,” ucap Farhana bagi mengakhiri perbincangan kami.
Setelah selesai perbincangan,
kesemua mereka pun bersurai. Hanya tinggal aku dan Farhana sahaja di dalam
bilik perbincangan itu.
“So,
amacam yang lain tu?” soalku. Farhana mengangguk.
“Setakat ni, peralatan yang lain tu
tak ada masalah. Ubat-ubatan pun masih lagi mencukupi. Cuma lampu gasolin yang
terkurang satu sebab pecah masa camping
kat Janda Baik dulu, kan?”
ujar Farhana.
“Habis tu, nak kena carilah?”
celahku. Farhana menggeleng.
“Masa dah terlalu suntuk. Kalau kita
nak cari sekarang pun, belum tentu dapat. Yalah, mana senang nak dapat benda
antik macam tu. Susah. Kita guna dulu mana
yang ada,” kata Farhana. Aku sekadar mengangguk tanda akur.
“So,
si Shaz tak dapat nak ikutlah camping
kali ni?” soal Farhana setelah lama kami menyepi. Aku mengangguk.
“Hmm… nampaknya begitulah,” jawabku
lemah. Farhana ketawa kecil.
“Kesian kau. Mesti kau rasa sunyi
nanti, kan?
Yalah, yang tersayang tak ikut sama,” usik Farhana. Aku tersenyum simpul.
“Itulah pasal. Mulanya aku pun ingat
nak tarik diri. Dah dia tak bagi. Dia suruh jugak aku ikut.” Farhana
mengerutkan dahi.
“Aik! Dia yang suruh pergi? Aku
ingatkan kau yang berdegil,” ujar Farhana. Aku menggeleng. “Dia yang beria-ia
suruh aku teruskan rancangan. Aku nak kata macam mana lagi. Dah dia bagi lampu
hijau,” kataku pula.
“Baguslah kalau dia benarkan kau
pergi. Manalah tahu, kalau dia tak bagi karang kau merajuk pulak, sebab dia
kongkong kau.”
“Dia bukan jenis mengongkonglah,
Anne. Dia cuma kuat cemburu aja.”
“Yalah, selama ni kan dia sikit punya risau bila kau nak ke
mana-mana tanpa dia bersama. Takut ada orang lain nak sambar kau. Dia jealous.” Farhana ketawa menyakat. Aku
mencebik.
“Dahlah, aku nak balik. Tak
habis-habis nak mengenakan aku. Sekali aku bagi sebiji penumbuk aku ni karang,
baru kau tahu. Kau jangan nak main-main dengan aku. Aku dah belajar kick boxing sekarang ni, tau,” ugutku.
Farhana pula mencebik. Setelah menyimpan segala baranganku ke dalam beg terus
aku keluar dari bilik perbincangan itu.