RASA
bosan yang teramat pada hari itu telah membawa aku terus ke Pertama Complex.
Aku sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba tergerak hatiku ini hendak ke sini. Aku
ke ruang legar kompleks tersebut menuju ke kaunter KKM yang telah membuka
keahlian barunya dua hari lepas. Kelihatan Farhana dan beberapa orang ahli
jawatankuasa kelab sedang bertugas di kaunter tersebut.
“Hei, Aween! Dari mana ni?” sapa
Abang Reza kepadaku.
“Dari rumah. Bosan betul, tu yang ke
sini, nak menyibukkan diri,” ujarku.
“So,
apa macam hari ni? Dapat banyak ahli baru?” soalku lalu melangkah menghampiri
kaunter.
“Hmm… adalah dalam lima belas orang. Tak ramailah hari ni,”
rungut Farhana.
“Alah, relaxlah, Anne. Lima
belas orang kira banyaklah tu. Kaunter pun buka sampai hujung minggu ni, kan? Banyak masa lagi,”
kataku meyakinkannya.
“Whatever.
Janji, cukup hujung minggu ni, at least
seratus tiga puluh orang ahli baru yang mesti join. Itu target Abang
Que,” ujar Farhana lagi. Aku tergelak, teringatkan Presiden Kelab yang hanya dikenali
sebagai Abang Que yang begitu bersemangat untuk mengumpul lebih banyak
ahli-ahli baru kali ini.
Aku mencapai sebuah buku berkulit
tebal yang mencatatkan nama-nama ahli yang baru mendaftar sepanjang kaunter
kelab ini dibuka. Hmm… dari hari pertama sampai ke saat ini, sudah empat puluh orang
ahli baru yang membuat pendaftaran. Bolehlah tahan! Hatiku menggetus.
“Aku rasa, akan sampai target untuk seratus tiga puluh orang
ahli baru tu. Mungkin kita mampu dapat lebih dari tu. Cuba kau tengok, bilangan ahli yang
telah mendaftar sewaktu kita buka kaunter di PKNS Shah Alam minggu lepas. Kat situ
aja kita berjaya meraih tiga puluh empat orang ahli. Campur dengan empat puluh
orang ni, dah tujuh puluh empat orang. Maknanya lagi lima puluh enam orang lagi. Ah, mesti boleh
sampai target tu. Percayalah cakap
aku,” ujarku panjang-lebar, meyakinkan Farhana. Gadis itu hanya mencebir
bersama anggukan.
Namun, pandanganku tiba-tiba
terhenti pada satu nama yang tersenarai. Hampir tersembul biji mataku tatkala
menatap nama yang tercatat itu.
‘Khairul Azhari Bin Ramli’
Biar
betul! Pastikah aku yang ini adalah ‘dia’, atau aku tersilap orang? Mungkin
juga orang lain? Ah, bercelaru fikiranku ini. Pantas kusapa lengan Farhana yang
sedang berkata-kata sesuatu dengan Abang Dino.
“Anne, sini kejap,” lengannya
kutarik.
“Apa dia?” soal Farhana.
“Ni, budak ni. Bila dia daftar? Kau
ingat lagi tak, muka dia macam mana?” soalku sambil menunjuk-nunjukkan kepada
Farhana akan nama itu. Farhana meneliti nama yang tercatat itu sambil
mengerutkan dahi.
“Oh, budak ni. Baru tadi dia daftar.
Wei, handsome gila budak ni! Macam
Shahz Jaszle. Fuh! Bisa angau aku, beb,”
terang Farhana bersungguh. Aku mengerutkan dahi. Cuba membandingkan wajah pelakon
kacak itu dengan wajah Azhari. Seingat aku, tak ada pula persamaan rupa mereka.
Orang lain agaknya? Hatiku berkata.
“Kau tahu, mulanya masa aku promote kat dia pasal kelab ni, dia buat
tak tahu aja. Sombong betul! Tapi aku tak putus asa, aku promote punya promote. Last-last, dia tertarik jugak bila aku
tujukkan gambar-gambar semasa kita beraktiviti kat dalam album ni.” Aku
memandang Farhana lama. Pantas kucapai album yang dimaksudkan Farhana lalu
kutatap gambar-gambar yang terkandung di dalamnya. Tenyata gambar-gambarku
memang ada didalamnya. Banyaknya memang tak terbilang.
“Lepas dia tengok aja gambar-gambar
ni, terus dia keluarkan duit nak bayar deposit. Aku pun hulurkanlah borang
keahlian ni kat dia,” Farhana terus bercerita. Lantas kututup semula album
tersebut dengan perasaan yang sebal. Kalaulah betul orang yang dimaksudkan itu
Khairul Azhari yang pernah kukenali dulu… ah, entahlah. Tak berani aku nak buat
sebarang andaian.
“Dahlah, aku chow dulu,” ujarku dan terus berlalu dari kaunter itu.
“Kau nak ke mana, Ween?” laung
Farhana. Aku menjungkitkan bahu.
“Ikut gerak kakilah,” jawabku.
Aku terus menyusuri sepanjang Jalan
TAR sehinggalah ke Jalan Masjid India.
Kekerapanku berpeleseran di sini menyebabkan aku rasa tiada apa yang menariknya
di sini. Perutku pula sudahpun mulai berokestra, meminta untuk diisi. Baru
kusedar, yang aku tidak menjamah apa-apa sejak dari pagi. Cuma harapkan
sarapanku yang hanya sekeping roti yang disapu mentega dengan sekole milo
panas. Aku hanya membeli satu set makanan yang berupa sebiji croissant, pastri dan secawan cuppuchino dari gerai ‘Kopi Satu’ yang
terletak di luar pusat membeli-belah Semua House. Kemudian aku terus melangkah
di sepanjang kaki lima
kedai-kedai di Jalan TAR tersebut sambil fikiranku ligat berputar, memikirkan
tempat yang sesuai untuk aku berhenti rehat.
Tiba-tiba terlintas di fikiranku
akan satu tempat. Ya, tempat itu agak sesuai. Pantas aku mengaturkan langkah
menuju ke tempat tersebut. Aku menjadi kaku sebaik berdiri di tempat tersebut.
Mataku merenung Kompleks Pernas Sogo yang tersergam di hadapan. Seketika aku
memandang ke bawah. Di sinilah tempatnya dulu, di mana aku mulai mengenali erti
sebuah cinta. Ya, di sini, di tempat aku sedang berdiri ini. Tempat yang pernah menjadi saksi tersimpulnya
ikatan kasih antara aku dengan Azhari suatu ketika dulu.
Ah, kenapa
aku ke sini? Bukankah aku telah berjanji untuk melupakan segala kenangan yang
melukakan itu? Kenapa perlu kuingati semua itu? Bukankah aku kini sedang
diuliti kebahagiaan bersama Shazzy? Kenapa mesti Azhari juga yang kukenangkan?
Sedangkan lelaki itu sudah menjadi sebahagian dari sejarah silamku. Ingin
sahaja aku berlalu dari situ, meninggalkan segala kenangan antara aku dan
Azhari yang mampu membuatkan hatiku terguris lagi. Biarkanlah ia menjadi satu
kesan sejarah dalam hidupku. Namun, atas desakan perutku yang kian rancak
berbunyi ini membuatkan aku berhenti di situ untuk berehat.
Sambil duduk bersantai di kawasan lapang itu, aku
mengeluarkan pastri yang kubeli sebentar tadi lalu menjamahnya. Air cuppuchino yang agak suam-suam itu
kuteguk sedikit. Topi jenama Polo yang kupakai di kepala sedikit melindungi
wajahku dari dipanah sinar mentari yang terik tengahari itu.
“Hai, cik adik. Takkan makan kat tangga aja, kot?
Tempat lain kan
banyak?” Seorang ‘Mat Rock’ yang melalui tempat tersebut menegur tanpa
sedikitpun menoleh ke arahku. Aku mencebik. Ah, biarlah! Suka hati akulah nak
makan kat mana sekalipun. Bukannya aku kacau kau. Yang kau sibuk tu pasal apa!
Hatiku menggerutu. Aku sedar, memang tak manis dipandang orang apabila seorang
gadis sepertiku ini melepak di kaki lima
kompleks membeli-belah sambil makan. Namun, aku tak ambil pusing dengan semua
itu. Biarkanlah apa orang nak kata sekalipun, aku tak hairan. Janji aku tak
kacau orang. Aku ada caraku sendiri. Biarlah slumber macam mana sekalipun, aku cukup bahagia dan gembira dengan
kehidupanku sendiri.
Setelah selesai mengalas perut, aku menggumpal
pembungkus kertas tersebut dan terus bangun dari tempat itu. Aku memaling ke
belakang. Niat di hati hendak singgah ke Sogo sebentar sambil menjamu mata.
Tambahan ketika itu, sedang diadakan jualan murah. Sebaik aku memaling ke
belakang, tubuhku seakan kaku. Seluruh urat-sarafku menggeletar. Jantungku
berdetak hebat. Bagaikan sukar hendak mempercayai akan apa yang kulihat di
hadapan mataku ini. Lidahku menjadi kelu tiba-tiba.
Jejaka itu terus memandangku dari
atas ke bawah. Begitu juga denganku. Dari hujung rambutnya yang berceracak
kasar dan berwarna sedikit keperangan itu, kemudian ke wajahnya yang sudah
ditumbuhi janggut sejemput sehingga melindungi dagunya yang runcing dan
terbelah, susuk tubuhnya yang segak, pakaian yang membaluti tubuhnya serta
kasut yang tersarung di kakinya. Cukup bergaya dengan t-shirt round neck putih yang agak sendat sehingga
menampakkan susuk tubuhnya yang sasa, sepasang jeans biru tua yang agak geloboh ala-ala seluar hip-hop, serta
sepasang sport shoes hitam jenama Nike. Di poket seluar jeansnya tersangkut seutas rantai besi yang mungkin menyambungkan
beg duitnya di dalam poket serta beg sandang yang tersangkut di bahu
belakangnya. Fuh, stylo habis! Pujiku
dalam hati.
Kurenung wajahnya lama dengan
perasaan gentar dan berkecamuk. Ingin memastikan lagi akan kesahihan bahawa
dialah jejaka itu. Benarkah dia? Tetapi mengapa begini jadinya? Penampilannya
kini amat berlainan sekali. Sejak bila pula dia sudah pandai mengubah gayanya?
Dia bukanlah lelaki yang pernah kukenali dulu, jauh sekali jejaka yang kucintai
sepenuh hati. Dia telah banyak berubah. Wajah dan gayanya yang sering
bertandang ke dalam kotak memoriku bukanlah seperti ini. Sememangnya dia sudah
jauh berubah. Penampilan yang ditonjolkannya kini telah menimbusi keseluruh
dirinya yang sebenarnya.
Nafasku kian kencang. Rasa kurang
selesa apabila direnung sebegitu. Bibir masing-masing seakan ingin berkata-kata,
namun kelu.
“Khairul Azween,” ujarnya lembut.
Aku memandangnya bersama kerutan di dahi. Mengapa aku memandangnya begitu, aku
sendiri tidak pasti. Namun apa yang pasti, suaranya masih lagi seperti dulu.
Masih tidak berubah. Bila kuamati, wajahnya yang tenang itu masih lagi sama
seperti dulu walaupun penampilannya sudahpun berubah secara total.
*****
KHAIRUL
AZHARI. Bagaikan sebuah pita rakaman, fikiranku ligat berputar, mengingatkan
kembali kisah silam antara aku dan dia. Di tambah dengan tempat yang kami
berdiri ini, lebih menjelaskan lagi detik-detik indah itu. Kenapa begitu pantas
dan cekap sekali ingatanku ini terkenangkan sejarah silam yang sudah sekian
lama kulupakan itu? Dalam sekelip mata segala-galanya terlayar di minda tanpa
henti.
Mataku terus memandang tepat ke arah
jejaka di hadapanku ini. Ya, dialah insan yang pernah bertakhta di hatiku suatu
masa dahulu. Memang tak silap lagi. Dialah gerangan insan yang amat kusayangi
dan kurindui satu ketika dulu sehingga menjadi igauanku saban malam. Aku sama
sekali tidak pernah terfikir untuk bertemu dengannya semula, walaupun sekadar
terlihat dari jauh. Sesungguhnya telah aku buang insan ini jauh-jauh. Jauh dari
hidupku. Namun siapa sangka, pertemuan ini berlaku juga. Malah, di tempat ini,
yang pernah menjadi lembah di mana kasih kami dibajai. Rasa mahu lari saja dari
situ. Tetapi entah mengapa, aku merasakan diriku seolah digam di situ.
“Ari,” akhirnya suaraku yang
tersekat di kerongkong terluah juga. Ah, nama itu juga yang kusebutkan. Dia
tersenyum. Mungkin gembira kerana aku masih mengingati dirinya. “Aween apa
khabar? Sihat?” soalnya ramah.
“Macam yang kau nampak,” jawabku
acuh tak acuh. Dia tersenyum lagi.
“Tak sangka dapat bertemu dengan
Aween semula. Hmm… padanlah. Memang betul kata Syam. Aween sekarang ni dah
lain. Semakin rugged. Sejak bila dah
mula jadi minah rockers ni?” Pedas
sekali soalannya itu. Aku ketawa sinis. Dia katanya aku ni minah rockers? Ceh! Pandai kata orang dah
berubah. Yang dia tu, macamlah tak berubah. Nasib baik aku masih boleh kenal
dia. Kalaulah aku langsung tak kenalkan dia tadi, nak aja aku cabut, tak mahu
pedulikannya. Hatiku mengomel.
“Memang tak sangka pun. Aku pun tak
terfikir dapat tengok muka kau lagi. Dan aku memang dah berubah. Tak sangka
pulak aku, yang kau masih boleh cam muka aku ni. Ingatkan bila aku dah tampil
macam ni, tak ada orang yang boleh perasankan aku,” aku bersuara selamba.
Malah, sengaja aku mengeraskan suaraku seperti perempuan brutal.
Dia memandangku dengan pandangan
yang berkerut. “Kenapa Aween cakap macam tu? Sampai hati Aween cakap macam tu
kat Ari,” ujarnya sedikit sayu. Aku mencebikkan bibir.
“Aween masih marahkan Ari?” soalnya
lagi. Dia terus merenungku. Ah, sungguh aku tak tahan dengan renungan tajamnya
itu. Lantas aku mengambil keputusan untuk pergi meninggalkannya di situ. Tak
sanggup hendak melayaninya secara berlebihan.
“Aween, tunggu dulu!” dia bersuara
keras. Namun, aku teruskan jua langkahku.
“Aween!” panggilnya lagi. Aku
memalingkan tubuh menghadapnya seketika dan terus melangkah pantas
meninggalkannya.
“Aween, Aween tak jawab soalan Ari
lagi,” laungnya. Aku menoleh seketika. Namun langkahku tetap juga kuteruskan
dengan cara mengundur.
“Kau tak perlu tahu! Apa guna kau
nak tahu sekarang!” laungku pula.
“Aween, harap-harap lepas ni kita
akan berjumpa lagi,” jeritnya.
“Harapnya tidak! Kita tak mungkin
dapat berjumpa lagi!” jeritku pula.
“Kita pasti akan jumpa! Aku jamin!”
dia terus menjerit.
“Argh!” aku merengus kuat buat
kesekian kalinya. Keras dan kasar. Aku terus menoleh ke depan tanpa
memandangnya lagi.
Aku terperasan, semua mata tertumpu
ke arah kami berdua. Ada
yang pandang sinis dan ada juga yang ketawa. Pasti insiden itu tadi mencuit
perasaan mereka. Namun, aku langsung tidak menghiraukan mereka semua. Pedulikan
apa orang nak kata. Memang dah begitu caraku. Aku akan lakukan apa sahaja yang
aku suka dan aku fikir wajar asalkan aku tidak mengganggu ketenteraman dan
menyinggung perasaan orang lain. Itu falsafah hidupku.
*****
SUASANA
kamar beraduku hanya diterangi lampu rock
salt yang suram. Alunan muzik sentimental yang berkumandang di radio begitu
mendamaikan jiwaku ini. Ditambah dengan bau minyak pati lavender yang kubakar
di dalam bekas aromaterapi lebih menjadikan suasana kamar ini bertambah santai
dan tenang. Aku termenung sambil bersandar di kepala katil. Fikiranku terus
dilanda resah semenjak bertemu semula dengan Azhari siang tadi. Aku mengeluh
berat. Kenapa mesti ada lagi pertemuan
ini?
Entah mengapa, wajah Shazzy langsung
tidak menyinggah walau seketika di ruang fikiranku ini. Sebaliknya, wajah
Azhari pula yang bertandang. Ah, kacau! Keluhku lagi. Kata-katanya siang tadi
menambahkan kerunsingan kepalaku.
“Kita pasti akan jumpa! Aku jamin!”
Jeritannya siang tadi benar-benar merisaukanku. Ditambah dengan kenyataan yang
kuperolehi dari kaunter Kelab Kembara Muda siang tadi, bahawa ada seorang ahli
yang baru mendaftar bernama Khairul Azhari bin Ramli. Bertambah terganggulah
fikiranku.
Aduh, serabut kepala otak aku ni! Rasa nak menjerit
pun ada. Kenapalah dia masih lagi mahu menggangguku? Sedangkan dia sendiri
sudah tersedia maklum yang aku tak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengannya
hatta sebagai kawan sekalipun. Malah, aku tak mahu lihat pun wajahnya walau
untuk seketika cuma. Terluka, sakit hati dan benci. Semuanya sudah
bercampur-baur. Malah, api dendam turut kian marak menyala sebaik terlihat
wajahnya di hadapanku tadi.
Kalau hendak diikutkan perasaanku ini, mahu saja aku
tampar mukanya itu dan terus memberi amaran kepadanya agar tidak mengganggu
hidupku lagi. Cukuplah sekali dia memberi harapan kosong kepadaku suatu ketika
dulu. Disebabkan harapannya yang ibarat hangat-hangat tahi ayam itu dululah,
aku hampir kecundang di dalam pelajaranku. Mujurlah aku cepat bertindak
meninggalkan kolej itu dan terus melupakan segala kelukaan yang
ditinggalkannya. Kini dia muncul kembali tanpa dipinta. Luka yang sudah sekian
lama sembuh terguris lagi dan terus berdarah kembali. Apa yang harus kulakukan
sekarang ini? Perlukah aku bertindak bersemuka dengannya?
Namun begitu, aku sudah nekad. Walau apa sekalipun,
biarlah aku sendiri yang akan bertindak. Aku takkan gunakan orang lain sebagai
perantaraan lebih-lebih lagi Shazzy. Malah, aku tak mahu Shazzy terlibat
langsung dalam masalah yang melanda kami. Biarlah aku yang akan
menyelesaikannya sendiri. Kalau bukan dengan cara aman, dengan cara keras akan
aku gunakan bagi mengajar si Azhari yang tak faham bahasa itu. Lelaki seperti
itu memang tak layak dilayan secara lembut. Aku tak mahu dipandang lemah lagi.
Aku mahu dia mengenali diriku sebagai seorang wanita yang tegas dan berani. Ya,
aku akan buktikan kepadanya!