SELEPAS
makan malam, aku menolong ibu mengemas meja dan dapur. Sambil membasuh pinggan dan mangkuk, telingaku tak sudah-sudah mendengar celoteh ibu. Pelbagai kisah yang diceritakannya. Topik yang diceritakannya itu tak lari dari kisah keluarga Azhari.
“Si Ari tu dulu, masa kecil-kecil memang nakal. Suka mengusik adik-adik yang lain. Abang Amal pulak tegas. Apalagi, dialah yang selalu marahkan Ari,” cerita ibu. Aku hanya tersenyum. Tak dapat aku bayangkan akan kenakalan Azhari dulu.
“Gelap kat luar tu, Aween. Tak nampak pun bendangnya. Kalau waktu siang, memang seronok kalau duduk bersantai kat belakang rumah ni. Nampak hijau aja,” katanya lagi. Aku mengangguk. Sambil itu, mataku tak lepas dari memandang ke luar tingkap. Tiada apa yang dapat kulihat melainkan kegelapan malam. Hanya bintang-bintang yang bertaburan di dada langit yang mengindahkan suasana malam yang hening ini. “Bendang cuma beberapa tapak aja kat belakang rumah ni. Tentu seronok, kan ibu? Tiap-tiap hari kalau bosan, boleh duduk kat belakang rumah ni, tengok bendang,” ujarku agak ceria. Ibu tersenyum seraya mengangguk.
“Memang pun. Sejuk aja mata memandang,” ucapnya pula.
“Siapa yang mengerjakan sawah tu, ibu?” soalku.
“Dulu, arwah Tok Wan yang kerjakan. Sejak arwah meninggal, Pak Long pulak yang kerjakan,” jawabnya. Aku mengangguk.
“Esok, kalau Aween nak turun ke bendang, boleh ajak Ari. Dia tu kalau balik sini, memang suka memancing ikan air tawar,” ujar ibu. Aku mengangguk.
Seketika aku tersenyum, membayangkan keseronokan menikmati kehijauan sawah padi. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Langsung surut senyumanku dari bibir bila teringatkan benda yang menggelikan itu.
“Err… ada lintah tak, bu?” soalku gagap. Ibu ketawa.
“Mestilah ada. Tak sahlah kalau sawah padi tak ada lintah. Kan itu memang dah tempat dia. Kenapa, Aween takut lintah ke?” soal ibu bersama tawa yang masih bersisa.
“Takut jugak, bu. Maklumlah, tak pernah kena. Tapi kalau dengan pacat tu, Aween dah biasa. Dah selalu sangat kena tiap kali mengembara,” jawabku panjang.
“Tak usah risaulah. InsyaALLAH, dia takkan kacau Aween,” tutur ibu lagi, menyedapkan hatiku. Aku tersenyum senang, melihat ibu yang begitu cepat mesranya denganku.
Usai kerja mengemas di dapur, aku melangkah ke ruang hadapan. Di situ, Azhari sedang kusyuk menonton televisyen.
“Cerita apa, Ri?’ soalku seraya melabuhkan punggung di salah sebuah sofa berhampiran dengannya.
“Cerita cina,” jawabnya ringkas. Aku turut mengarahkan mataku ke kaca televisyen tersebut.
“Apa yang ibu ceritakan kat Aween?” soalnya. Aku menggeleng.
“Tak ada apa. Cuma cerita kosong aja. Pasal bendang kat belakang rumah tu,” jawabku. Dia tersenyum sinis.
“Bukan main lagi Ari dengar. Siap bergelak ketawa,” ujarnya sambil mencebirkan bibir. Aku ketawa kecil.
“Kenapa, Ari jealous ke, tengok Aween bermesra dengan ibu?” soalku mengusik.
“Hei, mestilah. Anak mana yang tak jealous bila tengok ibunya sendiri bermesra dengan anak orang lain?” ujarnya bergurau. Aku mencebik.
“Eleh, dasar anak manja. Mengada-ngada!” Dia ketawa seraya membaling sebiji kusyen kecil ke arahku. Namun aku berjaya menyambutnya.
Tidak lama kemudian, muncul ibu di ruang tamu sambil menatang dulang berisi sebiji teko serta tiga biji cawan. Kelihatan asap yang keluar dari muncung teko bersama aroma air Milo panas yang begitu menyelerakan.
“Ni apalah yang kecoh-kecoh ni?” omel wanita itu. Aku dan Azhari hanya tersengih macam kerang busuk.
“Tak ada apa, bu. Saja nak kenakan Aween ni. Ibu tulah, mesra sangat dengan dia, sampaikan anak teruna ibu ni pun ibu dah tak ingat dah,” dia bersuara merajuk. Namun, aku tahu dia sekadar ingin bergurau. Mukanya sudah ditarik empat belas. Kulihat Azhari sudah melingkari lengannya ke bahu ibu. Dipeluknya tubuh itu dari belakang.
“Laa… ke situ pulak budak bertuah ni. Malulah sikit kat Aween tu. Dah besar panjang pun nak menyendeng-nyendeng dengan ibu lagi,” bebelnya. Aku ketawa. Lucu melihat kemesraan dua beranak ini. Di kala itu juga, timbul rasa sayu di hatiku ini. Tiba-tiba sahaja ingatanku terkenangkan arwah mama. Sesungguhnya aku terlalu cemburu melihat mereka. Malah aku teramat rindukan kasih sayang dan belaian dari seorang ibu. Bertahun lamanya arwah mama pergi meninggalkanku. Selama bertahun-tahun itu jugalah aku hidup bagaikan seorang musafir yang begitu dahagakan kasih sayang dari mama.
Gurau-senda dan gelak-tawa mereka terhenti tatkala menatap wajahku yang sungul. Azhari bagaikan mengerti akan gelora yang melanda jiwaku di kala ini. Mereka saling berpandangan.
“Aween, awat ni?” soal ibu lembut seraya melabuhkan punggungnya ke sofa di sebelahku. Bahuku diraihnya kejap. Aku menggeleng.
“Tak ada apa, ibu,” jawabku dalam gentar.
“Aween teringat seseorang?” soalnya. Aku terdiam. Haruskah aku mengakuinya? Seketika aku terasa bahuku di ramas dan digosok perlahan. Begitu mesra sekali pautan lengan ibu di bahuku itu.
“Ibu faham, Aween. Ari dah ceritakan semuanya pasal Aween kat ibu. Ibu tak kisah kalau Aween nak anggap ibu sebagai emak Aween. InsyaALLAH ibu akan menyayangi Aween sama seperti ibu sayangkan anak-anak ibu,” ujarnya lembut. Sungguh aku terharu mendengar ucapan tulusnya itu. Lantas kuanggukkan kepala laju. Rasa sebak yang kutahan sejak tadi sudah tidak dapat dibendung lagi. Dan airmataku terus mengalir tanpa dipinta. Lantas ibu membawaku ke dalam dakapannya. Aku tersedu di dada ibu.
“Dahlah tu, Aween. Jangan menangis,” pujuk ibu lembut. Azhari pula hanya setia memandang kami dengan pandangan yang sayu.
*****
MALAM ITU, sekali lagi aku dipelawa oleh Azhari untuk ke biliknya. Mulanya, aku agak keberatan. Segan. Tetapi, melihat ibu yang turut tak mengatakan apa-apa, aku akur juga dengan ajakan Azhari itu.
Di dalam bilik bujangnya, kami hanya berbual-bual sambil melihat album-album lama miliknya. Aku tersenyum melihat gambar-gambar Azhari sewaktu kecil. Tak ubah seperti anak cina, dengan kulitnya yang putih melepak ditambah dengan matanya yang sepet. Melalui album-album lama itu, aku dapat melihat wajah abahnya dengan jelas. Memang tak kunafikan, yang wajah abahnya yang dikatakan berbangsa Thai itu saling tak tumpah seperti wajahnya.
“Haa… cuba teka gambar siapa tu?” ujar Azhari tiba-tiba. Aku meneliti sekeping potret yang menghiasi album itu bersama kerutan di dahi. Nampak macam Azhari. Rupa pun memang rupa Azhari. Cuma kulitnya aja yang sedikit gelap. Kenapa pula dia suruh aku meneka gambar itu?
“Ni Arilah, kan?” soalku. Dia tersenyum sambil menggeleng. Sekali lagi dahiku berkerut. Bukan? Habis tu, siapa? Takkan abang atau adik lelakinya?
“Itu Khairul Asmawi, adik Ari,” katanya. Oh! Aku menganggukkan kepala.
“Serupalah. Macam kembar pulak,” komenku. Dia ketawa kecil.
“Dalam adik-beradik Ari, cuma Ari dengan Awie aja yang ikut muka abah. Yang lain semua ikut ibu,” ujarnya lagi. Aku mengangguk lagi.
Selesai satu album, aku beralih pula ke album yang lain. Banyak benar cerita kami pada malam itu. Dari cerita lucu diselangi dengan cerita duka. Kata Azhari lagi, peristiwa penceraian ibu dan abahnya merupakan saat yang paling tak dapat dilupakannya. Malah, dia sendiri tidak menyangka yang abahnya sanggup meninggalkan ibu serta anak-anaknya sendiri di sini.
“Abah dulu garang. Tapi kata ibu, sebelum mereka kahwin abah tak macam tu. Memang betul pun. Dulu, abah tak pernah marah-marah. Abah baik sangat. Namun sejak kelahiran adik bongsu Ari, abah mula berubah. Abah jadi pembengis, cepat marah. Abah selalu marahkan ibu. Kami anak-anaknya pun selalu menjadi mangsa kemarahannya. Sebelum tu, abah tak pernah jentik pun kami adik-beradik. Tapi setelah dia berubah laku, jangankan kata jentik. Saban hari kalau ada aja yang tak kena, siaplah kami jadi mangsa tali pinggangnya tu. Ibu tak terkata apa, cuma mampu menangis aja melihat kami adik-beradik dipukul abah. Kalau dia halang, nanti dia pun akan terkena sama,” ceritanya. Aku begitu setia mendengar kisahnya itu.
“Sebenarnya Aween, perkahwinan ibu dan abah telah mendapat bantahan keras dari keluarga sebelah abah. Orang tua abah tak setuju abah berkahwin dengan ibu dan meninggalkan agama asalnya. Selepas bercerai, ibu macam dapat rasakan sesuatu, lantas dia berjumpa dengan seorang ustaz. Kata ustaz itu, ada orang yang telah menggunakan ilmu halus untuk memporak-perandakan rumahtangga ibu dan abah. Pada mulanya, ustaz tu tak nak beritahu siapa punya angkara. Tapi, atas desakan ibu, akhirnya dia beritahu juga. Mereka itu adalah keluarga belah abah. Demi melihat abah berpisah dengan ibu, mereka sanggup membomohkan rumahtangga ibu dan abah,” sambungnya lagi. Aku hanya terdiam, mendengar ceritanya itu. Dalam hati aku beristighfar panjang, mengenangkan musibah yang melanda keluarga Azhari.
“Tapi, Ari minta tolong sangat kat Aween supaya jangan bangkitkan isu abah ni kat depan ibu. Nanti ibu terasa hati. Ari tak mahu ibu bersedih lagi pasal hal ni. Kecualilah kalau dia sendiri yang bangkitkan. Tapi, Aween jangan pulak melebih-lebih tanya. Memadai ajalah, ya. Janji?” pesannya. Aku mengangguk akur.
“Ari tak terfikir nak cari abah Ari?” soalku. Dia menghelakan nafas berat.
“Ada dan pernah. Masa Kak Long nak mendirikan rumahtangga. Puas kami adik-beradik cari abah. Harapan kami, agar abah masih lagi Islam. Bolehlah abah mewalikan Kak Long. Tapi, tak jumpa jugak. Hari pernikahan Kak Long pulak semakin lama semakin hampir. Akhirnya, terpaksalah mewalikan hakim. Kesian Kak Long. Menangis-nangis dia pada hari pernikahannya dulu, sebab hajatnya supaya abah mewalikan pernikahannya tak kesampaian,” ujarnya panjang-lebar. Aku menelan air liur. Begitu hebat dugaan yang melanda keluarga mereka ini.
“Okeylah, Ari. Dah lewat ni. Esok kita sambung cerita lagi, ya,” ujarku setelah menyepi beberapa ketika. Dia mengangguk. Aku membantunya mengemas album-album yang berselerakan di lantai.
“Eh, awat tak tidur lagi ni?” Tersentak kami mendengar sapaan ibu di muka pintu. Kami memandangnya serentak.
“Belum lagi, bu. Kita orang baru lepas bercerita panjang,” ujar Azhari. Ibu mengangguk. Aku hanya mengukirkan senyuman. Seketika kemudian ibu berlalu dari situ. Kami menyambung semula kerja mengemas kami.
Sedang aku hendak menyimpan album-album itu pada rak kayu tersebut, tiba-tiba sekeping sampul surat berwarna kuning air terjatuh dari sisipan album tersebut. Aku terpaku melihat sampul surat yang berada di atas lantai itu. Segera aku mencangkung lalu mencapainya. Kurenung dan membelek-belek sampul surat tersebut.
‘Istimewa Buat Azhariku’
Aku mengerutkan dahi. Bukankah ini merupakan sampul surat yang kubuat bersama kad buatan tangan yang kuberikan kepadanya dulu sempena harijadinya yang ke sembilan belas tahun?
“Ari,” aku memanggilnya. Tubuhku memaling ke belakang, memandangnya. Dia begitu tenang menentang pandangan mataku. Aku menunjukkan sampul surat tersebut. Dia tersenyum sambil menganggukkan kepala.
“Kenapa? Tak percaya yang Ari masih simpan kad tu?” soalnya lalu ketawa kecil. Aku bungkam. Lantas aku mengeluarkan isinya. Ah, aku sama sekali tidak percaya yang kad buatan tanganku sudahpun berada di dalam peganganku kini. Kusangkakan dia telah membuangkannya selepas hubungan kami dulu berakhir. Nampaknya, dia masih menghargai pemberianku itu. Aku terharu.
“Terima kasihlah sebab masih simpan kad ni. Terasa pemberian Aween yang tak seberapa ni dihargai,” ujarku perlahan. Dia menggeleng.
“Pemberian tak seberapa Aween cakap? Aween tahu tak, pada Ari kad tu begitu bernilai sekali, tau,” katanya bersungguh. Aku tersenyum. Dia melangkah menghampiriku. Kad itu disambutnya dari tanganku. Dibelek-beleknya kad yang sudah agak pudar warnanya itu.
“Ari sendiri tak sangka yang Aween ni seorang yang kreatif. Cantik kad ni. Pandai Aween buat,” pujinya. Aku tersenyum bangga. Dia mencuit mesra daguku.
“Masa Aween serahkan kad ni kepada Ari dulu, tak sempat untuk Ari ucapkan terima kasih. Rasa-rasanya, sempat lagi tak kalau Ari ucapkannya sekarang?” soalnya teragak-agak. Aku ketawa. Lantas kuanggukkan kepala.
“Sempat sampai bila-bila pun,” ujarku bersahaja.
“Terima kasih, Aween,” ucapnya penuh syahdu. Aku mengangguk lagi.
“Sama-sama, Ari. Terima kasih sekali lagi sebab masih simpan kad ni,” ucapku pula.
Dengan perlahan aku mengaturkan langkah ke muka pintu. Sebaik kuselakkan tirai, sekali lagi kupalingkan tubuh ke belakang, memandangnya buat kesekian kali sebelum aku masuk tidur. Dia masih tercegat di situ. Matanya terus merenungku. Aku tersenyum. “Good night,” ucapku perlahan.
“Good night,” ucapnya pula. Aku terus melangkah keluar dari bilik itu menuju ke bilik adik perempuannya yang aku tumpangi.
*****
SAMBIL berbaring di dalam bilik, fikiranku terus berputar ligat, mengenangkan Azhari. Benarkah dia masih menyintaiku? Persoalan yang sering mengasak mindaku semenjak aku bertemu dengannya semula. Ah, baru semalaman aku di sini, pelbagai petunjuk yang telah aku dapat, membuktikan yang dia masih cintakan aku. Macam manalah kalau dalam seminggu ini? Mungkin aku akan pulang ke Kuala Lumpur dengan bergelar teman wanitanya semula? Kalau itu yang bakal terjadi, macam mana pula dengan Shazzy. Ah, tak mungkin. Walau dalam apa jua keadaan sekalipun, aku masih tidak boleh nak mengenepikan Shazzy, kerana dia masih lagi bergelar kekasihku.
Ingatanku tertumpu pula kepada Shazzy. Agaknya, adakah dia tahu yang aku tiada di Kuala Lumpur selama seminggu ini? Ah, sudah berminggu lamanya aku tidak mendengar khabar darinya. Aku berharap dia muncul semula. Aku ingin bertemu dengannya. Namun, sehingga kini, harapan hanya tinggal harapan sahaja. Impianku untuk bersua dengannya ibaratkan bulan jatuh ke riba. Dia tetap menyepi tanpa khabar berita.
Kata-kata Farhana sehari sebelum aku bercuti hari itu benar-benar menghantui fikiranku. Secara jujur, aku memang sudah tidak dapat bertahan lagi dengan kerenah Shazzy. Yalah, kalau teman lelaki sendiri yang sering meragui kesetiaan cinta kita, siapa yang boleh bersabar? Aku hanya manusia biasa, memiliki hati dan perasaan. Kadang-kala terasa diriku ini terlalu bodoh. Bodoh kerana masih mampu tunduk pada lelaki ego seperti Shazzy. Entah mengapa, begitu sukar untuk aku kikis rasa sayangku terhadapnya. Ah, entahlah. Kadang-kala aku sendiri tidak faham akan naluriku sendiri.
Perlukah aku memberi peluang kepada Azhari? Itu satu lagi persoalannya. Pada aku, Azhari tak sepatutnya mengharapkan apa-apa dariku. Cukuplah sekali aku terluka dengannya. Dan cukuplah sekali aku dikecewakannya. Aku tak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah segala apa yang berlaku dulu. Aku kini hanya dapat menerimanya sebagai kawan sahaja. Andaikata hubunganku dengan Shazzy akan berakhir suatu masa nanti, belum tentu lagi aku akan terima Azhari semula dalam hidupku. Atau mungkin aku akan diketemukan dengan seorang jejaka yang jauh lebih baik dari kedua-dua lelaki ini?
Ah, sudahlah! Aku tak mahu mengasak fikiranku dengan persoalan-persoalan yang belum pasti itu. Biarlah takdir dan waktu yang menentukan segala-galanya. Walau apa yang terjadi pada hari yang mendatang, aku harus redha. Aku harus akur dengan takdir yang telah ALLAH tentukan buatku.