Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
111,662
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

AKHIRNYA aku dibenarkan pulang setelah keadaanku kembali stabil. Sekembalinya aku ke rumah, aku hanya duduk menyepi di dalam bilik. Pernah beberapa kali ayah mempelawaku untuk keluar bersiar-siar agar aku tidak tertekan kerana asyik berkurung di dalam bilik. Namun aku menolak. Padaku, duniaku kini hanyalah di dalam bilik tidurku. Aku lebih tenang dan selesa berada di dalam bilikku ini.

Sudah agak lama aku sujud dan duduk bersimpuh di atas tikar sembahyang itu. Naik lenguh kakiku kerana duduk terlalu lama. Namun aku tidak peduli. Biar sampai lumpuh sekalipun, aku rela. Asalkan ALLAH mengampunkan dosa-dosa yang telah kulakukan beberapa hari yang lalu. Aku yakin, ALLAH Maha Pengampun.

“Ya ALLAH, sesungguhnya hanya kepadaMu aku memohon. Kau ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua orang tuaku, dosa saudara-maraku serta sahabat-handaiku. Berkatilah roh arwah mamaku. Tempatkanlah dia di sisi orang-orang yang beriman. Ya ALLAH, sesungguhnya kuserahkan seluruh jiwa dan ragaku kepadaMu. Terimalah taubatku, Ya ALLAH. Dan ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya aku tidak berdaya untuk menghadapi hukuman-hukuman beratMu. Ya ALLAH, sesungguhnya kau cekalkanlah hatiku dalam mengharungi liku-liku hidupku ini. Tabahkanlah hatiku dalam menghadapi sebarang musibah yang melanda. Teguhkan imanku dan hindarilah aku dari sebarang godaan syaitan laknatullah. Tunjukkanlah aku ke jalan yang benar. Ya ALLAH, Ya Tuhanku, sesungguhnya aku insaf, Ya ALLAH. Aku insaf dan menyesal atas dosa yang telah kulakukan. Sucikanlah dosa-dosaku ini dengan memperolehi pengampunan dariMu, Ya ALLAH. Sesungguhnya hanya kepadaMu aku berserah. Andainya Kau jatuhi hukuman ke atasku di dunia ini, aku rela dan redha, Ya ALLAH. Andainya itu dapat menghapuskan dosa yang telah kulakukan. Jauhilah aku dari seksa api nerakaMu. Ya ALLAH, sesungguhnya Kau Maha Pengasih, Maha Pemurah, lagi Maha Pengampun. Amin. Ya Rabbalalamin…”

Kuraup wajahku dengan kedua belah tanganku dengan perasaan sendu. Lantas kusujud kembali pada sejadah itu. Lama aku begitu. Sehinggalah kedengaran pintu bilikku terbuka, barulah kuangkat wajahku. Airmata yang mencurah-curah keluar kuseka dengan tangan yang masih dilitupi telekung putih. Segera kutoleh ke belakang. Kelihatan Farhana sedang berdiri di muka pintu.

“Hai, baru lepas solat?” sapanya. Aku tersenyum seraya mengangguk.

“Hmm… masuklah, Anne,” pelawaku sebaik aku bingkas berdiri. Sejadah yang terbentang kulipat lalu menyidainya di penyidai telekung. Tanpa menanggalkan telekung, terus aku menyandarkan diri ke katil. Farhana turut melabuhkan punggungnya di sisi katilku. “Kau macam mana sekarang?” soalnya agak ceria. Aku terdiam. Lantas aku memeluk kedua belah lututku.

“Macam nilah, Anne,” jawabku acuh tak acuh.

“Masih lagi gangguan emosi?” soalnya. Aku menggeleng bersama senyuman. Farhana tersenyum lega.

“Alhamdulillah, kau dah sembuh. Ayah kau tak kata apa? Dia tak tanya kau pasal mamat tu?” soalnya bertubi-tubi. Aku menggeleng lagi bersama ketapan di bibir.

Farhana terdiam. Aku juga tertunduk membisu. Seketika Farhana menepuk pehaku. Aku memandangnya spontan.

“Jomlah turun,” ajaknya. Aku menggeleng laju.

“Tak naklah. Aku nak duduk dalam ni aja. Tenang,” tuturku. Dia mengeluh berat.

“Kau datang sorang?” soalku. Farhana menggeleng.

“Habis tu, dengan Kimi?” soalku lagi. Dia tersenyum penuh makna. Lama kemudian baru dia mengangguk. Aku tersenyum simpul.

“Betul kau tak nak turun ni?” soal Farhana kepadaku. Aku mengangguk.

“Kalau macam tu, aku turun dululah, ya. Sebenarnya, ada pelawat nak jumpa kau di bawah. Kau senang tak? Kalau kau okey, aku ajak dia masuk bilik kau ni. Kalau tak, lain kali ajalah,” ujarnya panjang.

Aku mengerutkan dahi. Siapa? Persoalan itu mulai menular ke mindaku. Farhana masih tersenyum. “Siapa tu?” soalku.

“Adalah,” jawabnya berahsia.

“Kalau lelaki tu aku tak nak,” tegasku. Farhana mendesis.

“Hisy, kau ni. Agak-agaklah. Kalau mamat tu, aku takkan biarkan dia ke sini. Malah aku takkan benarkan dia ganggu kau. Yalah, kau baru nak sembuh, dia dah nak datang mengacau.” Aku tersenyum mendengar kesungguhan Farhana itu.

“Siapa?” soalku lagi, ingin tahu.

“Adalah. Kau nak jumpa dia tak? Kalau nak aku bawa dia ke sini. Dah kau tak nak turun,” ujar Farhana, masih mahu berselindung denganku. Aku menghelakan nafas berat. Seketika aku mengangguk. Farhana tersenyum lebar.

“Betul ni? Janji kau takkan marah? Niat dia ikhlas nak datang melawat kau,” ujar Farhana lagi. Aku mengangguk.

“Ya, aku takkan marah. Takkan aku nak marah orang datang melawat aku?” tekanku. Farhana mengangguk. Senyuman masih terukir di bibirnya.

“Kau tunggu tau,” ucapnya lalu bingkas bangun menuju ke pintu. Seketika kelibat Farhana menghilang.

*****

“ASSALAMUALAIKUM,” kedengaran suara garau memberi salam di muka pintu bilikku. Pantas aku menoleh. Dadaku berdegup kencang. Lelaki itu sedang berdiri tegak di muka pintu bilikku. Matanya merenungku yang masih bertelekung di kepala katil. Aku menyahut salamnya dengan rasa gugup.

“Boleh Ari masuk?” soalnya. Dengan teragak-agak aku mengangguk. Dia tersenyum seraya mengatur kemas langkahnya menghampiriku. Di tangannya terdapat sejambang bunga mawar merah. Aku menelan air liur.

“Baru lepas solat ke?” soalnya lembut seraya melabuhkan punggung di sebuah sofa yang terletak di sisi katilku. Aku mengangguk perlahan.

Dengan perlahan, dia menyerahkan jambangan mawar merah itu kepadaku. Aku masih diam terkaku.

“Ambillah, Ween. Ari belikan untuk Aween. Ari tahu Aween suka,” ucapnya lembut. Dengan teragak-agak, aku menyambut jambangan mawar merah yang dihulurkannya itu. Sebaik ia berada di dalam peganganku, segera kubawa jambangan itu ke hidung, menghidu harumannya yang menyegarkan. Aku tersenyum sebaik haruman itu menyapa ke rongga hidungku. Dia turut tersenyum melihat wajah ceriaku.

“Aween, Ari tumpang simpati,” ucapnya perlahan. Aku terkedu. Senyumanku turut mengendur. Kupalingkan wajah memandangnya dengan pandangan yang tajam. Dia terkejut melihat wajahku yang sudah berubah rupa. Seketika dia menelan air liurnya. Wajahnya cuak.

“Puaslah hati kau sekarang, dapat tengok aku kecewa macam ni? Shazzy dah tinggalkan aku. Ni yang kau nak, kan?” bentakku dalam gentar. Dia kelihatan terkesima mendengar kata-kataku itu.

“Astagfirullahal’azim. Aween, kenapa sampai macam tu sekali Aween tuduh Ari? Sumpah, tak terlintas pun di hati Ari ni nak tengok Aween kecewa,” ucapnya bersungguh. Aku ketawa sinis.

“Tapi Ari kena ingat, bila Aween dah putus dengan Shazzy, tak semestinya hati Aween dah terbuka semula untuk Ari. Tak semudah itu Aween nak terima mana-mana lelaki untuk bertakhta di hati ini buat masa sekarang,” tegasku.

Dia mengeluh seraya tertunduk. Seketika kelihatan dia menggeleng kecil. Wajahnya diangkat semula memandangku.

“Aween,” ujarnya perlahan. Diam seketika. Seolah-olah apa yang ingin diucapkannya tersekat di kerongkong.

“Ari datang ni bukan untuk berniat apa-apa. Hanya sekadar hendak melawat seorang sahabat yang sedang di dalam kesusahan. Tak lebih dari itu. Ari pun tak mahu mengasak fikiran Aween dengan perkara tu. Ari faham sangat dengan keadaan Aween. Janganlah salah sangka,” terangnya. Aku terdiam. Serba salah kerana terlalu terburu-buru sehingga menimbulkan salah faham dengan niat baiknya. Tanpa sedar aku telah menyinggung perasaannya. Aku mengeluh berat. Kutundukkan wajah.

“Maafkan aku, Ari,” ucapku perlahan.

Suasana menjadi sepi seketika. Aku masih tertunduk diam. Dia juga masih bungkam di situ. Seketika sepasang tangan sasa menjalar ke bahuku. Aku tersentak, lantas mengangkat wajah memandangnya. Dia tersenyum.

“Aween,” ucapnya. Mata kami saling bertaut.

“Ari akan sentiasa bersama dengan Aween. Ari bersedia berkongsi duka dengan Aween. Ari takkan biarkan Aween keseorangan. Ari akan buat Aween gembira semula. Ari janji,” ucapnya penuh tulus. Aku masih memandangnya. Di matanya jelas terpancar sinar keikhlasan. Dia mengangguk perlahan, meyakinkanku. Lama kami begitu. Dan seketika, aku mengangguk laju.

Dia tersenyum. Seketika dia melabuhkan punggungnya di sisiku di birai katil. Tubuhku dipautnya lantas dibawanya aku ke dalam dakapannya. Tanpa berfikir panjang aku merebahkan kepalaku ke dadanya yang membidang itu. Dalam pada itu, dapat kudengar degupan jantungnya yang begitu kencang. Ibarat sebuah irama yang sungguh mengasyikkan. Ah, betapa selesa dan nyamannya aku tatkala berada di dalam rangkulannya itu. Di kala itu juga serasakan diriku ini begitu selamat berada di dalam dakapannya itu.

Dalam sekelip mata, terasa diriku telah dibawa semula ke zaman remaja kami dulu. Di saat dia melamarku sebagai kekasihnya suatu malam di hadapan Kompleks Pernas Sogo. Beginilah kami ketika itu. Saling berpelukan, menyemai benih-benih kasih dan akhirnya bercambah mekar menjadi sekuntum bunga cinta. Namun sayang, bunga cinta yang sentiasa hidup segar akhirnya layu dan berguguran. Kini, yang tinggal hanyalah cebisan kenangan. Segalanya berputar ligat di fikiranku kini. Aku sama sekali tidak menyangka yang aku masih lagi berpeluang untuk menikmati pelukan hangat darinya. Ya ALLAH, alangkah bahagianya aku ketika mendampingi lelaki ini. Adakah ini satu petanda yang aku akan mengharungi liku-liku hidupku bersamanya di suatu masa nanti?

*****

KHAIRUL AZHARI. Andainya ditakdirkan jodohku bersamamu, aku terima dengan hati yang redha. Namun begitu, mampukah kau menjagaku sepanjang hayatmu? Mampukah kau menjadi seorang suami dan ayah yang baik dan bertanggungjawab kepadaku dan anak-anak kita nanti? Mampukah kau memberi segala keperluan dan layananmu kepadaku? Mampukah kau?

Dan aku… Mampukah aku menjadi seorang isteri yang taat dan solehah? Sesungguhnya kami masih terlalu muda. Banyak lagi perkara yang kurasakan harus aku selesaikan terlebih dahulu sebelum mendirikan rumahtangga. Sebelum aku berkeluarga, aku harus memastikan kehidupan ayahku tidak terabai. Aku harus memastikan adikku, Khairul Azizi berjaya dalam kehidupannya. Dan yang paling penting, aku harus menyatukan mereka berdua.

Sesungguhnya, hubungan ayah dan Ijie sudah terlalu jauh renggangnya. Mereka sudah terlalu jauh. Sudah tidak kelihatan seperti bapa dan anak. Sesungguhnya, sejak dari kecil lagi Ijie sudah dingin dengan ayah. Dia terlalu marahkan ayah kerana ayah tidak mahu menjaga dan memberi kasih sayang kepadanya sepertimana yang dilakukannya kepadaku. Ijie menganggap ayah tidak adil, berat sebelah kerana terlalu menyebelahi aku.

Ayah pula, setelah kematian mama, kehidupannya tidak terurus. Dia bagaikan hilang pedoman. Seolah-olah semangatnya untuk meneruskan kehidupan turut berlalu bersama pemergian mama. Ayah tidak menerima kelahiran Ijie. Dia telah menyalahkan Ijie kerana mama pergi setelah melahirkan anak lelakinya itu. Ayah terlalu membenci Ijie. Katanya, kerana Ijie mama meninggal. Malah, dia langsung tidak menganggap Ijie itu anaknya. Maka sebab itulah atuk dan nenek telah mengambil Ijie untuk menjaganya memandangkan ayah tidak menerima kelahiran adikku itu.

Itu kisah dulu, sewaktu mama baru lepas pergi dijemput Ilahi. Malah keadaan ayah semakin hari semakin melarat. Ayah seperti orang hilang punca. Dia terlalu meratapi kematian mama. Lantaran itu, atas kata-kata sepakat atuk, nenek serta adik-beradik ayah yang lain, mereka telah membawa ayah berubat. Ayah telah diketemukan dengan seorang ustaz yang dikatakan dapat memulihkan semula semangatnya yang sudah hilang bersama kematian mama. Alhamdulillah, akhirnya ayah pulih seperti sedia kala. Kami sekeluarga amat gembira dengan perubahan ayah.

Apa yang menjadi masalah utama sekarang ini adalah Ijie. Dia pula yang tidak dapat menerima ayah. Dia terlalu membenci ayah setelah mendapat tahu duduk perkara sebenar. Sudah pelbagai usaha yang kami sekeluarga lakukan untuk membaiki semula hubungan baik antara ayah dengan Ijie. Namun, semuanya ibarat air yang mencurah ke daun keladi. Segala usaha kami menemui jalan yang hampa. Memandangkan Ijie terlalu baik dan manja denganku, mereka telah menyerahkan tanggungjawab ini ke bahuku untuk memujuk Ijie. Aku terpaksa. Tambahan pula hanya mereka berdua sahaja yang aku ada kini. Kalau bukan aku, siapa lagi yang dapat menyatukan mereka. Sesungguhnya, aku telah nekad untuk menyatukan mereka semula sebelum aku meninggalkan keluargaku dan membina kehidupanku sendiri. Itu adalah janjiku. Janjiku terhadap ALLAH SWT, arwah mama serta seluruh kaum keluargaku.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa