Home Novel Cinta Selagi Aku Masih Ada
Selagi Aku Masih Ada
Mya Effa
17/7/2013 01:56:21
111,657
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12
AKU mengeluh di ruang tamu. Sesekali kurenung telefon bimbit yang terdampar di meja kopi. Masih tiada sebarang panggilan hatta satu khidmat pesanan ringkas sekalipun. Pagi tadi, selepas selesai solat Subuh, aku telah cuba menghubungi Shazzy, namun telefon bimbitnya dimatikan. Selepas bersarapan pagi dan sebaik ayah ke pejabatnya, aku cuba menghubunginya lagi, namun tetap gagal. Kemudian aku telah mencuba menghantar khidmat pesanan ringkas kepadanya. Sehingga kini dia tidak membalas pesananku itu.

Aku mulai berang. Rasa marah dan sakit hati begitu meluap-luap. Bengang! Jam di dinding sudah menunjuk ke pukul sebelas pagi. Pastinya dia kini berada di pejabatnya. Tanpa berfikir panjang, terus aku bersiap lalu keluar menuju ke jalanraya yang kebiasaannya menjadi tempat aku menahan teksi. Sebaik ternampak kelibat teksi dari jauh, terus kutahan. Nafasku berombak ketika di dalam perjalanan ke Damansara Utama. Sedaya-upaya aku menahan perasaanku yang panas membara. Dalam hati, aku menyumpah-seranah Shazzy. Tak guna punya teman lelaki! Dia buat aku tak ubah seperti tunggul!

Tiba di gymnasium miliknya, terus aku terjah masuk dengan perasaan sebal dan bengang. Mukaku begitu bengis mencuka.

“Hai, Kak Azween. Lambat datang hari ni? Selalu datang dengan Abang Shazzy. Kenapa pulak hari ni datang sendiri? Gaduh ya?” sapa Fariz yang sedang menjaga kaunter. Aku memandangnya dengan mata yang membuntang. Dia agak terkejut dan menelan air liurnya. Aku mendengus kasar. Pantas kuaturkan langkah menaiki tangga. Langkahku terhenti seketika dan menoleh semula memandang Fariz.

“Bos awak tu ada kat atas tak?” soalku sedikit keras. Dia menggeleng.

“Tak ada?” soalku lagi separuh menjerit.

“Tak ada, kak. Abang Shazzy cakap dia tak masuk pejabat hari ni,” terang anak muda itu. Aku mendengus lagi.

“Dia ada cakap ke mana dia pergi hari ni?” soalku lagi. Sekali lagi anak muda itu menggeleng. “Kak Azween pun tak tahu ke mana dia pergi? Setahu saya, kalau dia nak ke mana-mana, biasanya dia beritahu akak?” soalan Fariz terasa bagaikan belati tajam yang menyucuk-nyucuk dada ini. Begitu sinis sekali.

Dengan hati yang membengkak, aku mengatur langkah untuk keluar dari gymnasium tersebut. Namun sebelum itu, sempat aku berpesan kepada Fariz agar menghubungiku apabila Shazzy masuk ke pejabatnya. Aku cuba menghubungi Abang Que, seandainya dia tahu apa-apa tentang Shazzy dan di mana lelaki itu berada kini. Namun aku masih menemui jalan buntu. Abang Que juga tidak tahu di mana Shazzy berada. Malahan, Kak Lynn juga telah kuhubungi, namun panggilanku tidak dijawabnya. SMS yang kuhantar turut tidak dibalasnya. Damn! Bentak hatiku.

*****

KUSANGKAKAN penantianku ini hanya mengambil masa sehari dua sahaja. Ternyata tanggapanku silap. Shazzy terus menyepi sehingga seminggu lamanya. Selama seminggu ini jugalah, aku terus menjejakinya tanpa jemu. Namun sehingga ke hari ini, aku masih gagal menemuinya. Terasa seperti semakin aku mengejarnya, semakin jauh dia berlari. Sungguh aku tertekan berada di dalam situasi begini. Mengapa dia terus menjauhiku?

Tiba di hujung bulan. Keadaan masih tidak berubah. Aku hampir berputus asa. Dalam waktu yang sama, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tak kena telah berlaku. Selama dua tahun lebih kami saling mengenali, belum pernah dia bersikap sebegini. Sikap mendiam diri Shazzy benar-benar menguji kesabaranku.

Kereta yang dipandu Farhana berhenti di hadapan sebuah banglo yang tersergam indah. Aku menghelakan nafas berat. Terasa jantungku berdegup kencang. Kepala lututku turut menggeletar hebat. Hatiku berbelah bahagi, sama ada hendak turun atau tidak. Aku memerhatikan sekitar rumah besar lagi indah itu dari dalam kereta. Kutelan air liur berkali-kali bagi menghilangkan rasa gugup di hatiku.

“Okey, Aween. Relax! Be cool,” ucap Farhana meyakinkanku. Aku mengangguk. Kuhelakan nafas berat lalu membuka pintu kereta.

Dengan penuh yakin, aku turun dari keretaku dan berjalan perlahan menuju ke hadapan pintu pagar. Suasana hening menyelubungi persekitaran banglo itu. Aku menekan suis loceng sekali dan terus menunggu pintu pagar dibuka. Lama aku menunggu. Kutekan suis loceng tersebut buat kesekian kalinya. Masih tiada tanda-tanda yang pintu pagar akan dibuka. Aku mengeluh berat. Terasa kehadiranku tidak begitu menyenangkan tuan rumah itu. Tapi, tak mungkin. Kedua orang tua Shazzy kenal benar dengan aku. Malah, dia terlalu baik denganku. Aku dapat melihat kesenangan mereka terhadapku sewaktu aku menjaga Shazzy di hospital dulu.

Aku mengangkat wajah sebaik tersedar akan kelibat seseorang di muka pintu rumah tersebut.

“Maaf, buk! Tuan rumahnya enggak ada,” ujar wanita warga Indonesia itu. Aku hairan, muslihat apakah yang mereka sekeluarga cuba sembunyikan dari pengetahuanku? Mustahil tiada seorang pun tuan rumah yang ada di dalam. Aku memerhatikan anjung rumah itu. Kelihatan kereta Aunty Nisha dan Kak Lyn terpakir di situ. Malah, kereta Shazzy turut ada sama!

“Shazzy ada tak?” soalku. Wanita itu menggeleng laju.

“Nggak ada juga,” jawabnya lalu menutup semula dedaun pintu. Aku mengeluh berat. Hampa. Tanpa membuang masa, aku terus beredar ke kereta semula.

So how?” soal Farhana. Aku menggeleng lemah.

“Bibik tu cakap dia orang sekeluarga tak ada,” jawabku.

“Semua tak ada rumah? Mustahil! Tu, kereta berderet kat poach tu?”

“Entahlah, Anne. Aku pun rasa yang dia orang satu keluarga ada kat dalam tu. Masing-masing macam sengaja nak sembunyi dari aku,” keluhku. Farhana turut mengeluh berat. Kami meninggalkan kawasan perumahan elit itu dengan rasa hampa dan kecewa.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mya Effa